Monday, April 8, 2013

Cinta Dari Syurga: Antara gila bayang dengan gila talak seorang Zarul Aiman

Selesai menonton Cinta Dari Syurga.

Andai aku menaip pada waktu ini tentang pandanganku setelah selesai menonton cerekarama ini, pastinya aku akan memuntahkan kemarahanku terhadap watak Zarul Aiman yang membuat perasaanku meledak marah.

Ternyata, watak Zarul Aiman merupakan watak yang diciptakan oleh penulis skrip berdasarkan kisah benar yang berlaku dalam rumahtangga masyarakat kita.

Namun kisah benar yang berlaku dalam rumahtangga masyarakat kita tidak dapat dijadikan contoh tauladan kerana kebanyakannya negatif belaka.

Cinta Dari Syurga hendaklah dilihat sebagai kegagalan seorang suami menjalankan tanggungjawab semasa bermonogami lagi dengan Damia.

Kegagalan itu semakin ketara apabila berpoligami.

Setelah perceraian berlaku dengan isteri pertama iaitu Damia, aku percaya dan yakin bahawa perkahwinan monogami Zarul Aiman dengan Hannan akan goyah dan tidak mustahil gagal juga.

Puncanya ialah Zarul Aiman yang GILA BAYANG dengan Hannan sesudah bernikah dengan Damia kerana terburu-buru bernikah dengan Damia setelah terburu-buru berpisah dengan temanitanya, Hannan.

Kemudian setelah perceraian antara Zarul Aiman dengan Damia berlaku, Zarul Aiman GILA TALAK pula dengan Damia sesudah bercerai dengan Damia kerana memenuhi permintaan Damia untuk bercerai setelah memenuhi permintaan Damia untuk bernikah dengan bekas temanitanya, Hannan.

Ish ish ish.... Damia Damia.

Damia menganjurkan suaminya bernikah dengan Hannan yang digilabayangkan Zarul Aiman TANPA perancangan, kesediaan (walaupun Damia menyatakan Damia bersedia sedangkan kesediaan bukan sekadar untuk dituturkan tetapi kesediaan menghadapi realiti yang tidak terduga dan biasanya pahit untuk ditelan), perbincangan terbuka dan bersemuka antara tiga jiwa, ilmu dan pemahaman....

Sejak dari mula apabila Zarul Aiman bernikah seorang lagi, sudah dapat diramalkan bahawa poligami sebegini tidak akan membawa kebahagiaan terutama sekali bagi isteri pertama kerana pelaksanaannya ternyata sekadar memanfaatkan suami dan isteri kedua.

Tidak mungkin cemerlang sebuah rumahtangga poligami kalau sekadar untuk merawat penyakit gila bayang seorang suami terhadap bekas temanitanya.

Suatu permulaan yang terlalu tidak munasabah.

Membina rumah apa jua bentuk pun (kampung, pangsa, teres, banglo dsb) perlukan perancangan, kesediaan, perbincangan, ilmu dan pemahaman serta kemahiran....

Begitu juga dengan membina rumah tangga baik monogami apatah lagi poligami.

Usah sekadar melepaskan batok di tangga yang akhirnya berumah dengan sengsara.

Berlantaikan sengsara, berdindingkan sengsara dan beratapkan sengsara.

Jalan cerita dan watak ketua keluarga dalam Cinta Dari Syurga masih bersifat tipikal kerana memperlihatkan sisi NEGATIF sebuah rumahtangga poligami yang GAGAL dan berlaku dalam masyarakat sedangkan sisi POSITIF sebuah rumahtangga poligami yang CEMERLANG dan wujud dalam masyarakat masih disisihkan, masih dipinggirkan, masih diketepikan.... untuk dijadikan tatapan dan rujukan masyarakat.

Jalan cerita dan watak ketua keluarga yang mengecewakan.

Cinta Dari Syurga: Antara pelakon yang aku minati dengan pelakon yang tidak aku minati

Aku sedang menonton Cinta Dari Syurga di lelaman Youtube.

Minit ke-46.

Pelakon yang aku minati dan pelakon yang tidak aku minati berganding dalam cerekarama ini.

Pelakon yang aku minati ialah jelitawan Anzalna Nasir.

Manakala pelakon yang tidak aku minati ialah jelitawan Fouziah Gous.

Namun, dalam filem ini, kedua-dua Anzalna Nasir dan Fouziah Gous memainkan watak yang baik dan menarik.

