Monday, January 14, 2013

Kenangan silam: Bahasa Melayu dan Matematik. PSLE. Aliran normal dan aliran ekspres.

Bahasa Melayu dan Matematik merupakan dua mata pelajaran yang paling kuminati sejak kecil jika dibandingkan dengan Bahasa Inggeris dan Sains.

Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Bahasa Melayu merupakan empat mata pelajaran yang perlu diduduki dalam peperiksaan utama setelah enam tahun menjalani sistem pendidikan sekolah rendah.

Peperiksaan utama itu dikenali sebagai PSLE iaitu Primary School Leaving Examination.

Berdasarkan agregat yang diperolehi dalam peperiksaan utama itu, pelajar akan disalurkan ke sekolah menengah pilihan mereka asalkan agregat mereka itu menepati jangkaan yang telah ditentukan bagi setiap sekolah menengah.

Sewaktu aku berada di sekolah rendah, aku bukanlah pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Namun begitu, kekuatanku adalah Bahasa Melayu dan Matematik.

Mungkinkah kerana aku minat dengan kedua-dua mata pelajaran tersebut, maka aku memperoleh markah yang baik untuk Bahasa Melayu dan Matematik?

Atau munginkah kerana aku memperoleh markah yang baik untuk Bahasa Melayu dan Matematik, maka aku minat dengan kedua-dua mata pelajaran tersebut?

Aku percaya minat mampu mencetus daya fokus yang tinggi.

Ketika guru menyampaikan ilmu dan aku sebagai pelajar menerima ilmu tersebut, aku memberikan daya fokus yang tinggi hinggakan kerja sekolah baik di dalam kelas mahupun di rumah aku laksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Aku percaya markah yang baik juga mampu mengekalkan keinginan yang kuat dalam diri untuk terus bersungguh-sungguh dalam melakukan yang terbaik.

Namun, dalam peperiksaan utama PSLE, markat bagi mata pelajaran Matematik menghampakanku.

Aku tidak memperoleh A untuk mata pelajaran Matematik sebagai bukti kesungguhanku sejak darjah empat hinggalah darjah enam (memandangkan kesungguhanku belum menyerlah sewaktu darjah satu hingga darjah 3).

B pun tidak.

Vitamin C untukku.

Jika aku merefleksi diriku pada ketika ini mengenai kegagalanku memperoleh A untuk Matematik, sejujurnya aku tidak mampu untuk kenal pasti sebab kegagalanku itu.

Aku hampa apabila kedua-dua orang kenalan rapatku memperoleh agregat yang jauh lebih baik hinggakan mereka berpeluang ke aliran ekspres sedangkan aku dengan agregat yang tidak begitu tinggi hanya mampu melayakkan diri ke aliran normal.

Aku tidak kecewa tetapi hampa.

Bukan sekadar hampa tetapi terasa betapa kecil diri ini kerana kedua-dua kenalan rapatku menempah kecemerlangan dengan kegembiraan sedangkan aku tidak begitu cemerlang.

Namun..... awan gelap yang mengendong hujan hilang daripada pandangan setelah membasahi bumi.

Mentari menyinarkan cahaya yang menerangi alam semesta.

Bahkan pelangi menghiasi indah akan suasana.

Setelah setahun berada di sekolah menengah, aku menerima berita yang paling membahagiakan.

Kecemerlangan untukku telah tertangguh dalam keputusan PSLE namun akhirnya menjadi kenyataan jua dalam keputusan keseluruhan menengah satu.

Aku ditakdirkan menjadi pelajar terbaik dalam kelasku dan diberi peluang keemasan berganjak ke aliran ekspres.

Tidak pernah aku impikan bahawa aku akan diberi peluang sebegitu rupa.

Ternyata, peluang itu terlalu tinggi nilainya untukku.

Kecemerlangan yang membahagiakan.

Hingga kini, Bahasa Melayu dan Matematik tetap merupakan dua mata pelajaran yang paling aku minati.

Namun, aku telah mendalami Bahasa Melayu hingga ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak pula Matematik.

Walaupun Bahasa Melayu dan Matematik merupakan dua mata pelajaran yang paling aku minati namun dengan kedewasaan ini, aku lebih terbuka untuk menerima ilmu lain seperti Bahasa Inggeris dan Sains meskipun kedua-dua mata pelajaran ini tidak aku minati ketika berada di sekolah rendah.

