Friday, March 30, 2012

Dalam Daun Ada Bicara

Artikel 'Dalam Daun Ada Bicara: Falsafah Alam Pantun Melayu' yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh.

Minta daun diberi daun,
Dalam daun ada bidara;
Minta pantun diberi pantun,
Dalam pantun ada bicara.

Dalam rintangan pemikiran asas bangsa Melayu/Nusantara, peribahasa dan pantunlah menjadi wadah terpenting. Melalui logika kebijaksanaan kolektif dan asosiasi puisi, baris-barisnya melukis jiwa bangsa itu, memberi suara kepada persoalan yang dihadapinya, secara bersambungan, untuk beberapa ratus kurun, malah ribuan, dalam hal praktikal dan perasaan, jasmaniah dan rohaniah, yang akhirnya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai pendapat, nilai, undang-undang, kasih sayang serta berbagai-bagai jjalur perasaan lainnya. Di sini, kita menemui sasterawan/pendeta menggalas dua fungsi sekali gus - sebagai penyair dan sebagai pemikir/pendeta, dua tugas berlainan, tetapi digabungkan dengan cukup ilmiah.

Oleh sebab mereka harus hidup, maka manusia Nusantara itu harus menyelesaikan beberapa masalah, dan kerana mereka juga ingin teman-teman atau ahli keluarga mereka terus mendapat manfaat kebijaksanaan bersama-sama, maka disusun dan dikekalkan oleh mereka dalam bentuk lisan yang mengesan jiwa lisan mereka.

Antara begitu banyak masalah yang harus ditanganinya, yang utama ialah bagaimana dia harus hidup dengan alam, mengenalinya, dan belajar daripadanya. Setelah ini diasaskan, maka dia perlu cepat menanam prinsip undang-undang masyarakatnya supaya hak dan keadilan bersama dapat dipastikan. Sementara itu, urusan hidup bermasyarakat, hidup dalam negara, dan hidup sebagai seorang individu, banyak menuntut perhatiannya. Konflik antara kumpulan pula harus diselesaikan, perasaan cinta dan bencinya pula mesti mendapat tempat dan kata sewajarnya. Tetapi, yang tidak kurang penting ialah mencari tempat dan maknanya sebagai manusia dalam cakerawala yang tidak mudah difahami dan dalam hal ini, dia harus berfikir sebagai seorang yang beragama.

Semua ini akhirnya meletakkan dasar pemikiran bangsa itu - dan dalam bentuk gabungannya inilah falsafah orang Melayu - Nusantara. Di layar besar, perasaan dan pandangannya terlukis nilai, etika, dan unggulnya; tetapi kita tidak harus lupa bahawa semua ini datang daripada pengalaman praktikal untuk hidup dan untuk mati, yang panjang dan diteliti dengan kesabaran orang terdahulu.

Asas Reka Bentuk Seni

Unsur-Unsur Seni:

1) Garisan
2) Warna
3) Jalinan
4) Rupa
5) Bentuk
6) Ruang

Prinsip-Prinsip Rekaan:

1) Pergerakan
2) Imbangan
3) Harmoni
4) Kontra
5) Penegasan
6) Kepelbagaian
7) Kesatuan

(Dipetik daripada buku Teori Seni Visual yang ditulis oleh Chang Hon Woon.)

Pada tahun pertama, semester kedua, kami diwajibkan mengambil modul Asas Reka Bentuk Seni dan pembelajaran kami bergantung kepada nota kuliah dan maklumat dalam internet sedangkan buku ini adalah sebaik-baik rujukan. Kenangan.... :)

Buku ini dipinjam kerana aku sedang mencari idea untuk pengajaran mikroku pada minggu ke-10. Berfikir dan memikirkan pengajaran mikro ini bukan suatu perkara yang mudah apatah lagi aku tidak begitu akrab dengan seni visual 2D apatah lagu seni visual 3D. Cabaran ini harus dilalui dengan minda terbuka. Ujian yang berlaku pada 26 Mac 2012 telah pun aku lalui dengan hati separuh terbuka kerana sebelum ini, aku tidak tidur sepanjang malam kerana minda berkecamuk. Salah satu perkara yang difikirkan ialah pengajaran mikroku. Namun, ujian yang berlaku pada 26 Mac 2012 mengajar aku sesuatu tentang sikap manusia yang kurang bertanggungjawab.

