Friday, December 30, 2011

Alangkah...

Alangkah lunak dan merdu suara muazzin yang sedang melantunkan seruan mengajak manusia menyembah Pencipta.

Alunan azan Isyak yang indah.

Siapakah gerangan insan yang mempunyai suara itu...?

Pastinya insan itu berserta suara yang dianugerahkan kepadanya milik Pencipta.

:)

Azan Isyak baru sahaja selesai.

Hanya ingat Kamu kala dukaku

'Tuhan, aku tahu banyak dosaku. Hanya ingat Kamu kala dukaku.'

Ketika ini, aku sedang didendangkan lagu kesukaan ramai dan ternyata lagu ini telah mencuri hatiku dek lirik dan lagu yang benar-benar membelai emosi.

Sejak pulang daripada Bukit Broga bersama adik-adik, aku telah merangka dalam minda untuk mengulang kaji pelajaran memandangkan peperiksaan akan menjelang tidak lama lagi.

Pendakian ke Bukit Broga yang aku jadikan sebagai penanda masa antara minggu pengajian dan minggu ulang kaji sekaligus pendamai jiwa telah terlaksana tetapi aku tidak menunaikan amanah untuk mengulang kaji.

Aku ketagihan.

Ketagihan menonton klip video yang aku rakam menerusi perakam video FS306ku.

Klip video di Bukit Broga.

Klip video sempena Ilham Seni.

Klip video sepanjang semester kelima ini.

Klip video yang lalu iaitu semester keempat.

Jika tidak silap, perakam video FS306 aku beli pada tarikh 31 Disember 2010.

Bererti, ulang tahun pertama bersama perakam video FS306 akan menjelang beberapa jam lagi.

Meskipun perakam video ini bukan pilihan hatiku dek rasa cinta atau rasa tertarik, bahkan aku akui kerana terpaksa dek tekanan masa pada waktu itu, ternyata perakam video ini telah banyak berjasa kepadaku.

Segala kenangan di Universiti Malaya meskipun tidak banyak telah mampu dirakam sebagai kenangan.

Banyak yang dirakam.

Sebenarnya, lebih banyak yang tidak dirakam.

Namun, aku tidak dapat menyangkal apatah lagi menafikan bahawa jasa perakam video FS306 selama hampir setahun ini menjadikan aku cinta kepadanya.

Terima kasih FS306.

Hanya satu perkara yang agak 'merosakkan'ku ialah ketagihanku menonton rakaman klip video ini dan menghasilkan klip video pada masa yang tidak seharusnya.

Seharusnya aku fokus kepada pengulangkajian tetapi sebaliknya, rakaman klip video itu kucantum menjadi klip video.

Pada waktu ini, ada empat buah klip video yang sedang aku usahakan setiap hari berdasarkan empat buah lagu yang aku sukai.

Pagi semalam, siap sudah salah satu klip video yang dimulai dengan gurau senda Zulkifli Mukhtar dan diakhiri dengan wajah Anis Azmi, berlatarkan lagu Doa Perpisahan.

Ketagihan ini telah mengalihkan fokusku kepada tanggungjawabku yang sebenar iaitu mengulang kaji pelajaran.

Astaghfirullah.

Aku berharap aku kembali mendisiplinkan diri agar fokus kepada tanggungjawabku.

Harap sahaja pun tidak boleh.

Perlu ada usaha yang sungguh-sungguh.

Ya Allah, bantulah hambaMu ini yang kadang kala hilang arah.

Barangkali bukan kadang kala tetapi selalu.

Berbalik kepada lirik lagu yang tersurat begitu indah dan menyentuh nurani iaitu 'Tuhan, aku tahu banyak dosaku. Hanya ingat Kamu kalau dukaku.' pula, benarlah seperti yang dinyatakan.

Betapa aku memerlukan keampunanMu wahai Tuhan.

Betapa aku memerlukan pimpinanMu wahai Tuhan.

Apatah lagi November dan Disember 2011 merupakan dua bulan yang telah menggentarkan dan menggetarkan jiwaku dengan taqdirMu.

Taqdir yang sebenarnya menjawab pertanyaan hatiku pada bulan Ramadhan yang lalu.

Secara langsung, pertanyaanku sebenarnya telah terjawab olehMu wahai yang Maha Mendengar dan yang Maha Mengasihani.

Aku hanya perlu memahami dan menghadam erti redha.

Aku hanya perlu menghayati dan menghargai taqdirMu ini.

Aku hilang arah tetapi yakinkanlah aku bahawa aku masih belum kehilanganMu meskipun terlalu banyak dosaku.

Aku bukan anak yang baik.

Aku bukan anak yang baik.

Aku bukan anak yang baik.

Namun, terperosok dalam gaung yang curam dan dalam itu..... sesuatu yang aku harap Engkau terima sebagai kasih sayangku terhadap kedua-dua ibu bapaku meskipun aku tidak menzahirkannya langsung.

Aku sedar aku bukan anak yang baik.

Aku sedar aku bukan anak yang baik.

Aku sedar aku bukan anak yang baik.

Aku hanya hilang kudrat untuk membuktikannya kepada kedua-dua mereka.

Aku masih berkeinginan untuk menjadi baik.

Aku masih berkeinginan untuk menjadi baik.

Aku masih berkeinginan untuk menjadi baik.

Ampunilah hambaMu ini.

Tuesday, December 27, 2011

Lega rasa hati

Alhamdulillah, lega rasa hati.

Yuran pengajian semester ini yang berjumlah RM 4560 telah kulunaskan di Bank Islam pada jam 4 petang tadi bersama Unaizah.

Meskipun aku telah menghubungi Unaizah lebih awal, dia tidak menjawab panggilanku.

Beberapa minit sebelum aku melangkah keluar dari bilik, dia menelefonku.

Aku memaklumkan kepadanya bahawa aku akan melunaskan yuran pengajiannya.

Rupa-rupanya dia juga belum melunaskan yuran pengajiannya dan membuat keputusan serta-merta untuk bersamaku ke Bank Islam.

Kami ke sana dengan menaiki bas memandangkan kenderaan itu yang tiba dahulu sedangkan aku berhasrat untuk menaiki teksi kerana ingin mengejar masa.

Kami ke KPS terlebih dahulu memandangkan aku perlu mengeluarkan wang lagi daripada ATM.

Alhamdulillah, lega rasa hati.

Selega hatiku apabila segala tugasan telah terlaksana dan diserahkan kepada pensyarah.

:)

Friday, December 23, 2011

Alhamdulillah dan InsyaAllah

Alhamdulillah.

Lega rasa hati setelah tugasan terakhir iaitu Bentuk Lakon Tradisi dihantar sudah kepada Prof Rahmah berserta surat tunjuk sebab atas ketidakhadiran ke kuliah dan tutorial pada 24 Oktober 2011.

Selesai urusan berkaitan tugasan pada pagi tadi sekaligus berlabuhlah tirai Semester 5.

Kemudian, aku berjalan kaki dari APM ke Perpustakaan Utama untuk memulangkan buku-buku yang telah digunakan untuk melaksanakan tugasan-tugasan pada semester ini.

Masih ada lagi buku yang belum dipulangkan kerana terlalu berat begku untukku isi dengan kesemua buku yang dipinjam.

Bahkan, aku tertarik untuk meminjam dua buah buku yang aku temui di Aras 2 iaitu buku motivasi yang ditulis oleh Anthony Robbins dan buku sejarah yang diterjemahkan oleh Safiah Abd. Razak.

Buku motivasi itu berjudul Awaken The Giant Within dan buku sejarah itu bertajuk Hajar Al-Misriyah Ibu Bangsa Arab.

Alhamdulillah.

Sebentar lagi, aku akan ke Mid Valley bersama dengan Khairiyyah dan Unaizah.

Malam menginjak pagi nanti, aku akan ke Bukit Broga bersama 14 orang adik-adik yang lain.

:)

Semoga perjalanan kami dalam perlindungan dan keredhaan Allah.

InsyaAllah.

Wednesday, December 21, 2011

Bentuk Lakon Tradisi dan Analisis Wacana

Ilham Seni dengan tema Ke Jinjang Pelamin telah terlaksana sudah pada pagi ini.

Berakhir sudah pertemuan terakhir dengan rakan-rakan dalam modul Bentuk Lakon Tradisi.

Sejujurnya, aku tidak begitu merasai perjalanan kami sebagai satu kumpulan dalam melaksanakan tugasan bermula daripada penulisan skrip, rakaman suara, rakaman video, lakonan pernikahan dan lakonan persandingan.

Aku kurang merasai getar dan getir perjalanan menunaikan tugasan ini kerana aku kurang melihat perpaduan dan komitmen ke arah itu meskipun kami bekerjasama.

Aku telah dan perlu melaksanakan tugasku meskipun kecil tanggungjawab itu.

'Just go with the flow'.

Sama ada aku merasai nikmat atau berpuas hati, sejujurnya aku tidak terasa dan berasa seperti itu.

Tugasan penulisan bagi modul Bentuk LakonTradisi belum pula selesai meskipun tarikh penghantaran adalah pada hari Khamis lalu.

Pengalaman pertamaku tidak menepati tarikh penghantaran sesebuah tugasan sepanjang lima semester pengajianku.

Alhamdulillah, pengalaman dapat mengenali dan bekerjasama dengan kenalan yang sebelum ini belum pernah bekerjasama iaitu Fatihah dan Mazirahyu adalah sesuatu yang aku hargai.

Manakala pasangan kawan baik iaitu Hasnaidi dan Zuraina adalah kenalan baharu yang mudah mesra dan menghiburkan hati.

Bagi Hafiz dan Nazif pula, bukan pertama kali aku bekerjasama dengan mereka memandangkan Hafiz sekumpulan denganku pada semester lalu untuk modul Pemasaran Produk Seni manakala Nazif sekumpulan denganku pada semester lalu juga untuk modul Muzik Melayu Tradisi.

