Sunday, December 30, 2012

Ungu!







Entah mungkinkah aku bertemu dengan cadar seperti yang tergambar ini memandangkan pencarianku hanya terbatas di kedai-kedai menjual cadar dan sarung bantal yang terletak di kawasan Bedok Central sahaja.

Apatah lagi aku hanya membataskan cadar berwarna ungu sahaja demi memadankan cadarku dengan langsir yang baru kugantung semalam.

Cadar merah jambu yang dipasang sebelum ini telah kutanggalkan semalam.

Cadar lain yang ada sebagai ganti pula berwarna merah jambu.

Cadar putih yang pernah suatu masa dahulu aku beli kerana tertarik hati dengan 'kesucian' warna itu tidak lagi menjadi cadar utama memandangkan cadar putih itu mudah memperlihatkan kesan kotoran dengan jelas sekali.

Apabila 'kesucian' cadar itu ternoda, akhirnya kujadikan cadar putih itu sebagai cadar alas.

Maafkanku cadar putih.

'Kesucian'mu tetap kukenang.

Kedua-dua cadar merah jambu telah menjemukanku.

Maafkanku cadar merah jambu.

Mungkin aku telah jemu dengan warna merah jambu itu sendiri.

Maafkanku merah jambu.

Demi langsir unguku, aku perlu mendapatkan cadar baharu berwarna ungu seperti yang tergambar.

Oh ya, aku pernah memasang cadar merah tetapi cadar itu telah kuberikan kepada anggota keluarga yang lain.

Tidak mungkin aku meminta semula cadar merah itu.

Lagipun cadar merah dengan langsir ungu tidak secocok bukan....

Sudah sampai masanya untuk mendapatkan cadar baharu berwarna ungu!

Ungu!

Paling penting, ungu tanpa merah jambu.

Thursday, December 27, 2012

Dua orang gadis manis: Seohyun dan Sooyoung

Satu-satunya kumpulan K Pop yang aku minati ialah kumpulan Girls' Generation.

Kumpulan ini dianggotai sembilan orang gadis.

Namun, hanya dua orang gadis manis dalam kumpulan itu yang menarik hatiku iaitu Seohyun dan Sooyoung.



Bagiku, Seohyun bukanlah gadis yang tercantik tetapi berdaya penarik.

Ketenangan dan kelembutan pada raut wajahnya persis sekali menggambarkan ketenangan dan kelembutan keperibadiannya.

Itulah daya penariknya yang menarik hatiku.


Sooyoung pula merupakan gadis yang tercantik dalam kumpulan itu, menurut pandangan mataku.

Matanya yang bersinar setiap kali senyuman terlukis pada wajahnya yang indah menarik hatiku.

Senyuman itu sekaligus mengingatkan aku kepada pelakon Malaysia yang cantik iaitu Neelofa.





Monday, December 24, 2012

Sejauh 68 episod Adam & Hawa

Andai benar bahawa drama bersiri Adam & Hawa akan berkesudahan dengan episod ke-80, maka hanya tinggal 12 episod lagi untuk aku tontoni.

Meskipun drama bersiri ini tidak dapat mengatasi drama bersiri Nur Kasih yang bertakhtah di hati ini sebagai drama bersiri terbaik sejauh ini, drama bersiri Adam & Hawa ini tetap aku ikuti dengan minat.

Nur Kasih bertemakan keluarga dan cinta apatah lagi hubungan ibu bapa dengan anak-anak serta hubungan adik-beradik bahkan hubungan suami isteri diselongkar melalui jalan cerita dan watak-watak yang begitu berkesan di hati dengan isu-isu yang menampar di jiwa.

Adam & Hawa bertemakan cinta dan persahabatan meskipun hubungan ibu bapa dengan anak-anak serta hubungan adik-beradik bahkan hubungan suami isteri turut diselongkar.

Namun, tema cinta dan persahabatan lebih menyerlah dalam Adam & Hawa.

Boleh dikatakan aku meminati drama Adam & Hawa meskipun aku tidak menafikan rasa bosan yang tercetus dek sikap Ain Hawani yang terlalu selalu mempersoalkan bertalu-talu tentang perkara yang sama meskipun Adam Mukhriz telah menjelaskan duduk perkara.

Meskipun watak Ain Hawani bukanlah watak yang mencuri hatiku, tidak seperti watak Nur Aminah yang aku kagumi, aku tetap mengikuti drama bersiri Adam & Hawa ini melalui lelaman Dailymotion.

Aku mulai menonton semasa berada di Singapura sewaktu cuti sekolah sudah bermula.

Seterusnya, aku tonton semasa bercuti di Kuala Lumpur.

Kini, aku masih menonton setelah kembali di Singapura.

12 episod lagi.

Sunday, December 23, 2012

Lirik lagu 'Kupilih Hatimu' nyanyian pasangan suami isteri Ussy Sulistiawaty & Andhika Pratama



Ussy:
Kupilih hatimu
Tak ada kuragu
Mencintaimu adalah hal yang terindah
Dalam hidupku oh sayang
Kau detak jantung hatiku

Andhika:
Setiap nafasku hembuskan namamu
Sumpah mati hati ingin memilihmu
Dalam hidupku oh sayang
Kau segalanya untukku

Ussy & Andhika:
Janganlah jangan kau sakiti cinta ini
Sampai nanti di saat ragaku
Sudah tidak bernyawa lagi
Dan menutup mata ini untuk yang terakhir

Setiap nafasku (setiap nafasku)
Hembuskan namamu (hembuskan namamu)
Sumpah mati (sumpah mati)
Hati ingin memilihmu (ku milikmu)
Dalam hidupku oh sayang
Kau segalanya untukku ooh

Janganlah jangan kau sakiti cinta ini
Sampai nanti di saat ragaku
Sudah tidak bernyawa lagi
Dan menutup mata ini untuk yang terakhir
Oh tolonglah jangan kau sakiti hati ini
Sampai nanti di saat nafasku
Sudah tidak berhembus lagi
Karena sungguh cinta ini cinta sampai mati

Tolonglah jangan kau sakiti cinta ini
Sampai nanti aku tidak bernyawa lagi
Dan menutup mata ini untuk yang terakhir
Oh tolonglah jangan kau sakiti hati ini
Sampai nanti di saat nafasku
Sudah tidak berhembus lagi
Karena sungguh cinta ini cinta sampai mati
Cinta sampai mati

Friday, December 21, 2012

Watak seorang janda Muslimah dalam Teratak Shamsiah


Pada waktu dan ketika ini, aku sedang menonton cerekarama yang telah dimuatnaik di lelaman Youtube.

Cerekarama yang menarik dan ternyata aku tertarik.

Dalam cerekarama ini, Rita Rudaini melakonkan watak seorang janda muslimah bernama Shamsiah yang berusaha menghidupkan dewan muslimah di surau kawasan rumah yang baru sahaja dihuni.

Sebenarnya, aku tertarik untuk menonton cerekarama ini kerana permulaan cerita ini dimulai dengan lagu Maher Zain.

Lagu itu yang telah menarik perhatianku.

Jasmin Hamid yang memainkan watak seorang datin 'vogue' yang angkuh bernama Datin Sally iaitu pemilik sebuah kelab spa tidak kurang menarik!



Thursday, December 20, 2012

Sebuah lagi filem Hanung Bramantyo

Pada waktu dan ketika ini, aku sedang menonton sebuah filem arahan seorang pengarah Indonesia yang paling aku kagumi iaitu Hanung Bramantyo.

Filem ini berjudul Tanda Tanya (?).





Friday, November 30, 2012

Rapuh


Rapuh.

Sebab itulah, si tuan terlalu berhati-hati sebelum menyerahkannya kepada seseorang yang akan bertakhtah sebagai pemegang amanah.

Namun, jika tersilap menyerahkannya kepada insan yang tidak menghargai, maka kerapuhan itu akan pecah berderai apabila dihempas begitu sahaja seolah-olah kerapuhan itu tidak punya nilai apa-apa.

Pengalaman telah menginsafkan.

Penyerahan itu sewajarnya hanya untuk seseorang yang bergelar zauj setelah termetri ikatan yang sah di sisi Pemilik hati.

Namun, pengalaman juga tidak menafikan bahawa ikatan yang sah bukan jaminan bahawa kerapuhan itu tidak akan mengalami kepecahan.

Adakala tsunami ujian boleh sahaja melanda rumahtangga apabila zauj yang ditakdirkan bukanlah pemegang amanah yang layak.

Atas dasar itu, pengalaman telah mendewasakan agar berhati-hati selalu....

Namun, dalam berhati-hati, si tuan tidak seharusnya membutakan mata hati terhadap si pemegang amanah yang layak.

Sejauh 12 episod Adam & Hawa

Sejauh 12 episod aku menonton drama bersiri Adam & Hawa melalui lelaman video Dailymotion, hatiku tidak tertarik langsung dengan watak-watak dalam cerita ini yang tipikal dan menjemukan.

Jalan cerita cinta yang tipikal dan membosankan.

Namun, oleh sebab ramai yang tertarik dengan drama bersiri ini, aku akan cuba untuk bertahan dengan penontonanku.

Mungkinkah aku akan terpana dengan cerita cinta Adam & Hawa ini?

Aku yakin tidak tetapi aku akan.... teruskan menonton.

Suatu masa dahulu, begitu ramai yang tertarik dengan drama bersiri Adam Maya tetapi citarasaku melawan arus.

Cerita cinta masyarakat kita.... haiz.


7 bulan kemudian: Kejujuran menzahirkan kebenaran


Gambar ini dipetik menggunakan kamera telefon bimbit Nokia C6 ku pada Jumaat 20 April 2012.

Suatu perkara yang bersejarah telah berlaku pada tarikh tersebut.

Sejarah yang pedih untuk dikenang kerana telah menyebabkan aku berasa sedih.

Sejarah yang tidak pernah dipinta akan berlaku tetapi telah dijadualkan terjadi pada 20 April 2012 itu.

Namun, 7 bulan kemudian iaitu pada Selasa 27 November 2012, berlaku satu lagi peristiwa yang sangat berkait rapat dengan sejarah 20 April 2012.

Terlalu berkait rapat hingga aku termangu dalam ketakjuban kerana susun atur perkara demi perkara ini ternyata mempunyai kemanisan dalam kepahitan.

