Sunday, May 25, 2014

We: Kita atau Kami?



We itu Kita.

We itu Kami.

We itu Kita dan Kami.

Tugas seorang ayah bukan sekadar mencari rezeki


Tugas seorang ayah bukanlah sekadar mencari rezeki untuk menampung keluarganya yang terdiri daripada dirinya selaku ketua keluarga, isterinya selaku sayap kiri perjuangannya dan anak-anaknya selaku pelengkap rumahtangganya.

Seorang ayah mempunyai peranan yang amat penting dalam mendidik anak-anak meskipun peranan itu telah distereotaip sebagai peranan utama si isteri atau si ibu kepada anak-anak.

Atas sebab keterbatasan waktu si ayah di rumah kerana perlu keluar bekerja, si ibu diberi tugas sepenuhnya dalam mendidik si anak.

Namun, zaman si ibu mengurus rumahtangga sepenuhnya sekaligus mendidik anak-anak di rumah sudah berlalu.

Zaman ini ialah zaman ibu ayah sama-sama keluar bekerja demi penakatan ekonomi keluarga.

Siapa yang berperanan mendidik si anak apabila kedua-dua si ibu dan si ayah perlu berhempas-pulas mencari rezeki demi menampung keluarga?

Apabila si ibu perlu bekerja, si ibu tidak lagi dapat memainkan peranan mendidik SEPENUHnya kerana sebahagian besar masa si ibu telah dihabiskan di tempat kerja.

Apakah peranan mendidik wajar dipertanggungjawabkan kepada si pembantu rumah yang kebanyakan mereka berasal dari Indonesia atau Filipina?

Si pembantu rumah bukan insan yang melahirkan si anak itu.

Si pembantu rumah mempunyai tugas utama iaitu menguruskan rumah dan bukan tugas penting mendidik anak-anak.

Apakah peranan mendidik wajar dipertanggungjawabkan kepada nenek dan datuk kepada si anak itu kerana sekurang-kurangnya mereka mempunyai pertalian darah?

Seandainya si nenek dan si datuk mempunyai upaya, apa salahnya namun jika mereka tidak berupaya lagi, bagaimana?

Si nenek dan si datuk mempunyai pengalaman dalam mendidik namun usahlah pula mereka dibebankan atau disusah-susahkan dalam hal ehwal pengurusan kerana sisa-sisa usia mereka tidak wajar dihabiskan dengan mengurus cucu-cucu melainkan hanya untuk mendidik cucu-cucu mereka ini.

Usahlah dicampuradukkan tugas mengurus dan tugas mendidik kerana kedua-dua tugas ini berbeza meskipun sama-sama penting.

Sejujurnya, kedua-dua ibu bapa mempunyai peranan yang sama penting untuk mendidik anak-anak.

Bukan sekadar peranan si ibu dan bukan sekadar peranan si ayah.

Kedua-duanya sama penting dan kedua-duanya sama perlu.

Kita tidak harus membincangkan isu ini dengan mengemukakan faktor kuantiti iaitu siapa yang harus menjalankan tugas mendidik atau siapa yang harus LEBIH menjalankan tugas mendidik.

Sebaliknya kita harus memfokuskan faktor kualiti iaitu bagaimana seseorang anak itu harus dididik oleh si ibu dan bagaimana seseorang anak itu harus dididik oleh si bapa dalam situasi zaman ini yang sarat dengan cabaran.

Dalam perbincangan kali ini, cabaran yang diperkatakan ialah keterbatasan waktu memandangkan kedua-dua si ibu dan si ayah keluar bekerja.

Seorang anak lelaki memerlukan sentuhan didikan kedua-dua-dua si ibu dan si ayah yang tentunya berbeza cara dan gaya.

Begitu juga anak perempuan memerlukan sentuhan didikan kedua-dua si ibu dan si ayah yang ternyata berlainan penekanan dan pendekatan.

Lantas, aku kurang bersetuju apabila peranan mendidik hanya dibebankan kepada si ibu semata-mata.

Pada hakikatnya, si ayah harus memikul tanggungjawab ini bersama-sama si ibu demi kebahagiaan keluarga.

Bukankah pepatah Melayu mengingatkan kita bahawa yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.


24 Mei 2014
2:41 petang

29 Jun 2012 - 29 Jun 2014

 
29 Jun 2012 merupakan tarikh aku kembali ke bidang pendidikan.
Bukan selaku seorang pendidik di sekolah rendah seperti dahulu tetapi selaku seorang pendidik di sekolah menengah.
Aku sedang menantikan ketibaan tarikh 29 Jun 2014.
Tarikh yang menandakan bahawa sudah genap dua tahun aku bersabar dengan cabaran dalam alam perguruan.