Sunday, March 31, 2013

Kertas peperiksaan pertengahan tahun

Aku sedang mengolah kertas peperiksaan pertengahan tahun untuk Menengah Satu aliran Normal Akademik sejak petang tadi.



Thursday, March 28, 2013

Episod 28 Sehangat Asmara

Aku sedang menonton episod 28 daripada Sehangat Asmara melalui lelaman klip video Dailymotion pada waktu dan ketika ini.

Tetamu petang tidak diundang

Aku baru sahaja selesai 'mengemop' lantai dek tetamu petang yang tidak diundang.

Tetamu petang itu datang daripada lubang empat persegi di lantai dapur di mana terletaknya mesin pembasuh pakaian.

Pada mulanya aku terdengar bunyi kelantang-kelentung seolah-olah mesin pembasuh pakaian sedang 'menjalankan tugasnya'.

Apabila aku periksa, mesin pembasuh pakaian itu kosong dan ternyata tidak berada dalam keadaan 'hidup'.

Aku dalam kemusykilan.

Alangkah terkejutnya aku apabila buih sabun yang entah dari mana puncanya terpancut keluar daripada lubang empat persegi di lantai dapur di mana letaknya mesin pembasuh pakaian.

Terkedu seketika.

Sudah tentu aku cemas meskipun tampak tenang.

Aku bimbang seandainya perkara ini boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini.

Pada hakikatnya, aku tidak menggunakan mesin pembasuh pakaian dan tidak ada sesiapa pun kecuali aku di sini yang menyaksikan kejadian sebenar.

Mesin pembasuh pakaian tidak dipenuhi pakaian bahkan berada dalam keadaan 'mati'.

???

Dari manakah datangnya buih sabun yang membuak-buak ini?

Aku masih dalam kemusykilan.

Perkara paling logik yang dapat aku fikirkan ialah buih sabun daripada mesin pembasuh pakaian milik jiran yang tinggal di tingkat atas.

Maka pada petang ini, aku perlu 'mengemop' lantai tanpa niat untuk menghilangkan buih sabun yang telah membanjiri lantai dapur.

Namun begitu, harus aku akui bahawa pengalaman didatangi tetamu petang yang tidak diundang ini lucu dan menyeronokkan kerana aku dapat bermain dengan buih sabun meskipun perlu 'bersingsing lengan'.

Saturday, March 23, 2013

Bersegera tidak bermakna terburu-buru apatah lagi melulu

Seperti mana mereka terburu-buru bahkan melulu ingin bernikah, begitulah mereka terburu-buru bahkan melulu hendak bercerai.

Menyegerakan sesuatu yang baik iaitu bernikah tidak bermaksud terburu-buru apatah lagi melulu.

Meskipun tidak dinafikan bahawa pernikahan yang dilaksanakan mampu menyelamatkan nafsu yang sedang bergejolak.

(Aku tidak dapat meneruskan taipan kerana Zaynab Suhaylah meminta aku makan apatah lagi makanan yang aku pesan ialah aiskrim.)

Wednesday, March 20, 2013

Penggal pertama dalam 2013

Penggal pertama dalam 2013 telah berakhir dengan janji temu bersama ibu salah seorang pelajarku pada jam 2.30 petang.

Guru utama kelasku yang bertemu lebih dahulu dengan ibu tunggal itu sebelum aku sampai.

Kami duduk berbicara tentang anak beliau yang aku yakini kerap tidak hadir ke sekolah kerana belum matang dalam melihat peri pentingnya menuntut ilmu.

Aku yakin dia akan berubah suatu hari nanti meskipun nasihat demi nasihat yang diberikan belum memperlihatkan perubahan yang positif daripadanya.

Aku bimbang dia tidak akan berubah bahkan menjadi semakin culas dan lebih tidak diingini lagi menjadi tidak bertanggungjawab seandainya perkara ini tidak dibawa ke tengah.

Penggal pertama telah berakhir dengan cuti seminggu yang bermula pada Sabtu, 16 Mac 2013 sebetulnya tetapi oleh sebab aku menemani rakan sekerjaku bermalam di sekolah pada Isnin, 18 Mac hingga pagi Selasa, 19 Mac atas urusan aktiviti kokurikulum maka cutiku bermula pada esok hari iaitu Rabu, 20 Mac 2013.