Aku akui aku bahagia apabila kejujuran hati dalam menyatakan rasa hati daripada dirinya sendiri bertandang tanpa dirancang.

Apatah lagi, rasa hati yang dikongsi itu adalah sesuatu yang tidak pernah diduga setelah aku terluka pada 20 April 2012 bahkan sebelum itu.

Walaupun luka telah pulih bersama aliran waktu yang berlalu, pernyataan jujur 7 bulan kemudian adalah nikmat untuk hati yang berbunga-bunga pada ketika itu hingga aku juga menyatakan rasa hatiku.

Mengimbas peristiwa 20 April 2012 apabila aku mendapat panggilan yang tidak diduga pada awal pagi yang memintaku ke APM, aku tanpa berfikir panjang dan tanpa berfikir dua tiga kali, terus bersiap-siap untuk memenuhi permintaan itu.

Bagai disambar petir, kemudian aku dimaklumkan tentang suatu perkara yang menduga perasaan namun perlu aku hadapi perkara pada waktu itu dengan senyuman di bibir.

Kejujurannya menzahirkan kebenaran yang pahit itu tetap perlu ditelan sama ada dalam keadaan aku bersedia mahupun tidak.

(Mungkin pada zahirnya aku tidak meminta untuk mengetahui duduk perkara tetapi persoalan demi persoalan yang bermain di fikiran sebelum ini sebenarnya telah terjawab dengan kejujurannya itu.)

Namun, tidak aku nafikan betapa kejujuran yang tidak kupinta itu menzahirkan kebenaran yang memilukan perasaan.

Hati remuk.

Jiwa berkecamuk.

Hanya Tuhan yang tahu betapa aku terluka hingga aku menghabiskan masa di Perpustakaan Utama untuk mengumpulkan kekuatan dan mengalihkan perhatian dengan melaksanakan tugasan Sosiolinguistik pada waktu itu.

Apabila aku pulang ke bilik di asrama, aku membisu tanpa bicara kerana perkara yang menduga perasaanku masih bermain-main di minda.

Aku masih ingat... Khairiyyah, teman sebilikku perasan akan sikapku yang tidak seperti biasa.

Kurang bercakap dan hilang ceria.

Puncanya adalah perkara itu...

Akhirnya, aku berkongsi jua dengan Khairiyyah tentang duduk perkara setelah semalaman sejak peristiwa itu (jika tidak silap), aku menjeruk perasaan dan menghadam maklumat yang disampaikan kepadaku.

Namun, 7 bulan kemudian...

Kejujuran telah menzahirkan kebenaran yang tidak pernah kuduga bertandang hingga aku tersenyum dalam kebahagiaan.

Terima kasih Tuhan.

Aku mengirim pesanan ringkas Whatsapp kepada Khairiyyah tentang perkara ini dengan menyatakan bahawa aku telah beroleh kebenaran yang tidak pernah aku ketahui sebelum ini daripada dirinya sendiri.

Jumaat 23 November 2012: Shawl, jaket, seluar dan dres labuh

Jumaat lalu pada tarikh 23 November 2012, aku gembira kerana berbelanja besar di Geylang Serai.

Bermula perbelanjaanku di Melati Moda, tingkat dua Kompleks Joo Chiat dengan membeli dua helai shawl.

Matlamatku berbelanja memang untuk mendapatkan shawl berwarna ungu.

Apabila terpandang shawl dijual dengan harga $5 sehelai, tentulah tertarik.

Apatah lagi pilihan yang disediakan pula menarik.

Melati Moda, tingkat dua Kompleks Joo Chiat adalah butik yang kerap kulazimi.

Kemudian, ke tingkat tiga Kompleks Joo Chiat.

Jaket putih dengan harga $25 kubeli sedangkan jaket hitam yang telah kubeli di Masjid India pada bulan Ramadhan lalu belum lagi kupakai.

Seterusnya, berbelanja besar di Butik Aurah.

Menghabislan $205 dengan dua helai dres labuh, sehelai seluar dan sekeping kad keahlian.

Menghabiskan banyak masa di butik ini kerana mencuba berhelai-helai pakaian yang disarankan oleh pemilik butik terutama sekali ibu kepada pemilik butik itu.

Akhir sekali, aku ke Kompleks Tanjong Katong untuk memenuhi matlamat sebenar aku berbelanja iaitu mendapatkan dres labuh berwarna merah jambu yang kuidam-idamkan sejak bulan Syawal yang lalu.

Dres labuh yang kuhajatkan itu terdapat di Butik First Lady.

Harga dres labuh ini adalah $24.95.

Oleh sebab dres ini terlalu labuh pula, aku telah meminta ibu menghantar dres ini ke kedai jahit untuk disingkatkan dan khidmat ini berharga $6.

Mahal!!!!!

Walaupun berpuas hati dengan perbelanjaanku yang sebenarnya bermatlamatkan kepada sehelai shawl berwarna ungu dan sehelai dres labuh berwarna merah jambu yang aku idami sekian lama, akhirnya perbelanjaanku mencecah $270 kerana membeli pakaian lain yang tidak dimatlamatkan.

Alhamdulillah.

Aku gembira kerana kesemua pakaian yang aku beli mempunyai reka cipta yang unik dan menarik.

Aku tidak dapat paparkan gambar shawl, jaket dan dres labuh yang aku beli dalam posku ini kerana hingga ke hari ini, aku masih tidak tahu cara mengirim gambar-gambar dari telefon bimbit Samsung itu ke komputer riba Acerku ini.

Hmmm.....

Wednesday, November 28, 2012

Berakhir penontonanku: Rahsia Hati

Berakhir sudah penontonanku terhadap drama bersiri Rahsia Hati.

Tajuk 'Rahsia Hati' bukan sekadar tajuk melainkan bersebabkan organ hati yang didermakan secara rahsia oleh watak Syamir kepada teman karibnya, watak Ammar yang hampir mati setelah ditembak pada hari pernikahannya dengan wanita yang menjadi idaman kedua-dua watak iaitu watak Kamelia.

Terdapat babak-babak yang memilukan hati dalam drama bersiri ini terutama sekali tentang hubungan kekeluargaan, hubungan kasih sayang selain daripada hubungan percintaan.

Antara perkara yang menyayat hatiku adalah hubungan insan dengan Pencipta yang boleh dikatakan begitu longgar sedangkan hubungan percintaan antara insan terlalu selalu dijadikan isu utama hingga dalam cerita ini, paparan hubungan kekeluargaan yang rapuh dan porak-peranda menghibakan hatiku sebagai penonton.

Drama sebagai alat yang paling berkesan untuk mendidik dan membimbing masyarakat belum lagi dimanfaatkan ke tahap maksimum sehingga paparan hubungan kekeluargaan yang rapuh dan porak-peranda tidak dapat dikaitkan kepada sebab-musabab yang sangat berkait rapat dengan hubungan insan dengan Pencipta.

Pencipta kita adalah Pemilik hati kita.

Mana mungkin hati dapat menyintai, mengasihi dan menyayangi selagi Pemilik hati tidak diutamakan dalam kehidupan.

Aku kagum dengan hubungan kasih sayang antara sepasang rakan karib iaitu watak Syamir dan watak Ammar terutama sekali keprihatinan watak Ammar terhadap watak Syamir.

Watak Ammar yang tenang dan penyabar memikat hati.

Rahsia hatiku.

Lagu tema drama Rahsia Hati: Datanglah



Datanglah - Faizal

Apa benar kata-kata
Datang dari mereka
Tak bisa kulihat
Cuma ku merasa

Jika benar kau bersedih
Aku turut merasa pedih

Sesalan pun tiba
Ku hanya berdoa

Datang mimpi menyentuh jiwa
Bisik padaku cara menyinta
Begitu lama masa yang tersia
Kini jelas ku yang merana

Datanglah… datanglah
Itu tinta pena dariku
Datanglah ohhh… pintaku
Hati nuraniku
Pohon kemaafan darimu

Datang mimpi menyentuh jiwa
Bisik padaku cara menyinta
Begitu lama masa yang tersia
Kini jelas ku yang sengsara

Lagu ini merupakan lagu tema bagi drama Rahsia Hati.

Dalam stanza kedua lagu ini, aku amat menyukai baris pertama dan kedua iaitu 'Jika benar kau bersedih, Aku turut merasa pedih'.

Walaupun lagu ini tidak begitu aku minati dan penyanyi lagu ini langsung tidak aku kenali, namun apabila diperdengarkan akan lagu ini berulang-ulang kali, sedikit sebanyak terpengaruh juga.

Friday, November 23, 2012

Rahsia Hati lakonan Arash Mohd dan Watie Sadali

Aku sedang mengikuti drama bersiri Rahsia Hati yang dibintangi Aaron Aziz dan jelitawan Rita Rudaini menerusi klip video yang dimuat naik di Youtube.

Walaupun pelakon utama drama bersiri ini adalah Aaron Aziz yang memegang watak Shameer, aku lebih meminati watak Ammar yang dimainkan oleh Arash Mohd.

Watak Ammar yang dipaparkan menerusi Episod 1 memperlihatkan watak seorang sahabat yang mengambil berat.

Mengambil berat terhadap watak Kamelia iaitu rakan sekerjanya yang mengalami masalah di tempat kerja kerana tidak dapat menepati sasaran keuntungan syarikat.

Pelakon utama bagi drama bersiri ini di samping Aaron Aziz adalah Rita Rudaini yang memegang watak Kamelia.

Watak Sarah iaitu setiausaha syarikat Ammar yang dipegang oleh Nurul Wahab manakala watak Nadia iaitu adik tiri Ammar yang dimainkan oleh Watie ternyata mampu menambat hatiku.

Watak Sarah yang menyimpan perasaan terhadap Ammar boleh dikatakan menyejukkan mata.

Lemah lembut dan kurang keyakinan diri.

Watak Nadia yang manja, keanak-anakan dan rosak akhlak adalah watak tipikal yang terlalu selalu dipegang oleh Watie.

Watak sebegitu sudah terlalu selalu dimainkan oleh Watie.

Walau bagaimana pun, beliau sentiasa berjaya menghidupkan watak sebegitu.

Sejauh ini, aku tidak pernah bosan dengan lakonan Watie Sadali yang menghiburkan.