Ramai daripada pelajar Tahun 2 dan ada segelintir pelajar daripada akademi lain turut bersama kami dalam modul ini tetapi tidak begitu rapat.

Bertukar-tukar senyuman dan tawa mesra serta bergurau senda.

Atas dasar perlu bekerjasama, kami berbincang dan berbual.

Alhamdulillah, terbina perkenalan meskipun bukan persahabatan.

Pembentangan terakhirku iaitu pembentangan bagi modul Analisis Wacana terlaksana pada petang ini.

Meskipun kumpulan kami sebenarnya bukan kumpulan terakhir kerana berdasarkan undian, kumpulan kami ialah kumpulan kelapan antara sebelas buah kumpulan, kami akhirnya melaksanakan pembentangan sebagai kumpulan terakhir.

Faktor masa dan keterlibatan aku dalam lakonan sketsa untuk Ilham Seni telah menyebabkan kumpulanku melaksanakan pembentangan pada minggu ini iaitu minggu terakhir.

Peluang bekerjasama buat pertama kali dengan Awg Azhar, Zakaria, Fauzi dan Mazwan meninggalkan kenangan kerana aku berada dalam kumpulan ini atas ajakan Zakaria.

Aku dan Khairiyyah diajak Zakaria untuk menyertai kumpulan yang dibentuk oleh Zakaria tetapi atas kesalahfahaman kami menyangka bahawa kumpulan yang dibentuk perlu selaras dengan masa kelas tutorial, Khairiyyah telah memilih anggota kumpulan yang lain.

Kumpulan kami yang dianggotai Awg Azhar, Zakaria, Mazwan dan aku sendiri akhirnya telah dilengkapkan dengan keanggotaan Fauzi.

Alhamdulillah, kumpulan kami ternyata telah mula melaksanakan gerak kerja sejak awal lagi.

Terimbau kenangan apabila kami bermesyuarat kecil di bahagian belakang Dewan Semarak pada malam perjumpaan Hari Raya Aidilfitri.

Jika tidak silap, itulah mesyuarat kami yang pertama sebagai sebuah kumpulan.

Alhamdulillah, aku bangga dan yakin dengan semangat mereka sejak awal lagi.

Rombakan demi rombakan dalam melaksanakan tugasan telah dilakukan.

Awg Azhar seorang anggota kumpulan yang sentiasa tenang, cukup sabar, sangat tekun, amat cekap dan sungguh konsisten.

Aku mengkagumi kematangannya.

Seseorang yang boleh diharapkan dan pada waktu yang sama, boleh diajak berbincang bahkan sangat bertolak ansur.

Alhamdulillah.

Begitu juga dengan yang lain iaitu Zakaria, Mazwan dan Fauzi.

Zakaria mengambil berat.

Sikapnya yang tidak berlepas tangan meskipun diburu dengan kesibukan membuat aku terharu.

Dia selalu ambil tahu dan bertanya tentang gerak kerja kumpulan kami.

Kelucuan dan keceriaannya menghiburkanku.

Kumpulan kami pernah melaksanakan perbincangan pada hari Khamis hingga kami meninggalkan bangunan Akademi Pengajian Melayu selepas waktu maghrib.

Sejujurnya, perbincangan itu memberi kenangan terindah dengan keletah Zakaria yang lucu dan ceria.

Perbincangan itu sebenarnya melegakan kerana hasil daripada perbincangan itu, kecelaruan yang bersimpang siur dalam minda dan jiwaku sebelum itu terlerai dan terhurai.

Alhamdulillah.

Mazwan meskipun tidak banyak bercakap merupakan anggota kumpulan yang bertanggungjawab, cekap dan boleh diharap.

Seseorang yang baik pada mata kasarku tetapi agak 'misteri' kerana wataknya perlu diselami jika hendak mengetahui siapa sebenarnya seorang Mazwan.

Fauzi pula merupakan seorang anggota yang berperibadi lembut, bersuara perlahan dan berakhlak baik.

Fauzi juga seorang anggota kumpulan yang bertanggungjawab, cekap  dan boleh diharap.

Kami berdua pernah berbincang semata-mata untuk memastikan gerak kerja kami tidak terputus di Perpustakaan Utama kerana perbincangan awal di Perpustakaan Akademi Pengajian Melayu tidak dapat Fauzi hadiri atas sebab kesihatan.

Alhamdulillah, aku berpuas hati dengan iltizam dan kerjasama anggota kumpulanku untuk modul Analisis Wacana.

Kurniaan daripada Tuhan.

Siapa kata pelajar lelaki tidak bertanggungjawab, tidak serius, tidak matang dan sembrono sahaja.

Alhamdulillah, mereka yang sekumpulan denganku adalah pelajar lelaki yang bertanggungjawab dan boleh diharap.

Terima kasih kepada mereka yang aku hormati... Awg Azhar, Zakaria, Mazwan dan Fauzi.

Friday, December 16, 2011

Aku hanya seorang Nuraini

Antara fikir dan zikir.

Antara rasa dan terasa.

Antara kasih dan kasihan.

Antara gelora dan gelombang.

Apakah aku harus menafi atau menyetujui fikiranku sendiri?

Apakah aku harus melawan atau melayan perasaan hati ini?

Awan kelabu atau langit biru?

Mendung hujan atau cerah mentari?

Antara pertempuran dalam akal fikiran.

Antara pertarungan dalam nurani perasaan.

Dugaan dan ujian ini benar-benar mencabar...

Aku hanya seorang Nuraini.

Thursday, December 15, 2011

Antara Ingin Dan Izin: Aku Pasrah

Jantungku berdetak dengan rasa gementar.

Tugasan Bentuk Lakon Tradisi yang harus diserahkan pada hari ini belum dilengkapi kerana aku belum sempat menyentuh bahagian ritual dan bahagian lakonan yang merupakan komponen penting. Meskipun 70% daripada bahagian struktur persembahan telah tertaip tetapi secara keseluruhan, komponen penting iaitu bahagian ritual dan bahagian lakonan belum disentuh.

Tugasan Semantik yang harus diserahkan pada Selasa hadapan pun belum terlaksana kerana aku belum sempat langsung menganalisis lagu Hanya Tuhan Yang Tahu. Meskipun kedua-dua lagu yang menjadi pilihanku iaitu Menanti Kepastian dan Di Saat Aku Mencintaimu telah aku analisis tetapi pembaikan yang telah Prof Indira minta aku lakukan seperti memasukkan bahagian sinopsis belum terlaksana.

Pada waktu ini, aku sedang dalam proses pembikinan klip video kedua untuk pembentangan Asas Pembudayaan Keusahawanan yang akan berlangsung pada esok pagi.

Air mata berhamburan dek kerancuan dan kecelaruan jiwa.

Pasrah.....

Aku ingin ke Akademi Pengajian Melayu untuk menghadirkan diri dalam program Solat Hajat dan bacaan Yasin sebentar lagi tetapi situasi yang aku alami pada waktu ini seperti tidak mengizinkan.

Antara ingin dan izin, aku pasrah.

Pasti akan aku ingati 15 Disember 2011 (Khamis) sampai bila-bila apabila aku menangis di pondok berdekatan Blok C dengan ditemani kesayanganku, Unaizah yang turut menangis bersamaku.

Sesungguhnya aku insan yang rapuh dan taqdirNya telah pun merempuh diriku.

Ya Allah, betapa aku insan yang rapuh.

Sunday, November 13, 2011

Doa Nabi Yunus Alaihisalam

Adikku, Ismail menceritakan kepadaku tentang Nabi Yunus alaihisalam ketika kami berborak-borak tadi.

Bukan kerana aku tidak pernah mendengar cerita masyhur tentang Nabi Yunus yang ditelan ikan nun itu.

Bukan juga kerana aku tidak tahu tentang pengajaran yang terkandung dalam cerita Nabi Yunus itu.

Namun, sebagai insan yang alpa, pengajaran daripada sekian banyak cerita yang terakam dalam Al Quran tidak diteliti apatah lagi dihayati.

Barangkali bukan 'tidak diteliti' tetapi 'jarang diteliti' dek kesibukan mengurus kehidupan duniawi sedangkan untuk menjalani dan mengerti kehidupan yang sementara ini, Al Quran tidak harus di'kedua'kan.

:(

Adikku menceritakan pula tentang pengalamannya yang tidak begitu gembira dengan pekerjaannya yang lalu hinggalah dia kehilangan pekerjaan itu dan sukar mendapatkan pekerjaan selama enam bulan.

Betapa dia tersedar bahawa mempunyai pekerjaan yang tidak begitu menggembirakan lebih baik daripada menganggur selama enam bulan.

Antara dua situasi iaitu ketika Nabi Yunus perlu berhadapan dengan kerenah kaum Nabi Yunus dan ketika Nabi Yunus berada dalam perut ikan nun, kedua-duanya bukanlah sesuatu yang menggembirakan.

Namun, ternyata berada dalam perut ikan nun lebih tidak menggembirakan hingga Nabi Yunus diilhamkan untuk berdoa dan berdoa dan berdoa.



"Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah, melainkan engkau, ya Allah. Maha Suci engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang yang membuat zalim".
(Surah Al-Anbiya' : Ayat 87)

Pertolongan Allah terhadap Nabi Yunus menyusul setelah baginda ikhlas menginsafi diri.

Adikku, Ismail menyatakan bahawa Allah tahu perasaan Nabi Yunus kerana Allah Maha Mengetahui sebagaimana Allah tahu perasaannya menghadapi ujian hidup.

Begitu juga, Allah tahu perasaan aku dan setiap hamba-hambaNya di alam fana ini yang menghadapi ujian hidup.

