Wednesday, May 23, 2012

Selagi termampu. Mampukah aku?



Betapa aku sedang tertekan sejak tadi.

Kini, aku masih berusaha menenangkan diri sendiri.

Selagi termampu, tidak akan aku izinkan air mataku ini daripada mengalir sedangkan adakalanya dengan mengalirkan air mata, perasaan tertekan akan reda.

Tidak!

Selagi termampu, aku akan menahan air mataku ini.

Biarlah sekadar bergenang air mataku ini.

Alah bisa tegal biasa.

Jika aku terlalu selalu membiasakan diri dengan mengalirkan air mata ketika berhadapan dengan ujian hidup, aku akan hanya melemahkan jiwaku sendiri sedangkan air mata ini lebih layak ditumpahkan ketika berbicara langsung kepada pencipta air mataku atas segala dosa-dosaku.

Selagi aku belum mampu mengalirkan air mata di hadapan pencipta air mataku, tahanlah dirimu dan tahanlah hatimu daripada menangis wahai Nuraini.

Bukan kerana aku mampu tetapi aku akan cuba selagi termampu.

Perlukah aku tertekan?

Maafkan aku wahai diri dan hati kepunyaan Nuraini kerana belum mampu memelihara diri dan menjaga hati daripada berasa tertekan.

Semoga ketenangan menggantikan ketegangan.

Sunday, May 20, 2012

Embrio

'Ketika ramai orang Islam masih ragu-ragu tentang kebenaran ayat-ayat Al Quran, ramai pula saintis yang bukan beragama Islam meyakini akan kebenarannya. Apabila didedahkan dengan ayat-ayat Al Quran, mereka begitu terperanjat kerana ianya bertepatan dengan penemuan hasil kajian mereka. Sudah menjadi lumrah kepada sesiapa yang mengkaji, dialah yang akan menemui. Salah seorang daripada saintis-saintis tersebut ialah Profesor Keith Moore.

Nama Profesor Moore cukup harum dalam bidang perubatan di seluruh dunia. Daripada pelajar perubatan tahun satu sehinggalah doktor-doktor pakar dan profesor-profesor, semuanya mengenali nama tokoh ini. Beliau merupakan salah seorang saintis yang cukup terkenal dalam bidang anatomi (kajian tubuh manusia) dan embriologi (proses perkembangan janin menjadi manusia). Buku Clinical Anatomy yang dihasilkannya merupakan antara buku anatomi yang terbaik dan paling masyhur di kolej-kolej perubatan.

Beliau berasa takjub bagaimana Nabi Muhammad s.a.w boleh menjelaskan mengenai embrio (janin) dan perkembangannya dengan terperinci dan tepat dengan ayat-ayat Al Quran, sedangkan ilmu embriologi hanya diketahui oleh ahli-ahli sains sekitar 30 tahun yang lalu. Perasaan hairan tersebut bertukar menjadi hormat kepada ayat-ayat Al Quran dan hadis tersebut.

Salah satu ayat Al Quran yang menimbulkan perasaan takjub kepada beliau ialah mafhum firman Allah s.w.t: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu sari pati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan sari pati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim), Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik." (Surah Al Mukminun 23:12-14)

Dengan ketinggian ilmu yang beliau miliki, beliau telah dapat menemui keserasian ayat-ayat ini dengan ilmu sains moden. Beliau telah menghuraikan ayat-ayat ini dengan ilmu embriologi yang dimilikinya.


Alaqah dan Mudghah

1. Alaqah dalam bahasa Arab mempunyai tiga makna iaitu

(i) Makna pertama alaqah ialah lintah. Apabila dibandingkan lintah dengan embrio peringkat alaqah, beliau mendapati satu persamaan tepat antara kedua-duanya. Beliau menyimpulkan bahawa embrio peringkat alaqah mempunyai bentuk sama dengan lintah.

(ii) Makna kedua alaqah ialah sesuatu yang tergantung. Selepas benih disenyawakan, ia akan bergerak ke dalam rahim ibu (uterus) dan menempel di dindingnya. Embrio yang menempel di dinding rahim akan kelihatan tergantung.