Drama bersiri Rahsia Hati mempunyai elemen komedi sejak dari Episod 1 lagi.

Kini aku sedang menonton Episod 2 sambil menaip pos di blogku.

Pagi semalam ketika mata enggan tertutup lena, aku telah menonton drama bersiri ini bermula daripada Episod 31, diikuti dengan Episod 30.

Aku menyambung penontonanku dengan Episod 29.

Penontonan songsang.

Akhirnya, aku memulakan penontonan daripada Episod 1.

Rahsia Hati.

:)




Tuesday, November 20, 2012

MilikMu itu bukan untukku...


'Jejak-jejak langkahku bagaikan lembaran waktu
Apakah ku masih bisa terus melangkah
Serpihan hidupku kan kubangun
Di atas satu cinta

Subhanallah... aku mencintainya
Subhanallah... aku menyayanginya
Dari ufuk timur hingga ke barat
Selalu di hatiku'

(Lirik lagu Di Atas Satu Cinta nyanyian Indah Dewi Pertiwi)

Sunday, November 18, 2012

Filem yang sedang ditontoni setelah Aku, Dia dan Tong Sampah: Janji Jujur Sepi

Pada petang tadi, aku telah menonton filem yang dibintangi Beto Kusyairy dan jelitawan Siti Saleha iaitu filem Aku, Dia Dan Tong Sampah.

Filem itu mampu membuat aku bergelak ketawa.

Terdapat beberapa pengajaran daripada mesej-mesej ringkas yang bermakna daripada filem itu.

Menarik untuk ditonton dengan dialog yang bersahaja dan realistik.

Namun, filem itu tidak begitu berbekas di hatiku untuk aku minati.

Tidak menyentuh jiwaku meskipun mengandungi elemen romantik.

Tidak begitu menyerlah meskipun mengandungi elemen komedi.

Kini, aku sedang menonton filem Janji Jujur Sepi yang dibintangi Beto Kusyairy sekali lagi dan seorang lagi jelitawan yang amat aku minati iaitu Neelofa.



20 minit pertama berjaya mencengkam perhatianku terutama sekali dialog antara watak-watak dalam dua babak ini:

*Dialog pertama*

"Saya tahu. Nanti awak pun tinggalkan saya. Macam Papa. Macam Jo."

"Awak, saya ni tak ada sebab nak tinggalkan awak."

"Janji?"

"Janji?"

"Takkan tinggalkan saya."

.......

"Janji?"

(Tidak berjawab)


*Dialog kedua*

"Tengah-tengah malam ni bukan selamat pun."

"Bukan tempat ni. Danny yang buat dia rasa selamat."


Walaupun Beto Kusyairy bukan seorang pelakon yang kacak seperti Aaron Aziz yang cukup popular di Malaysia dengan watak-watak hero yang dibawa, namun bakat lakonan Beto Kusyairy yang baik dan bersahaja itu boleh dikatakan menyaingi Aaron Aziz.

Aku yakin bahawa filem Janji Jujur Sepi ini lebih bagus daripada Aku, Dia dan Tong Sampah.

Filem yang sedang ditontoni: Aku, Dia dan Tong Sampah

Aku sedang menonton filem yang boleh dikatakan amat menarik di Youtube iaitu filem Aku, Dia dan Tong Sampah.

Apabila aku membaca sinopsis tentang filem ini, filem ini dideskripsikan sebagai genre romantik komedi.

Bagi penggemar filem bergenrekan romantik komedi, sudah tentu aku tertarik untuk menontonnya.

Bahkan pelakon lelaki yang aku minati dek bakatnya yang terserlah melalui drama bersiri Juvana dan filem Jujur Aku Dayus memegang watak utama dalam filem Aku, Dia dan Tong Sampah ini.

Beliau yang dimaksudkan ialah Beto Kusyairy.

Setelah aku mainkan filem ini, aku terus terpana kerana tidak menjangkakan bahawa pelakon wanita yang juga memegang watak utama dalam filem ini ialah Siti Saleha yang ternyata amat aku minati kerana kejelitaannya yang mempesonakan.

Dia bukan sekadar jelita tetapi mampu berlakon dengan baik.

Pandanganku terhadap kejelitaan dan bakatnya berdasarkan drama bersiri Nora Elena dan Ustaz Amirul yang pernah aku tontoni semasa zaman pengajianku.

Dua pelakon utama yang aku minati berlakon dalam filem ini.



9 minit pertama menonton filem ini berjaya menarik perhatianku untuk terus menonton.

Namun, takdir telah menentukan bahawa video ini sedang mengalami masalah teknikal yang tidak dapat aku atasi.

Masih sedang mencuba dan berusaha untuk terus menonton filem ini.

Video terhenti ketika babak Sharnaz (Siti Saleha) berjaya mendapatkan semula surat cinta lamanya dari tong sampah manakala Amir (Beto Khusyairy) pula dengan senang hati membuang surat cinta lamanya ke dalam plastik sampah.

Video terhenti pada minit 9:02.

Aaarrrrggghhhh.

Suatu masa dahulu: Guru kelasku

Sekolah Rendah Bedok North

Darjah 1: Mr Bahrin
Darjah 2: Mr Bahrin
Darjah 3: Mrs Wee Joo Lun
Darjah 4: Mr Sridar
Darjah 5: Mrs Tan Hee Peng
Darjah 6: Miss Yap


Sekolah Menengah Bedok South

Menengah 1: Miss Muna
Menengah 2: Mr Ng
Menengah 3: Mrs Carol Khan
Menengah 4: Mdm Aishah Kassim

Suatu masa dahulu: Novel untuk mata pelajaran Sastera (Inggeris)


The War With Grandpa adalah novel yang telah ditentukan untuk mata pelajaran Sastera (Inggeris) ketika aku berada dalam menengah satu. Cerita yang menarik tentang emosi tidak puas hati seorang remaja lelaki yang perlu berpindah daripada biliknya semata-mata untuk datuknya. Pengorbanan yang tidak mampu dilakukan dengan keikhlasan telah menyebabkan dia berdendam dengan datuknya. Maka, tercetuslah konflik demi konflik ketika mereka tinggal sebumbung.

***** Tahniah kepada penulis atas novel yang bagus dan menarik ini!




Charlotte's Web adalah novel yang telah ditetapkan untuk mata pelajaran Sastera (Inggeris) ketika aku berada dalam menengah dua. Cerita yang menarik tentang persahabatan antara seekor khinzir dan seekor labah-labah. Dalam usaha menyelamatkan nyawa si khinzir daripada disembelih, si labah-labah telah menghulurkan pertolongan yang kreatif (meskipun tidak logik) iaitu mencipta kata-kata positif hari demi hari tentang si khinzir di sarang labah-labahnya. Maka, terselamatlah si khinzir daripada disembelih kerana peristiwa yang luarbiasa itu telah menyebabkan masyarakat memberi perhatian kepada si khinzir.

*** Tahniah kepada penulis atas novel ini!

Friday, November 9, 2012

Penantian - Zubir Ali





Berapa lama mesti kunanti
Sinar cahaya matamu
Gemerlap bagai bintang
Menghiasi malam
Malam yang menutup diriku

Berapa lama perlu kutunggu
Lontaran suara dari bibirmu
Memecah hening taman
Taman syurgawi
Pada sebuah hati yang sepi

Penantian suatu siksa
Yang tidak tertanggung
Oleh tubuhku yang kering dan layu

Kepastian suatu penawar
Dalam suka dan duka
Yang meniti hidupku

(Aku mainkan lagu ini setelah beberapa kali menonton klip video di Youtube yang memaparkan dendangan Raju Azura (K E), Salleh Yaakob (S Y) dan Khairil Rashid (Krill) iaitu tiga orang deejay Sinar FM yang ketika itu sedang bersama dengan Ajek Hassan di dalam konti. Aku pun tidak pasti siapa Ajek Hassan. Walau apa pun, dia mempunyai suara yang lunak dan boleh bermain gitar. Keletah ketiga-tiga deejay dengan sumbangan mereka ternyata tidak mengecewakan bahkan menghiburkan hati.

Kemudian, aku dengar lagu ini yang dinyanyikan oleh Zubir Ali menerusi klip video di Youtube. Lagu yang indah. Meskipun kesayuan, ada ketenangan pada lagu ini.

Beberapa ketika yang lalu, aku pernah menonton klip video di Youtube yang memaparkan Siti Nurhaliza di atas pentas mendendangkan lagu Penantian yang mengasyikkan ini.

Saksikan ketiga-tiga klip video ini yang kupaparkan dalam posku kali ini.)





Wednesday, November 7, 2012

takut

Sama ada aku harus memilih atau mencari teman hidup, satu ciri yang jarang kutemui meskipun pernah bertemu dengan insan yang memilikinya ialah ciri ini.... takut.

Takut bukan bermaksud penakut.

Apakah yang dimaksudkan dengan takut?

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1578 - 1579), perkataan 'takut' ditakrif seperti berikut:

(1) gentar (gerun, ngeri) menghadapi sesuatu yang dianggap boleh membahayakan diri
(2) berasa segan dan hormat, takwa
(3) berasa bimbang (ragu-ragu, khuatir), gelisah
(4) tidak sanggup (menghadapi bahaya, menanggung derita, dll), tidak berani, kecut

Takut yang bertunjangkan tauhid bukanlah takut yang memperlihatkan sisi negatif melainkan takut yang menjangkau jauh hingga ke masa hadapan ketika perlu menghadapkan diri kepada Pencipta dan Pemilik seluruh alam semesta.

Hinggakan gentar, gerun dan ngeri menghadapi hidup yang diinsafi penuh dengan tanggungjawab.

Lantas, jika tidak menjalankan tanggungjawab itu sepanjang hidup di sini, kelak di sana bahaya pula akan menimpa diri.

Mana mungkin tidak bimbang, ragu-ragu, khuatir dan gelisah andai tanggungjawab tidak ditunaikan dengan sepenuh hati dan sesungguh hati.

Sanggupkah menghadapi bahaya dan menanggung derita di sana kelak?

Beranikah kita?

Pasti kecut bukan?

Namun, apabila soal takut yang bertunjangkan tauhid ini tidak dibincangkan dan tidak diperingatkan, maka soal takut yang bertunjangkan tauhid ini tidak akan menyinggahi minda dan perasaan.

