Sunday, April 22, 2012

Berkecamuk. Bercelaru. Bergalau.

Jiwa tidak begitu tenang.


Fikiran berkecamuk memikirkan tentang pembentangan Pendidikan dan Pengajaran Seni pada hari Isnin ini meskipun rancangan pengajaran telah disiapkan.


Fikiran bercelaru memikirkan tentang persembahan Powerpoint yang belum disempurnakan.


Fikiran bergalau memikirkan tentang tugasan penulisan yang perlu diserahkan pada hari Isnin ini juga sedangkan isi penulisan tidak mencukupi.


Entah.


Sedangkan aku mempunyai pilihan untuk melaksanakan pembentangan ini lebih awal lagi, mengapa aku memilih minggu terakhir untuk pembentangan iaitu minggu ke-10.


Minggu ke-10 juga adalah minggu penghantaran tugasan penulisanku.


Begitu juga dengan Leksikografi.


Sedangkan aku mempunyai pilihan untuk melaksanakan pembentangan ini lebih awal lagi, akhirnya aku perlu melaksanakan pembentangan dalam kelas tutorial pada minggu yang sama iaitu minggu ke-10.


Itu tugasan individu sedangkan tugasan berkumpulan telah terabai dan terbengkalai.


Entah.


Mujurlah program Kembara Kelantan yang dijadualkan pada 19hb April - 22hb April ditunda.


Punca utama program ini ditunda kerana beberapa orang peserta telah menarik diri dan menjejas jumlah.


Sewaktu berbincang dengan Abu Bakar dan Sarah Najwa, aku juga menyatakan bahawa sebenarnya aku mempunyai tugasan yang memerlukan tumpuan memandangkan pada minggu ke-10, aku perlu melaksanakan dua pembentangan.


Dua pembentangan.


Satu rancangan pengajaran untuk Pendidikan dan Pengajaran Seni.


Satu persembahan Powerpoint untuk Pendidikan dan Pengajaran Seni.


Satu persediaan dan bahan pengajaran untuk Pendidikan dan Pengajaran Seni yang melibatkan dua kemahiran.


Entah.


Mujur pembentangan Kesenian Melayu dan Islam pada minggu ke-12.


Tugasan penulisan untuk Sosiolingustik telah bermula tetapi adakala mampu, adakala jemu, adakala teruja, adakala bosan, adakala fokus, adakala letih.


Sebentar lagi, barangkali aku akan sempurnakan persembahan Powerpointku sementara menunggu pesanan McDonalds yangg dijadualkan sampai pada jam empat setengah pagi.


Shidah yang tolong buatkan pesanan memandangkan kami berdua telah kehabisan kredit untuk membuat panggilan.


Ya Allah, berikanlah kekuatan dan kemudahan bagiku melaksanakan tugasan dalam keadaan fikiranku berkecamuk, bercelaru dan bergalau.


:(

Friday, April 20, 2012

Merbah - Yellow Vented Bulbul

Bahagia berada di Aras 3, Perpustakaan Utama.

Mencari dan memperolehi buku tentang burung-burung memandangkan lirik dalam lagu Mengapa Dirindu dimulai dengan dua frasa nama iaitu 'anak punai' dan 'anak merbah'.

Maka, aku telah membaca serba sedikit tentang burung merbah iaitu Yellow Vented Bulbul dalam bahasa Inggeris.

Meskipun tidak terperinci, buku ini boleh dikatakan agak baik untuk dijadikan rujukan kerana gambar disertakan sekali di samping pemerian dan penerangan ringkas.

Buku yang dimaksudkan bertajuk BIRDS: A Photographic Guide to the Birds of Peninsular Malaysia and Singapore  yang telah ditulis oleh Morten Strange dan Allen Jeyarajasingam.

Wednesday, April 18, 2012

Peribahasa: Rekaan Logik dan Tepat

Artikel telah ditulis oleh Rosli K. Matari dan diterbitkan dalam Dewan Budaya keluaran Mac 2011, halaman 40-42.

Semua bangsa di dunia memiliki warisan khazanah peribahasa masing-masing. Peribahasa merupakan ungkapan indah kerana diungkapkan dengan menggunakan bahasa halus yang boleh dianggap sebagai lebih bersopan. Peribahasa juga mempunyai maksud tersirat di sebalik objek atau subjek tertentu untuk menggantikan sesuatu maksud sebenar yang ingin disampaikan. Bangsa Melayu turut memiliki kekayaan khazanah peribahasa yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Hal ini membuktikan bahawa peribahasa merupakan sebahagian daripada unsur penting dalam kehidupan harian dan peradaban bangsa Melayu. Sejak dahulu sehingga sekarang, peribahasa tetap kekal dalam lingkungan budaya hidup bangsa Melayu. Jika tidak, tentulah peribahasa sudah lama pupus ditelan zaman.