Penggal pertama dalam 2013 bermula dengan Minggu 0 yang Alhamdulillah berjalan dengan baik meskipun aku berprasangka negatif pada awalnya.

Minggu 1 hingga Minggu 10 dilalui bak menunggang 'roller coaster'.

Pemergian Nigel yang terlibat dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawanya dan nyawa adiknya menyayat hati.

Apatah lagi dia menyapaku pada pagi itu iaitu hari terakhir dia hidup di muka bumi.

Subahanallah.

Amukan 'Hang Jebat' di dalam kelas dan peristiwa yang menyusul hingga menimbulkan tekanan perasaan bagi diri ini cukup menduga.

Astaghfirullah.

Inisiatifku mendekati pelajar menerusi 'Pastoral Care Eat Together' yang aku jalankan pada Minggu 10 ternyata membuka mataku tentang masalah-masalah yang dihadapi pelajar-pelajarku.

Sejauh ini, 11 orang pelajar dapat aku temui dalam sesi ini meskipun sesi ini berlangsung kurang daripada 50 minit memandangkan aku sesi ini dijalankan pada waktu rehat.

Keterbukaan mereka dalam berkongsi masalah yang ternyata sebahagian BESAR adalah masalah keluarga semata-mata menginsafkan bahawa mereka perlu didekati dan difahami sebelum dibentuk dan dididik.

Allahuakbar.

Aktiviti membersihkan Taman Bedok Reservoir pada hari terakhir dalam penggal pertama bagiku menyeronokkan tetapi bagi para pelajar, mereka tidak seronok.

Lagipun Taman Bedok Reservoir terlalu bersih untuk dibersihkan oleh para pelajar dan tidak begitu memanfaatkan untuk dibersihkan.

Alhamdulillah.

MENCABAR adalah satu perkataan yang aku pilih untuk memerikan penggal pertama hingga terbit rasa patah hati dalam diri ini untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang guru.

Aku berharap aku dapat bertahan paling kurang 2 tahun sebagai guru di sekolah ini, sebagai guru di sekolah menengah dan sebagai guru tetap.

Andai aku mampu bertahan hingga ke penghujung Jun 2013, Alhamdulillah.

Maka genaplah setahun aku kembali bertugas sebagai guru meskipun bukan guru sekolah rendah.

Aku harus terima 'penghijrahan' yang Tuhan sudah tentukan untuk diri ini kerana meskipun perasaanku berkecamuk, aku sedar bahawa ada baiknya 'berhijrah'.

Penggal pertama dalam 2013 yang MENCABAR!

Monday, March 18, 2013

Kek Coklat

Selesai membakar kek coklat.

Rasa bangga dan gembira dek kesempurnaan kek coklat itu sewaktu kek itu di dalam oven dan setelah kek itu keluar dari oven.

Kek 'brownie' Mc Cafe yang enak aku nikmati beberapa hari yang lalu telah menginspirasikan aku untuk membakar kek coklat daripada air tanganku sendiri.

Aku sedang menunggu kek coklat yang hangat dari oven itu sejuk sedikit.

Resipi kek coklat ini aku ambil daripada resipi guru subjek Ekonomi Rumahtanggaku semasa di menengah empat (berdasarkan catatan di bahagian hadapan buku resipi) meskipun seingat aku, resipi ini diberi olehnya semasa aku di menengah tiga.

Walau apa pun, resipi ini adalah resipi zaman 90an.

Aku harus kembali ke dapur untuk 'bermesra' dengan kek coklatku itu.

Artis paling anggun bak seorang puteri: Fauziah Latiff

Aku sedang melayari Youtube dengan memainkan lagu-lagu popular suatu masa dahulu yang dinyanyikan satu-satunya artis paling anggun bak seorang puteri iaitu Fauziah Latiff.

Keanggunannya kukagumi sejak dahulu.

Pada waktu dan ketika ini, aku sedang memainkan klip video Enggan.

'Engkau dah berteman, aku merasakan cintamu masih berkelana....'

