Watak romantik dan karismatik, Lee Jang Hyeon.
Watak Lee Jang Hyeon dan drama My Dearest telah ditulis dengan indah oleh penulis skrip, Hwang Jin Young.
Watak Lee Jang Hyeon dan drama My Dearest telah diarah dengan baik oleh pengarah drama, Kim Sung Yong.
Watak Lee Jang Hyeon yang mempesonakan dan memukau telah dilakonkan dengan mantap oleh pelakon, Nam Koong Min yang pertama kali daku kenali melalui drama Beautiful Gong Shim.
Namun, daku berpendapat bahawa watak wirawan ini terlalu sempurna dan idealistik.
Dalam kehidupan nyata, watak seperti ini tidak realistik kerana kekuatan fizikalnya yang luar biasa merempuh sekian ramai musuh yang jahat dan ganas ialah unsur dramatik yang diperbesarkan semata-mata untuk memperlihatkan keperwiraan seorang Lee Jang Hyeon.
Walau bagaimanapun, watak utama (main character) yang luar biasa ialah unsur cereka yang universal.
Lantas, watak Lee Jang Hyeon ialah watak perwira yang boleh diterima bahkan dikagumi penonton yang terkesima dengan perwatakannya.
Beliau bukan sahaja pemuda bangsawan yang kaya menerusi urusan perdagangannya yang dijalankan dengan cekap dan berstrategik. Beliau ternyata seorang pegawai istana dan penasihat kepada putera mahkota (crown prince). Beliau memperlihatkan kepintarannya berfikir, bijak membaca situasi, berpandangan luas, berfikiran jauh, tegas pendirian dan berhikmah dalam menasihati meskipun pendapat dan nasihat beliau pahit untuk ditelan. Dalam ketegasan menyampaikan kebenaran dengan terus terang, beliau tetap tenang dan teguh.
Beliau pandai dalam ilmu mempertahankan diri dan bermain pedang. Ternyata, inilah antara kemahiran yang paling penting dan perlu dalam menghadapi musuh yang jahat dan ganas yakni penjajah Qing. Keperkasaan beliau bak seorang pahlawan adalah di luar jangkaan. Selain itu, beliau juga menjalankan tugas sebagai seorang penterjemah bahasa sekaligus seorang perisik antara pihak Joseon dan Qing.
Beliau menyerlah dalam semua peranan yang beliau galas. Namun, peranan dan perwatakan beliau sebagai seorang pejuang, pembela dan pemimpin yang mempertahankan golongan yang ditindas adalah konsisten dari awal hingga akhir. Masya Allah. Peranan dan perwatakan Lee Jang Hyeon sebagai pejuang, pembela dan pemimpin inilah yang paling menyentuh perasaanku.
Lee Jang Hyeon ialah watak utama yang serba boleh (all-rounder). Masya Allah.
Dalam beratnya tugas dan tanggungjawab, kesetiaan dan ketulusannya mencintai seorang Gil Chae tentunya menggamit perasaan penonton. Lontaran kata-kata Lee Jang Hyeon memperlihatkan kebijaksanaan penulis skrip yang berjaya menghasilkan dialog-dialog seorang pemuda yang penuh pengertian, romantis dan menyentuh perasaan. Perasaan penonton berbunga-bunga dan mereka terbuai serta terdodoi dengan rasa dicintai, dikasihi dan disayangi.
No comments:
Post a Comment