Thursday, April 12, 2012

12 April di Akademi Pengajian Melayu dan Perpustakaan Utama Universiti Malaya

Terpaut hatiku apabila menjejakkan kaki di aras dua Perpustakaan Utama Universiti Malaya seolah-olah cinta sedang bersemi semula.

Entah mengapa...

Mungkin disebabkan dengan detik perpisahan yang semakin hampir.

Mungkin juga disebabkan dengan sikapku yang boleh dikatakan sambil lewa pada semester ini hinggakan 7 minggu pertama di Universiti Malaya terasa bagai berlalu begitu sahaja.

Sepanjang 7 minggu pertama bermula daripada 13 Februari 2012 hingga 30 Mac 2012 dalam semester terakhirku sebagai seorang mahasisiwi tidak seperti semester-semester yang lalu.

Jika direnung-renung dan dikenang-kenang, semester ketiga dan semester keempatlah merupakan dua semester yang aku benar-benar berusaha dengan gigih.

Membaca, menyalin fakta, mencetak nota, melaksanakan tugasan... dengan sungguh-sungguh.

Sepenuh hati dan separuh mati kuusahakan.

Namun, apabila menjejakkan kaki ke semester kelima, kesungguhan itu kian kendur.

Apatah lagi apabila berada di ambang semester keenam, kesungguhan itu ternyata sudah hilang daya tariknya.

Entah mengapa...

Aku tidak fikir aku tidak tahu sebabnya.

Atau barangkali aku tidak mahu memikirkan sebabnya.

Barangkali juga aku cuba menafikan sebabnya.

Apa pun, petang ini, aku bersyukur dapat menikmati suasana di Aras 3, Perpustakaan Utama Universiti Malaya.

Membaca tidak banyak tetapi aku telah mula memberi fokus sedangkan aku mengantuk kerana hanya tidur sejam lebih demi melengkapkan Rancangan Pengajaran yang perlu kupersembahkan kepada Dr Abdul Hamid.

Rancangan Pengajaranku sudah 90% disiapkan.

Alhamdulillah.

Gambar-gambar digital yang memperlihatkan proses pengajaranku sahaja yang belum sempat aku lampirkan.

Ulasan beliau tentang Rancangan Pengajaranku tertumpu kepada Set Induksi yang perlu diperbaiki agar dua kemahiran yang akan aku ajar dapat dikaitkan dengan Set Induksi yang menjadi daya tarikan utama sesebuah pengajaran.

Bahkan, ketiga-tiga teknik itu agak banyak dan Dr Hamid memintaku fokus kepada hanya satu teknik sahaja memandangkan teknik pertama beliau sifatkan sebagai konvensional manakala teknik ketiga tidak begitu menarik perhatian beliau.

Lantas, kami sependapat untuk memilih hanya teknik kedua sebagai fokus untuk kemahiran pertama yang akan aku ajarkan di dalam kelas.

Aku belum dapat memaparkan gambar-gambar digitalku tentang pengajaranku kerana bimbang, pisang akan berbuah dua kali apabila idea yang kukongsi diambil orang.

InsyaAllah, jika selesai sudah pengajaranku di dalam kelas, akan aku paparkan gambar yang aku ambil untuk pembinaan Rancangan Pengajaran bagi modul Pendidikan dan Pengajaran Seni.

Jam 11.30 pagi.

Janji temuku dengan Dr Hamid.

Setelah selesai berbincang dengan Dr Hamid, aku membuat janji temu dengan Abu Bakar dan Sarah Najwa untuk program Cuti-Cuti Malaysia ke Kelantan dengan tema yang dinamai Abu Bakar iaitu Kembara Kelantan.

InsyaAllah, Kembara Kelantan itu akan berlangsung pada 19hb hingga 22hb April meskipun aku perlu melaksanakan pembentanganku pada 23hb April dan sekaligus menyerahkan Rancangan Pengajaranku di samping menyerahkan tugasan individu yang lain. (Bayangkan tiga tugasan individu kesemuanya.)

Tugasan individu yang telah tertaip sebanyak tiga ayat... baru tadi di sini (Aras 3, Perpustakaan Utama Universiti Malaya) setelah membaca buku Budaya dan Pembelajaran yang ditulis oleh Syed Ismail Bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki Bin Maskon.

Mengantuk kerana tidur yang kurang tetapi sejauh ini, mampu bertahan.

Secara fizikal, tampak seperti mampu bertahan sedangkan minda tumpul.

Secara spiritual, hanya Tuhan yang tahu betapa longlainya aku manakala emosiku agak terhibur atas beberapa sebab.