Sunday, March 17, 2013

Lirik lagu popular suatu masa dahulu: Apa Sebenarnya (Fauziah Latiff)

Andai sampainya waktu
Aku harus tinggalkanmu
Akan aku berlalu bila tiba saat itu
Tak guna kau merayu dan tak perlu menahanku
Kerana yang berlalu kehendakmu

Hanya tuhan yang lebih tahu
Susah senang hidup denganmu
Sumpah janji semakin layu
Hingga kini jatuh satu persatu
Engkau membiarkanku

Air mata bertamu tidak kenal erti jemu
Menemani hatiku tidak mengenal ruang waktu
Mengapa dari dulu tak kau katakan padaku
Kehadiranku ini menyusahkan

Yang terhalang kejujuranku
Dan yang terbilang kesilapanku
Memang payah dimengertikan
Kerana tertutup pintu hatimu terima penjelasan

Biar apa jua tafsiran
Yang ingin kau nyatakan
Aku rela terima semua


 
 
Lagu yang popular dan disukai ramai pada zaman 90an.
Zaman itu aku seorang remaja yang berada di sekolah menengah.
Walkman dan kaset menjadi teman rapatku.

Friday, March 15, 2013

Menikmati kek 'brownie' dengan teh o di teratakku

Aku sedang menikmati kek 'brownie' yang enak dari Mc Cafe dengan teh o Sari Wangi yang aku siapkan sendiri di teratakku.

Teratak yang serba sederhana.

Namun kesederhanaan yang aku perlukan ini mampu mendamaikan.

Alhamdulillah.

Terima kasih Tuhan atas nikmat rezeki yang enak dirasa oleh lidah dan tekak.

Terima kasih Tuhan atas nikmat rezeki yang diperoleh setiap bulan meskipun beban kerja dan tekanan perasaan perlu dipikul minggu demi minggu.

Terima kasih Tuhan atas nikmat rezeki yang menempatkan aku di teratak tempat merehatkan tubuh dan minda serta jiwa.

Wednesday, March 13, 2013

Dalam tafakur, aku belum akur dengan takdir yang mentadbir


Terlalu ramai yang telah kutinggalkan demi kebahagiaan insan lain.

Terlalu mudah aku beralah demi mendahulukan kebahagiaan insan lain sehinggakan kebahagiaan diri sendiri tidak pernah diutamakan.

Kesedaran berputik setelah aku meninggalkan seseorang yang terlalu berharga demi kebahagiaan insan lain sehinggakan memudaratkan diri sendiri bahkan aku diselar kekesalan yang berpanjangan.

Kemeranaan mengepungku dari setiap arah setelah aku benar-benar menginsafi bahawa dialah yang aku perlukan selama ini dan untuk selamanya kerana semenjak dia tiada, tiada insan lain yang dapat menggantikan tempatnya sebaik dia walaupun dia sepertiku - tidak sempurna.

Ternyata meninggalkan seseorang dengan tujuan beralah kepada keinginan insan lain yang bertujuan membahagiakan diri mereka adalah suatu kerugian besar yang perlu ditanggung bebannya seorang diri tanpa insan lain yang menginginkan sebegitu dengan mudah melepaskan tangan jauh sekali menghulurkan bantuan.

Subhanallah.

Dalam tafakurku, aku belum akur dengan takdir yang mentadbir diriku.

Sehangat Asmara bertemakan kesetiaan

Watak A : Pemendam cinta yang setia
Watak Z : Pencinta yang setia
Watak Kamilia: Pemendam rindu yang setia

8 tahun berlalu dan sepasang suami isteri iaitu Z dan Kamilia terpisah.

Maka gugurlah talak apabila Kamilia didesak ibu bapanya untuk mohon bercerai setelah suami Kamilia menghilangkan diri.

Namun, dalam keadaan tertanya-tanya, bingung dan pilu kerana ditinggalkan tanpa sebab, penjelasan dan khabar berita, seorang isteri bernama Kamilia memendam rindu terhadap suaminya.

Rindu yang dipendam dengan penuh KESETIAAN.


Meskipun watak A sentiasa menemani, pintu hati cinta Kamilia tidak pernah terbuka untuk A iaitu seorang teman baik yang dikenalinya sejak kecil.

Benar Kamilia mengasihi A tetapi bak kasih seorang adik untuk abangnya.

Namun, bagi A pula tidak sebegitu.

A mengasihi Kamilia sebagai teman dan dalam diam, memendam perasaan cinta terhadap wanita ini.

Menjangkau lebih daripada 8 tahun, A memendam cinta untuk Kamilia dengan penuh KESETIAAN.