Sedangkan dalam melaksanakan apa jua tanggungjawab, andai tanpa rasa takut bertunjangkan tauhid, di situlah terlihat hasil yang mengecewakan.

Anak yang tidak mempedulikan nasib ibu bapanya.

Abang yang tidak mengurus keperluan adik-adiknya.

Adik yang tidak memberi perhatian kepada anggota keluarganya yang lain.

Suami yang tidak memimpin isteri agar takut kepada Pencipta.

Ayah yang tidak membentuk pemikiran dan perilaku agar anak-anaknya berperibadi.

Individu yang tidak menjaga diri demi memperhambakan diri kepada Pencipta.

Sebelum aku mempersoalkan tentang takut dalam diri orang lain, aku perlu menyoal diriku sendiri terlebih dahulu....

Apakah aku takut?

Takut bertunjangkan tauhid dalam melaksanakan tanggungjawabku.

Apakah hatimu takut wahai Nuraini?

Renung-renungkanlah setiap satu perkara yang dilakukan sepanjang hari sejurus celik matamu dan sebelum terlena.

Sepanjang hari, sepanjang bulan, sepanjang tahun, sepanjang hidup....

Takutkah aku?

Sebelum aku memilih atau mencari teman hidup yang punyai ciri takut, aku perlu terlebih dahulu menemukan dalam diriku sendiri dan berusaha memilikinya iaitu... takut.

Takut bertunjangkan tauhid.

Segan untuk berbuat sesuka hati sedangkan Dia Maha Memerhati.

Hormat setiap perintah dan laranganNya kerana hidup ini milik Dia sepenuhnya.





Aku belum sebenar-benar takut.

Takut bertunjangkan tauhid.

Tuesday, November 6, 2012

Kepala yang berat. Hati yang berat.

Bangkit daripada tidur dengan kepala yang berat.

Haruskah aku ke klinik?

Aku fikir aku perlu ke klinik.

Aku fikir aku ingin berehat dengan mengambil cuti sakit.

Namun setelah difikir-fikirkan, aku fikir aku perlu gagahkan diri untuk ke tempat kerja.

Setelah aku mandi, kepala yang berat kian ringan.

Aku ke tempat kerja jua dengan hati yang berat.

Walaupun cuti sekolah bagi pelajar sudah bermula, guru-guru perlu melaporkan diri pada jam 8 pagi dan dibenarkan pulang pada jam 12 tengah hari.

Reviu kerja perlu dilaksanakan.

Mesyuarat-mesyuarat perlu dihadiri.

Kursus-kursus perlu dijalani.

Aktiviti ko-kurikulum perlu diselenggarakan.

Bahan pengajaran dan pembelajaran bagi jabatan perlu dikemas dan disusun.

Begitulah hingga kerja-kerja lain pula akan menyusul pada 16hb dengan 'Home Coming Dinner' dan 22hb - 24hb Nov dengan 'School Open House'.

Beratkah?

Bukan kerja yang berat tetapi .............. sendiri mahu ingat!

Dalam hidup, kita perlu bekerja!

Tidak kira sama ada kepala yang berat atau hati yang berat sekalipun kerja yang berat!

Seluruh jasad bagaikan telah terikat dengan tanggungjawab ini.


Sunday, November 4, 2012

Annisa: Perempuan Berkalung Sorban


Nisa mahu kuliah! Bukan nikah!

Syurga menurut janji Allah ada di bawah telapak kaki kita.... perempuan.

Mahu jadi apa pun kalian nanti, pilihlah jalan Allah dengan rasa bebas.

Kita adalah perempuan yang hidup dalam kondisi yang tidak seimbang.

Aku mainkan trailer Perempuan Berkalung Sorban ini berulang-ulang kali untuk membakar semangatku.

Mana mungkin air mata ini tidak mengalir menyaksikan penderitaan dan perjuangan hidup seorang Annisa sejak dari kecil hinggalah menjadi janda buat kali kedua dengan status ibu tunggal.

Bahagia hanya mengetuk pintu hatinya dan bertamu di kamar hatinya buat seketika.

Namun, dia terus hidup dengan nyalaan semangat yang membakar untuk terus memilih jalan Allah dengan rasa bebas meskipun hidup tidak berpihak kepadanya dalam banyak perkara.

Subhanallah.

Semoga wanita seperti Annisa dipandang Allah dengan penuh belas kasihan serta kasih sayang yang berlimpahan.

Saturday, November 3, 2012

Antara Cinta Dengan Cemburu


Antara cinta dengan cemburu.

Berdasarkan pengalaman sendiri, maka benarlah bahawa seorang wanita sanggup menyembunyikan rasa cintanya terhadap seorang lelaki untuk bertahun-tahun lamanya.

Berdasarkan pengalaman sendiri juga, maka benarlah juga bahawa seorang wanita tidak mampu menyembunyikan rasa cemburunya terhadap lelaki yang dicintainya walau sesaat sekalipun.

Cinta ibarat bangunan yang memerlukan masa untuk dibina manakala cemburu laksana tsunami yang mampu meruntuhkan dalam sekelip mata.

Atas dasar itu, rasa cinta kepada seorang lelaki perlu didasari dengan rasa cinta kepada Pemilik Cinta agar rasa cinta itu dapat dikendalikan.

Manakala rasa cemburu yang melanda apabila menyaksikan lelaki yang dicintai memberi perhatian kepada wanita lain atau mendapat perhatian daripada wanita lain pula perlu didasari dengan rasa ......

Hmm.

Sejujurnya, aku pun tidak tahu apakah jawapan yang tepat bagi mengendalikan rasa cemburu seorang wanita kerana aku adalah seorang wanita.

Tuesday, October 30, 2012

Seni Muzik Melayu Tradisi: Gong

Definisi Gong

 
Gong berdasarkan pengetahuan penulis ialah sejenis alat bunyian jenis idiofon yang wujud sejak zaman Melayu tradisi. Namun, definisi yang lebih tepat tentang gong hendaklah berdasarkan rujukan yang autentik. Lantas, tiga buah kamus, sebuah ensiklopedia dan lima orang tokoh telah dirujuk untuk mendapatkan definisi atau pengertian tentang gong.

Kamus Lengkap (1990: 310) telah mentakrif gong sebagai sejenis alat bunyian seperti talam besar yang dibuat daripada logam dan dipukul untuk dibunyikan. Selain daripada itu, Kamus Besar Bahasa Melayu (2002: 552) pula menyenaraikan beberapa nama lain untuk gong iaitu canang besar, mungmungan, kemung dan kenung manakala gong kecil pula diberi nama canang, bende, bendir, mungmung, tawak-tawak, celempong, telempong dan geloneng.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 481) mendefinisikan gong sebagai canang besar atau sejenis alat bunyi-bunyian daripada logam yang bertombol dan dibunyikan dengan dipalu. Kamus Dewan Edisi Keempat turut merakamkan fungsi dua jenis gong iaitu gong pelaung dan gong pengerah. Gong pelaung berfungsi sebagai gong yang dibunyikan untuk memanggil manakala gong pengerah pula berfungsi sebagai gong untuk menghimpunkan atau mengerahkan askar-askar, pekerja-pekerja dan lain-lain. Ternyata, gong bukan sekadar sejenis alat muzik Melayu tradisi. Sebenarnya, gong mempunyai fungsi sosial yang cukup penting. Fungsi sosial yang dimaksudkan adalah menarik dan mendapatkan perhatian golongan tertentu dengan tujuan tertentu pada waktu tertentu.

Sebuah ensiklopedia berjudul ‘Encyclopedia of Percussion’ oleh John H Beck (2007: 33) menyenaraikan tujuh belas jenis gong. Pada dasarnya, gong diperikan sebagai alat perkusi berbentuk bulat dan diperbuat daripada logam. Namun, terdapat gong yang leper, melengkung atau berbonjol. Gong tentunya akan digantung dan dipalu pada bahagian tengah dengan pemukul gong yang lembut permukaannya. Deskripsi yang diberikan oleh John H Beck terakam seperti berikut

 

“Gong is a circular metal percussion disk having a definite or indefinite pitch. It may be flat, curved, have a central boss, curved or flat edges, is hung vertically, and is hit in the center by a soft beater.”

 
Rahmah Bujang (2008: 59-60) dalam ‘Glosari Kesenian Melayu: Seni Visual & Seni Persembahan’ memerikan gong sebagai alat muzik tabuh jenis idiofon yang diperbuat daripada logam. Rahmah Bujang menggambarkan gong seperti mangkuk besar leper yang dalam dan mempunyai cembul di bahagian tengahnya sebagai tempat yang akan dipalu. Menurut Rahmah Bujang lagi, gong dimainkan sebagai alat muzik yang menandakan tamat sesuatu sikuan atau frasa lagu.

Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng (1999: 10) dalam ‘Pengantar Muzik Malaysia’ menyenaraikan dua jenis going iaitu gong berbonggol yang digantung dan gong yang disusun secara mendatar dalam rak kayu. Kedua-dua jenis gong ini adalah di antara alat-alat muzik yang terdapat dalam gamelan Jawa iaitu sejenis muzik yang mengiringi seni lakon Melayu tradisi iaitu wayang kulit Jawa. Gong-gong berbonggol yang digantung dikenali sebagai gong agung, gong suwukan dan kempul manakala gong-gong yang disusun secara mendatar dalam rak kayu dikenali sebagai ketuk, kenong dan bonang. Lantas, dapat dibezakan secara langsung bahawa terdapat dua jenis gong yang dimainkan dalam gamelan Jawa. Perbezaan ini dapat dikenal pasti hanya dengan melihat kedudukan gong itu sendiri sama ada yang digantung atau diletakkan secara mendatar.

Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng (1997: 8) pula dalam ‘Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan Sinkretik’ mendeskripsikan alat-alat orkestra wayang Jawa yang terdiri daripada beberapa gong gangsa. Gong gangsa yang dimaksudkan ialah tetawak, mong dan canang. Selain daripada wayang Kulit Jawa dan wayang Jawa, Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng (1997: 7) juga telah menyatakan tentang penggunaan ‘gong-chime’ atau mong dalam wayang gedek iaitu sejenis wayang kulit yang berasal dari Thai. ‘Gong-chime’ atau mong dikatakan terdiri daripada dua gong berbonggol yang diletak mendatar dalam sebuah kotak kayu. Sebenarnya, instrumen mong yang dimainkan dalam orkestra wayang Jawa dan instrumen ‘gong-chime’ atau mong dalam orkestra wayang gedek merujuk kepada instrumen bonang dalam orkestra wayang kulit Jawa.