Antara sebab yang boleh dikongsi ialah.... tersuanya aku dengan dua orang kenalan dari Pusat Kebudayaan iaitu Farish dan Ella.

Antara sebab yang lebih baik dipendam ialah.... lagipun aku hanyalah seorang hamba yang perlu akur kepada kehendak Tuhan yang menentukan dan menetapkan jalan ceritaku yang sejujurnya, boleh dikatakan aku telah berlepas tangan.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya Dr Hamid menerima juga produk kreatif yang dihasilkan meskipun aku perlu membuat perubahan untuk Set Induksiku.

Namun, jauh di sudut hati, aku tetap bimbang kerana perspektif Dr Hamid boleh bila-bila sahaja berubah kerana suatu ketetapan itu bukan dalam keupayaanku untuk menentukan.

Belajarlah untuk menjadi insan yang tenang apabila menginsafi bahawa ketenangan belum aku miliki.

Belajarlah untuk menjadi insan yang matang apabila menginsafi bahawa kematangan juga belum aku miliki.

Sunday, April 8, 2012

Agar Dikuatkan Iman Yang Lemah

Sungguh indah lirik lagu Layar Keinsafan.

Seindah lirik lagu Destinasi Cinta.

Aku telah jatuh cinta dengan lagu Layar Keinsafan.

Barangkali inilah kali pertama aku mendengar lagu ini.... atau barangkali inilah kali pertama aku menghayati lirik lagu ini.

'Sepi benar senja ini
Bayunya semilir menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang
Kapal dan layar terkapar
Mengapa nantikan senja
Baru kan terdetik pulang ke pengkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan

Tuhan
Layarkanku ke arah cintaMu
Tuntuniku menggapai redhaMu
Rimbunan kasihMu ku berteduh
KepadaMu ya Tuhan
Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan

Biar Kau menjadi saksi
Tulus tangisku kala dinihari
Kesempatan yang hanya sebentar
Moga keikhlasanku terlakar

Berikanlah ku hidayah
Agar dikuatkan iman yang lemah
Moga diberkati hidup ini
Menuju bahagia yang kekal abadi

Harapanku moga dikurniakan
Manisnya iman berpanjangan
Moga lautan hilang gelora untuk ku berlayar'

Dambakan Sebutir Hakikat

Tadi.... apabila aku tiba di perkarangan kolej kediamanku, azan Isyak di kolej sedang berkumandang.

Begitu juga berkumandang azan Isyak di radio dalam teksi.

Kini.... sedang bersendirian di dalam bilik sambil memainkan lagu Destinasi Cinta di Youtube.

'Gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untuk kusemai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat kuberteduh di rendang kasihMu
Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah bernama hati'

Lagu 'Destinasi Cinta' yang mengandungi lirik yang indah dan menyentuh perasaan apatah lagi jiwa kian terusik sejak petang tadi.

Perkara-perkara yang menyinggahi kamar minda ini belum terjawab.

Bukan sekadar menyinggah tetapi berligar-ligar.

Belajarlah untuk pasrah.

Belajarlah untuk redha.

Thursday, April 5, 2012

Mengapa Dirindu


Anak punai anak merbah
Terbang turun buat sarang
Anak sungai pun berubah
Ini pula hati orang
Mengapa dikenang

Asal kapas jadi benang
Dari benang dibuat baju
Barang lepas jangan kenang
Sudah jadi orang baru
Mengapa dirindu

Kasih yang dulu tinggal dalam mimpi
Kasih yang baru simpan di hati
Kasih yang dulu tinggal dalam mimpi
Kasih yang baru simpan di hati

Selat Teduh lautan tenang
Banyak labuh perahu Aceh
Jangan kesal jangan kenang
Walau hati rasa pedih
Mengapa bersedih?

Kalau pinang masih muda
Rasanya kelat sudahlah pasti
Kalau hilang kasih lama
Cari lain untuk ganti
Mengapa dinanti?

Patah kan tumbuh hilang berganti
Akan sembuh kalau diubati
Patah kan tumbuh hilang berganti
Akan sembuh kalau diubati

Tuesday, April 3, 2012

SOLUSI (Isu Nombor 20)

Mukmin itu diamnya fikir cakapnya zikir


Antara perkara yang dikongsi dalam majalah SOLUSI (Isu Nombor 20) ini ialah (sekurang-kurangnya) empat manfaat yang diperolehi apabila belajar daripada alam. Artikel yang bertajuk Manfaat Hasil Belajar Daripada Alam telah ditulis oleh Pahrol Mohamad Juoi dan boleh dibaca daripada halaman 20-23.