Watak Z yang jatuh cinta terhadap Kamilia sejak pandangan pertama berputik indah hingga akhirnya Kamilia menzahirkan perasaan cintanya juga terhadap watak Z.

Mereka bernikah di rantauan tanpa restu ibu bapa Kamilia.

Namun, apabila watak Z perlu pulang ke pangkuan keluarga di Perak atas urusan kecemasan, berakhirlah percintaan Z dan Kamilia.

Sebenarnya, ada sesuatu yang berlaku kepada Z semasa di kampung walaupun babak itu belum jelas dipaparkan namun dapat dianggarkan atau dijangkakan daripada dialog Z dengan ibu dan adik perempuannya.

Tentulah Z terperangkap dengan situasi di kampung yang memaksanya menghilangkan diri dan memutuskan perhubungan sama sekali dengan  isteri yang dicintai iaitu Z.

8 tahun mereka terpisah namun A tetap seorang suami yang mencintai isterinya dengan penuh KESETIAAN.


Pertemuan semula Z dan Kamilia amat mengganggu perasaan Kamilia kerana Z seolah-olah tidak pernah bersalah dan tidak pernah berasa bersalah sedangkan Kamilia terlalu lama diselubungi duka yang begitu menyesakkan jiwa.




Rita dan Lisda bertemu semula Kerana Sarah

Sejak semalam, aku mulai menonton drama berepisod yang berjudul Kerana Sarah.

Sebenarnya, gambar Rita Rudaini yang melakonkan watak Sarah jelas memancarkan kesuraman wajah manakala sinopsis cerita yang dibentangkan jelas menceritakan tentang nasib seorang wanita yang teraniaya dan dianiaya.

Aku tidak berminat untuk menontonnya kerana watak dan jalan ceita sebegini tentu mampu menjejas perasaan.

Oleh sebab episod terbaharu Sehangat Asmara yang amat aku nanti-nantikan belum dimuatnaikkan, aku seperti tiada pilihan lain.

Watak utama bagi watak hero pula langsung tidak mengujakan.

Namun, satu perkara yang paling menarik perhatianku adalah gandingan suami isteri iaitu Fauzi Nawawi dan Lisdawati bersama Rita Rudaini dalam drama ini.

Menarik perhatianku!

Beberapa tahun lalu, Lisdawati dan Rita pernah bergelut dan saling mengasari dalam kolam renang ketika rakaman untuk sebuah drama sedang dijalankan.

Mereka bukan sekadar berlakon pada waktu itu tetapi betul-betul bergelut dan saling mengasari kerana berkonflik.

Tidak silap aku, perkara itu berlaku pada tahun 2007 iaitu tahun yang tidak mungkin aku lupakan sampai bila-bila.

Kini, mereka bertiga bertemu semula dalam sebuah drama bertajuk Kerana Sarah dengan Rita melakonkan watak protagonis manakala Lisda melakonkan watak antagonis.

Itulah perkara yang mengujakan.




Monday, March 11, 2013

Sejauh 21 Episod Sehangat Asmara

Selesai penontonanku hingga ke episod 21 daripada drama berepisod Sehangat Asmara yang aku akui bagus!

Lebih bagus daripada Adam Dan Hawa meskipun kedua-dua drama episod adalah adaptasi daripada novel yang dihasilkan oleh penulis yang sama.

Aku lebih menyukai Sehangat Asmara daripada Adam Dan Hawa kerana persoalan yang ditimbulkan oleh watak Kamilia lebih mencengkam perasaan daripada persoalan yang diutarakan oleh watak Ain Hawani.

Watak Kamilia mempersoalkan sebab dia ditinggalkan suami tanpa khabar berita selama 8 tahun sedangkan suaminya berjanji akan kembali setelah 14 hari pulang ke Perak atas urusan kecemasan.

Manakala watak Ain Hawani mempersoalkan sebab lelaki yang ditangkap basah dengannya berdiam diri dan tidak menegakkan kebenaran sedangkan mereka tidak melakukan perkara yang terkutuk iaitu berkhalwat hingga terpaksa dinikahkan.

Bagi aku, wajar bagi watak Kamilia dirundung kedukaan kerana nasibnya bagai gantung tidak bertali setelah membuat keputusan yang betul tetapi tidak tepat namun akhirnya ditinggalkan suami.