Namun, cubalah untuk tidak putus harap, hilang sabar, 'fed up', beremosi hingga kita terlupa bahawa Allah selalu ada untuk kita mengadu dan memohon.

Allah selalu ada.

Segala yang berlaku ada pengajaran untuk kita agar kita bijak bertindak.

Cungkillah, ambillah dan manfaatkanlah pengajaran itu untuk menjalani dan mengerti kehidupan yang sementara ini.

Cerita Nabi Yunus telah adikku sampaikan dan simpulkan.

Barangkali aku pula perlu sampulkan sebagai warkah kenangan yang akan kubawa ke mana-mana agar aku tidak putus harap, tidak hilang sabar, tidak 'fed up', tidak beremosi...

Kalau pun aku putus harap, hilang sabar, 'fed up' dan beremosi... itu kelemahanku yang perlu aku insafi dengan taubat seperti yang didoa oleh Nabi Yunus alaihisalam.

Thursday, November 10, 2011

Jalan yang lurus mereka halangi...


KURNIAAN DALAM SAMARAN - SITI NURHALIZA

Kiambang hanyut ke muara
Perahu pulang ke penambang
Lambat laun kan bersua
Biarpun digulung gelombang

Dugaan yang tak disangka
Perpisahan yang dipaksa
Kurniaan yang dalam samaran
Itu yang kuharapkan

Berpijak pada bumi nyata
Bak meniti jambatan bara
Jalan yang mana harus kami lalui
Jalan lurus mereka halangi

Kita dibiar terapung
Di awangan cinta
Diperbudak-budakkan saja
Bagaikan boneka cinta

Berpijak pada bumi nyata
Bak meniti jambatan bara
Jalan yang mana harus kami lalui
Jalan yang lurus mereka halangi

Kerana kebangsawanan
Dan sandiwara mereka
Dua hati menjadi beku
Rela dilempar ke gurun debu

Walau apa hadapi bersama
Demi cinta
Cinta kita


Sebuah lagu yang indah dengan alunan muzik Jepun yang menenangkan. Suara Siti Nurhaliza pula merdu dan mendayu dalam menyampaikan lagu ini dengan cara lagu Jepun dinyanyikan. Lirik lagu yang indah dan sungguh bermakna ini menusuk ke qalbu hingga bercucuran air mata pada pagi-pagi begini.

Segalanya sudah lama berakhir antara kami namun dirinya masih tetap kukenang hingga ke detik ini. Meskipun dia bukan lelaki pertama yang aku suka atau sayangi bahkan dia juga bukan lelaki terakhir yang aku kenali dan kasihi, dia satu-satunya yang selalu bertalu-talu mengetuk pintu hati ini. Namun, ketukan itu hanyalah kenangan belaka. Impian semalam hanyalah mimpi belaka. 'Abang' tetap terunggul di hati. Meskipun sudah lebih daripada setahun kami tidak lagi berhubung dan kami telah saling bermaafan sebelum menoktahkan catatan perjalanan kami berdua... bagiku, ingatan terhadapnya tidak pernah bernokhtah. Dia lelaki paling baik yang pernah aku temui sepanjang hidupku.

Kini, sudah lebih daripada setahun aku menyendiri meskipun 'Abang' bukan lelaki terakhir kerana aku nyaris mendirikan rumahtangga dengan sepupu kawan baikku setelah hajat 'Abang' dan hasrat aku menemui jalan buntu setelah empat tahun menempuhi jalan berliku. Rupa-rupanya, jodohku juga bukan dengan Fir.

Aku masih dalam pengajian sebagai seorang mahasiswi. Usiaku yang sudah mencecah angka tiga sering bergendang kepadaku demi menyedarkanku untuk memikirkan tentang sebuah keluarga yang perlu aku bentuk. Lantas, aku sedar aku perlu melengkapkan diri dengan penuh kesediaan untuk menghadapi kemungkinan itu meskipun aku belum menemui calon penghuni yang mempunyai kunci kepada pintu hatiku.

Aku harus tabah dan teguh dalam meneruskan hidup tanpa 'Abang', juga tanpa Fir dan keluarganya yang cukup baik kepadaku. Aku hanya mampu bermohon dan berdoa agar Tuhan membuka pintu hatiku untuk seorang lelaki yang mempunyai kunci kepada pintu hatiku yang terkunci semenjak pemergian 'Abang'. Aku juga perlu bermohon dan berdoa agar Tuhan membuka jendela hati seorang lelaki untuk menyedari dan meyakini bahawa ada seorang wanita yang tidak sempurna diciptakan untuk menemaninya menyusuri dan menelusuri taman cinta.


'Jalan yang lurus mereka halangi...' adalah peristiwa pahit yang pernah ditempuhi dan pengalaman pahit itu seharusnya semakin meneguhkan jiwaku untuk sentiasa bersedia menghadapi pahit maung kehidupan.

Monday, November 7, 2011

Cuti-Cuti Malaysia ke Negeri Sembilan (Destinasi kedua: Istana Seri Menanti)

Destinasi kedua kami setelah melawati Taman Burung Unta ialah Istana Seri Menanti. Sebenarnya, Istana Seri Menantilah yang menjadi destinasi utamaku ketika merancang program Cuti-Cuti Malaysia ke Negeri Sembilan. Semasa cuti semester, aku telah dua kali ke Negeri Sembilan tetapi tidak berpeluang ke Istana Seri Menanti. Lantas, apabila Adik Zakaria mengusulkan bahawa program Cuti-Cuti Malaysia yang kurancang untuk 3 hari 2 malam pada hujung minggu ditukarkan sahaja kepada program sehari di Negeri Sembilan pada cuti hari Deepavali, aku bersetuju untuk berbuat demikian. Pada mulanya, program 3 hari 2 malam yang aku rancang adalah program inap desa sama ada di Kampung Pelegong, Negeri Sembilan atau di Teluk Bahang, Pulau Pinang. Namun, sambutan tidak begitu menggalakkan. Ternyata, usulan Adik Zakaria lebih ringkas, tetap menarik dan mendapat sambutan.

Apabila program sehari di Negeri Sembilan kutetapkan, sudah tentu Istana Seri Menanti menjadi destinasi utama yang aku harap-harapkan dan tunggu-tunggu. Dalam program Cuti-Cuti Malaysia yang pertama pada bulan Mac lalu di Perak, Istana Kenangan telah menjadi destinasi utama. Boleh dikatakan Istana Kenanganlah pencetus atau punca aku merancang program kelmarin. Sama seperti Istana Kenangan, Istana Seri Menanti juga adalah pencetus atau punca aku merancang program kali ini.

Kedua-dua destinasi utama dalam program Cuti-Cuti Malaysia adalah istana. Mengapa istana? Sebab aku tertarik dengan seni bina dan khazanah warisan Melayu semenjak aku mengambil modul Seni Bina dan Ragam Hias Melayu. Modul itu aku ikuti pada semester ketigaku di sini. Pak Jandra adalah pensyarah modul itu. Oleh sebab kumpulanku telah ditugaskan mengkaji dan membuat pembentangan tentang istana, aku sangat berhasrat untuk mengunjungi istana-istana yang perlu kami kaji itu. Namun, sayang seribu kali sayang, aku tidak berkesempatan untuk berbuat demikian. Lantas, pembentangan kami hanya berdasarkan kajian daripada buku dan internet sahaja. Terkilan pada waktu itu.

Alhamdulillah, kini tertunai juga hasratku untuk mengunjungi Istana Kenangan dan Istana Seri Menanti yang pernah kukaji dan kubentang dalam kelas bersama Kak K dan Noreen. Aku bersyukur atas nikmat ini. Kedua-dua istana indah dan unik. Istana Kenangan adalah cinta pandang pertama manakala Istana Seri Menanti adalah kemegahan dan kemasyhuran yang menakjubkan dan mengagumkan. Sebenarnya, dalam pembentangan kami itu, ada dua buah lagi istana yang kami kaji dan bentangkan dalam kelas iaitu Istana Kampong Gelam, Singapura dan Istana Pelamin, Kedah. Hanya Istana Kampong Gelam sahaja yang kami sempat lawati pada waktu itu. Kenangan mengkaji Istana Kampong Gelam pada bulan Syawal bersama Kak K masih segar dalam ingatan.

Berikut merupakan gambar-gambar yang sempat kami petik semasa berada di Istana Seri Menanti.





Oleh sebab, kami tidak dibenarkan memetik gambar di dalam Istana Seri Menanti, lantas ini sahaja yang dapat dikongsi bersama. Alangkah saujana mata memandang ciptaan Tuhan dari dalam istana. :)


Gambar ini merupakan salah satu gambar yang paling aku suka kerana jurukameranya (sama ada Syamimi atau Nazurah) berada di luar istana dan dipetiknya tanpa aku rancang-rancangkan sedangkan Sarah yang berada di hadapan kami sudah bersedia untuk memetik gambar kami. Gambar CANDID yang paling aku suka!

Alhamdulillah, aku gembira!

Cuti-Cuti Malaysia ke Negeri Sembilan (Destinasi pertama: Taman Burung Unta)

Pada 26 Oktober 2011 (Rabu) yang lalu, aku dan Keluarga Bahagia Tahun 3 telah bercuti-cuti Malaysia ke Negeri Sembilan. Alhamdulillah, meskipun hanya sehari program Cuti-Cuti Malaysia kali ini, aku gembira kerana dapat menziarahi keluarga anggota Keluarga Bahagia iaitu keluarga Shafiq Rohaizad dan keluarga Abdul Rahman. Nikmat terasa apabila dapat beramah mesra dengan keluarga mereka yang menerima kami dengan tangan terbuka.