(iii) Makna ketiga ialah segumpal darah. Beliau menjelaskan ketika peringkat alaqah, embrio telah melalui beberapa proses kejadian. Antaranya pembentukan darah dalam tempat yang tertutup (closed vessels) sehinggalah proses metabolik telah sempurna melalui plasenta (uri). Ketika peringkat alaqah, darah mengalir dengan terhad dalam satu tempat yang tertutup. Maka, embrio berbentuk segumpal darah di samping seperti lintah.

2. Mudghah dalam bahasa Arab bermaksud sesuatu yang dikunyah. Profesor mengambil gum dan mengunyahnya. Kemudian beliau membandingkannya dengan gambar embrio peringkat mudghah. Ternyata ia sama.'





Artikel bertajuk Prof. Moore dan Al Quran tulisan Dr Farhan Hadi Mohd. Taib telah diterbitkan dalam majalah SOLUSI Isu 15 pada halaman 95-96.

Thursday, May 17, 2012

Lembaran tulisanku pada suatu masa dahulu

Aku tersua semula dengan lembaran-lembaran kertas yang di atasnya tertera tulisan yang mewakili pemikiran dan perasaanku.

Antara lembaran-lembaran tulisan itu, aku tersua semula dengan lembaran-lembaran tulisan bertarikhkan tahun 1995, 2000 dan 2004.

Betapa aku terasa akan kepentingan menulis tarikh sebagai bukti dokumentasi.

Sekurang-kurangnya, dapat aku lihat dan nilai pemikiran dan perasaanku pada masa nan lalu.

Barangkali boleh aku lakukan satu perbandingan diakronik.

Antara lembaran tulisan yang ingin aku rakamkan dalam blog ini adalah tulisanku yang tidak bertajuk dan tidak bertarikh.

Namun, ayat pada awal dan ayat pada akhir seperti memberi jawapan apakah barangkali kandungan tulisan ini dan bilakah lebih kurang tulisan ini dicoretkan.

Tulisan ini bermula dengan ayat 'Kepada: Anak-anak muridku' dan diakhiri dengan ayat 'Jadilah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang semata-mata kerana keredhaan Tuhan.'

Ahakz.

Cemerlang, gemilang, terbilang?!

Satu jawapan tentang bilakah tulisan ini dicoretkan meskipun tidak tercoret tarikh tertentu secara khusus.

Semoga tulisan ini tidak ditertawakan kerana aku sendiri ketawa ketika membacanya kerana aku seolah-olah mengibaratkan guru sebagai ibu dengan harapan yang tinggi bak Gunung Ledang terhadap anak-anak muridku.

Begini isi kandungan tulisan di atas lembaran kertas yang boleh disifatkan seperti warkah.

'Kepada: Anak-anak muridku

Guru ibarat ibu. Guru mendidik seperti ibu meskipun guru bukan insan yang melahirkan anak-anak dengan jerih-perih, keringat dan pengorbanan. Namun, guru cuba sedaya upaya memastikan anak-anak murid kenyang dengan kasih sayang dan ilmu pengetahuan yang diharapkan dapat memberi manfaat di sunia dan akhirat. Di sekolah, guru mengambil peranan sebagai ibu. Meneliti sikap dan kelakuan, menegur dan menasihati, mendengar dan berkongsi rasa hati, mengajar dan belajar bersama, mengasah bakat dan mendidik kemahiran, mengingatkan dan memberi perangsang. Guru memandang anak-anak dengan kasih sayang dan kepercayaan bahawa anak-anak adalah aset agama, bangsa dan negara. Guru percaya anak-anak akan menjadi pelajar cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia. Di kala masyarakat sedang mengharapkan generasi yang mampu menaungi dan membela, ingatlah bahawa apa sahaja yang anak-anak lakukan adalah untuk keredhaan Tuhan. Keredhaan Tuhan ertinya sesuatu yang mendapat restu Tuhan. Moga beroleh kejayaan berkat usaha, yakin dan sifat tawadhuk. Jadilah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang semata-mata kerana keredhaan Tuhan.'

Ahakz.

Bayangkan aku membacanya di hadapan kelas untuk anak-anak muridku.

Samada tangan mereka menongkat daku kerana berasa bosan, mata terkebil-kebil kerana berasa bosan atau tertidur kerana berasa bosan.

Hmmm...

Seketika aku terfikirkan masa hadapan.