Apa pun, perkara sudah berlaku. Aku harus berlapang dada dan mengikhlaskan hati dengan ujian itu.

Sunday, March 25, 2012

Takdir dan Waktu

Bayangkan betapa seperti kilat memancar waktu kian berlalu?

Tidakkah keterlaluan menggambarkan cepatnya waktu berlalu dengan pancaran kilat?

Barangkali keterlaluan.

Tidak mengapa.

Bermetafora dan berhiperbola sejenak.

Hmmm...

Betapa waktu terus berlalu dan perpisahan yang tidak kuharap-harapkan semakin menghampiri.

Bayangkan baru Jumaat yang yang lalu iaitu 23 Mac 2012, aku keluar bersama Shidah ke Jabatan Pengangkutan Jalan, A&W dan Mid Valley sedangkan Jumaat pada minggu sebelum iaitu 16 Mac 2012 , aku baru sahaja berbincang tentang program wisata ke Kelantan dengan Sarah Najwa dan Abu Bakar yang telah mampir ke kolejku.

Seminggu yang mengandungi tujuh hari tidak terasa seperti seminggu melainkan hanya kerdipan mata.

Bermetafora dan berhiperbolakah aku?

Hmmm...

Namun, itulah yang kurasa.

Takdir dan waktu.

Takdir akan tentu memisahkan.

Waktu pula akan menyegerakan.

Kabhi Alvida Naa Kehna

Kabhi Alvida Naa Kehna.

Aku sedang menonton klip video demi klip video filem ini.

Barangkali sudah mencecah 117 kali aku menontoni filem ini.

Tetap konsentrasiku tertaut.

Tetap emosiku tersayat.

Terimbas kenangan menonton filem ini di dalam blik C301 iaitu bilik asramaku yang pertama semasa menjadi mahasiswi di Universiti Malaya pada tahun 2009.

Terimbas kenangan menonton filem ini di dalam kamar sendiri iaitu kamar tidurku di Singapura (sebelum dan sesudah menjadi mahasiswi di Universiti Malaya).

Hingga ke detik ini, filem ini masih tetap menjadi tatapan dan renunganku.

Masih tetap menjadi sesuatu yang kuhayati dan kuhargai.

Jalan cerita yang realistik.

Watak dan perwatakan yang penuh konflik.

Skrip yang indah dengan olahan kata-kata yang menyentuh perasaan dan menggegar minda.

Sunday, March 18, 2012

Tidakkah kamu mengerti. Ketahuilah.

Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti? (Al Quran, Surah Al-An’am, ayat 32)



Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sendagurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu  serta berlomba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi  kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu. (Al Quran, Surah Al-Hadid, ayat 20)


13 Mac 2012 yang menghiburkan hati

Selasa 13 Mac 2012

Menghadiri kedua-dua kelas tutorial Leksikografi.

Seperti semalam (Isnin 12 Mac 2012) di dalam kuliah Leksikografi, Sarah Najwa duduk di sebelahku dan mengusikku.

Sarah Najwa dan Syamimi Farhan telah bersekongkol memuat naik gambarku di grup Keluarga Bahagia.




Perasaanku?

Tentulah tidak suka meskipun aku mengukirkan senyuman sedangkan sebenarnya, aku tidak ada 'mood' sejak kebelakangan ini.

Namun begitu, akhirnya aku berpeluang merampas Tablet Sarah Najwa.

Aku dapat memadam gambarku yang dikirim di grup Keluarga Bahagia dan setelah beberapa percubaan, akhirnya menemui gambar itu dalam Tablet Sarah Najwa dan memadam gambar tersebut.

Sungguh lega perasaanku.

Tablet itu menemani aku ke Perpustakaan APM, Kompleks Perdana Siswa, Perpustakaan Utama dan kembali ke APM.

Bahagia menggodam akaun FB Sarah Najwa dengan mengepos status-status yang menghiburkan hatiku.