Aliman Hassan (2007: 33) pula merakamkan tentang dua jenis saiz gong iaitu gong besar dan gong kecil dalam buku beliau ‘Sanggan Budaya’. Menurut Aliman Hassan lagi, gong diperbuat daripada gangsa yang dicampur timah manakala gong besar diperbuat daripada tembaga kuning. Di tengah-tengah gong ditonjolkan sedikit (timbul) untuk dipalu bagi mengeluarkan bunyi. Gong digantung agar bunyinya berdengung.

Seorang pemblog[1] iaitu Syed Mahadzir Syed Ibrahim telah merakamkan kajian beliau tentang satu lagi jenis gong yang dikenali sebagai tetawak. Aliman Hassan (2007: 33) pula menyebut tawak-tawak. Menurut pemblog, tetawak biasanya digantung dan bahagian busut pada tetawak itulah yang dipalu. Tetawak dipalu untuk mendapatkan perhatian masyarakat kampung sekiranya berlaku kejadian-kejadian tertentu di dalam kampung seperti hal kematian, hal pencerobohan atau panggilan untuk bergotong-royong.

 
Latar Belakang Ringkas Tentang Gong

Gong merupakan sebuah alat bunyian yang ditemui kebanyakannya di Asia Tenggara. Gong mula-mula diketahui kewujudannya di tanah besar Cina pada abad ke-6. Namun, gong yang ditemui seawal itu berbentuk leper seperti talam yang diperbuat daripada gangsa. Kemudian, gong dicipta seperti bentuk mangkuk besar dan mendalam. Permukaan gong melengkung dan berbonjol di tengah. Pemerian tentang gong yang paling awal ditemui telah dirakam dalam buku ‘Musical Instruments Of The World’ oleh Ruth Midgely (1997: 106) seperti berikut   

 

“Found most commonly in Southeast Asia, the gong was known in China in the 6th century AD. The earliest examples were flat bronze plates although many later gongs have a bulging surface or a raised central boss.”


Pada awalnya, gong tidak digunakan sebagai alat muzik melainkan sekadar sebagai talam untuk mengisi air agar kegiatan mencuci dapat dijalankan. Begitulah yang tercatat dalam buku yang ditulis oleh James Blades (1971: 93)

 

“‘The lo or what the Javanese in imitation of the sound call a gong, was at first nothing more than a platter for washing, or other similar purposes.”

 
Namun, penggunaan gong menjangkau lebih daripada sebuah talam besar untuk kegiatan mencuci apabila potensi gong sebagai alat bunyian dikenal pasti. Ternyata gong yang berbentuk seperti mangkuk besar dan mempunyai kedalaman mampu menghasilkan bunyi yang berkualiti. Begitu juga dengan permukaan gong yang melengkung. Semakin mendalam dan semakin melengkung sesebuah gong, semakin jauh gelombang bunyi yang mampu merambat di udara. Dari aspek saiz gong pula, lebih besar sesebuah gong yang dipukul, lebih rendah nada yang dihasilkan. Manakala gong yang lebih kecil saiznya pula akan menghasilkan nada yang lebih tinggi.

 

Monday, October 15, 2012

Tanggung jawab

Apa maksud tanggung jawab?

Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita tanggung di dunia, disoal di akhirat dan mesti dijawab di hadapan Allah s.w.t kelak.

(Dipetik dari halaman 244 dalam buku Di Mana Dia Di Hatiku tulisan Pahrol Mohd Juoi)

Sunday, October 14, 2012

Aku jatuh cinta dengan K Pop

Aku telah jatuh cinta dengan genre muzik/tari K Pop.

Bukan cinta pandangan pertama tetapi cinta yang entah dari mana tiba-tiba menggila dalam jiwa.

Sebelum ini, apabila Khairiyyah, teman sebilikku yang meminati K Pop memperlihatkan klip video K Pop kepada aku, aku hanya menonton untuk memenuhi permintaannya.

Tanpa perasaan.

Sekarang ini, apabila Firda, anak muridku yang meminati K Pop memperlihatkan gambar artis K Pop kepada aku serta selalu membicarakan tentang K Pop di dalam kelas, aku hanya melayani dia seadanya agar dia tidak tersinggung.

Tanpa perasaan.

Tiba-tiba entah mengapa dan bagaimana, aku telah jatuh cinta dengan K Pop.

Dengan tidak semena-mena, aku telah jatuh cinta dengan K Pop.

Apabila Cikgu Janah menyatakan bahawa dalam budaya kita ada persembahan dikir barat dan boria untuk diperkenalkan kepada murid dan persembahan seperti ini perlu diperjuangkan, hatiku berbisik..... "Mana mungkin mereka minat dikir barat dan boria sedangkan K Pop lebih menarik hati."

Mungkin bisik hatiku tidak tepat kerana dikir barat dan boria perlu dikenali sebelum dicintai.

Namun, entah mengapa hatiku tertarik kepada K Pop.

Apatah lagi mengingatkan para pelajar lelaki yang hiper-hiper belaka dari kelas 2D.

Apakah mereka meminati dikir barat?

Mungkin.

Apakah mereka meminati boria?

Tidak mungkin.

Apakah mereka meminati K Pop.

Sudah tentu.

Walaupun aku belum pernah bertanya kepada mereka... para pelajar lelaki yang hiper-hiper belaka dari kelas 2D tentang pandangan mereka terhadap K Pop, aku sendiri telah jatuh cinta dengan K Pop.

Ingin kurakamkan gambar-gambar salah sebuah kumpulan artis K Pop perempuan dalam blog ini sedangkan semalam, aku telah mendengar salah satu syarahan Ustaz Azhar Idrus dalam Youtube yang menyatakan bahawa genre muzik/tari K Pop ini mengandungi banyak unsur haram.

Aku bersetuju dengan syarahan yang disampaikan Ustaz Azhar Idrus.... namun, cinta telah membutakan mataku.

Oleh sebab aku sedar aku perlu menjaga imej blog aku ini, aku hanya memaparkan gambar artis perempuan K Pop yang berpakaian tidak menjolok mata.





Wednesday, October 10, 2012

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu

Antara objektif pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah adalah

(1) mendengar, memahami dan menilai pertuturan dalam situasi formal dan tidak formal termasuk dalam siaran dan media massa serta memberikan respons yang wajar;

(2) bertutur dengan fasih dan jelas dengan menggunakan sebutan baku dan memberikan pendapat serta hujah-hujah yang kritis untuk pelbagai tujuan, khalayak dan situasi;

(3) membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan cetak dan bukan cetak serta bahan digital, sama ada bahan sastera atau ilmiah, dengan cekap untuk memperoleh dan memproses ilmu dan dapat mengaplikasinya dengan berkesan;

(4) menulis pelbagai teks kreatif dan bukan kreatif dengan jelas dan berkesan bagi pelbagai tujuan, khalayak dan situasi.

Friday, October 5, 2012

Menebus Kembali Kegagalan Silam



Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Ke mana harus kubawakan
Ke mana harus kusemaikan cinta ini

Betapa di bumi ini kumelangkah
Ke utara selatan timur dan barat kujejaki

Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Kuingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Kuingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan

(Lagu berjudul 'Warisan' yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman mengandungi lirik yang terlalu bermakna untuk diri ini. Atas sebab itu, lagu ini menjadi pemangkin inspirasi sewaktu tiga tahun berada di Universiti Malaya sebagai seorang mahasiswi Akademi Pengajian Melayu. Lirik lagu yang menyentap sanubari tentang betapa pedih dan perih sebuah perjuangan dalam menggapai cinta dan mencapai cita-cita.

Di sini....
Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang menjadi susur galur diriku kerana ibu dilahirkan dan dibesarkan (hingga belasan tahun) di Melaka. Ibu mendapatkan kasih sayang yang sewajarnya daripada moyang yang menetap di Melaka. Tidak mampu rasanya aku menceritakan suka duka kehidupan ibuku yang akhirnya berhijrah ke Singapura kerana suka duka itu sebenarnya meninggalkan kesan kepada jiwa ini. Subhanallah, hanya tuhan yang tahu.

Di sini....
Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang menjadi tumpuanku kerana aku menerima pendidikan tidak formal dalam mengenal diri demi mengenal pencipta diriku melalui jemaah tareqat yang aku anggotai. Lebih kurang 4 tahun berulang alik ke Malaysia kerana guru sufiku adalah kelahiran Malaysia. Jemaah tareqatnya diasaskan di Malaysia. Suka duka menempuh jalan itu dalam mengenal diri berakhir apabila aku meninggalkan jemaah itu dengan kehampaan dan kekecewaan. Namun, ilmu yang kuperolehi meskipun disampaikan menerusi pendidikan tidak formal sedikit sebanyak masih menggamit jiwa ini. Subhanallah, hanya tuhan yang tahu.

Di sini....
Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang menjadi harapanku kerana aku pernah bercinta dengan seorang insan bernama Muhammad yang dilahirkan di Selangor. Dialah cinta hatiku lebih kurang 4 tahun namun cinta itu tidak kesampaian dengan akad pernikahan seperti yang diimpikan. Suka duka yang dilalui tetap menjadi kenangan abadi bahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang kami kongsi bersama sedikit sebanyak masih sebati dan sejati di jiwa ini. Subhanallah, hanya tuhan yang tahu.

Di sini....
Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang memberi ruang dan peluang kepada aku untuk mendapatkan pendidikan formal dalam mengikuti program Sarjana Muda Pengajian Melayu yang berlangsung selama 3 tahun. Pada hakikatnya, aku ke sini bukan sekadar untuk mencari ilmu pengetahuan tetapi menagih ketenangan jiwa yang terlalu diperlukan dan menuntut kebebasan hak yang terlalu didambakan. Alhamdulillah, pada 3 Oktober 2012.... akhirnya aku bergraduasi dengan kegagalan silam aku tebus kembali di tangan kananku dengan menggenggam impianku yang telah menjadi kenyataan.