Kemungkinan besar aku akan kembali ke 'bangku sekolah' untuk berkhidmat kepada negara, bangsa dan agama sebagai seorang guru pada tarikh 29 Jun 2012.

Barangkali lebih awal daripada itu tetapi secara tentatif, itulah tarikh yang telah aku maklumkan kepada mereka melalui emel kepada pihak kementerian.

29 Jun 2012 jatuh pada hari Jumaat.

Sekolah yang menjadi tempatku bertugas belum dimaklumkan kepadaku atau barangkali belum diaturkan.

KepadaMu ya Allah, aku berlindung.

Berlindung diri daripada fitnah dunia dan fitnah akhirat di tempatku bertugas.

Berbalik kepada lembaran tulisanku itu tadi, entah mengapa aku rasakan 'nada keibuan' dalam warkah itu bukanlah aku.

Entah mengapa.

Walau bagaimana pun, aku perlu mempersiapkan diri untuk kembali menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai seorang guru..... sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah.

KepadaMu ya Allah, aku berlindung.

Berlindung jiwa raga daripada fitnah dunia dan fitnah akhirat di tempatku bertugas.

Kasihanilah hambaMu ini yang mencintai bidang perguruan dan pendidikan.

Cap Jari

Pada hujung setiap jari kita, terdapat alur-alur kecil yang membentuk corak tertentu yang dinamakan sebagai cap jari. Dengan cap jari inilah kita boleh mengeluarkan duit daripada akaun kita di kaunter-kaunter bank. Dengannya juga kita boleh mencetak penyata akaun KWSP malah kakitangan sesebuah pejabat membuka pintu tanpa perlu menggunakan anak kunci lagi. Dengan cap jari juga pihak polis dan pasukan forensik mampu memberkas penjenayah melalui kesan-kesannya di tempat kejadian.

Apabila Al Quran diturunkan 1400 yang lalu, pengetahuan mengenai cap jari masih belum dapat dinilai oleh masyarakat pada waktu itu. Sehinggalah pada tahun 1856, seorang saintis Inggeris bernama Genn Ginsen menemui corak-corak pada hujung jari seseorang yang begitu unik dan berbeza antara satu individu dengan individu lain.

Penelitian terhadap penciptaan cap jari mempunyai erti yang cukup besar. Ini kerana bentuk dan corak pada cap jari seseorang mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Setiap manusia yang hidup di muka bumi atau yang pernah hidup suatu ketika dahulu mempunyai corak cap jari yang tersendiri yang tidak akan sama dengan orang lain. Bahkan, jika sepasang kembar seiras yang mempunyai DNA (deoxyribonucleic acid) yang sama namun cap jari mereka tetap berbeza.

Cap jari telah terbentuk sejak lahir dan ia tidak akan berubah sampai bila-bila pun melainkan terdapat kecederaan yang menyebabkan parut yang kekal pada jari. Bahkan menurut kajian, didapati cap jari mula terbentuk seawal usia tiga bulan di dalam kandungan.

Alangkah hebatnya ciptaan dan kurniaan Allah s.w.t kepada kita. Struktur yang kecil tetapi kompleks dan unik, sehingga Allah s.w.t secara khususnya menyebutnya di dalam Al Quran. Jika struktur yang kompleks dari segi bentuk dan fungsinya mampu disusun kembali oleh Allah s.w.t di hari akhirat, apatah lagi struktur lain yang tidak begitu kompleks. Semua ini mengingatkan kepada kita bahawa kepadaNya kita akan kembali.

Artikel tulisan Dr Farhan Hadi Mohd Taib yang bertajuk Keajaiban Jari-Jemari telah dimuatkan dalam majalah SOLUSI Isu 30 pada halaman 95-96.

Wednesday, May 16, 2012

Buku, Rak Buku dan Bilik Bacaan

'Siapa diri kamu akan datang dicorakkan oleh buku apa yang kamu baca sekarang.'

Begitulah kata-kata hikmah yang tertera di kulit buku Mukmin Profesional tulisan Pahrol Mohd Juoi.

Pahrol Mohd Juoi merupakan salah seorang penulis yang hasil tulisannya dekat di hati.

'Buku' berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 216 didefinisikan sebagai helaian kertas berjilid yang berisi tulisan dan sebagainya untuk dibaca atau yang mengandungi ruangan kosong untuk ditulis.

