Monday, December 30, 2013

15 Disember 2013: Menghadiri majlis persandingan rakan kepada temanku

Menghadiri majlis persandingan rakan kepada temanku.

Mendirikan solat Asar di rumah pengantin.

Singgah J Cube sebelum ke Restoran Aiman.

Mendirikan solat Maghrib di Masjid Al Mukminin.

Makan Soto Ayam yang enak di Restoran Aiman.



Sunday, December 22, 2013

14 Disember 2013: Mengunjungi Singapore Flyer untuk kali kedua & Menghadiri majlis pernikahan rakan kepada temanku

Kalau pada malam sebelumnya, aku mengunjungi Singapore Flyer seorang diri sebagai hadiah untuk diri sendiri.

Pada hari ini iaitu Sabtu, 14 Disember 2013, kami bertiga mengunjungi Singapore Flyer sebagai aktiviti bersama bersiar-siar pada hujung minggu.

Kalau pada malam sebelumnya, aku dapat melihat pemandangan Singapura pada waktu malam dengan hiasan lampu dari ketinggian yang mencecah 165 meter.

Pada hari ini pula, aku dapat meninjau pemandangan Singapura pada waktu petang pula dengan pandangan lebih jelas dan terang apatah lagi aku bercermin mata.

Alhamdulillah.

Setelah selesai aktiviti bersama bersiar-siar di Singapore Flyer, kami ke Jurong West St 42 untuk menghadiri majlis pernikahan rakan kepada temanku.

Walaupun aku segan dan kekok, aku dapat menyesuaikan diri apatah lagi pengantin perempuan seorang wanita yang ceria dan ramah. "Nice to meet you," katanya.

Kami menunaikan solat Asar di rumah pengantin sesudah menjamu selera.

Kemudian kami menunaikan solat Asar dan sekali lagi menjamu selera.

Betapa kuih lopes yang dihidangkan sebagai pencuci mulut amat lazat.

Alhamdulillah.


Saturday, December 21, 2013

13 Disember 2013: Hadiah untuk diri sendiri

Menghadiahkan diri sendiri dengan berSingapore Flyer setelah menempuh dan merempuh 2013.

Teruja tatkala berjaya mendaftarkan diri di lelaman MESRC untuk mendapatkan pas korporat ini.


Teruja setelah pas korporat berada dalam tangan. Alhamdulillah!


Teruja untuk berSingapore Flyer selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Moulana meskipun seorang diri sahaja.
 

Percutian Di Batam: 11 & 12 Disember 2013



Percutian di Batam bersama ibu, bapa, adik Mail, adik ipar Thollha dan anak saudara Salman serta keluarga Hakimah.

Ayah Hakimah yang mempelawaku agar ikut serta dalam percutian ini ketika aku berkunjung ke rumah keluarga Hakimah pada November lalu.

Aku pula telah mempelawa ibu, bapa dan keluarga adik Mail memandangkan kami tidak pernah bercuti bersama sekian lama.

Pengalaman pertama bagi ibu dan bapa ke Batam.

Teh tarik kayu manis adalah minuman pertama yang aku nikmati. Subhanallah! Rasanya sungguh enak. Betapa nikmat minum teh tarik kayu manis ini cukup membahagiakan.

Tempeh juga enak sedangkan aku bukan penggemar tempeh.

Kamar kami di Hotel Ggi pula menyenangkan.

Makan malam di Rumah Makan Pak Datuk ternyata sedap belaka. Subhanallah!

Aku bukan penggemar kek lapis (begitu juga dengan tempeh) dan paling tidak suka dengan petai. Namun kek lapis biasa dan kek lapis prun buatan tangan yang Adik Mail dapatkan sungguh enak sekali. Begitu juga dengan otah-otah petai yang bapa dapatkan.

Ternyata percutian ke Batam menghidangkan nikmat makan minum kepada kami.

Makan tengah hari pada hari pertama tidak begitu memuaskan tetapi bubur pulut hitam sebagai pencuci mulut boleh dikatakan lazat.

Sarapan pada hari kedua tidak begitu menarik tetapi donat yang disediakan amat sedap.

Satu perkara yang tidak memuaskan hati ialah tempat urut 'GO! MASSAGE' dan khidmat urut yang disediakan. Inshaa Allah aku tidak akan ke sana lagi seandainya aku ke Batam pada masa akan datang untuk mendapatkan khidmat urut. Itulah kali pertama dan terakhir bagiku.





Monday, December 16, 2013

Jom Gi Kuliah Bersama UAI: terharu, terkesima, senang hati, gembira

7hb Disember: Jom Gi Kuliah Bersama Ustaz Azhar Idrus di Singapore Expo

Seseorang yang aku ingati dan ingin temui sebelum ini telah Tuhan izinkan untukku melihatnya dari jauh tanpa kuduga. Juzairy yang pernah suatu masa dahulu begitu comel sekali kerana baru berusia 7 tahun kini menginjak remaja. Alhamdulillah. Aku begitu terharu melihat Juzairy berada dalam majlis ilmu ini. Ingatanku terhadapnya dan keinginanku untuk bertemu dengannya telah Tuhan perkenankan melalui majlis ilmu ini.