Susur galurku yang tetap ada meskipun rapuh hubungan itu, jemaah tareqat dan guru sufiku yang telah kutinggalkan, cinta hatiku yang telah terpisah dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu yang telah aku perolehi.... adalah jejak-jejak hidupku yang menginsafkan aku bahawa segala kegagalan, kepahitan, kehampaan, kekecewaan dan kekalahan yang ditempuhi terlalu banyak meninggalkan pengajaran hingga akhirnya impianku menjadi kenyataan, aku terkesima.

Bak dialog watak Annisa yang menjadi pemangkin inspirasiku dalam filem Perempuan Berkalung Sorban, "Mahu jadi apa pun kalian nanti, PILIHLAH JALAN ALLAH DENGAN RASA BEBAS."

Betapa tidak ternilai air mata dengan permata bagi mereka yang air matanya mencurah-curah dek kehidupan yang penuh dengan ranjau duri sedangkan jika ditawarkan permata berkilau-kilau, dirinya hanya memerlukan dan menginginkan ketenangan jiwa.)

Tuesday, September 25, 2012

Selasaku pagi ini. Masalah. MasyaAllah.

Sibuk.

Sebab perlu mencetak sendiri kertas peperiksaan meskipun dibimbing dan dibantu oleh mentorku.

Tertekan.

Sebab sukar menerima kenyataan bahawa guru-guru di sekolah ini perlu berada dalam bilik cetakan sewaktu proses pencetakan kertas peperiksaan berlangsung.

Lebih tertekan lagi apabila guru-guru perlu mencetak sendiri kertas peperiksaan apabila satu-satunya petugas yang bertanggung jawab mencetak kertas peperiksaan sedang membantu guru-guru yang telah terlebih dahulu mendapatkan bantuan beliau.

Bingung.

Sebab mencetak kertas peperiksaan adalah tugas yang memerlukan tumpuan, ketelitian, kesabaran, daya upaya dan masa.

Bahkan tugas mencetak tidak berhenti di situ.

Setelah kertas peperiksaan selesai dicetak, kertas itu perlu dimasukkan ke dalam mesin untuk disusun dan dikokotkan.

Akhir sekali, kertas peperiksaan yang sudah disiapkan perlu dimasukkan ke dalam bungkusan berdasarkan kelas berserta dengan penyataan yang ditulis dengan teliti.

Apatah lagi bilik cetakan yang boleh dikatakan kecil itu dikerumuni ramai guru.

Cemas.

Sebab proses menyiapkan cetakan kertas peperiksaan adakala tersangkak apabila mesin mengalami sedikit kegenjotan teknikal sewaktu mencetak atau sewaktu menyusun dan mengokot.

Letih.

Sebab 2 jam aku mengurus perihal mencetak, menyusun dan mengokot, kemudian membungkus kertas peperiksaan berdasarkan kelas.

Kemudian harus terus ke kelas untuk mengajar.

Sudah tentu aku kurang bersedia kerana keletihan dan tidak berkesempatan langsung untuk memikirkan tentang pembelajaran hari ini.

Risau.

Sebab Jumaat ini, aku perlu bertolak ke Kuala Lumpur sedangkan urusan menyiapkan kertas peperiksaan bagi Kefahaman Mendengar dan Lisan belum terlaksana.

Bahkan, masih ada lagi cetakan yang telah dilsusun dan dikokot pagi belum sempat dibungkus berdasarkan kelas.

Terkejut.

Sebab perkara ini adalah amalan yang terlalu menjenuhkan tetapi tetap perlu dilaksanakan kerana itulah cara yang dilaksanakan di sekolah ini sedangkan pengalamanku sebelum ini tidak menuntut guru untuk terlibat dalam proses mencetak kemudian menyusun dan mengokot kertas peperiksaan yang sebegitu banyak jumlahnya.

Subhanallah.

Aku menahan diriku daripada menangis kerana terkejut, risau, letih, cemas, bingung, tertekan dan sibuk pada pagi ini.

Tugasku masih belum selesai dan aku sengaja tidak menyambung tugas itu setelah dua waktu bersama pelajar 1 Ekspres dan 2 Normal Teknikal sedangkan waktu lapang itu boleh aku gunakan untuk melaksanakan tugas yang belum terselesai.

Sejujurnya, tidak termampu aku menanggung beban emosi dalam menjalankan tanggung jawab itu.

Aku perlu merehatkan diri dan menenangkan perasaan terlebih dahulu.

Masalah.

MasyaAllah.



Tuesday, September 18, 2012

Kefahaman yang diperlukan untuk memahami

Kala ini, aku berada di dalam bilik guru.

Kelas telah berakhir untuk hari ini tetapi sekolah hanya berakhir pada jam 2:25 petang.

Semenjak 29 Jun 2012, Jumaat iaitu tarikh dan hari aku melaporkan diri ke sekolah ini, bererti sudah lebih daripada 2 bulan aku berada di sini.

Ternyata, aku suka dan bersyukur berada dalam sekolah ini jika dibandingkan dengan sekolah yang pernah menjadi tempatku bertugas selama lima tahun.

Aku mula mengajar pada 2 Julai, Isnin dan itu bererti sudah lebih daripada dua bulan aku berhadapan dengan anak didik daripada golongan remaja.

5 tahun menjadi guru bagi pelajar di sekolah rendah terutama sekali pelajar darjah satu hingga darjah empat tidak sama dengan menjadi guru bagi pelajar di sekolah menengah.

Dalam perbezaan, ada persamaan.

Dalam perbezaan, ada persamaan.

Pokoknya, aku perlu hadapi cabaran ini.

Sebenarnya, cabaran ini akan memanfaatkan aku kerana aku beroleh ruang dan peluang untuk berinteraksi dengan golongan remaja yang ternyata memerlukan kemahiranku sebagai guru untuk menghadapi mereka.

Aku perlu belajar.

Aku perlu belajar lagi.

Kursus dua hari yang telah aku hadiri pada 10 dan 11 September 2012 telah mencelikkan mata akal dan mata hatiku sebagai seorang guru.

Bukan sekadar sebagai seorang guru tetapi sebagai seorang insan di muka bumi ini yang perlu mengendalikan perhubungan yang baik dengan insan lain.

Kursus bertajuk 'Building Teacher-Student Relationship' itu telah menyentuh perasaan dan menjentik fikiranku hingga mengalir air mata.

Aku telah mengenali diriku.

Aku telah mengenali kelemahan dan kekuatan diriku.

Aku berharap ilmu yang seperti itu akan aku peroleh lagi agar aku dapat memperbaiki diriku sebagai seorang guru bahkan sebagai seorang insan di muka bumi ini.

Terima kasih Tuhan kerana memahamkan aku tentang perkara-perkara yang perlu aku fahami agar aku dapat jalani kehidupan ini dengan memahami situasi yang merupakan cabaran untukku.



Sunday, September 9, 2012

Rotiboy

Berkeinginan untuk menyantap Rotiboy pada waktu dan ketika ini.



Kali terakhir aku menyantap Rotiboy adalah pada bulan lalu iaitu bulan Ramadhan semasa aku berada di Mid Valley.

Pada waktu itu, aku ke KL untuk mengambil barang-barang yang masih ditinggalkan di dalam bilik asrama.

Berbuka puasa dengan Rotiboy sahaja pada waktu itu memandangkan kesemua restoran yang ingin aku pergi telah dipenuhi dengan pelanggan yang akan berbuka puasa.

Berbuka puasa dengan hidangan nasi ayam dari The Chicken Rice Shop di dalam bilik asrama.

Bersahur pun dengan Rotiboy.

Rotiboy ini mempunyai dua rasa iaitu kopi dan mentega kerana bahagian luar roti ini diselaputi dengan kopi manakala di bahagian dalam roti pula diisi dengan mentega.

Simple tetapi kelazatannya sangat terasa.

Sedang menginginkan Rotiboy pada waktu dan ketika ini.

Friday, September 7, 2012

Laksamana Sunan dan Ratu Sulaman


'Cintailah aku ketika aku tidak layak langsung untuk dicintai kerana pada waktu itulah aku benar-benar memerlukannya.'

Seketika ini, aku teringat akan watak protagonis dalam himpunan novel ternama yang dikaryakan oleh penulis ternama.

Novel Cinta Sang Ratu yang memaparkan watak Laksamana Sunan yang menikahi watak antagonis iaitu Ratu Sulaman.

Indah dan unik percintaan mereka yang sebenarnya pertemuan pertama mereka bermula dengan pertarungan antara kedua-dua insan yang mewakili dua perkara yang saling bercanggah.

Laksamana Sunan seorang pejuang kebenaran yang baik hati manakala Ratu Sulaman seorang pejuang kebatilan yang zalim.

Namun setelah beroleh petunjuk daripada Allah dan pimpinan daripada Laksamana Sunan, Ratu Sulaman kembali kepada fitrah yang baik dan lembut.

Tidak lagi zalim dan marah-marah.

Maka benarlah bahawa.... 'Cintailah aku ketika aku tidak layak langsung untuk dicintai kerana pada waktu itulah aku benar-benar memerlukannya.'

Berikut merupakan bingkisan daripada novel Bagaikan Puteri (halaman 537 - 540) yang memaparkan permulaan kisah antara watak Laksamana Sunan dan watak Ratu Sulaman.




"Kamu... Laksamana Sunan?" tanya seorang lelaki dari kalangan pahlawan Ratu Sulaman itu. Suaranya meninggi lagi membengis.

"Ya... benar." Saifudin bersuara rendah, mempamerkan akhlak terpuji.

"Mengapa memanggil kami ke sini? Bukankah Ratu kami telah bertegas agar rakyat negeri ini tunduk kepada pemerintahan Pulau Utara!" Suara lelaki itu seakan berteriak menggertak.

"Kami tidak  mahu berperang dengan Ratu Sulaman yang baik hati itu," kata Saifudin. Bibirnya dihiasi senyuman.

"Kalau begitu, kamu mesti tunduk kepada Ratu Sulaman!" balas lelaki itu lagi.

"Apa syarat-syaratnya?" tanya Saifudin pula.

"Negeri ini akan menjadi jajahan takluk Ratu Sulaman. Rakyat negeri ini juga mesti menyembah apa yang kami sembah!" tegas lelaki itu biadap.

"Kami tidak boleh menerima syarat-syarat itu!" Saifudin pula bertegas. Namun nada suaranya tetap merendah sambil mmengekalkan senyuman.