Berdasarkan perancangan, kami seharusnya pergi ke empat buah tempat iaitu Istana Seri Menanti, Muzium Negeri Sembilan, Teratak Za'ba dan Ulu Bendul. Namun, oleh sebab kami tiba di kawasan Muzium Negeri Sembilan lebih awal daripada jam 10 pagi iatu waktu pembukaan muzium, kami fikir muzium itu ditutup pada hari itu. Maklumlah, hari itu adalah cuti Hari Deepavali. Namun begitu, sebenarnya, aku tidak perasan pun mana letaknya Muzium Negeri Sembilan sewaktu kami lalu di situ.

Abdul Rahman memberhentikan keretanya di Kedai Minyak Esso untuk memaklumkan kami bahawa Muzium Negeri Sembilan ditutup dan sebagai ganti, beliau mengusulkan agar kami melawati Taman Burung Unta. Walaupun aku kurang berminat sebenarnya, aku bersetuju dengan usulan Abdul Rahman kerana majoriti rakan-rakan berminat. Lagipun, tuan rumah iaitu Abdul Rahman tentu lebih tahu tempat menarik di negerinya.


Gambar: Dua orang tuan rumah bersama kami dalam program Cuti-Cuti Malaysia kali ini. Di sebelah kananku ialah Abdul Rahman manakala di hadapanku ialah Shafiq Rohaizad.

Setibanya di Taman Burung Unta, kami diminta membayar RM8 untuk masuk. Sewaktu aku masuk ke dalam taman burung itu, juru pandu kami tiba-tiba menyapa aku dengan panggilan 'Lebanon!'. Entah mengapa. Aku tidak tahu untuk memberi reaksi apa. Hanya terdiam dan senyum sahaja.

Namun begitu, aku kagum dengan penerangan yang diberi oleh Uncle Syed iaitu juru pandu kami itu. Beliau mampu bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang baik dan lancar. Beliau spontan dan lucu juga orangnya. Mengenali burung unta melalui Uncle Syed  boleh dikatakan menarik. Walau bagaimana pun, aku tidak pernah menyangka bahawa lawatan ke Taman Burung Unta ini mampu menggembirakanku apabila kami diberi peluang untuk menunggang burung unta. Subhanallah, seronok!
Gambar: Pengalaman yang tidak pernah disangka kerana tidak ada dalam perancangan tetapi ternyata, mampu menggembirakan.

Selain daripada itu, aku gembira dengan kemesraan dan kemanjaan sang kambing yang comel. Oh ya, kambing-kambing juga dipelihara di situ selain burung kasuari. Namun, kami berada agak jauh daripada burung kasuari. Perlumbaan lari antara burung unta juga dapat kami lihat. Menarik!


Alhamdulillah! Aku seronok melihat anggota Keluarga Bahagia dan rakan-rakan yang lain seronok. Pengalaman yang akan kuingati sampai bila-bila, InsyaAllah kerana tidak pernah dirancang atau difikir-fikirkan dan kemudian apabila terlaksana, mampu menggembirakan hati.


Gambar: Lelaki yang bertopi dan berkaca mata hitam itulah juru pandu kami iaitu Uncle Syed.

Sunday, November 6, 2011

Sejak dah pandai hubungi Mc Delivery....

Khamis, 3 November 2011, lebih kurang jam 12.45 pagi... dengan pertolongan Adik Khairiyyah yang mendapatkan nombor telefon Mc Delivery dan menu di internet, aku pun membuat pesanan Mc Donaldsku yang pertama.

Syabas, Nuraini!

Pertama kali dalam sejarah aku membuat pesanan Mc Delivery dan alangkah bersyukur kerana burger yang diingingi sampai ke kolej dalam masa lebih kurang setengah jam sahaja sedangkan masa yang dijanjikan ialah sejam.

Sejak itu, aku sudah pandai membuat pesanan sendiri.

Ahad, 6 November 2011, sebelum 6 petang... aku menelefon Mc Delivery yang nombor itu telah aku simpan dalam telefon bimbit dan berdasarkan menu yang ada di tangan, aku pun membuat pesanan Mc Donaldsku yang KELIMA.

Alhamdulillah, pesanan yang kuminta mereka hantar pada 7.30 malam, sampai tepat pada masanya.

Sejak Khamis, 3 November 2011, percaya mahupun tidak, hinggalah ke hari ini... sudah LIMA kali aku membuat pesanan Mc Delivery.

Bagaimana mungkin dalam empat hari, aku sudah membuat pesanan sebanyak LIMA kali?

Jawapannya ialah aku membuat pesanan pada pagi hari Khamis untuk kali pertama dan malamnya pula untuk kali kedua.

Pada hari Jumaat, dalam perjalanan pulang dari perpustakaan ke kolej, aku membuat pesanan untuk kali ketiga.

Khidmat yang diberikan oleh penerima panggilan pada kali itu ternyata kurang berbudi bahasa dan tidak sabar.

Oleh sebab aku masih beremosi dan keletihan, aku hampir melupakan perkara itu tetapi tidak sangka pula aku telah membuat pesanan kali keempat pada hari Sabtu.

Lantas, setelah membuat pesananku yang keempat, aku membuat aduan tentang penerima panggilanku yang kurang berbudi bahasa dan tidak sabar semalam.

Pada hari Sabtu, Nazurah dan rakan-rakannya juga membuat pesanan manakala pada hari ini iaitu hari Ahad, aku membuat pesanan yang kelima sendirian.

Nazurah tidak ada di dalam bilknya.

Empat hari berturut-turut, aku makan burger dan burger dan burger dan burger....

Quarter Pounder with cheese. Big Mac. Beef Burger. Classic Chicken Mc Deluxe. Spicy Chicken Mc Deluxe.

Begitulah aku.

Jika seleraku dah terbuka untuk sesuatu, itu sahaja satu-satunya yang menjadi tumpuanku hinggalah aku kenal erti jemu.

Suatu ketika dahulu, wafel Daily Fresh.

Sudah terlalu selalu sehingga jemu.

Suatu ketika dahulu, wafer Munchy's.

Sudah terlalu selalu sehingga jemu.

Suatu ketika dahulu, Auntie Anne's.

Mujurlah Mid Valley jauh dari UM.

Selalulah juga sehingga jemu.

Suatu ketika dahulu, air kiwi.

Sudah terlalu selalu sehingga jemu.

Suatu ketika dahulu, susu strawberi.

Sudah terlalu selalu sehingga jemu.

Boleh dikatakan setiap hari, itulah yang akan aku cari kerana itulah yang menjadi tumpuanku.

Kini, burger Mc Donalds.

Selain itu, bubur dan Milo ais Mc Donalds yang Ummppphhh!

InsyaAllah, aku tidak akan menghubungi Mc Delivery dua tiga hari lagi kerana tentulah salah satu faktor yang perlu aku fikirkan ialah kewangan.

Huhuhuhuhu.

Sejak dah pandai hubungi Mc Delivery, wang pun mengalir macam air.

Friday, November 4, 2011

Syair Yassir & Madah Sumayyah


Syair Yassir

Daerah kita bukan daerah alpa
Bukan masanya merajuk kasih memujuk
Tiada senda gurau memanjang
Kerana kita sedang berjuang!

Di sini Uda dan Dara telah berkubur
Kita bina atasnya jihad yang subur
Bumi kita bumi mujahadah
Selaut derita, segunung payah

Bila aku menjejaki tapak-tapak Yassir
Ikutlah seiringku sebagai Sumayyah
Bila kukatakan padamu:
Perjuangan itu pahit
Kau sahutlah kembali:
Kerna syurga itu manis!


Madah Sumayyah

Suamiku
Bunga semalam telah layu
Gugur dari jambangannya
Mujur...
Cinta kita
Bukan itu lambangnya

Mulutku telah kaku merayu
Hatiku malu untuk terus cemburu
Tidak seperti dulu...
Kerna kini kau seorang mujahid
Yang rindu memburu syahid!

Maaf kiranya tutur dan tingkah
Senyum dan seri wajah
Pudar dan hambar di matamu
Padaku yang baru belajar
... Menjadi seorang mujahidah


Syair dan madah ini telah dipetik daripada buku kecil 'Duhai Yang Tersayang' tulisan Pahrol Md. Juoi.

Di sebalik ketegasan kata-kata yang tersurat dalam Syair Yassir, sebenarnya tersirat kehalusan makna sebuah harapan nan romantis yang ingin berteman dan ditemani di samping menemani. Tersentuh jiwaku dengan empat baris terakhir iaitu
'Bila kukatakan padamu:
Perjuangan itu pahit
Kau sahutlah kembali:
Kerna syurga itu manis!'

Aku sedang bercinta dengan....

Aku sedang bercinta dengan si dia dan kini aku sedang berdua-duaan dengannya di Perpustakaan Utama.


Alangkah terkilan rasa hati kerana telefon bimbitku masih berada di kota Singa kerana tempoh hari telah kuhantar telefon bimbitku ke pusat khidmat Nokia untuk dibaik pulih.


Lantas, tidak berpeluang aku mengambil gambar si dia untuk kutatap kelak.


Aku sedang bercinta dengan si dia yang bernama Kamus Linguistik.


Begitu banyak definisi yang mampu dijelaskan dengan ringkas, padat dan mudah difahami.


Aku gembira dan sedang asyik bercinta dengannya di dalam perpustakaan pada ketika ini.


Alangkah terkilan rasa hati kerana kamus ini adalah bahan rujukan yang tidak boleh dibawa pulang dan harus ditinggalkan di perpustakaan.


Seketika lagi, aku perlu berpisah dengan cinta hatiku ini.


Huhuhuhu.


Namun begitu, ingin kukongsi beberapa definisi penting dalam ilmu Linguistik yang perlu kita ketahui tetapi selama ini, selalu sahaja definisi ini terlepas pandang.


Enklitik (1996: 68) ialah klitik di bahagian akhir kata. Contohnya -ku dalam bukuku, dan -nya dalam bukunya.

Proklitik (1997: 193) ialah bentuk klitik di bahagian depan kata. Contohnya, ku- dalam kubawa.