Seseorang yang aku kagumi baru-baru ini kerana telah berkecimpung dalam bidang dakwah setelah menerima tarbiah Ustaz Fahrur Razi Kiyai Kassim telah Tuhan izinkan untukku melihatnya dari jauh kerana sememangnya aku ingin melihatnya. Hady Mirza yang pernah suatu masa dahulu dinobatkan sebagai Singapore Idol (kedua) dan kemudian dinobatkan pula dengan anugerah yang jauh lebih hebat iaitu Asian Idol (pertama) kini menjadi mentor bagi para remaja dalam program Islamik. Aku begitu terkesima dek kekacakan Hady Mirza yang pertama kali kulihat secara langsung. 

Sesungguhnya, Juzairy dan Hady Mirza mempunyai hubungan kekeluargaan. Juzairy adalah adik saudara Hady Mirza. Perkara itu aku sedia maklum semenjak mengajar Juzairy.

Ibu, Adik Mail dan adik ipar serta anak saudaraku turut bersama dalam majlis ilmu ini. Alhamdulillah.


8hb Disember: Jom Gi Kuliah Bersama Ustaz Azhar Idrus di Masjid Mawaddah

Seseorang yang pada hari sebelumnya telah memaklumkan kepada aku bahawa dia tidak dapat ke majlis ilmu ini telah menukar rancangannya dengan menghadiri majlis ilmu ini. Sudah tentu aku senang hati. Apatah lagi dia dapat bersua muka dan bersalaman dengan Ustaz Azhar Idrus ketika kenderaan itu bergerak keluar dari masjid sedang kami berjalan keluar. Aku bertambah gembira. Alhamdulillah.

Seseorang yang menjadi fenomena sejak kebelakangan ini dek penyampaian ilmu dan hukum-hakam secara dua hala yang disampaikan secara lucu dan bersahaja iaitu Ustaz Azhar Idrus telah membuat aku senang hati. Apakan tidak... balasan lambaian tangannya terhadap lambaian tanganku berlaku tanpa diduga dan secara tiba-tiba bahkan secepat kilat dalam jarak yang amat dekat. Disebabkan kami sedang berjalan keluar dan kenderaan Ustaz Azhar Idrus juga sedang bergerak keluar dari pekarangan masjid, kami berpeluang saling mengiringi dan saling berpandangan. Senyuman dan lambaian tanganku dibalas dengan senyuman dan lambaian tangannya. Aku amat gembira. Alhamdulillah.

Rezeki daripada Allah yang indah dalam bentuk perasaan iaitu senang hati dan gembira.

Ibu dan Aliyah turut bersama dalam majlis ilmu ini. Alhamdulillah.

Sunday, December 8, 2013

Bicarawara yang bagus: Primadona

Primadona pertama kali kutonton secara kebetulan pada cuti yang lalu iaitu pada bulan Jun.

Pada ketika itu, aku sedang bercuti di Kuala Lumpur dengan menumpang kamar Zaynab Suhaylah dan Nur Fathimah Az-zahra'a.

Namun, hanya beberapa episod sahaja yang aku ikuti.

Kini pada bulan Disember iaitu musim cuti, sekali lagi secara kebetulan aku menonton Primadona.

Aku telah menonton hampir kesemua daripada episod Primadona.

Tahniah kepada penerbit yang menghasilkan Primadona iaitu sebuah bicarawara yang sangat bermanfaat kerana mengandungi dua perkara asas iaitu pengetahuan dan hiburan.

Pengetahuan dalam bentuk maklumat, fakta, statistik yang diperkuatkan dengan pengetahuan yang dikongsi oleh pakar dalam bidang yang bersesuaian dengan topik perbincangan ternyata terlalu bermanfaat.

Hiburan dalam bentuk penyampaian pengetahuan dan perkongsian pandangan empat orang selebriti selaku pengacara dan artis jemputan selaku tetamu undangan ternyata amat menghiburkan hati apatah lagi Raja Azura dan Rozita Che Wan amat menghidupkan suasana di set penggambaraan.

Keempat-empat pengacara iaitu Raja Azura, Rozita Che Wan, Ziela Jalil dan Erra Fazira langsung tidak mengecewakan dalam pengacaraan mereka yang baik sekali untuk bicarawara yang bagus sekali!

Pengetahuan.

Hiburan.

Itulah yang aku peroleh melalui Primadona.

Saturday, December 7, 2013

Bicarawara: Primadona

Bicarawara yang aku sukai ialah Primadona.

Aku sedang menonton salah satu episod Primadona.

Subhanallah, bicarawara yang bagus!

Thursday, December 5, 2013

2013 dan 1993: 20 tahun berlalu sudah

Aku sedang menonton drama Puberty Medley di Youtube.

Drama yang baru aku temui di Youtube memandangkan aku masih dengan penontonan Marry Him If You Dare dan Unemployed Romance di Yodrama.