Sunday, January 13, 2013

Selagi Tidak Pernah



Tidak mungkin memahami selagi tidak pernah mengalami
Tidak mungkin mengerti selagi tidak pernah menghadapi
Tidak mungkin mendalami selagi tidak pernah menyelami
Tidak mungkin melepasi selagi tidak pernah melalui

Pengalaman pahit bukan dambaan
Pengalaman perit bukan impian
Pengalaman perih bukan permintaan
Pengalaman pedih bukan keinginan

Apabila berjaga dalam kelam
Apabila bermimpi dalam suram
Apabila menjerit dalam diam
Apabila merindu dalam dendam

Terlalu luas hilang arah tidak bernakhoda
Terlalu dalam lemas akhirnya hilang nyawa
Terlalu jauh redah habis tenaga hilang upaya
Terlalu lama tadah tangan berdoa kini hilang percaya

Selagi tidak pernah mengalami, tidak mungkin memahami
Selagi tidak pernah menghadapi, tidak mungkin mengerti
Selagi tidak pernah mendalami, tidak mungkin menyelami
Selagi tidak pernah melalui, tidak mungkin melepasi

Algebra. Al-Jabr. Al-Khawarizmi.

Algebra.

Istilah matematik yang berasal daripada bahasa Arab, al-jabr.

Istilah ini dipinjam oleh bahasa Inggeris sebagai algebra.

Pada kurun ke-9, al-Khawarizmi dari Arab telah menghasilkan sebuah buku matematik yang berjudul al-Jabr wa al-Muqabalah.

Perkataan al-jabr mula digunakan sejak 820 tahun Masihi.

Al-jabr bermaksud 'menukar tempat kuantiti suatu persamaan dari kiri ke kanan atau sebaliknya'.

Sumber: Chong Mun Wah. (1997). Kamus Etimologi Bahasa Melayu. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

Kenangan silam: Blok 501

Blok 501.

Tingkat 2.

Unit 6.

Di situlah rumah pertamaku sejak aku dilahirkan.

Seluruh zaman kanak-kanakku dihabiskan di sini.

Monday, January 7, 2013

Analisis pepatah Melayu: Tahu menimba ilmu orang, tahu menyauk petua orang

Semalam, analisis pertama iaitu analisis Kes 1 daripada tugasan yang telah terlaksana pada tahun 2010 telah dikongsi di blog ini. Pada hari ini pula, analisis kedua iaitu analisis Kes 11 menjadi pilihan untuk dikongsi.


Kes 11: ‘Tahu menimba ilmu orang

                          Tahu menyauk petua orang’            

 

Perkataan ‘menyauk’ dalam baris kedua diertikan sebagai mencedok dan menimba dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1398). Lantas, menyauk mempunyai sama makna dengan menimba seperti yang tersurat dalam baris pertama. Kedua-dua perkataan ini adalah kata kiasan yang bermaksud mengambil atau memperoleh pengetahuan atau maklumat daripada sesuatu sumber.

 

Dalam ungkapan ini, sumber ilmu atau petua yang dimaksudkan merujuk kepada orang. Itu bererti kita harus mempunyai sikap keterbukaan dan merendah hati untuk mempelajari sesuatu daripada orang lain yang berilmu, berpengetahuan atau arif.

 

            Abdul Samad Ahmad (1990: 126) dalam bukunya, ‘Kesenian Adat, Kepercayaan dan Petua Ilmu’ menyatakan bahawa petua adalah sebahagian daripada ilmu. Namun di antara kedua-duanya mempunyai ciri yang berlainan. Berikut merupakan kenyataan beliau dalam memperlihat perbezaan di antara ilmu dan petua

Ilmu pengetahuan dalam apa bentuk pun merupakan kepandaian yang dimiliki oleh seseorang, sementara petua adalah kebijaksanaan mengatur ilmu yang ada bagi melaksanakan sesuatu pekerjaan. Ilmu pengetahuan dipelajari, sedangkan petua didapati daripada hasil pengalaman yang dilalui. Maka itu boleh juga dikatakan bahawa petua adalah satu daripada ciri ilmu.’

Namun, ilmu dan petua dalam budaya Melayu saling menyokong seperti yang tersurat dalam ungkapan yang diperkatakan. Menurut Abdul Samad Ahmad lagi (1990: 126), orang tua-tua berpendapat bahawa petua mendahului ilmu. Manakala ilmu yang tidak disertai petua kurang meninggalkan kesan dalam sesuatu pekerjaan. Bahkan seseorang yang tidak mengikut petua yang betul akan menghadapi masalah atau kesulitan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Petua seolah-olah menjadi panduan agar sesuatu pekerjaan itu menjadi, teratur dan sempurna.