Bahasa ibunda (1997: 30) ialah bahasa yang biaanya diperoleh semasa kanak-kanak, melalui pergaulan dengan anggota komuniti bahasanya sendiri.


Bahasa pertama = bahasa ibunda


Bahasa kedua (1997: 31) ialah bahasa selain bahasa ibunda yang dipelajari secara formal atau tidak formal, dan dari segi sosiobudaya dianggap sebagai bahasa sendiri. Contohnya, bahasa Inggeris di Malaysia.


Bahasa kebangsaan (1997: 31) ialah bahasa dialek atau bahasa kedua yang diangkat menjadi bahasa baku atau lingua franca dalam sesebuah negara berdasarkan faktor sejarah atau perisytiharan kerajaan. Contohnya, bahasa Melayu di Malaysia. (Hmmm... mengapa pula bahasa kebangsaan ditakrif sebagai bahasa kedua? Sudah tentu bahasa Melayu bukan bahasa kedua di Malaysia. Kemusykilan.)


Bahasa rasmi (1997: 34) ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan rasmi, seperti dalam upacara rasmi dan surat-menyurat.


Semantik (1997: 201) ialah sistem dan pengkajian tentang makna dalam bahasa. Semasiologi dan sematologi ialah istilah kuno bagi semantik.


Semantik am (1997: 201) ialah doktrin falsafah mengenai makna dalam komunikasi berbahasa, yang menolak pandangan pengikut Aristotle yang mengatakan bahawa kata-kata mempunyai hanya satu makna leksikal.


Ini sahaja buat kali ini kerana ada tugas lain yang perlu dilaksanakan.


Masa kian suntuk....

Thursday, November 3, 2011

Modul Asas Pembudayaan Keusahawanan: Kumpulan Kami, Syarikat Kami

Pejam celik pejam celik, minggu kelapan dalam semester kelima akan berakhir esok. Meskipun kelas bagi modul Asas Pembudayaan Keusahawanan ditiadakan esok hari, gerak kerja kumpulan kami telah pun bermula. Bayangkan pada 7 Oktober 2011 iaitu Jumaat beberapa minggu yang lalu, kumpulan kami baru sahaja terbentuk dan kini gerak kerja 'test market' produk pertama iaitu 'brooch' telah dijalankan. Bahkan, aku tergerak untuk menaip sesuatu dalam blog ini angkara menyiapkan bahagian Pengenalan dan Tujuan untuk 'paperwork' kumpulan kami iaitu Rancangan Perniagaan kami. Terimbau kenangan mengusahakan syarikat Cenderawasih untuk modul Pemasaran Produk Seni bersama Kak K, Hafiz dan Khaidir semester lalu. Cenderawasih yang pernah kami usahakan bersama tinggal kenangan. Kini, aku dan ahli kumpulan yang baharu sedang mengusahakan syarikat yang lain. Suatu hari, kumpulan APK ini juga akan tinggal kenangan. Hiba hati ini memikirkan bahawa sesuatu yang diusahakan hari ini pasti akan menjadi kenangan pada esok hari dan hari-hari yang akan datang. :(

Alhamdulillah, kumpulan APK kali ini menemukan aku dengan ahli kumpulan baharu dan majoriti daripadanya adalah mereka-mereka yang pertama kali aku harus bekerjasama. Kalau dari Singapura, hanya kami berlima dan tentunya bukan pertama kali aku bekerjasama. Farha Salwa yang mudah dan murah senyuman adalah rakan seperjuangan dalam modul KO-K pada semester lalu. Lantas, bukan pertama kali kami bekerjasama. Namun dengan yang lain, inilah langkah permulaannya.

Wan Nur Hanani memang aku kenal sebelum ini apatah lagi kami sama-sama mengambil modul Bahasa Melayu Lisan pada semester lalu. Alhamdulillah, sejauh ini beliau mengambil berat tentang Rancangan Perniagaan memandangkan menurut beliau, kumpulan lain sudah pun menyiapkan Rancangan Perniagaan mereka. Aku faham kerisauannya memandangkan Kak K dan aku juga bertungkus lumus menyiapkan Rancangan Perniagaan untuk Cenderawasih yang perlu mengandungi maklumat yang penting dan rinci. Semoga sumbangan Wan Nur Hanani dapat melancarkan banyak urusan kerana tugas beliau sebagai Bendahari adalah tugas yang langsung tidak aku minati secara peribadi.

Wan Nur Nadiah memang aku kenal kerana kami sejabatan. Begitu juga dengan Waheda. Namun, inilah kali pertama kami sekumpulan. Kami bertiga akan menerajui Unit Modal dan Tajaan iaitu unit yang perlu memberi fokus untuk mengumpulkan dana sebelum hari kejadian. Semoga kami dapat berusaha dengan sebaik-baiknya, InsyaAllah.

Zulkifli yang sering aku usik dengan panggilan 'Farid Kamil' memang aku kenali apatah lagi kami sama-sama mengambil modul Pemasaran Produk Seni pada semester lalu. Beliau memang lucu dan selamba orangnya. Oleh sebab beliau selamba dan mampu berinteraksi dengan baik, kami memilihnya untuk menggerakkan Unit Promosi dan Pengiklanan bersama Sharifah dan Aisyah. Sesuailah dengan watak Sharifah dan Aisyah yang ramah dan 'happy-go-lucky'. Semoga mereka dapat bekerjasama dengan sebaik-baiknya, InsyaAllah.

Syafix merupakan ketua kumpulan kami sekaligus Pengarah bagi syarikat kami. Meskipun ini merupakan pengalaman pertama beliau dalam menerajui sebuah kumpulan dan beliau agak gementar, tentu ada hikmahnya mengapa beliau terpilih untuk mejadi pemimpin. Kadang kala ciri kepimpinan itu memang ada apatah lagi dalam kalangan lelaki tetapi peluang untuk memimpin itu yang tidak ada. InsyaAllah dengan beliau terlantik sebagai ketua kumpulan sekaligus Pengarah bagi syarikat kami, bakat kepimpinan beliau akan diasah, InsyaAllah. Semoga beliau diberi keyakinan diri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini.

Nadiah Asmaq, Noor Nabilah, Noraini, Nornazirah dan Siti Zamzarina merupakan wajah-wajah yang aku kenali tetapi tidak pernah berinteraksi sebelum ini terutama sekali Noor Nabilah. Hanya melalui kumpulan ini, barulah aku ketahui nama Noor Nabilah dan Siti Zamzarina. Alhamdulillah, ruang dan peluang untuk kami saling mengenali dan berinteraksi bahkan bekerjasama tekah terbuka. Perkara seperti inilah yang perlu aku hargai kerana lapan bulan lagi, kami akan berpisah. Ciptalah kenangan bersama selagi diberi kesempatan dan masa. :)

Nur Khairiyyah telah aku minta untuk membantu Syafix sebagai Timbalan Pengarah bagi syarikat kami kerana aku yakin dengan potensinya untuk menggerakkan kumpulan. Beliau seseorang yang berdedikasi dan tegas. Ketegasan hati Nur Khairiyyah yang penting dalam 'product orientation' jika digandingkan dengan kelembutan hati Syafix yang penting dalam 'people orientation', aku percaya dapat mencipta keseimbangan untuk menerajui syarikat kami. Semoga mereka dapat menerajui kumpulan kami sekaligus syarikat kami dengan sebaik-baiknya, InsyaAllah.

Siti Norasdiah dan Bahiyuddin merupakan pelajar tahun dua dari Brunei. Sebelum ini, aku sempat berbual dengan Bahiyuddin sewaktu dalam perjalanan pulang dari 'meeting' OPKIM sebelum aku menarik diri. Meskipun tidak dapat bekerjasama dalam OPKIM, kami akan bekerjasama untuk APK. Manakala Siti pula merupakan kenalan baharu. Semoga kami dapat mempelajari lebih banyak perkara tentang Brunei Darussalam dan mencipta persahabatan Singapura-Brunei di samping persahabatan Malaysia-Singapura. :)

Fazli merupakan pelajar tahun dua dari Singapura. Sebelum ini, kami pernah berbual. Inilah pertama kali bekerjasama dengan Fazli iaitu mantan pegawai polis semasa di Singapura. Tentunya pengalaman bekerja sebelum ini mematangkan beliau dan pasti ada ilmu baharu yang boleh diperolehi daripada Fazli. Sejauh ini, beliau kerap memberi idea dan saranan. Semoga kami dapat sama-sama menggerakkan syarikat kami ini.

Oh ya, Nur Hakimah pula menjadi Setiausaha untuk kumpulan kami. Beliau memang pendiam tetapi setelah mengenalinya, beliau tidaklah sependiam yang disangka. Semoga sumbangan beliau sebagai Setiausaha akan melancarkan banyak urusan. Maklumlah, tugas seorang Setiausaha tentunya perlu menyiapkan banyak surat, minit, agenda dan sebagainya.

Kumpulan kami, syarikat kami sudah mempunyai nama kumpulan tetapi sejauh ini, biarlah rahsia. Biarlah Unit Promosi dan Pengiklanan yang terlebih dahulu tampil memperkenalkan kami kepada khalayak.

