Saturday, September 13, 2014

F untuk Fahrenheit

Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 405 mendefinisikan 'Fahrenheit' sebagai skala suhu yang menunjukkan takat sejuk beku air pada 32 F dan takat didih 212 F.

Itulah definisi Fahrenheit sejak aku mula mengenali dan mempelajari tentang perkataan itu dari buku teks Sains semasa di sekolah menengah.

Namun, Fahrenheit bukan sekadar merujuk kepada skala suhu setelah aku menjadi seorang guru di sekolah menengah.

Fahrenheit ialah nama sebuah klinik berdoktorkan seorang lelaki Melayu iaitu Doktor Emran.

Isterinya pula bernama Puan Naziha.

Aku mula mengunjungi klinik itu pada tahun 2013.

Sebelum klinik Fahrenheit beroperasi, klinik Fitrah yang berdoktorkan seorang wanita Melayu iaitu Doktor Harlina adalah pemilik asal klinik ini.

Apabila Fitrah bertukar tangan kepada Fahrenheit, bukan sahaja doktor dan pentadbiran berubah bahkan lokasi klinik juga bertukar.

Doktor Emran seorang doktor yang bagus manakala isterinya, Puan Naziha seorang wanita yang ramah.

Pasangan yang baik hati.

F untuk Fahrenheit iaitu nama sebuah klinik.

Friday, September 12, 2014

Rancangan debat yang aku minati: The Big Questions

Antara rancangan yang menarik untuk ditontoni di lelaman perkongsian video Youtube ialah rancangan yang memberi peluang kepada para pedebat untuk mengetengahkan kekayaan intelek dan mengasah kemahiran berhujah khususnya rancangan The Biq Questions.

Bagi seorang penutur jati bahasa Melayu yang kurang bertutur dalam bahasa Inggeris, rancangan ini memberi peluang kepada aku untuk mendengar bahasa Inggeris yang baik dibicarakan dengan lancar oleh para pedebat.

Isu-isu kontemporari yang bertema agama, etika dan moral menjadi fokus dalam rancangan ini.

Thursday, September 11, 2014

Strategi Pembelajaran Dalam Bulatan: Topik 'Bapa'

Dari segi ejaan, empat huruf perlu disusun untuk membentuk perkataan 'Bapa'.

Namun dari segi sebutan, perkataan 'Bapa' lazim dilafazkan sebagai 'Bapak'.

Selain daripada perkataan 'Bapa', sesetengah orang menggelarkan insan yang berstatus bapa dalam hidup mereka sebagai 'Ayah', 'Abah', 'Abi' dan sebagainya.

Walau apa jua gelaran yang diberikan kepada insan yang amat penting dalam hidup kita ini, sebenarnya tidak semua insan yang bernasib baik kerana dilahirkan ke dunia ini tanpa hadirnya seorang bapa.

Dalam usaha mendekati dan mengenali pelajarku, daku memilih kata nama 'bapa' sebagai topik perkongsian, perbualan dan perbincangan ketika berada dalam bulatan bersama kelas 2 Normal Akademik dan kelas 3 Normal Akademik.

Ramai pelajar yang tidak bersedia untuk berkongsi tentang topik ini.

Ada pun yang berkongsi hanya menceritakan sesuatu yang ringkas tentang topik ini.

A menceritakan perkara yang positif tentang ayahnya.

I pula menceritakan bahawa bapanya berada di penjara.

Seandainya bapanya muncul kembali dalam hidupnya, I mengatakan bahawa dia sedia menerima kehadirannya.

Berbeza dengan H.

Dia langsung tidak dapat menerima bapanya

Seandainya bapanya muncul kembali dalam hidupnya, H mengatakan bahawa dia akan memukul bapanya.

Begitulah antara perbualan para pelajarku apabila membincangkan topik mengenai bapa mereka..

Kian ramai pelajar yang tinggal sebumbung dengan bapa tiri.

Terdapat juga pelajar yang tidak berbapa.

Ada pelajar yang mempunyai bapa angkat.

Begitulah kehidupan para pelajarku apabila mereka diberi peluang untuk berkongsi, bercerita dan berbincang tentang topik yang diketengahkan melalui pembelajaran dalam bulatan.



Wednesday, September 10, 2014

Buah fikiran seorang pengkaji dan penulis, Lesley Hazleton

Mencerahkan hatiku yang mendung dengan menonton klip video demi klip video di lelaman perkongsian video Youtube hinggalah aku diinspirasikan dengan butir bicara seorang pengkaji dan penulis, Lesley Hazleton tentang seorang utusan Allah iaitu Muhammad s.a.w.


Subhanallah.

Tuesday, September 9, 2014

Debat antara Maajid Nawaz dengan Ayaan Hirsi Ali

Satu perdebatan yang menarik dan baik untuk ditontoni dan difahami.


Tahniah Maajid Nawaz.

Saturday, September 6, 2014

Strategi Pembelajaran Dalam Bulatan: Peribahasa

20 peribahasa yang daku ajarkan kepada para pelajar melalui Strategi Pembelajaran Dalam Bulatan:

(a) ada gula adalah semut
(b) ada kerak adalah nasi
(c) alah bisa tegal biasa
(d) bagai menelan mestika embun
(e) bagaimana acuan begitulah kuihnya
(f) burung terbang dipipiskan lada
(g) garam jatuh ke air
(h) hilang adat tegal muafakat
(i) malu berkayuh perahu hanyut
(j) ringan tulang berat perut
(k) takut titik lalu tumpah
(l) besar kapal besar gelombang
(m) biduk lalu kiambang bertaut
(n) membuang garam ke laut
(o) sebab buah dikenal pohonnya
(p) seperti harimau menyembunyikan kukunya
(q) belayar sampai ke pulau
(l) tangan mencencang bahu memikul
(m) tiada rotan akar berguna
(n) tukang tidak membuang kayu

Meskipun tidak seorang guru pun yang menghargai pengajaranku, aku harus bersyukur kerana para pelajar terhibur dan meraih manfaat melalui pengajaranku.

Aku percaya dan yakin bahawa strategi ini telah meninggalkan kesan dalam pembelajaran anak didikku kerana bukan sekadar daya penghafalan mereka yang diasah tetapi mereka kudidik agar 'mendekati, mengingati, memahami dan menghayati' peribahasa Melayu yang indah.

Friday, September 5, 2014

Tidak bererti tanpa adab. Tidak bermakna tanpa adab.

Hari Guru langsung tidak memberi erti kepadaku apabila aku melihat remajaku berperilaku tanpa adab.

Hari Guru langsung tidak memberi makna kepadaku apabila aku menyaksikan guru-guru Bahasa Melayu berperilaku tanpa adab.