Betul keputusannya bernikah dengan lelaki yang dicintai ketika berada jauh di rantauan demi mengelakkan diri daripada gejolak nafsu tetapi tidak tepat melaksanakan pernikahan itu tanpa restu seorang lelaki yang berstatus wali iaitu bapa kandungnya.

Bagiku, seorang lelaki yang budiman ('gentleman') perlu bersua muka dengan bapa kandung kepada wanita yang dicintai dengan tujuan memperkenalkan diri, memaklumkan isi hati, meminta izin, meminta restu dan melamar.

Bukan sama sekali dengan menikahi seorang wanita tanpa berbicara langsung terlebih dahulu dengan si bapa kandung kepada calon isteri.

Apabila jarak menjadi pemisah, sekurang-kurangnya hubungilah bapa kandung kepada calon isteri itu demi menghormati bapa yang berstatus wali kepada wanita itu.

Kamilia bagai menerima hukuman yang terlalu berat apabila ditinggalkan suami bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang khabar berita dan penjelasan.

Atas dasar itu, Kamilia wajar berasa marah, dendam dan geram.

Namun, kesilapannya adalah daripada permulaan lagi iaitu bernikah tanpa si lelaki bersemuka dengan si bapa terlebih dahulu.

Kalau pun tidak bersua muka, sekurang-kurangnya berhubunglah dengan apa jua cara sekalipun.

Bagiku, restu ibu bapa BUKAN JAMINAN KEBAHAGIAAN kerana pernikahan yang direstui ibu bapa pun terlalu selalu gagal di tengah jalan.

Namun, restu ibu bapa TERLALU PERLU kerana mereka wajar menerima penghormatan daripada kita memandangkan mereka telah menjalankan tugas dan tanggungjawab membesarkan kita meskipun tidak dapat dinafikan bahawa adakala tugas dan tanggungjawab itu dijalankan dalam kekurangan dan kesilapan.

Lantas, tindakan Kamilia bernikah dengan lelaki pilihannya di rantauan tidak dinafikan betul kerana mereka telah saling jatuh cinta dan mempunyai keinginan yang kuat untuk saling memiliki pada waktu itu namun keputusan itu tidak tepat kerana ibu bapa Kamilia telah diketepikan atau dibelakangkan apabila si lelaki tidak berhubung dengan si bapa kandung Kamilia.

Seandainya si lelaki telah berusaha untuk bersemuka dengan ibu bapa tetapi hajatnya dihalang atas sebab yang tidak syarie maka wali hakim hendaklah dirujuk.

Wali hakim berkuasa membuat keputusan dan biasanya keputusan itu berpihak kepada si gadis dan si lelaki.

Namun jika sebab si bapa menghalang itu berlandaskan syariat, maka pernikahan itu tidak akan dianjurkan oleh wali hakim.

Pernikahan tanpa restu menimbulkan banyak angkara yang negatif pada kemudian hari.

Namun, hendaklah diingatkan bahawa pernikahan berserta restu ibu bapa juga tidak menjaminkan kebahagiaan.

Kebahagiaan bukan manusia yang menentukan.

Kita hanya manusia yang perlu berusaha ke arah itu.

Apa pun, drama berepisod Sehangat Asmara ini amat aku sukai berbanding dengan drama berepisod Adam Dan Hawa yang tidak begitu aku sukai.

Lirik 'Andai Ku Bercinta Lagi'

Kini kau tiada
Senafas pun ku perlu mencuba
Kau bawa pergi sebahagian dari jiwa raga

Bersendiri hidup umpama hilang erti
Bagaimanakah meneruskan hayat ini

Andai ku bercinta lagi suatu hari nanti
Tunjukkan di mana
Ruang hati untuknya yang masih belum kau huni

Apabila tiba waktu bersemuka
Ku perlu pejamkan mata dan memaksa lafaz cinta
Dengan bayangmu di minda

Tiada pengganti bisa hadir dan mampu menyembuh
Rawan di hati meleraikan semangatku runtuh

Bersendiri masa umpama tak beralih
Berapa lama lagi harus ku merintih

Andai ku bercinta lagi suatu hari nanti
Tunjukkan di mana
Ruang hati untuknya yang masih belum kau huni

Apabila tiba waktu bersemuka
Ku perlu pejamkan mata dan memaksa lafaz cinta
Dengan bayangmu di minda

Malam tidak berpurnama
Fajar tiada kejora
Aku hilang di dalam gelita kalbu
Tanpa dirimu asaku mati

Alma Mater: Sekolah Rendah Bedok North dan Sekolah Menengah Bedok South

Apabila mula mengajar di sekolah rendah sebagai seorang guru pengganti pada tahun 2000 dan sebagai seorang guru pelatih kemudian sebagai seorang guru tetap pada tahun 2004, ingatanku kian terimbas kepada zaman kanak-kanakku dan zaman menjadi seorang pelajar di Sekolah Rendah Bedok North.