Anzalna Nasir sebagai Hannan dan Fouziah Gous sebagai Damia.

Aku kecewa dengan watak utama yang diberi nama Zarul Aiman yang tidak memainkan peranannya sebagai seorang lelaki yang baik tetapi mengimpikan isteri yang baik.

Mungkin di situ silap ibu Zarul Aiman yang menekankan peri penting MEMILIH calon isteri yang baik sedangkan dia kurang mengetengahkan peri penting MENJADI calon suami yang baik.

Zarul Aiman kurang kesabaran, kurang kesantunan, kurang berbudi dan kurang berakhlak tetapi berpoligami sedangkan ketidaksempurnaannya tidak pernah direfleksi apatah lagi diperbaiki semasa bermonogami.

Terburu-buru dengan keputusan berpisah dengan Hannan dek cemburu.

Terburu-buru menghamburkan kata-kata merendahkan Hannan sebagai wanita tidak berakhlak.

Terburu-buru dengan keputusan bernikah dengan Damia dek kecewa.

Terburu-buru menghamburkan kata-kata merendahkan Damia sebagai isteri yang mandul.

Sejujurnya, pada kaca mataku, Zarul Aiman tidak layak berpoligami sedangkan dalam bermonogami, dia bukan suami yang baik.

Watak ketua keluarga seperti ini tentu akan memburukkan keindahan poligami yang ternyata sudah dipandang cacat oleh masyarakat sedangkan ketidaksempurnaan poligami bukanlah disebabkan sistem poligami itu tetapi berpunca daripada pelaku yang menerajui bahtera poligami.

Aku akan terus menonton Cinta Dari Syurga untuk melihat kesudahan jalan cerita ini.

Kecewa dengan watak Zarul Aiman.

Apa pun, aku tidak kecewa dengan watak Hannan lakonan Anzalna iaitu pelakon yang aku minati dan watak lakonan Fouziah iaitu pelakon yang tidak aku minati.

Entah siapa pelakon lelaki yang menjadi watak utama Zarul Aiman.

Kecewa dengan watak Zarul Aiman!

Kais petang makan petang: 26, 27 dan 28 Mac 2012

Pengurus-pengurus Unit Tajaan terdiri daripada dua puluh orang iaitu

1. Abu Bakar Bin Abu Mansor
2. Ahmad Nazif Bin Che Abdul Rahman
3. Azlina Binti Mat Arifin
4. Azri Syazwan Bin Borhan
5. Farha Salwa Binti Abdullah
6. Masitah Binti Mohd Razali
7. Mazirahyu Binti Mat Jani
8. Mohamad Shafiq Rohaizad Bin Buyong
9. Mohd Aliff Bin Hasbullah
10. Nor Fathiah Binti Ab Rahim
11. Norfatihah Binti Syed Ali
12. Nur Ain Binti Ahmed Nasir
13. Nur Farhah Binti Mohd Ghazali
14. Siti Hajar Binti Wahab
15. Siti Hawa Binti Ezan
16. Siti Zamzarina Che Musa
17. Wan Nur Hanani Binti Wan Hassan
18. Lim Swee Kim
19. Nur Hakimah Binti Ali
20. Nur Khairiyyah Binte Nordin




Nur Hakimah yang suka membaca sedang mempamerkan salah satu produk jualan iaitu buku bertajuk Panduan Bercinta & Memendam Rindu.


Nur Farhah (berbaju hitam) dan Nur Ain (berbaju hijau) merupakan pasangan sahabat rapat yang senantiasa ramah dan ceria mengurus gerai.


Siti Hawa (berkomputer riba), Nor Fathiah dan Mohd Aliff tetap sabar dan setia menunggu kunjungan pelanggan ke gerai kami.


Lim Swee Kim, satu-satunya pengurus bukan Islam yang sudi bersama Unit Tajaan untuk memasarkan bahan bacaan Islamik seperti majalah Solusi, Gen Q, Q & A dan buku-buku motivasi serta novel-novel Islamik.


Tiga dara pingitan atau dikenali sebagai 'tiga serangkai' yang terdiri daripada Wan Nur Hanani (berbaju merah jambu dan sedang bercekak pinggang), Azlina (berbaju kurung dan sedang menulis) dan Masitah (berkardigan hitam dan sedang bercekak pinggang juga) memang cukup komited dalam usaha mereka mengurus gerai.