(1) Terasa Bukti Kewujudan Allah

Lihat alam yang begitu tersusun dan teratur. Mustahil tiada Pengaturnya. Mustahil semuanya berlaku secara kebetulan. Rasional dan logik akal menolak alam ini terjadi dengan sendirinya. Kalimat yang selalu diulang-ulang oleh guru-guru yang mengajar ilmu Tauhid adalah bukti adanya Allah adalah adanya alam ini.

Penciptaan alam ini begitu sistematik hinggakan planet-planet beredar mengelilingi matahari pada orbitnya dengan jarak yang telah ditentukan. Bumi yang berada pada jarak 149 680 000 kilometer dari matahari misalnya, akan berada paling dekat dengan matahari pada 2 Januari setiap tahun yakni pada jarak 147.1 juta kilometer dan berada paling jauh daripada matahari yakni 152.6 kilometer pada tarikh 2 Julai.

Bumi tidak akan lebih dekat daripada jarak itu kerana ini akan menyebabkannya panas dan terbakar. Bumi juga tidak akan jauh lebih daripada itu kerana ini akan menyebabkannya sejuk dan membeku. Siapa yang menetapkan jarak ini? Subhanallah.

(2) Bukti Kekuasaan dan Keagungan Allah

Bayangkan betapa hebatnya kuasa Allah yang mengatur alam ini. Untuk menyusun perabot, sistem pendawaian elektrik, hiasan sebuah rumah misalnya, lebih mudah untuk menyusun perkara-perkara yang sama pada sebuah stadium dan untuk menyusun dan mengatur sebuah stadium tentunya lebih mudah berbanding menyusun sebuah daerah, negeri dan negara. Bayangkan, betapa besarnya kuasa Allah yang mengatur dan menyusun seluruh alam raya ini!

(3) Menambah Keyakinan Kepada Kebenaran Al Quran

Dengan melihat alam, terciptalah imu sains kerana sains itu berasaskan kepada uji kaji, pemerhatian dan kesimpulan. Banyak ayat Quran mendorong manusia melihat dan mengkaji alam. Oleh itu sains dan Al Quran tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya datang daripada Allah.

Namun, Al Quran bukanlah buku sains. Wahyu Allah tidak boleh disamakan dengan akal manusia. Namun, penemuan yang terbukti kebenarannya oleh sains tidak akan bercanggah dengan Al Quran. Sains misalnya menemukan bahawa cahaya matahari itu adalah sumber kepada cahaya bulan. Cahaya pada bulan hanya cahaya pantulan daripada matahari. Cahaya keduanya tidak sama. Dalam surah Nuh ayat 16, Allah berfirman yang bermaksud:

"... Dan Allah menciptakan pada langit-langit itu bulan sebagai nur dan matahari sebagai siraj."

Allah menggunakan dua istilah yang berbeza untuk membezakan antara cahaya bulan dan cahaya matahari. Siraj bererti pelita atau lampu - yakni alat yang mampu mengeluarkan cahaya sendiri menerusi mekanisme tertentu di dalamnya. Manakala nur diertikan sebagai bercahaya atau bersinar. Ia tidak membawa maksud mengeluarkan cahaya dengan sendirinya sebaliknya ia memantulkan sahaja cahaya yang mengenainya.

(4) Menambah Keyakinan Kepada Hari Akhirat

Memandang dunia ini sepatutnya mengingatkan kita kepada akhirat. Dengan melihat alam ini, seseorang harus mampu memacu akal dan hati untuk 'melihat' alam yang lebih luas dan hebat - alam akhirat. Mereka terasa betapa kerdilnya manusia dibandingkan Allah yang Maha Pencipta lalu tunduk patuh kerana takutkan seksa neraka.

Monday, April 2, 2012

Tanda kasih yang abadi... Dalam senang jua dalam kesempitan

Deru ombak pecah berderai
Mengulang pantai datang dan pergi
Begitu kasih insan diibaratkan
Bagai ombak merubah pantai

Tika kasih melestarikan sayang
Semuanya indah dipandang mata
Pabila rasa benci terbit di hati
Rasa kasih dan sayang pun menyisih

Tanda kasih yang abadi
Dalam senang jua dalam kesempitan
Kasih Ilahi tiada bersempadan
Tak memilih siapa
Tidak berakhir kekal selamanya

Di antara dua kasih
Di maqamnya yang berbeza
Mudah dijumpa namun sukar untuk dipelihara
Lahir dari ketulusan jiwa bersuluhkan iman
Namun nafsu menodainya

Terkadang kasih kita sesama insan
Bisa mengundang keredhaan Tuhan
Jika insan menghargainya
Dan memuliakannya

Kasih sayang Allah kekal selamanya
Kasih manusia hanya sementara

Deru ombak pecah berderai
Mengulang pantai datang dan pergi
Begitu kasih insan diibaratkan
Bagai ombak merubah pantai