Sejujurnya, pada mulanya, aku keberatan untuk mengambil modul ini. Namun, Alhamdulillah, semangat kian membara walaupun tidak marak. Semoga aku mampu memberi komitmen berserta keikhlasan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam menggerakkan kumpulan dan syarikat kami. :)

Friday, October 21, 2011

Semester Kelima, Minggu Keenam

Semester Kelima, Minggu Keenam

Isnin (17 Oktober 2011): Bentuk Lakon Melayu Tradisi

Kami diberitakan oleh Prof Rahmah bahawa 30% daripada markah tugasan bertumpu kepada lakonan yang mendukung tema Ilham Seni untuk semester ini iaitu perkahwinan. Menarik. Itu bererti aku secara langsung akan terlibat dengan lakonan. Namun suasana lakonan ini tentunya ceria dan meriah memandangkan perkahwinan menjadi tema. Kami telah dimaklumkan bahawa lakonan ini akan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu
- bercinta
- merisik dan bertunang
- bernikah dan bersanding

Menarik. Terimbas kembali seketika ketika aku berusia 14 tahun semasa di bangku sekolah menengah. Pada waktu itu, aku dan teman-teman daripada menengah tiga ditugaskan untuk melaksanakan tugasan bertemakan perkahwinan. Sama seperti tugasan kali ini. Namun, pada waktu itu aku ditugaskan untuk menterjemahkan teks tentang perkahwinan untuk pameran dan kemudian menaip serta mencetak teks itu. Tugasan pada waktu itu mengkehendaki pelajar menengah tiga bertungkus-lumus dan bekerjasama menyiapkan tugasan itu yang turut melibatkan lakonan persandingan. Satu perkara paling menarik tentang tugasan itu adalah terciptanya ruang dan peluang perkenalanku dengan Mohamad Noor Azman. Ahakz. Kami jatuh cinta dan kemudiannya bercinta melalui tugasan ini. Bibit perkenalan kami tercetus sewaktu kami berdua sedang melilit bunga manggar. Cinta Bunga Manggar. Cinta pertamaku. Aku tersenyum sendirian apabila aku terimbas kembali kenangan lalu yang mengusik hati. Cinta yang tersimpul melalui tugasan bertemakan perkahwinan.

Encik Faizal sudah menjalankan sesi bengkel dan pada pandangan aku sejujurnya, aku berasa bosan meskipun aku tersenyum dan ketawa dengan keletah rakan-rakan. Nikmat berbengkel belum aku perolehi. Aku menjalani bengkel ini sekadar memenuhi keperluan. Aku hanya berharap aku akan memperolehi ilmu dan kemahiran yang bermanfaat terutama sekali dalam melatih diri agar fokus dan mampu berlakon dengan penghayatan. Namun begitu, memandangkan tema lakonan ini ialah perkahwinan, tentunya keceriaan itu penting sedangkan jiwa aku lebih menyukai sesuatu yang 'berat' seperti lakonan yang berkaitan dengan tema pembuangan bayi, kanser, penindasan dsb. Hihihihihi. 'Berat' tu.



Selasa (18 Oktober 2011): Semantik
Kami bertiga iaitu Shahrizal, Abdul Rahman dan aku sendiri sebagai satu kumpulan telah berbincang untuk kali kedua tentang tugasan kami. Pada minggu lalu, kami dalam proses memilih lagu. Pada minggu ini, kami telah menetapkan keenam-enam lagu yang akan dikaji bahkan membahagikan keenam-enam lagu ini kepada setiap ahli kumpulan. Aku telah memilih untuk menganalisis lagu kegemaranku iaitu Merindu Kepastian, nyanyian Art Fadzil bagi lagu yang berbentuk analogi manakala bagi lagu berbentuk bukan analogi, aku telah memilih untuk menganalisis lagu Di Saat Aku Mencintaimu, nyanyian Dadali....juga lagu kegemaranku.

Sejujurnya, aku masih belum pasti apakah kami berada di landasan yang betul memandangkan kuliah berkaitan dengan tugasan kami belum diajarkan kepada kami. Prof Indira berada di Beijing. Kami hanya bergantung kepada nota namun begitu, kami agak bingung bagaimana hendak mengaplikasikan pengetahuan yang kami baca daripada nota sewaktu menganalisis lirik lagu itu. Hmmm... Kami sebenarnya masih belum memahami kandungan nota itu.



Rabu (19 Oktober 2011): Kesenian Suku Kaum Sabah dan Sarawak
Aku tidak mampu menumpukan perhatian sewaktu Encik Nazzri mengajar. Salah satu sebab adalah aku tidak berminat dengan modul ini. Hingga ke saat ini, aku masih separuh hati dalam menduduki modul ini. Tanpa minat, tiada nikmat. Aku tahu aku harus melawan perasaan dan bukan melayan perasaan. Aku tahu aku harus tegas mendisiplinkan diri untuk mempelajari dengan sungguh-sungguh sesuatu yang tidak diminati kerana pastinya tentu ada ilmu dan pengetahuan yang baharu dan baik.... yang perlu aku amati dan hargai. Aku tahu aku harus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memberi tumpuan sewaktu Encik Nazzri mengajar kerana itu adalah tanggungjawabku sebagai pelajar. Namun, minggu demi minggu, fikiranku masih menerawang dan melayang....entah ke mana. Hmmm.....



Khamis (20 Oktober 2011): Analisis Wacana
Aku tidak ada kelas pada setiap hari Khamis. Dalam kecelaruan memahami kehendak soalan dan mengaplikasikan ilmu dan pengetahuan untuk menganalisis cerpen sebagai wacana pilihan, akhirnya aku langsung tidak melaksanakan apa-apa. Aku terus 'give up'. Padahal, menurut sangkaanku, aku benar-benar faham segala yang diajar pensyarah di dalam kelas. Namun, bagaimana aku harus mulakan tugasan Analisis Wacana ini sedangkan aku dalam kekaburan. Sebenarnya, aku telah menganalisis satu perenggan daripada salah satu ceraian dalam cerpen ini. Aku yakin apa yang aku analisis itu betul. Namun, setelah pensyarah mengajar tentang penanda wacana, aku seperti tidak tahu bagaimana aku harus meneruskan tugas menganalisis ini. Bukankah tugasan Analisis Wacana memerlukan kami mengkaji ciri-ciri wacana yang tujuh itu. Tentunya, penanda wacana dan ciri-ciri wacana tidak dapat dipisahkan tetapi aku tidak jelas tentang struktur yang harus kami ikuti.

Aku kecelaruan dan kekaburan. Hmmm.....



Jumaat (21 Oktober 2011): Analisis Wacana

Alhamdulillah, setelah mendapatkan bimbingan peribadi daripada Mardia tentang tugasan Analisis Wacana, fikiran yang kabus kelabu menjadi terang cerah. Aku dapat melihat perkaitan antara ciri-ciri wacana yang tujuh itu dan penanda wacana. Namun untuk tugasan menganalisis cerpen, aku harus fokus kepada penanda wacana untuk membuktikan kewujudan ciri-ciri wacana yang tujuh itu. Mudah bukan? Tidak susah. Namun oleh sebab aku kecelaruan dan kekaburan tanpa pembimbing, aku semakin hilang arah dan sesat jalan. Penerangan Mardia telah menghuraikan simpulan ini. Aku berasa lega dan gembira. Terima kasih Tuhan kerana menghadirkan seorang Mardia yang sedia membantu aku yang buntu. Sekurang-kurangnya, aku sudah jelas tentang kedua-dua konsep dan sudah tahu bagaimana aku boleh meneruskan tugas menganalisis yang telah tergendala. :)

Thursday, October 20, 2011

Peranan Pantun Dalam Kehidupan Masyarakat Melayu

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian adat
Apa guna orang berpantun
Untuk mengingat petuah amanat

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain dan baju
Apa guna orang berpantun
Untuk mengangkat tuah Melayu

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian budak
Apa guna orang berpantun
Untuk mengajar hukum dan syarak

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain cindai
Apa guna orang berpantun
Untuk membaiki laku perangai

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat pakaian nikah
Apa guna orang berpantun
Untuk menyampaikan petuah amanah

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain pelekat
Apa guna orang berpantun
Untuk mengkaji adat istiadat

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain selerang
Apa guna orang berpantun
Untuk mengisi mana yang kurang

Apa guna orang bertenun
Untuk membuat kain dan baju
Apa guna orang berpantun
Untuk menimba berbagai ilmu

Kalau orang melabuh pukat
Carilah pancang kayu berdaun
Kalau kurang mengetahui adat
Carilah orang tahu berpantun

Kalau kayu hendak ditarah
Keratlah cabang dengan daunnya
Kalau ilmu hendak bertambah
Dekati orang dengan pantunnya

Apalah guna daun kayu
Untuk tempat orang berteduh
Apalah guna pantun Melayu
Untuk tempat mencari suluh



Pantun-pantun yang indah ini telah dipetik daripada lelaman berikut:
http://www.sungaikuantan.com/2010/02/pantun-dalam-kehidupan-orang-melayu.html

Tuesday, September 27, 2011

Rasa pilu

Suasana hujan bersama bayu yang berpuput lembut pada tengah malam ini menjentik rasa.

Baju kurung pesak berwarna merah jambu dan pic ini semakin membangkitkan rasa.

Rasa pilu.

Aku tahu, aku faham dan aku yakin bahawa segalanya bersifat seketika dan sementara.

Keberadaanku di sini iaitu di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur sebagai seorang mahasiswi di Universiti Malaysia, khususnya Akademi Pengajian Melayu akan berakhir.

Minggu ketiga pembelajaran dalam semester kelima sedang aku susuri.

Rasa pilu.

Aku tahu, aku faham dan aku yakin bahawa segalanya bersifat seketika dan sementara.

Sama ada aku menghitung hari atau tidak, waktu akan tetap dan terus berlalu.

Perpisahan akan berkunjung tiba untuk menjemputku pulang ke Singapura.

Perpisahan juga boleh berlaku dalam bentuk yang lain iaitu kepulanganku kepadaNya.

Rasa pilu.

Thursday, September 22, 2011

Asas Kesantunan Bahasa

Kesantunan Bahasa

Kesantunan bahasa secara umum merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun.

Bahasa Melayu sebagai bahasa yang telah beratus-ratus tahun menjadi bahasa tamadun di rantau ini dan sejak kemerdekaan pada tahun 1957 menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan juga bahasa ilmu di negara ini mempunyai tradisi yang mantap dalam pengungkapan dan penggunaan bahasa yang santun.