Puberty Medley berkisar tentang watak seorang guru lelaki yang mengimbau kenangan sebagai seorang remaja di sekolah menengah yang dihadirinya 10 tahun lalu.

Bagi aku pula, tahun ini iaitu 2013 menandakan 20 tahun telah berlalu semenjak aku berada di sekolah menengah.

1993 merupakan tahun transisi daripada seorang pelajar sekolah rendah kepada seorang pelajar sekolah menengah.

Sekolah Menengah Bedok South yang menjadi pilihan pertamaku merupakan antara enam sekolah pilihan sebelum kami menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (Primary School Leaving Examination).

Alhamdulillah, aku terpilih ke sekolah pilihan pertama.

Antara perkara yang aku ingati sewaktu aku berada di menengah satu adalah...

(1) Aku dihukum keluar dari kelas kerana didapati tidak melengkapkan tugasan Matematik. Apakah benar aku tidak melengkapkan tugasan dalam buku aktiviti itu? Sudah tentu tidak benar. Seorang pelajar yang taat dan berdisiplin seperti aku tentulah tidak akan tidak melengkapkan tugasan.

Perkara sebenar yang tidak aku jelaskan kepada guru Matematikku iaitu Miss Muna adalah aku tersalah dengar arahan yang diberi atau hanya terdengar sebahagian daripada arahan yang diberi. Atas sebab itu, aku melengkapkan tugasanku tetapi sebahagian lagi yang perlu dilengkapkan tidak diselesaikan.

Maka dengan 'hormatnya', aku dihukum keluar dari kelas. Hahaha.

Pada zaman sekarang, mengambil contoh sekolah tempat aku bertugas, papan putih berbentuk jadual disediakan bagi guru mencatat kerja sekolah yang diberi. Butiran seperti mata pelajaran, bilangan muka surat, tarikh kerja sekolah diberi dan tarikh kerja sekolah perlu diserahkan hendaklah dicatat di papan putih itu. Bahkan dengan polisi kerja sekolah yang telah dikuatkuasakan, para pelajar tidak seharusnya dibebankan dengan kerja sekolah yang terlampau banyak.

Andai kata Miss Muna mencatat kerja sekolah yang perlu kami lengkapkan di papan putih, inshaAllah aku mendapat maklumat yang jelas tentang kerja sekolah yang sepatutnya dilengkapkan.

Aku dan Safariza dihukum keluar dari kelas pada hari yang 'berbahagia' itu atas kesilapan yang sama. Kesilapan yang tidak dapat dijelaskan kepada Miss Muna. Dua gadis 'blur' pada waktu itu memang saling berhubung dan saling berkongsi maklumat tanpa menyedari bahawa maklumat yang dikongsi itu betul tetapi tidak tepat. Oleh sebab kami dari sekolah rendah yang sama dan belum mengenali para pelajar yang lain dalam kelas yang sama, kami tidak ada sumber lain untuk mendapatkan maklumat. Lantas, di manakah silap kami untuk menerima hukuman keluar dari kelas sedangkan bukan pun kesalahan kami. Huhuhu.

(2) Aku dipuji dalam kelas oleh guru bahasa Melayu iaitu Cikgu Azleen. Atas dasar itu, aku diberi keistimewaan yang tidak diduga bahkan keistimewaan itu dicemburui oleh pelajar lain. Apakan tidak, setiap pelajar ditukarkan tempat duduk mereka dan Cikgu Azleen menetapkan tempat duduk mereka. Setiap pelajar lelaki dikehendaki duduk bersebelahan dengan pelajar perempuan. Aku tidak perlu bertukar tempat dan tidak perlu duduk dengan pelajar lelaki kerana Cikgu Azleen menyifatkanku sebagai pelajar yang baik. Hihihi. Maka, Safariza berkongsi keistimewaan itu denganku kerana sejak awal lagi, dia duduk di sebelahku.

Hahaha. Kalau dalam kelas Matematik, dia dihukum keluar bersamaku kerana kami sama-sama tidak mendapat maklumat yang sepenuhnya. Dalam kelas bahasa Melayu pula, dia mendapat keistimewaan iaitu tidak perlu betukar tempat dan tidak perlu duduk dengan pelajar lelaki sepertiku.

Bagi entri kali ini, sempat aku berkongsi hanya dua cerita yang kontra. Cerita pertama tentang hukuman yang kuterima dan cerita kedua tentang keistimewaan yang kuperoleh. Persamaan dalam kedua-dua ceritaku ialah rakan sekelasku yang diberi hukuman bersamaku dan diberi keistimewaan sepertiku. Rakan sekelas yang tidak lagi aku temui dan tidak lagi aku dengar khabarnya iaitu Safariza. Kami tidak akrab tetapi aku tidak harus nafikan bahawa dia seorang rakan yang lembut hati, pendiam dan baik hati.

1993 ketika aku di menengah satu sejak bulan Januari.

2013 ketika aku menaip entri ini dalam bulan Disember .

20 tahun berlalu sudah.