Sunday, August 17, 2025

Dek gambar kantin sekolah menengahku

Apabila aku terpandang gambar sekolah lamaku iaitu Sekolah Menengah Bedok South di TikTok semalam, khususnya satu gambar yang menunjukkan kantin sekolah lamaku, hatiku terpukul.

Aku pilu.

Perasaan yang tidak diundang.

Namun, perasaan itu menerjah masuk lalu menculik ketenteraman jiwa.

Betapa lemah kurasakan dek perasaan pilu itu.

Sesungguhnya, tidak mudah bagiku menghadapi memori masa lalu memandangkan aku ialah insan beremosi yang masih bertatih dalam mendepani emosi diri sendiri.

Masya Allah.

Kotak ingatanku terimbas semasa aku berada dalam menengah satu di sekolah itu pada tahun 1993.

Hanya dengan melihat satu gambar, perasaan hatiku diselubungi kepiluan.

Bukan kerana aku merindui sekolah itu.

Aku terkenang alangkah sukarnya pada masa itu.

Berbekalkan dua dolar, aku hanya mampu membeli makanan termurah di kantin itu iaitu mi goreng untuk mengisi perut dan juga minuman termurah untuk menghilangkan dahaga pada waktu rehat.

Jika tidak silap, mi goreng hanya sedolar atau sedolar lima puluh sen.

Subhanallah.

Kekangan kewangan menjadikan aku sangat berjimat cermat ketika berbelanja pada waktu rehat.

Aku jelas mengingati perasaan hati yang tidak mampu berlebih-lebih dengan membeli nasi dan lauk-pauk yang dijual oleh sepasang ibu dan anak perempuannya.

Harga nasi dan lauk-pauk atau dikenali juga sebagai nasi padang tidak aku mampui.

Di kantin itu, ada tiga buah gerai makanan halal.

Gerai paling hujung di sebelah kiri kantin ialah gerai mi soto manakala gerai di sebelah kanan pula gerai mi goreng.

Gerai di tengah antara gerai mi soto dan gerai mi goreng ialah gerai nasi padang.

La ila ha illallah.

Ya Allah, tenangkan dan tenteramkan jiwaku.

Segala yang berlaku ialah qada' dan qadar Allah yang sewajarnnya aku hargai.

Kemiskinan itu ialah takdir Allah yang wajar aku terima dengan lapang dada.

Bukan lagi satu tanda tanya yang perlu dipersoalkan atau disedihkan.

Dalam ketidakmampuanku dari segi kewangan pada tahun 1993, Allah menjagaku dengan penuh kasih sayang.

Sesungguhnya bersama Allah, kita tidak akan miskin kerana Allah Maha Kaya.


No comments:

Post a Comment