Dalam usaha kerajaan membentuk warganegara yang berjati diri, memelihara adab dan kesopanan serta bertamadun tinggi, kesantunan bahasa atau santun berbahasa sewajarnya menjadi amalan seluruh rakyat, daripada kalangan pemimpin hingga rakyat biasa. Dengan demikian, rakyat dan negara kita bukan sahaja maju dalam pembangunan ekonomi, sains dan teknologi, tetapi akan dihormati sebagai bangsa yang mempunyai maruah dan keperibadian yang tinggi.

Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni yang dilancarkan oleh kerajaan pada awal tahun 2005 merupakan usaha yang penting untuk memupuk kesedaran dan penghayatan seluruh warganegara terhadap pentingnya budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, bahkan dalam hubungan manusia sejagat. Santun berbahasa merupakan salah satu aspek penting kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni itu.

Peraturan Bahasa

Kesantunan bahasa diukur berdasarkan kepatuhan pengguna bahasa kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Setiap masyarakat atau bangsa mempunyai peraturan bahasa masing-masing.

Sebahagian peraturan itu bersifat sejagat, seperti penggunaan panggilan hormat, kata sapaan kekeluargaan dan ungkapan bertatasusila. Ada sebahagiannya pula yang bersifat khusus bagi sesuatu masyarakat atau bangsa, seperti bentuk-bentuk panggilan kehormat menurut sistem susun lapis masyarakat, protokol dalam pentadbiran atau adat istiadat dan sistem kekeluargaan dalam masyarakat berkenaan.

Prof. Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar dalam bukunya Setia Dan Santun Bahasa (2002), merumuskan bahawa ada tiga jenis peraturan penggunaan bahasa iaitu
(i) peraturan linguistik
(ii) peraturan sosiolinguistik
(iii) peraturan pragmatik.

Kepatuhan kepada ketiga-tiga peraturan itu secara bersepadu menjadi asas kesantunan bahasa. Dengan perkataan lain, orang yang santun bahasanya ialah orang yang sedapat mungkin berbahasa dengan menitikberatkan ketiga-tiga peraturan bahasa itu.

Peraturan linguistik berkaitan dengan peraturan penggunaan bahasa yang menitikberatkan ketepatan bentuk dan binaan bahasa. Aspek utama yang mewakili bentuk dan binaan sesuatu bahasa ialah sebutan, intonasi dan tatabahasa. Kepatuhan kepada peraturan linguistik lebih ketara dan ditekankan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan urusan dan majlis rasmi, berbanding dengan urusan tidak rasmi.

Peraturan sosiolinguistik pula berkaitan dengan penggunaan bahasa yang menitikberatkan hubungan sosial antara pembicara dengan pendengar (dalam konteks komunikasi lisan) dan antara penulis dengan pembaca (dalam konteks komunikasi tulisan). Contohnya ialah penggunaan kata sapaan yang betul, sama ada kata ganti diri mahupun kata panggilan hormat, yang ditentukan menurut sistem dalam masyarakat. Secara lebih luas, penggunaan bahasa perlu disesuaikan dengan konteks dalam masyarakat, baik disebabkan oleh faktor hubungan antara pembicara dengan khalayak, faktor suasana (misalnya antara suasana rasmi dengan suasana tidak rasmi), faktor bidang yang tertentu mahupun faktor media (lisan atau tulisan).

Peraturan pragmatik menekankan penggunaan bahasa yang perlu disesuaikan 

Monday, September 19, 2011

Remuk Dan Kecamuk

Remuk dan kecamuk.

Remuklah harapanku dan berkecamuk fikiranku.

Apabila sesuatu yang hanya terdiri daripada dua perkataan mampu menggoncang minda dan menggelombangkan hati ini, ternyata pengalaman lalu yang meninggalkan memori pilu kembali mengusik nurani.

Dua perkataan itu terlalu tinggi nilainya namun bagi aku yang belum menggapai dan mencapai penghayatan terhadap kedua-dua perkataan itu, tentunya aku rasa terpukul.

Beliau menyatakan dua perkataan itu, persis seseorang yang pernah menyatakan dua perkataan itu kepadaku suatu waktu dahulu.

Remuk dan kecamuk.

Lantas, tidur itu aku cari agar aku dapat menemui kelupaan atau kelenyapan memori pilu dek pengalaman lalu.

Betapa aku terasa diri tidak bermaya dan tidak berdaya.

Aku tidur diiringi lagu Jeritan Batinku nyanyian Jamal Abdillah dan Saleem.... di katilku sendiri (setelah kembali menghuni bilik C403).

Kemudian setelah aku bangkit daripada tidurku untuk menunaikan solat Maghrib, aku tidak dapat menyambung semula tidur yang kuperlukan.

Lantas, aku menyusun langkah ke bilik C309.

Di situ, aku dapat melelapkan mata buat kali kedua dengan harapan pengalaman lalu dapat dilupakan dan memori pilu dapat dilenyapkan.

Betapa aku memerlukan tidur itu untuk merehatkan minda dan menenangkan hati.

Remuk dan kecamuk.

Alhamdulillah, ketika aku menaip di blogku sekarang ini, aku fikir aku tenang.

Aku rasa aku tenang.

Namun, aku tidak pasti jika tenangku ini tidak akan hilang....

Betapa aku tidak berupaya sama sekali untuk menghalang dan menghadang ketentuanNya meskipun hanya melalui dua perkataan yang diungkapkan.

Aku mempunyai pilihan sama ada untuk melawan atau melayan perasaan.

Melawan perasaan bererti aku menghadapinya dengan keteguhan hati.

Melayan perasaan bererti aku menanggapi remuk dan kecamuk itu ke dalam hati.

Sejujurnya, aku tidak tahu..... kerana pada waktu ini, aku rasa aku sedang tidak mampu.

18 September 2011. Ahad.

Friday, September 16, 2011

Persinggahan sementara: C309 dan C319

Bilik C309 dan bilik C319 menjadi persinggahan sementara sejak bilik kami didatangi masalah. Masalah yang dihadapi akan menjadi beban yang menekan perasaan atau cabaran yang meneguhkan keperibadian. Lantas, antara beban dan cabaran, aku harus membuat pilihan. Pada mulanya, aku tertekan. Itu ialah pilihanku. Kemudian, aku menukar pandanganku dengan menganggap beban ini sebagai suatu cabaran. Itu juga pilihanku. Moga-moga cabaran ini meneguhkan peribadi kami agar tabah dan matang dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Moga-moga masalah yang menimpa bilik kami dapat diselesaikan sesegera mungkin. Sudah tentunya kami berdua ingin kembali beristirehat dengan tenang di dalam bilik kami sendiri. Namun, segala yang berlaku adalah dalam pengetahuan Tuhan. Sudah tentu ada pengalaman dan pengajaran yang dapat diperolehi. Tugas kami sebagai hamba-hambaNya adalah berbaik sangka dengan ujian ini dan menanganinya dengan bijak di samping mencungkil hikmah yang tersembunyi di sebalik masalah ini.

Sunday, September 11, 2011

Pemikiran Tipikal Para Penulis Skrip

Filem Ayat-Ayat Cinta merupakan filem Indonesia yang aku sukai dek jalan cerita, watak dan perwatakan, skrip, sinematografi dan isu-isu yang dikemukakan. Boleh dikatakan filem ini menerapkan ciri-ciri Islamik meskipun pelaksanaan filem ini tidak Islamik. (Mungkin dari segi pelaksanaan, filem Ketika Cinta Bertasbih lebih Islamik. Salah satu cirinya adalah wanita dan lelaki yang bukan mahram tidak bersentuhan atas nama seni lakonan.)

Drama bersiri Nur Kasih pula merupakan drama Malaysia yang aku sukai dek jalan cerita, skrip, sinematografi dan konflik yang diketengahkan. Boleh dikatakan drama ini menerapkan ciri-ciri Islamik meskipun pelaksanaan drama ini tidak Islamik.

Drama bersiri Ustaz Amirul juga merupakan drama Malaysia yang aku sukai dek watak dan perwatakan serta konflik yang diketengahkan. Seperti drama bersiri Nur Kasih, pelaksanaan drama belum boleh dikatakan Islamik namun nilai-nilai yang ingin diketengahkan dari aspek jalan cerita, watak dan perwatakan, skrip, isu-isu dan konflik yang diutarakan sudah menjurus ke arah Islamik.

Walau bagaimana pun, satu persamaan yang jelas tentang jalan cerita yang menyorot kepada kehidupan rumahtangga poligami Fahri (dalam Ayat-Ayat Cinta), rumahtangga poligami Adam (dalam Nur Kasih) dan rumahtangga poligami Amirul (dalam Ustaz Amirul), ketiga-tiganya diakhiri dengan menamatkan riwayat hidup isteri kedua. Penulis skrip mempunyai sikap tipikal yang boleh diramal iaitu mengambil jalan mudah menyelesaikan konflik ujian rumahtangga poligami dengan mematikan watak isteri kedua. Dalam Ayat-Ayat Cinta, watak Maria dimatikan. Dalam Nur Kasih, watak Kate dimatikan. Dalam Ustaz Amirul, watak Adawiyah dimatikan. SUNGGUH MENJEMUKAN!

Apakah penulis skrip sekadar mampu membentangkan isu poligami berserta cabaran dan konflik dalam rumahtangga poligami kemudian menemui jalan buntu atau panik dengan isu dan konflik yang dikemukakan? Mengapa penulis skrip cenderung bersikap tipikal dan berat sebelah? Mengapa penulis skrip hanya berani untuk mengemukakan isu poligami berserta cabaran dan konflik tetapi takut untuk menanggapinya secara positif tanpa mematikan watak isteri kedua.