Darjah 1 pada tahun 1987 dengan Mr Bahrin (tidak pasti dengan ejaan nama guru) sebagai guru kelas dan Cikgu Aminah Ali sebagai guru Bahasa Melayu.

Darjah 2 pada tahun 1988 dengan Mr Bahrin masih sebagai guru kelas dan Cikgu Sharifah (tidak pasti dengan ejaan nama guru) sebagai guru Bahasa Melayu.

Darjah 3 pada tahun 1989 dengan Mrs Wee sebagai guru kelas dan Cikgu Aminah Ali sekali lagi sebagai guru Bahasa Melayu.

Darjah 4 pada tahun 1990 dengan Mr Sridar sebagai guru kelas dan Cikgu Fatimah sebagai guru Bahasa Melayu.

Darjah 5 pada tahun 1991 dengan Mrs Tan Hee Peng sebagai guru kelas dan Cikgu Fatimah Sunei (guru yang lain semasa Darjah 4) sebagai guru Bahasa Melayu.

Darjah 6 pada tahun 1992 dengan Miss Yap sebagai guru kelas dan Cikgu Fatimah Sunei sekali lagi sebagai guru Bahasa Melayu.

Apabila aku ditempatkan di sekolah menengah untuk mengajar setelah tamat pengajianku di univeristi, ingatanku kian terimbas kepada zaman remajaku dan zaman menjadi seorang pelajar di Sekolah Menengah Bedok South.

Menengah 1 pada tahun 1993 dengan Miss Muna sebagai guru kelas dan Cikgu Aishah Kassim sebagai guru Bahasa Melayu.

Menengah 2 pada tahun 1994 dengan Mr Ng Song Seng sebagai guru kelas dan Cikgu Aminah Samad sebagai guru Bahasa Melayu.

Menengah 3 pada tahun 1995 dengan Miss Carol Khan sebagai guru kelas dan Cikgu Fahmi Rais kemudian Cikgu Aishah Kassim sebagai guru Bahasa Melayu.

Menengah 4 pada tahun 1996 dengan Mdm Aishah Kassim sebagai guru kelas dan Cikgu Aishah Kassim sebagai guru Bahasa Melayu.

Subhanallah.

Aku pernah suatu masa dahulu menjadi seorang pelajar dan kini aku adalah seorang guru di sekolah menengah dan pernah suatu masa dahulu mengajar di sekolah rendah.

Kedua-dua suasana di sekolah rendah mahupun sekolah menengah menjadikan aku seorang pengimbas kepada kenangan lalu semasa menjadi pelajar.

:)

Sunday, March 10, 2013

'Sweet' sekali monolog seorang Z dalam Sehangat Asmara

Mengapa Z?

Mengapa tidak nama penuh si watak yang aku taip?

Jawapannya ialah nama watak itu tidak indah.

:)

Aku memang tidak suka dengan watak hero bernama Z sejak mula menonton drama berepisod ini.

Sejak awal-awal lagi, terpapar keegoan Z sebagai seorang lelaki.

Namun, hanya pada episod 16 daripada drama berepisod Sehangat Asmara ini, hatiku tersentuh dengan monolog seorang Z.

Monolog itu sangat 'sweet'.

"I minta maaf, Kay. Hanya anak kita sahaja yang dapat mendekatkan I dengan You."

Monolog iaitu kata hati yang tidak dizahirkan dan tidak dapat didengari oleh penerima mesej yang sewajarnya.

Watak hero yang tidak menawan hatiku

Ada dua orang pemuda dalam hidup Kamilia iaitu A, kenalan sejak kecil hingga dewasa yang menyimpan perasaan terhadap Kamilia dan Z, rakan seuniversiti di Sydney, Australia.

Sehangat Asmara memperlihatkan cinta tiga segi.