Di mana harus buku diletakkan?

Tentulah di rak-rak buku atau di dalam almari.

Namun, Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 1272 merakamkan definisi rak dan bukan rak-rak.

Rak didefinisikan sebagai sejenis para-para daripada kayu atau logam untuk meletakkan pinggan mangkuk, buku, dan lain-lain manakala rak buku pula didefinisikan sebagai para atau tempat meletakkan buku.

Lantas, penggunaan frasa 'rak buku' sahaja sudah memadai.

Tidak perlu menggandakan perkataan 'rak' menjadi 'rak-rak'.

Berikut merupakan gambar rak buku-rak buku yang telah menarik perhatianku.


Alangkah seronok andai punya bilik khas untuk membaca.

Namun, jika terlalu selesa berada dalam bilik itu, barangkali aku akan terlena ketika membaca.



Rak buku berkonsepkan alam iaitu dahan pokok yang bercabang-cabang.

Kreatif.


Konsep rak buku yang berkonsepkan alam iaitu dahan pokok bercabang-cabang ini aku cita-citakan andai aku mempunyai rumah sendiri.

InsyaAllah, perlu ada bilik khas untuk buku disusun dan dibaca.


Ruang kosong dalam rak buku ini tersedia untuk pembaca duduk dengan kaki melunjur.

Kreatif.


Rak buku ini ringkas tetapi kreatif juga kerana membentuk perkataan 'READ'.

Boleh diMelayukan dengan perkataan 'BACA' atau diArabkan dengan perkataan 'IQRA'.

:)

Buku.

Rak buku.

Bilik bacaan.

Impianku.

Tuesday, May 15, 2012

Markah Penulisan Pengajaran dan Pendidikan Seni

Alhamdulillah.

Dr Hamid telah memaklumkan setiap pelajarnya, seorang demi seorang akan pecahan markah dan jumlah markah yang kami perolehi.

Aku gembira kerana tidak menyangka bahawa aku memperolehi 17 markah untuk penulisanku sedangkan pada waktu-waktu terakhir, aku dimaklumkan Kak K bahawa soalan nombor 6 yang kami jawab telah diubah dan kami dikehendaki menyiapkan semula penulisan itu.

Dalam kehampaan, aku hanya membuat sedikit perubahan sahaja kerana bagiku dan Kak K, tidak adil soalan diubah terhadap kami bertujuh.

Tidak mungkin aku akan melakukan semula kajian.

Tidak mungkin aku akan mencari buku rujukan yang sesuai.

Tidak mungkin aku akan mengguna pakai bahan lain yang relevan.

Aku hanya mengolah semula penulisanku dengan kehendak soalan yang baharu dalam ketidakikhlasan.

Bayangkanlah pada minggu itu, aku sedang 'struggle' menyelesaikan tugasan Sosiolinguistikku yang berupa penulisan juga berdasarkan 5 lirik lagu.

30 kasus perlu dikemukakan berdasarkan 5 lirik lagu itu.

Sudah lah aku tidak ke kelas pada hari penghantaran tugasan, bahkan lewat menghantar tugasan itu selama seminggu.... mana mungkin aku memberi tumpuan kepada penulisan Pengajaran dan Pendidikan Seni yang telah aku laksanakan tetapi diminta menyiapkan semula.

Ishk.

Alhamdulillah, 17 markah telah Dr Hamid berikan untuk penulisan itu.

Aku gembira.

Dr Hamid menyatakan dia telah memotong 1 markah daripada markah asal iaitu 18 markah kerana aku tidak menyertakan maklumat informan.

Silap dan salahku kerana mengetahui dan menyedari tentang perkara itu tetapi memilih untuk mengabaikan dan meremehkannya.

Atas sebab itu, 1 markah telah dipotong.

17 markah.

17 adalah angka kesukaanku.

Alhamdulillah.

Saturday, May 12, 2012

Alangkah indah


Alangkah indah senyumanmu wahai anak.

Betapa senyumanmu menyejukkan hati ini.

Betapa senyumanmu menjadi penawar jiwa ini.

Betapa senyumanmu melunakkan perasaan ini agar memahami makna redha dan menghayati erti ikhlas.

Redha menerima ketentuan.

Ikhlas menerima kepahitan.

Aku belum tentu mampu, wahai anak.