Tuesday, June 5, 2012

Antara Cinta Dan Cemburu: Poligami

2 tahun dari sekarang, andai kata aku melanjutkan pengajianku untuk mencapai ijazah sarjana tinggi, poligami akan menjadi subjek kajianku.

POLIGAMI.

Mengapa poligami?

Kenapa poligami?

Tidak terniat di hati ini untuk menganjurkan poligami apatah lagi ramai lelaki tidak mempunyai kelayakan untuk itu.

Tidak terniat di hati ini juga untuk tidak menganjurkannya apatah lagi masih ada lagi lelaki di muka bumi ini yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan untuk mengendalikan institusi yang cukup istimewa ini.

NEUTRAL.

Tidak menganjurkan.... bersebab.

Menganjurkan juga... bersebab.

Salah satu sebab aku TIDAK MENGANJURKAN poligami ialah keruntuhan monogami yang sedia ada belum lagi dibangunkan semula atas asas yang kukuh lagi teguh.

Mengapa berpoligami andai monogami yang sedia ada pun sudah berantakan?

Salah satu sebab aku MENGANJURKAN poligami adalah membuktikan keindahan Islam dalam menghalalkan poligami.

Keindahan Islam yang dimanifestasikan melalui kehalusan jiwa seorang lelaki bernama suami yang bertanggungjawab dan amanah dalam mendidik, memimpin dan mengendalikan seorang perempuan bernama isteri pertama serta mendidik, memimpin dan mengendalikan seorang perempuan lain bernama isteri kedua dalam sebuah institusi yang cukup istimewa hingga anak-anak yang dilahirkan menzahirkan akhlak si ayah, si ibu kandung dan si ibu tiri.

Poligami sering disinonimkan dengan bala dan bencana rumahtangga.

Sedangkan masih ada lagi poligami yang bukan sekadar dihiasi dengan mawar-mawar bahkan menjadi penawar.

Antara cinta dan cemburu, tidak mudah untuk mengimbangi dan mengikhlaskannya.

Antara cinta dan cemburu, tidak mudah menghadapi dan meredhainya.

Antara cinta dan cemburu, tidak mudah menempuh dan merempuhnya.

MUJAHADAH.

Mujahadah tidak mudah.

Mujahadah bukan mudah.

Mudah mengeja perkataan MUJAHADAH.

Semudah menyebut perkataan MUJAHADAH.

Mujahadah pedih dan perih.

Mengimbas kenangan lalu ketika usiaku masih  awal 20an...

Aku pernah dirisik untuk berpoligami.

Dua kali aku dirisik begitu.

Kali pertama dengan seseorang yang jelas kutahu siapa bahkan isterinya sendiri iaitu Ibu S yang mencadangkan agar aku menjadi madunya.

Kali kedua dengan seseorang yang tidak jelas siapa tetapi kutahu tentang perkara ini melalui orang tengah iaitu Ibu Z.

Ibu K yang mengenali peribadiku yang suka banyak bertanya untuk mengetahui dan memahami persoalan-persoalan yang berkaitan dengan hidup, pernah menyatakan bahawa aku perlu mendapatkan calon suami yang dapat memberi jawapan kepada pertanyaan-pertanyaanku.

Antara dua nama yang Ibu K pernah sebut adalah nama dua orang lelaki yang merupakan suami orang kerana kedua-dua mereka mempunyai kematangan dan kesabaran.

Hmmm.

Secara peribadi, aku tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi isteri kedua, isteri ketiga atau isteri keempat kepada seorang lelaki yang bernama suami.

Secara peribadi juga, aku mempunyai cita-cita untuk menjadi isteri pertama kepada seorang lelaki yang bernama suami tetapi.... tetapi.... tetapi.... tentulah poligami yang kuidamkan, poligami yang kuimpikan, poligami yang kudambakan adalah poligami yang bersyarat, poligami yang beradab, poligami yang terancang, poligami yang penuh dengan kasih sayang, poligami yang indah dan poligami yang mengagungkan Cinta Agung.




Pada waktu ini, aku mempunyai kesediaan hati untuk menjadi isteri pertama, bererti bersedia untuk berpoligami tetapi siapa tahu, esok lusa apabila cintaku kepada si dia yang bernama suami kian memuncak tinggi, aku tidak pula merelakan perempuan lain untuk menghiasi taman hatinya.

Antara cinta dan cemburu.

2 comments:

  1. salam.
    kulihat ramai wanita yang takut berpoligami kerana mereka selalu merasakan suami itu seperti kepunyaan mereka, tetapi jika saya tidak silap ibu lebih berhak keatas seorang lelaki.

    ReplyDelete
  2. mohdrahma: Terima kasih kerana sudi membaca pos dalam blog saya ini. Terima kasih lebih lagi kerana sudi memberi komen. Saya sangat menghargainya.

    Seorang isteri pasti takut berpoligami. Saya juga takut berpoligami kerana saya hanyalah insan biasa. Punyai rasa cemburu. Siti Sarah, wanita yang baik dan isteri yang baik kepada lelaki yang baik iaitu Nabi Ibrahim a.s dan merupakan madu yang baik kepada Siti Hajar juga mempunyai rasa cemburu. Mana mungkin saya tidak mempunyai rasa cemburu. Apatah lagi suami itu dicintai sepenuh hati.

    Namun, seorang suami yang baik tidak akan begitu mudah menjatuhkan niat untuk berpoligami dan beria-ia untuk itu kerana dia malu dan takut dengan Tuhan memandangkan dia sedar dirinya tidak mampu berlaku adil dan bimbang tidak mampu memimpin dan mentadbir.

    Pada pendapat saya, jika poligami itu terancang, dan dilaksanakan dengan penuh adab bahkan mempunyai manfaat serta maslahat kepada isteri pertama tanpa isteri pertama rasa teraniaya dan terabai, insyaAllah poligami dapat menjadi taman yang indah.

    Barangkali itu terlalu idealistik? :) Poligami merupakan subjek pengamatan saya sudah 10 tahun. Pelbagai perkara yang telah saya lihat dan ingin kaji lebih mendalam. :) Saya bermohon kepada Ilahi agar dikurniakan seorang suami yang baik dan sentiasa ingin memahami dirinya, diri saya dan Pencipta kami kerana dialah yang saya nanti-nantikan sejak dahulu untuk membina sebuah keluarga poligami yang indah (tetapi ada syarat-syaratnya).

    ReplyDelete