Friday, October 18, 2024

Dua pelakon utama: Kim Seon Ho dan Lee Sun Kyun

Dua orang pelakon utama yang berbakat besar dalam dua drama yang bagus.

Kim Seon Ho melakonkan watak seorang pegawai polis yang bertugas di stesen kereta api gerak cepat manakala Lee Sun Kyun melakonkan watak seorang jurutera struktural di sebuah syarikat binaan.

Kedua-dua drama iaitu 'Catch The Ghost' dan 'My Mister' mempunyai jalan cerita yang bagus.

Dalam 'Catch The Ghost' yang pada mulanya aku sangkakan sebuah drama bergenre seram sebenarnya mengisahkan kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh seorang pegawai polis yang bertungkus-lumus dan teliti dalam usahanya menjejak kembarnya yang hilang di stesen kereta api gerak cepat.

Drama ini bergenre jenayah dan tragedi yang penuh misteri dan teka-teki yang mengujakan dan menarik.

Jalan cerita utama yang dilengkapi dengan cerita-cerita sampingan (sub-plot) dalam setiap episod yang berlatarkan stesen kereta api gerak cepat berjaya memperlihatkan pekerjaan pegawai polis sehari-hari.

Seketika, aku teringat kepada drama 'Where Stars Land' iaitu sebuah drama berlatarkan lapangan kapal terbang dengan mengetengahkan pekerjaan pegawai-pegawai yang berkhidmat kepada orang awam dan bukan tipikal juruterbang dan pramugari/a.  

Walaupun sebahagian besar drama ini berfokus kepada watak utama perempuan yang bernama Yoo Ryung, watak utama lelaki iaitu Ko Ji Seok bagiku melengkapi cerita ini.

Dalam 'My Mister' pula, kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua watak utama lelaki dan perempuan boleh dikatakan seimbang.

Watak utama lelaki bernama Park Dong Hoon menghadapi masalah di tempat kerja, dengan keluarga asal dan juga isterinya walaupun sebenarnya dia disayangi oleh anggota pasukan di tempat kerjanya, ibu, adik-beradik dan isterinya.

Watak utama perempuan bernama Lee Ji An menghadapi masalah kemiskinan dan penindasan pada masa lalu hinggalah sekarang. 

Pada masa lalu, Lee Ji An telah terbunuh seorang pemiutang yang telah melakukan keganasan terhadap dia sekeluarga dan sekarang, anak lelaki kepada pemiutang itu masih terus menindas dan menderanya dek dendam dan hutang.

Park Dong Hoon dan Lee Ji An ialah rakan sekerja tetapi hubungan antara mereka adalah agak rumit.

Drama yang bergenrekan tragedi ini membentangkan isu politik pejabat dan kekeluargaan.


No comments:

Post a Comment