Bahagia membaca respon rakan-rakan FB Sarah Najwa terhadap status-status yang terpapar hinggakan aku terketawa dalam perjalanan.

Tutorial Pengajaran dan Pendidikan Seni pada jam 1 petang agak menarik kerana Cik Syafa meminta kami berbincang dalam kumpulan dan kemudian berbahas tentang kerelevanan sekolah seni di Malaysia pada masa kini.

Bahagia apabila Cik Syafa menyatakan bahawa dia suka dengan bidasanku yang menyatakan bahawa seni Melayu dikenali oleh masyarakat Barat yang datang ke Malaysia bukan menerusi sekolah-sekolah seni tetapi melalui peluang menginap di rumah inap desa (homestay).

Maklumlah rumah inap desa kini semakin diperbanyakkan, diperkayakan dan dinaik taraf bahkan mendapat naungan kerajaan dalam usaha memperkenalkan dan mempertahankan seni dan budaya Melayu.

Bahagia apabila Encik Nazzri mengajar pula tentang pembinaan masjid di Malaysia dalam kelas Kesenian Islam pada jam 2 petang.

Antara perkara yang diperkatakan ialah fungsi masjid, isu memperindahkan masjid, masjid-masjid yang terdapat di Malaysia (antaranya Masjid Kampung Laut iaitu masjid tertua di Malaysia) serta penyatuan yang bersifat luaran dan dalaman.


Kelas berakhir pada jam 4 petang.

Kak K menghantarku dengan teksi ke Perpustakaan Utama kerana aku perlu mendapatkan beberapa buah buku untuk tugasan Kesenian Islam.

Berbalik kepada Tablet Sarah Najwa yang masih dalam genggamanku, akhirnya pada jam 6 petang, Sarah Najwa datang ke bilikku di Kolej 11 untuk mendapatkan Tablet itu.

Sejak jam 11 pagi hingga jam 6 petang iaitu 7 jam... Tablet Sarah Najwa bersamaku.

Bahagia dapat menggodam dan mengusik Sarah Najwa.




Sungguh terhibur dengan keletah Sarah Najwa yang ingin menuntut keadilan di mahkamah atas kesalahanku menggodam akaun FBnya.

Perkara yang dituntut di ruang FB mendapat respon Abu Bakar, Awg Azhar, Nur Khairiyyah dan Nur Hakimah.

Sungguh menghiburkan hati sedangkan pagi tadi, aku sebenarnya tertekan apabila Sarah Najwa dan Syamimi Farhan memulakan agenda mengusikku.

Friday, March 16, 2012

Istana-Istana Tua Tradisional dalam Penjagaan Muzium Tempatan

'Terdapat puluhan istana dan rumah tradisional yang dibina pada masa dahulu tetapi kebanyakannya musnah akibat kebakaran dan ditinggalkan tidak terjaga. Pada hari ini hanya tinggal beberapa contoh kediaman kayu berukir kepunyaan raja dan golongan bangsawan. Paling menyedihkan hanya segelintir sahaja yang sedang 'dipelihara' dan dibuka kepada umum.
Dalam hal ini, badan awam yang  memainkan peranan dalam menyelamatkan dan memelihara bangunan ini daripada terbiar ialah muzium tempatan. Program pemeliharaan yang telah dan sedang dijalankan termasuk lima buah istana kayu tradisional yang akan dibuka kepada orang awam. Bangunan ini ialah
Istana Ampangan Tinggi di Negeri Sembilan,
Istana Tele di Terengganu,
Istana Satu di Muzium Negara Kuala Lumpur,
Istana Kenangan di Perak dan
Istana Jahar di Kelantan.

Suatu perkara yang menggalakkan ialah pembinaan semula dan pemeliharaan Istana Tele di Terengganu dibiayai sepatutnya oleh sektor swasta. Ini menjadi satu kes pemeliharaan terulung dalam negara.'

Penulisan ini telah diperolehi daripada salinan nota yang dicetak daripada buku yang tidak diketahui judul dan penulisnya. Hanya sub topik 2.5 Memelihara Warisan sahaja yang dapat dikenal pasti.