 

 Lantas, ungkapan ini mendidik pembaca atau pendengar agar bersikap terbuka untuk memperoleh ilmu dan petua daripada orang lain yang lebih berpengetahuan dan berpengalaman.

Sunday, January 6, 2013

Analisis pepatah Melayu: Adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam

Dalam pos kali ini, aku ingin berkongsi analisis ringkas mengenai satu pepatah Melayu yang indah iaitu 'Adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam'. Analisis ini telah dilakukan ketika melaksanakan tugasan bagi modul Pengajian Melayu Bersumberkan Islam pada tahun kedua pengajian di Akademi Pengajian Melayu.


Kes 1: ‘Adat muda menanggung rindu

             Adat tua menahan ragam’

 

Pepatah yang ringkas ini mampu menyampaikan satu mesej utama atau satu nilai penting yang perlu dididik dalam jiwa orang Melayu. Nilai yang dimaksudkan adalah kesabaran meskipun perkataan ‘sabar’ itu tidak dinyatakan secara langsung.

 

Frasa ‘menanggung rindu’ mengajak orang muda kepada kesabaran. Maklumlah, lumrah orang muda memang mudah dibuai gejolak perasaan cinta, kasih dan rindu namun mereka perlu sabar menanggungnya. Begitu juga dengan frasa ‘menahan ragam’ yang menganjurkan orang tua agar bersabar. Maklumlah, orang tua perlu menghadapi pelbagai karenah anak muda yang masih mentah, pendek akal dan kurang faham tentang kehidupan dan cabaran hidup. Sudah menjadi tanggungjawab orang tua untuk memimpin orang muda ke jalan yang baik lagi benar dan ini tentunya memerlukan kesabaran seperti yang dijelaskan dalam Surah Al ‘Asr (103:2-3), yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”

 

Budayawan tersohor di Singapura, Muhammad Ariff Ahmad (2007: 87) dalam buku beliau ‘Nilam’ mentakrif sabar sebagai tahan, iaitu dapat mengawal perasaan dan fikiran sehingga ketahanannya menghasilkan sesuatu yang membahagiakan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 1361) pula mentakrif sabar sebagai betah menahan penderitaan (kesakitan, kesusahan, dll). Takrifan kedua bagi sabar adalah tidak terburu-buru, tenang.

 

Sabar adalah nilai hidup yang terlalu penting dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Nilai ini perlu ada dalam jiwa agar kita tidak mudah berperasaan melulu yang boleh menjurus kepada tindakan terburu-buru dan akhirnya mengakibatkan keburukan. Lantas, orang muda mahupun orang tua perlu sentiasa menghayati nilai sabar agar hidup tidak dipacu nafsu dan perasaan melulu seperti geram, marah, jemu, meluat, benci, dendam dan sifat-sifat mazmumah yang lain serta kemaksiatan yang dilarang Allah s.w.t.

 

Jika kesabaran dapat dipupuk sejak kecil, dilatih secara berterusan dan dihayati dengan sepenuh jiwa, nilai kesabaran itu akan dapat mensejahterakan kehidupan. Namun, perjalanan untuk menjadi insan yang sabar tidaklah mudah seperti yang tersurat dalam Surah Al Baqarah (2: 45-46), yang bermaksud:

 

“Jadikanlah sabar dan solat  sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, iaitu orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”

 

Lantas, pepatah ‘adat muda menanggung rindu, adat tua menahan ragam’ menekankan peri pentingnya kesabaran dalam kehidupan.

Saturday, January 5, 2013

Lenovoku, HP dan Acerku

Ketika aku teruja untuk mencurahkan isi hati dan fikiran di blogku semalam, aku dikejutkan dengan situasi Lenovoku.

Lenovoku tidak dapat dihidupkan.

Hmmm... mengapakah begitu?

Namun aku masih tetap teruja untuk berkongsi di blogku ini tentang pengalaman tiga hari mengajar secara berpasangan dengan dua orang guru berpengalaman dalam jabatanku iaitu Cikgu Nor dan Cikgu Huda.

Kini, aku sedang berHP di tempat dudukku di bilik guru.

HP ini hak milik sekolah dan aku kurang seronok mencurahkan isi hati dan fikiran di blogku melalui HP apatah lagi di sekolah meskipun waktu mengajar sudah selesai.

Acerku pula bermasalah kerana pengecas Acerku itu tidak dapat berfungsi dengan stabil.

Adakala, Acerku dapat dihidupkan.

Adakala pula, Acerku tidak dapat dihidupkan.

Hmmm...