Salah seorang pengurus yang senantiasa tenang dalam apa jua situasi iaitu Abu Bakar sedang dikunjungi oleh 'bos besar' iaitu Khaidir Hanafi yang merupakan Pengarah Kenduri Rakyat APM 2012.

Sunday, April 7, 2013

Kais pagi makan pagi: 19 Mac 2012

Pengalaman berniaga atas permintaan Pengarah Kenduri Rakyat APM 2012, Khaidir Hanafi bukanlah sesuatu yang aku ingin laksanakan namun tidak pula mampu aku tolak.

Antara rela dengan terpaksa, aku menyetujui separuh hati akan tanggungjawab yang diberikan.

Unit Tajaan (atau lebih tepat lagi pada pandanganku unit itu diberi nama Unit Dana (memandangkan hanya Restoran Rebung yang menaja kenduri ini sedangkan dana diperolehi daripada akademi, pensyarah dan hasil keuntungan perniagaan) telah memulakan perniagaan pada Isnin, 19 Mac 2012.

Perniagaan dijalankan di dataran Akademi Pengajian Melayu yang menjadi tumpuan utama para pelajar dan dikenali ramai sebagai 'foyer'.

Dua puluh orang pengurus yang dijadualkan bertugas paling kurang dua jam dalam seminggu telah sama-sama menjalankan tanggungjawab.

Berikut merupakan gambar-gambar yang dipetik


Bersiap siaga dari bilik C403 dengan produk yang didapatkan daripada seseorang yang pernah menjadi rakan sebilik iaitu Masyitah. Separuh hati menerima tawaran Khaidir disemarakkan dengan peluang yang datang tanpa diduga pada detik-detik terakhir iaitu cetusan idea menjual produk yang pada pandanganku lebih berhasil dan bermanfaat sebagai alternatif memandangkan piza dan donat tidak dapat dihantar.

 

Gadis berkulit cerah lagi berpenampilan ini bukan sekadar rakan sebilikku, bahkan 'setiausaha peribadi'ku sekaligus setiausahaku dalam Unit Tajaan. Namanya Nur Khairiyyah.



Kami sedang menantikan kedatangan teksi untuk ke 'foyer' Akademi Pengajian Melayu. Kelasku bermula pada jam 9 pagi.


Pengurus yang bertugas pada slot pertama dalam jadual pada hari pertama untuk minggu pertama berniaga ialah Nor Fathiah yang pelembut, taat dan tulus. Gadis baik hati ini bernama Nor Fathiah.

Antara rindu dan rintihan


Antara rindu Tuan kepada hambaNya dan antara rintihan seorang hamba kepada Tuannya.

Monday, April 1, 2013

Komentar tentang kamar


Kamar merupakan tempat istirehat yang penting setelah penat seharian bekerja.

Atas dasar itu, kamar hendaklah tenang dan mampu menenangkan.

Pemilihan warna amat penting kerana warna mampu mempengaruhi minda.

Reka corak pada dinding, almari pakaian dan gerbang katil ini menarik hati tetapi kombinasi warna yang dipilih tidak begitu menenangkan perasaan meskipun warna putih mampu menyerlahkan kamar ini agar kelihatan lebih luas dan indah.

Kertas peperiksaan pertengahan tahun

Aku sedang mengolah kertas peperiksaan pertengahan tahun untuk Menengah Dua aliran Normal Teknikal pula sejak sebelum Maghrib tadi.

Acer menjadi 'sahabat'ku apabila Lenovo 'merajuk' lagi sedangkan Soalan A1, Soalan A2 dan Soalan B1 sudah disiapkan dan tersimpan dokumen itu di dalam Lenovo.

Kesilapanku ialah tidak menyimpan dokumen itu ke dalam pemacu USB.

Kesilapanku juga ialah tidak mematikan komputer setelah menyiapkan separuh jalan Soalan B2.

Kini, aku di teratak untuk menyediakan semula keseluruhan kertas peperiksaan untuk Menengah Dua aliran Normal Teknikal.

Mujur aku sudah menyimpan dokumen kertas peperiksaan pertengahan tahun untuk Menengah Satu aliran Normal Akademik ke dalam pemacu USB.

Andai tidak, segala usaha dan masa yang dihabiskan untuk menyiapkan kertas peperiksaan pertengahan tahun untuk Menengah Satu aliran Normal Akademik tidak berbaloi.