"Kalau begitu, kita akan berperang!" Kasar lelaki itu menjawab. Dia dan kumpulannya mempamerkan raut wajah yang garang tanpa senyuman.

"Kami tidak mahu berperang. Kami mahu bersahabat," ujar Saifudin.

Pahlawan-pahlawan Ratu Sulaman itu tergelak.

.....

"Baiklah... rundingan ini dianggap selesai. Cuma tolong sampaikan hadiah ini kepada Ratu Sulaman yang baik hati itu," ucap Saifudin sambil menyerahkan sebuah mushaf yang dibungkus dalam kain berwarna kuning.

"Apa ini? Muslihat?" lelaki itu berprasangka.

"Tidak. Kami orang Islam tidak mengkhianati sesama manusia. Malah berperang pun kami enggan. Kami tidak mahu bermusuh cuma mahu bersahabat dan kami tidak sekali-kali akan berlaku kejam. Kami tidak bersikap ganas seperti yang kalian sangkakan," tegas Saifudin.

"Baiklah!" Lelaki tadi merampas hadiah itu dengan kasar. Lalu mereka bergegas menuju ke perahu dengan berkayuh semula ke bahtera mereka.

.....

"Cuba kamu jelaskan apa makna tulisan ini!"

Tatkala membaca tulisan jawi yang lekat berdakwat hitam di atas mushaf itu, lelaki tua itu mengeluh berat. Kata-kata dalam tulisan itu membuatkan dia gusar, bimbang dimurkai sang ratu yang terkenal kejam dan bengis.

"Makna tulisan ini sekadar undangan, ratu," kata lelaki tua itu.

"Katakan segera! Cepat!"

"Mohon ampun ratu. Ia satu undangan yang barangkali akan membuatkan ratu murka." Lelaki tua itu cuba berdalih.

"Katakan segera!" Suara Ratu Sulaman bergema kuat.

"Baiklah," ujar lelaki tua itu dan mula membaca. "Sang Ratu Sulaman yang baik hati..."

Kala mendengar kata-kata itu, Ratu Sulaman tersenyum sedikit.

"....Kita bernama Laksamana Sunan... hamba kepada Allah, Tuhan yang satu dan tiada duanya. Kita mengajak Ratu Sulaman yang baik hati agar kembali ke jalan Allah. Bertaubatlah kerana setinggi mana pun kuasa kita, nescaya kita pasti akan kembali kepada Tuhan yang satu. Bersahabat itu lebih baik dari menumpahkan darah manusia yang tidak berdosa..."

"Cukup!!!"

Jeritan Ratu Sulaman umpama halilintar membelah bumi. Anak matanya galak tajam menerkam. Dia benar-benar murka. Akibat tujahan mata saktinya itu, mushaf pemberian Saifudin hangus terbakar. Ia panahan sihir dari sinar mata keiblisan jiwanya.

"Berani sungguh Laksamana Sunan mempersendakan beta!" marah Ratu Sulaman.

Mereka yang berada di situ terdiam. Bersuara bererti maut. Kepala mereka tertunduk longlai.

"Siapa dia Laksamana Sunan itu? Berani sungguh dia! Tidakkah dia tahu siapa Ratu Sulaman dari Pulau Utara?"

.....

Suaranya menderam umpama seekor harimau yang ketagihan darah mangsa.

"Siapkan bala tentera! Esok kita akan rempuh negeri itu! Jangan biarkan seorang pun bernyawa. Bunuh semua manusia di negeri itu!!!"



Alhamdulillah dan InsyaAllah

Semalam  (6 September)  aku telah menerima emel daripada pihak pengurusan gaji sebagai kepastian untuk diriku bahawa aku akan memperolehi kenaikan gaji bermula pada bulan ini dengan jumlah yang telah ditentukan.

Alhamdulillah.

Gajiku dinaikkan lebih daripada yang kujangkakan.

Alhamdulillah.

Kenaikan gaji ini telah diumumkan oleh pihak kementerian sempena hari guru bagi mengapresiasi usaha guru-guru seluruh Singapura.

Alhamdulillah.

Dalam keadaanku sekarang yang mengalami kesempitan kewangan, kenaikan gaji ini tentulah tiba pada waktu yang sangat tepat.

Alhamdulillah.

Sekurang-kurangnya, dapatlah kenaikan gaji ini membantu aku sedikit sebanyak.

Alhamdulillah.

Tuhan yang Maha Kaya dan Maha Pemurah telah mempermudahkan urusanku.

Alhamdulillah.

Kini, aku menantikan pula kenaikan gaji berdasarkan ijazah sarjana mudaku.

InsyaAllah.

Akan kuterima skrol itu pada 3 Oktober 2012 dalam majlis konvokesyen.

InsyaAllah.

Manakala transkrip yang diutamakan itu pula akan menyusul setelah aku mengembalikan 'academic attire' majlis konvokesyen itu.

InsyaAllah.

Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani, permudahkanlah segala urusan hidupku.

Wahai Tuhan yang Maha Kaya, permudahkanlah rezekiku berserta rahmat dan berkat.

Wahai Tuhan yang Maha Pemurah, permudahkanlah jiwaku dalam mengurus rezeki milikMu dengan kelapangan hati.

Monday, September 3, 2012

Penulisanku untuk tugasanku (II): Pendidikan & Pengajaran Seni


Dalam alam persekolahan yang formal sifatnya, tiga perkara yang perlu wujud dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah guru, pelajar dan bilik darjah. Peranan dan tanggungjawab setiap guru tentulah berkisar kepada pelaksanaan menyampaikan ilmu dan pengajaran kepada pelajar yang menjadi khalayaknya. Peranan dan tanggungjawab setiap pelajar pula tentulah untuk menerima ilmu dan pengajaran yang disampaikan. Proses pengajaran dan pembelajaran ini lazimnya berlaku di dalam sebuah ruang khusus iaitu bilik darjah. Syed Ismail Bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Maskon (2010: 99) dalam buku mereka yang berjudul ‘Budaya dan Pembelajaran’ mentakrif bilik darjah seperti berikut

 

‘Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran, merupakan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seorang guru.’

(Syed Ismail Bin Syed Mustapa & Ahmad Subki Bin Maskon, 2010: 99)

 

Sudah terang lagi bersuluh bahawa medan utama perjuangan seorang guru adalah bilik darjahnya. Bilik darjah yang dimaksudkan bukan sekadar merujuk kepada fizikal sesebuah bilik darjah tetapi paling utama ialah pelajar-pelajar yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah itu. Syed Ismail Bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Maskon (2010: 99) menyatakan bahawa pengurusan fizikal bilik darjah yang dinamik mampu membangunkan keempat-empat aspek dalam diri pelajar iaitu jasmani, intelek, emosi dan rohani pelajar. Chua Tee Teo dalam artikel beliau yang berjudul ‘Helping Bored Children: The Dawn of Spiritual Intelligence’ turut memperkatakan bahawa pembangunan menyeluruh seseorang individu melibatkan keempat-empat aspek iaitu jasmani, intelek, emosi dan rohani.

 

‘Holistic development may be classified into the four main areas of intellect (mind), emotions (heart), physical heart (body), and morality or spirituality (soul/spirit) (Teo, 2000).’      

            (Chua Tee Teo, 2002: 27)

 

Dalam pengurusan bilik darjah, salah satu perkara asas yang perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar ialah disiplin. Namun untuk mencapai nilai ini, para pelajar hendaklah dibentuk dan dicorak ke arah itu. Atas dasar itu, seorang guru haruslah mampu mengurus pelajar-pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam bilik darjah. Tidak kira sama ada guru itu mengajar Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Pendidikan Seni Visual atau mata pelajaran yang lain. Namun, boleh dikatakan bahawa guru Pendidikan Seni Visual mempunyai dinamik untuk membentuk dan mencorak jati diri pelajar agar menjadi individu yang berdisiplin kerana mata pelajaran Pendidikan Seni Visual itu sendiri mengandungi falsafah dan nilai yang sangat dekat di hati. Pendapat penulis dapat disokong dengan pernyataan Mohd Johari Ab. Hamid (2004: 33) dalam bukunya yang berjudul ‘Falsafah dan Kritikan Seni’ iaitu

 

‘Sama ada disedari atau tidak, Pendidikan Seni Visual sudah disemai kepada semua generasi sejak dari awal kanak-kanak lagi sehingga ke peringkat dewasa. Seni bukan sahaja mengajar manusia menghayati keindahan, kecantikan atau sebagainya tetapi memupuk nilai-nilai estetika dan nilai-nilai kemuliaan dalam diri manusia. Seni harus dilihat sebagai subjek yang mampu ‘mengubati’ permasalahan yang berlaku dalam jiwa manusia’. 

 

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1452-1453), mendefinisikan seni dengan cakupan yang luas iaitu karya (sajak, lukisan, muzik, dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat (kecekapan) atau hasil daripada sesuatu ciptaan. Selain itu, seni juga ditakrif sebagai kebolehan mencipta sesuatu (lukisan, ukiran dan lain-lain) yang indah-indah. Oleh sebab seni adalah bidang yang luas, salah satu kategori seni yang akan disentuh oleh penulis ialah seni visual. Istilah seni visual digunakan untuk merujuk kepada karya-karya indah yang dapat dinikmati atau dihayati oleh deria penglihatan. Chang Hon Woon (2008: xv) iaitu seorang guru siswazah yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni Visual ada menerangkan secara ringkas tentang pengertian seni visual atau dikenali juga sebagai seni tampak dalam buku beliau yang berjudul ‘Teori Seni Visual Edisi Kedua’ iaitu

 

‘Seni visual atau seni tampak merupakan salah satu daripada cabang seni. Seni visual terdiri daripada karya dua dimensi (lukisan, catan, cetakan, seni grafik) dan karya tiga dimensi (arca, anyaman, tembikar), yang lazimnya dihayati serta dinikmati oleh deria penglihatan.’