Sejauh 9 episod menonton cerita ini, ternyata watak utama iaitu Z yang dilakonkan oleh Adi Putra gagal menawan hatiku.

Bukan watak hero yang aku dambakan walaupun aku meminati Adi Putra.

Namun watak Z menjadi pilihan watak Kamilia sehingga mereka mendirikan rumahtangga tanpa restu keluarga Kamilia.

Aku lebih terpesona dengan watak A yang tenang dan merendah hati meskipun watak itu sekadar watak sampingan.

Watak A dilakonkan oleh Shahrizal Jaszle.


Saturday, March 9, 2013

Sehangat Asmara

Aku sedang mengikuti sebuah drama berepisod sejak Ahad yang lalu.

Sebuah drama cinta yang dibintangi oleh Rita Rudaini dan Adi Putra.

Kedua-dua pelakon aku minati.

Tajuk drama berepisod ini ialah Sehangat Asmara.



Mampukah aku?

Seandainya aku mampu bertahan dalam bidang perguruan di sekolah menengah hingga ke pertengahan tahun 2017, ternyata hakikat itu akan menakjubkan diriku sendiri.

Sejujurnya, aku tidak fikir aku mampu bertahan sampai tahun 2017 kerana hati kecilku kerap melafazkan bahawa aku telah berputus asa.

Mungkin paling lama pun aku menjadi guru sekolah menengah adalah selama 2 tahun sahaja.

Aku belum menemui keserasian dalam mendidik para remaja.

Aku amat serasi dengan kanak-kanak kerana mereka lebih mudah untuk dicorak.

5 tahun bersama kanak-kanak sebagai guru sekolah rendah cukup menghiburkan hati.

Namun, seperti yang pernah aku fikirkan sebelum ini, peralihan daripada sekolah rendah ke sekolah menengah adalah satu proses pembelajaran untukku berhadapan dengan cabaran hidup yang berbeza daripada sebelum ini.

Aku harap aku dapat bertahan selama 2 tahun dalam menghadapi cabaran ini.

Mampukah aku?

Aku fikir tidak.....

Friday, March 8, 2013

Keghairahan dalam berpantun

Pada Rabu lalu, aku telah menjalankan pengajaran tentang pantun.

Aku agak terkejut melihat pelajar-pelajar lelaki terkinja-kinja sewaktu menyanyikan lagu Melayu yang bertajuk Pandang Pandang Jeling Jeling memandangkan terdapat enam rangkap pantun dalam lagu yang indah ini.

Aksi yang tidak sesuai dan tidak manis dipertontonkan oleh mereka sewaktu aku meminta mereka tampil di hadapan kelas untuk menyanyikan lagu ini.

Mereka mampu menyanyikan lagu ini dengan bersemangat hingga aku berasa cukup terhibur.

Namun aku amat terkejut dengan tingkah laku mereka.

Aku mempertontonka klip video Pandang Pandang Jeling Jeling ini kepada mereka sewaktu mengajarkan pantun Melayu kepada mereka sebelum melaksanakan aktiviti mencipta baris maksud pantun.

Alhamdulillah, ada antara pelajarku yang mengetahui sedikit sebanyak tentang pantun dan mengenali lagu ini.

Keghairahan mereka sebenarnya mengujakan.

Namun keghairahan itu dizahirkan dengan aksi-aksi yang tidak seharusnya diperlihatkan.

Apa pun, aku gembira dengan keghairahan pelajar-pelajar Normal Teknikal yang menerima pengajaran tentang pantun.

Sunday, March 3, 2013

Kekayaan dan kemewahan VERSUS kemiskinan dan kemelaratan

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (PemberianNya) lagi Maha Mengetahui”. (An Nuur: 32)

Kekayaan atau kemewahan tidak harus dijadikan kriteria utama dalam mencari dan memilih calon suami meskipun pada hakikatnya, seorang suami dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Perkara yang lebih utama ialah sifat tanggungjawab untuk mencari rezeki dalam mendasari kemampuan menjana kehidupan berkeluarga.

Kestabilan ekonomi sangat penting dalam memastikan kehidupan berkeluarga.

Kemiskinan dan kemelaratan bukanlah cara hidup yang dianjurkan Tuhan.

Atas sebab itu, sifat tanggungjawab seorang lelaki menjadi dasar dalam mendirikan rumahtangga kerana meskipun tidak kaya atau mewah, kelangsungan hidup akan diperjuangkan demi Tuhan.

Seorang calon suami yang miskin harta tidak harus dipandang sebelah mata kerana sifat tanggungjawab itu lebih utama dan kriteria ini yang perlu diutamakan oleh seorang wanita dalam pencarian dan pemilihan sebagai teman hidup.

Aku tidak mencari dan memilih seseorang yang kaya dan mewah kerana kekayaan dan kemewahan bukan ukuran bahawa seseorang itu bertanggungjawab.

Jika dia kuat berusaha dan faktor itu menjadi penyebab kepada kekayaan dan kemewahan yang dimiliki, Tahniah!

Namun, apakah dia bertanggungjawab dalam memastikan wanita sedia ada dalam hidupnya terpelihara kebajikan mereka.

Wanita sedia ada dalam hidupnya yang aku maksudkan ialah ibunya, kakaknya, adik perempuannya dan nindanya yang perlu diambil berat tentang kebajikan mereka.

Inilah yang aku perhatikan dan utamakan.

Atas sebab itu, sifat tanggungjawab menjadi dambaanku.

Noktah.

Sifat tanggungjawab mengatasi kekayaan dan kemewahan harta benda yang dimiliki seorang lelaki.





Tuan sutera, saya belacu

Cincin intan bunga selasih
Mari dipakai di waktu petang
Kenapa tuan tak mahu berkasih
Adakah orang akan melarang

Kain sarung kain terendak
Memanglah manis kalau dipakai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai

Menjeling menjeling kubertentang
Mata kita sama memandang
Kucuba kucuba nak bertanya
Siapa diakah namanya

Menjeling menjeling kubertentang
Mata kita sama memandang
Bercakap bertanya dan bermesra
Jangan sampai datang rumah

Tuai padi musim dah tiba
Mari menuai di waktu pagi
Kalau begini malang menimpa
Biar kuturut kata hati

Bunga selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun bertemu juga

Kereta kuda pedati lembu
Singgah mari di tepi kuala
Tuan sutera saya belacu
Mana kan boleh berganding sama

Burung jelatik sarang kedidi
Sarang tempua sarang berjuntai
Sungguhpun cantik sutera diuji
Belacu juga tahan dipakai

Cuba TEKA walaupun bukan TEKA-teki

Beg GUESS pertamaku.

$95.90.

Setelah lapan bulan kembali bertugas, inilah hadiah untuk diri sendiri.

Mudah dipadankan dengan apa sahaja warna pakaian ke tempat kerja kerana beg ini berwarna hitam.

Beg warna hitam yang kubeli di Amcorp pada semester terakhir pengajian masih baik dan boleh dipakai tetapi sudah sampai masa untuk 'direhatkan'.

:)



Saturday, March 2, 2013

Berhenti berharap

Mendung ternyata petanda hujan.

Hujan mencurah-curah.

Kilat sabung-menyabung.

Guruh berdentam-dentum.

Berhenti berharap.

Mendung tidak akan bertukar cerah.

Awan kelabu tetap kelabu.

Berhenti berharap.



Putus asa

Perasaan putus asa yang aku alami akibat daripada tekanan beban kerja telah aku lalui dan dapat aku atasi untuk kali ini.

Projek berteraskan IT yang bernilai 20% untuk setiap kelas menyesakkan jiwa.

Latihan daripada Buku Aktiviti dan Fail Bahasa Melayu yang bernilai 30% tetapi tidak disempurnakan daripada salah satu kelas mencelarukan minda.

Projek Rakaman & Penyampaian Lagu yang perlu dilaksanakan sebelum minggu hadapan dan perlu dikendalikan pada minggu hadapan menggegarkan perasaan.

Perkara-perkara inilah yang menimbulkan tekanan.

Aku rasa cukup terbeban.

Aku terdorong membuat keputusan untuk berhenti kerja serta-merta.

Alhamdulillah, berkat sokongan salah seorang guru yang baik hati dan ambil berat, aku kini lebih tenang.

Dia telah membantuku menyemak sebahagian daripada kertas ujian yang tidak mampu aku semak lagi kerana daya fokusku telah hilang akibat terlalu tertekan.

Apatah lagi, aku demam minggu lalu dan belum pulih sepenuhnya tetapi perlu berhadapan dengan beban kerja yang berat.