     (Chang Hon Woon, 2008:  xv)

 

Dalam hal ini, peranan dan tanggungjawab guru Seni Pendidikan Visual (PSV) boleh dikatakan lebih menyerlah dibandingkan dengan guru-guru yang mengajar mata pelajaran lain. Dalam usaha menggerakkan pelajar menghasilkan karya-karya seni visual, guru PSV sebenarnya perlu terlebih dahulu mengenal pasti minat pelajar kerana kecintaan mereka kepada sesuatu adalah motivasi utama untuk pelajar. Sekalipun pelajar tidak berminat dengan mata pelajaran PSV, mereka tidak harus terus dimarahi apatah lagi dihukum. Sebaliknya, guru PSV perlu bijak dan kreatif dalam menarik minat pelajar untuk menghasilkan karya seni yang berkait rapat dengan minat atau kecintaan mereka. Pelajar tidak perlu dipaksa atau digesa agar mereka tidak berasa tertekan atau terkongkong. Memadailah andai guru dapat mengenal pasti minat mereka sebagai permulaan.

 

Berdasarkan pengetahuan guru PSV tentang minat pelajar, guru PSV perlu bijak dan kreatif dalam mengolah set induksi sesebuah pelajaran. Set induksi seperti yang difahamkan oleh Syed Ismail Bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Maskon (2010: 112) dalam buku mereka yang berjudul ‘Budaya dan Pembelajaran’ merujuk kepada beberapa minit pertama suatu perkara itu diperkenalkan kepada para pelajar dengan tujuan menarik perhatian dan menimbulkan minat mereka terhadap isi pengajaran. Lantas, kejayaan pertama yang penting bagi guru PSV terletak pada set induksi yang pelbagai dan berkesan. Guru PSV boleh menayangkan klip video, memperdengarkan lagu, memperlihatkan gambar, menyediakan kuiz atau permainan, membuat persembahan dan sebagainya. Tentulah bahan yang digunakan sebagai set induksi perlu berhubungan rapat dengan minat pelajar dan berkaitan dengan isi pelajaran.

 

Pengetahuan guru PSV tentang Teori Kecerdasan Pelbagai[1] yang dipelopori oleh Howard Gardner pasti akan membantu guru yang mempunyai khalayak yang ramai dan berbeza-beza minat dan kecerdasan. Set induksi yang menarik tentulah perlu menggabungkan beberapa perkara yang diminati pelajar dan beberapa kecerdasan yang dimiliki pelajar. Lachlan E.D. Crawford (2002: 2) dalam artikel beliau yang berjudul ‘Towards an Ability Driven Education System in Singapore:  Problems and Opportunities’ memaparkan lapan dimensi kecerdasan iaitu kecerdasan verbal linguistik, kecerdasan logik matematik, kecerdasan visual ruang, kecerdasan kinestetik, kecerdasan muzik, kecerdasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal dan kecerdasan naturalis.

 

Isi pelajaran yang disampaikan oleh guru PSV hendaklah memperkayakan lagi minda dan emosi pelajar dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman bermula daripada yang mudah kepada yang lebih kompleks bersesuaian dengan keupayaan pelajar. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini, hubungan dua hala antara guru PSV dan pelajar haruslah berlaku agar minat murid yang telah berjaya ditarik melalui set induksi dapat dikekalkan. Dalam proses menyampaikan isi pelajaran, kemahiran guru dalam berinteraksi amat perlu dan sebaik-baiknya, proses ini seharusnya berpusatkan pelajar dan bukan guru semata-mata. Guru harus membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk melaksanakan sesuatu kerja seni berdasarkan minat dan kreativiti mereka. Guru PSV tidak harus menjadikan kerja seni sebagai alat untuk menghukum atau mendenda. Di samping melibatkan pelajar dalam interaksi dan aktiviti yang dijalankan, galakan dan pujian hendaklah diberikan kepada pelajar agar mereka rasa dihargai. Perkara ini adalah peneguhan positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Andai kata, pelajar menimbulkan masalah dan menggugat disiplin dalam kelas, guru PSV tidak harus menghukum pelajar serta-merta apatah lagi mendenda mereka dengan menyuruh mereka menghasilkan karya-karya seni.

 

Guru PSV hendaklah berkelakuan matang, tenang dan profesional dalam menghadapi cabaran ini. Peneguhan positif hendaklah diberi melalui teguran dan dendaan yang tidak bertujuan membalas dendam atau memalukan pelajar kerana tentunya perkara ini akan semakin memburukkan keadaan dan menjejas emosi pelajar. Bak kata pepatah Melayu, ‘Marah itu parah’. Lantas, guru PSV perlu bijak mengurus emosi terlebih dahulu agar tidak membina jurang dengan pelajar. Bahan-bahan pengajaran dan pelajaran seperti klip video yang lucu, lagu yang menghiburkan, lukisan yang mengagumkan dan lain-lain dapat dimanfaatkan untuk merehatkan minda dan menenangkan emosi pelajar serta guru selagi bahan-bahan itu mempunyai nilai dan unsur pengajaran.

 

Seorang guru PSV, Encik Firdaus yang telah lima tahun menjalankan bengkel-bengkel seni dan motivasi di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Singapura menyatakan bahawa mata pelajaran PSV mempunyai faktor didikan terhadap jasmani, emosi, intelek dan rohani individu. Setiap tugasan seni melibatkan kerja tangan dan tumpuan mata sekaligus mengasah kekreatifan minda. Emosi dan rohani terdidik agar bersabar, tekun dan tidak putus asa terhadap percubaan-percubaan yang kurang memuaskan hati hinggalah terhasil kerja seni yang indah. Pada pandangan Encik Firdaus, proses inilah yang mendidik para pelajar untuk mendisiplinkan diri. Apabila terdapat pelajar yang menimbulkan masalah disiplin, Encik Firdaus tidak serta-merta menghukum apatah lagi mendenda mereka dengan menyuruh mereka menghasilkan karya-karya seni. Sebaliknya, Encik Firdaus mendekati dan mengambil berat tentang mereka agar komunikasi dua hala antara guru PSV dengan pelajar dapat dipelihara. Encik Firdaus berpendapat bahawa guru PSV hendaklah mengenal pasti punca permasalahan yang dihadapi pelajar. Pelajar yang bermasalah tidak harus diketepikan kerana mereka perlu perhatian dan bimbingan dalam hidup.

 

Selain itu, Encik Firdaus menyemai semangat setiakawan dan sikap bekerjasama iaitu esprit de corp dalam kalangan pelajar-pelajarnya kerana berpendapat bahawa setiap pelajar mempunyai bakat dan keistimewaan yang berbeza. Melalui kerja berkumpulan, bakat dan keistimewaan individu yang berbeza-beza digabungkan dan perkara ini menghasilkan sinergi. Kerja kumpulan yang dikendalikan oleh Encik Firdaus biasanya diwakili empat orang individu yang mempunyai peranan penting untuk melengkapkan kerja seni mereka berdasarkan bakat dan keistimewaan masing-masing. Keempat-empat individu ini akan melalui proses perbincangan awal yang dipantau oleh Encik Firdaus sendiri. Perbincangan awal ini akan melibatkan proses mengenal pasti kemampuan, kesanggupan dan tugas setiap individu. Sebagai contoh adalah projek lukisan dinding di salah sebuah sekolah menengah yang perlu dipikul tanggungjawab itu oleh pelajar secara berkumpulan. Lantas, dalam pembahagian peranan dan tanggungjawab, individu A telah ditugaskan untuk merangka draf lukisan kerana individu A dikenal pasti mempunyai bakat melukis yang menyerlah. Individu B pula ditugaskan untuk mengurus bahan-bahan yang diperlukan agar projek mereka dapat dilaksanakan dengan lancar. Individu C pula ditugaskan untuk mengambil gambar dan merakam video untuk menyiapkan pembentangan dalam bentuk Powerpoint agar proses gerak kerja mereka dapat didokumentasikan dan dikongsi bersama rakan-rakan sekelas. Individu D yang cekap berbahasa pula ditugaskan untuk membantu menyiapkan persembahan Powerpoint di samping tampil di hadapan kelas sebagai penyampai sewaktu pembentangan kumpulan mereka dijalankan. Namun, tugasan paling utama iaitu melukis dan mengecat dinding itu dilaksanakan bersama-sama.

 

Begitulah Encik Firdaus menerapkan disiplin bekerjasama dalam kalangan pelajar. Setiap pelajar diberi kepercayaan untuk memikul peranan tertentu agar sikap tanggungjawab dapat dipupuk. Perkara paling penting, setiap pelajar sekalipun yang mempunyai masalah disiplin tidak diketepikan agar mereka masih dapat merasakan bahawa diri mereka diperlukan dan dapat menyumbang kepada kejayaan sesebuah projek seni. Secara langsung, Encik Firdaus telah membuktikan bahawa Teori Kecerdasan Pelbagai yang dipelopori oleh Howard Gardner terlaksana melalui kerja berkumpulan yang dipantau sebegini.

 

Sebagai kesimpulan, mata pelajaran PSV sebenarnya mampu membentuk individu-individu yang terbina emosi, jasmani, rohani dan intelek mereka kerana pelbagai kemahiran dapat diasah melalui mata pelajaran ini. Peranan dan tanggungjawab guru PSV untuk melahirkan individu-individu yang berdisiplin dan berbakat dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan andai guru PSV terlebih dahulu peka terhadap minat dan bakat pelajar agar potensi mereka dapat digilap. Antara perkara paling penting, guru PSV perlu bijak mengendalikan emosi diri sendiri dan emosi pelajar agar mereka sentiasa diberi galakan dan teguran positif kerana perkara itu lebih berkesan sedangkan hukuman dan dendaan tanpa hikmah mampu mematahkan semangat pelajar dalam melaksanakan kerja-kerja seni. Bak kata pepatah Inggeris[2] iaitu ‘Making and appraising are both… of equal and fundamental importance in art education: each is important in itself.’



BIBLIOGRAFI


Chang Hon Woon. (2008). Teori Seni Visual Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chua Tee Teo. (2002). Helping Bored Children: The Dawn of Spiritual Intelligence. Review of Educational Research and Advances for Classroom Teachers, 21 (1), 25-33.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lachlan E.D. Crawford. (2002). Towards an Ability-Driven Education System in Singapore: Problems and Opportunities. Review of Educational Research and Advances for Classroom Teachers, 21 (1), 1-12.

Mohd Johari Ab. Hamid. (2004). Falsafah dan Kritikan Seni. Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Maskon. (2010). Budaya dan Pembelajaran. Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.



[2] Dipetik daripada Falsafah dan Kritikan Seni, 2004, Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, hlm. 220.