Lantas, seorang Noraini mencabar para penulis skrip untuk menghasilkan skrip yang tidak sewenang-wenangnya mematikan watak isteri kedua hanya semata-mata untuk mendramatikkan jalan cerita sebuah drama atau filem. Hakikatnya, watak isteri kedua wujud dalam realiti kehidupan. Motivasi dan panduan yang berasaskan Quran dan Sunnah harus dipaparkan dalam drama atau filem masa kini agar keluarga poligami yang sejahtera dapat dicontohkan melalui media massa. Meskipun poligami yang kecundang lebih banyak jumlahnya dalam kehidupan realiti, poligami yang cemerlang harus diberi perhatian agar formula kecemerlangannya dapat dicontohi.

Ketiga-tiga watak isteri kedua mati kerana menghidapi penyakit. Manakala watak isteri kedua dalam drama bersiri Annissa iaitu Balqis dan watak isteri kedua dalam drama Kasih Alia iaitu Zulaikha pula mati angkara kemalangan jalan raya. Secara jumlah, 5 watak isteri kedua dimatikan oleh penulis skrip.  SUNGGUH MEMBOSANKAN!

Mengapa penulis skrip begitu bersikap tipikal?! Barangkali juga penerbit atau pengarah yang ingin watak isteri kedua dimatikan. Walau apa pun, ini mencerminkan bahawa drama atau filem Melayu BELUM BERANI atau BELUM BIJAK untuk menangani isu poligami berserta cabaran dan konflik yang wujud hingga dapat menjadi sumber ilmu, panduan dan motivasi kepada masyarakat.

Pesanku, usahlah kita lari daripada kenyataan. Sebaliknya, hadapilah kenyataan ini dengan matang. Sampai bila poligami harus dikesampingkan hanya semata-mata poligami membawa kecederaan emosi sedangkan poligami yang sejahtera tidak akan mencederakan jiwa sesiapa melainkan menyihatkan jiwa-jiwa manusia jika Quran dan Sunnah menjadi pegangan.

Sejujurnya, aku tidak layak membicarakan perkara ini. Namun, pengalaman secara dekat mengenali keluarga poligami yang kecundang dan keluarga poligami yang cemerlang sebenarnya banyak menjana mindaku untuk berfikir dan mengkaji buruk baik poligami. Sama ada kecundang atau cemerlang kehidupan keluarga poligami berbalik kepada individu-individu yang melaksanakannya. Suami. Isteri pertama. Isteri kedua. Apakah yang menjadi sandaran hidup mereka? Soalan yang sama pasti kuajukan kepada sepasang suami isteri yang hidup bermonogami? Namun kata-kata belum membuktikan sesuatu selagi belum terzahir dalam bentuk pelaksanaan....
  

Tuesday, September 6, 2011

Seandainya Engkau takdirkan aku berpoligami....


Seandainya Engkau takdirkan aku berpoligami, jadikanlah aku isteri pertama yang tenang lagi berhemah tinggi.

Aku memohon kepadamu ya Allah, hadirkanlah madu-madu yang beradab dan halus budi pekerti serta santun budi bicara kerana aku tahu betapa jiwa aku akan berkocak atau barangkali bergelombang jika mereka menerjah rumahtanggaku tanpa adab, akhlak dan budi pekerti yang baik.

Betapa aku pernah terhiris hati dan memendam duka dek sikap mereka yang berpenampilan 'muslimah' tetapi sebenarnya merupakan perempuan-perempuan yang sangat biadab.

Ketika ini, terbayang wajah-wajah mereka yang sangat biadab itu dan tidak langsung menjaga hati orang lain apatah lagi merendah diri.

Ya Allah, jauhkanlah aku daripada perempuan-perempuan seperti itu kerana mazmumah-mazmumah kami akan saling beracak lengan yang akan mencetus 'peperangan' dalam negara kecil bernama rumahtangga .

Ketika ini, terbayang juga wajah-wajah mereka yang berakhlak mulia dan aku anggap mereka wanita-wanita penyejuk mata, penawar hati idaman hati seorang suami bahkan harapan seorang isteri pertama.

Andai madu-maduku terlebih dahulu berakhlak, beradab, menyayangi dan menghargaiku, aku yakin keluarga poligami kami mempunyai asas yang teguh kerana kami saling menghormati dan bercinta kerana Allah.

Masihkah ada wanita-wanita seperti itu?

Aku yakin ada kerana perkenalan dan persahabatan yang terjalin membuka ruang dan peluang untuk mengenali hati budi mereka yang bernama wanita-wanita penyejuk mata, penawar hati ini.

Namun pengalaman telah mendewasakan bahawa perempuan-perempuan yang biadap tidak semestinya daripada kalangan mereka yang tidak menutup aurat dan yang tidak memahami syariat.

Bahkan perempuan-perempuan yang biadap ini terdiri daripada golongan yang 'berpengetahuan'.

Seandainya Engkau takdirkan aku berpoligami, jadikanlah suamiku prihatin dan mengambil berat tentang perasaanku agar beliau tidak sembrono memilih madu-madu yang aku sendiri tidak ikhlas menerima mereka dalam rumahtangga kami.

Aku berharap suamiku tidak terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya mengutamakan pandangan dan rasa hatiku dalam usaha kami bersama-sama memilih calon madu-maduku kerana yang akan bertarung dengan perasaan pilu, sakit hati dan tidak puas hati ialah aku dan bukan insan lain.

Aku berharap suamiku akan memberi penghormatan kepadaku dengan memberi ruang dan peluang kepadaku untuk mengenali hati budi calon madu-maduku terlebih dahulu dan kemudian menimbang pandangan dan rasa hatiku.

Alangkah bahagianya hati ini andai suamiku dengan ikhlas memberi ruang dan peluang untuk aku membuat keputusan.

Ruang dan peluang ini kuanggap bonus yang berbaloi lagi menggembirakan.

Sekurang-kurangnya, jika wanita yang aku pilih sebagai maduku berubah laku selepas mendirikan rumahtangga bersama suamiku, hati ini akan luka kerana kecewa dan bukan luka kerana diduakan atau dikecualikan dalam keluarga poligami kami.

Aku percaya sebuah rumahtangga monogami juga terdedah kepada risiko yang hebat andai perencanaan dan pilihan tidak dilakukan secara rinci.

Lantas, sebuah rumahtangga poligami juga akan terdedah kepada risiko yang sama hebat andai perencanaan dan pilihan tidak dilakukan secara rinci.

Ya Allah, hadirkanlah seorang suami yang memuliakan aku sebagai isteri pertama dengan tidak sesuka hati membina keluarga poligami dengan menduakanku atau mengecualikanku kerana seperti suamiku, aku juga mengimpikan sebuah keluarga poligami yang saling menghormati dan berkasih sayang.

Cemburu seorang isteri adalah tanda kecintaan yang membara terhadap suaminya.

Sebagaimana aku cuba mendidik cemburu di hatiku, aku berharap suamiku juga mendidik dirinya agar tidak mengutamakan dirinya sendiri sahaja.

Moga hati dan jiwa seorang Noraini sentiasa sejahtera dengan sebuah keluarga monogami apatah lagi poligami.

Seandainya Engkau takdirkan aku berpoligami, jadikanlah aku isteri pertama yang mencintai suamiku dan mengasihi madu-maduku dan aku pula dicintai suamiku dan dikasihi madu-maduku.

Amiin Ya Rabbal Alamiin.

Sunday, September 4, 2011

Aku ingin berhijrah atau barangkali bermastautin....

Aku ingin berhijrah atau barangkali bermastautin ke luar negara.

Pilihan pertamaku tetap negara jiran yang terdekat iaitu Malaysia.

Barangkali Australia terlalu jauh namun tetap menjadi pilihan keduaku.

Namun aku tidak tahu bagaimana Tuhan akan merencanakan perkara ini menjadi kenyataan di samping aku juga harus merencana.

Meskipun perhubungan cintaku dengan Abang Muhammad dari Selangor tidak bertakhtah dengan ikatan pernikahan di atas pelamin persandingan setelah empat tahun mengenali hati budi masing-masing sejak tahun 2006, aku hanya mampu menyerahkan perencanaanku ini kepada Tuhan.

Namun, rasa hati ini belum berganjak daripada ketetapan bahawa aku ingin berhijrah atau barangkali bermastautin ke luar negara untuk menerajui sebuah kehidupan yang jauh lebih sejahtera.

Bahkan, rasa hati ini semakin kuat dan semakin yakin.

Aku pun tidak pasti andai Tuhan pula berkehendak untuk mengajak aku pulang ke ribaanNya sebagai alternatif dalam memenuhi impianku ini.

Peluang 'berhijrah' atau bertukar angin ke Kuala Lumpur, Malaysia dalam pertarunganku untuk mengecap ketenangan jiwa dengan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya merupakan usaha awal dalam mengenali dan menyesuaikan diri di negara pilihan pertamaku.

Aku hanya mampu berharap kepadaNya agar laluan hidupku dipermudahkan sedangkan aku tidak tahu bila dan bagaimana perencanaanku ini dapat menjadi kenyataan.

Samada di Singapura atau di Malaysia, sudah tentu ada pasang surutnya, sudah tentu ada kelebihan dan kekurangannya, sudah tentu ada nikmat dan ujiannya.... namun sejujurnya, jiwaku lebih sejahtera di Malaysia.

Surah Al Mulk (Ayat 15) menyeru, "Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya, dan makanlah sebahagian dari rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan."

Wednesday, August 31, 2011

Aku memohon kepadaMu

Aku memohon kepadaMu wahai Pemilik hati dan jiwa sekalian manusia.

Aku memohon kepadaMu wahai Pemilik syurga dunia dan akhirat.

Sejak daripada kecil, aku sudah menyaksikan betapa ibuku teguh bertarung dengan dugaan hidup yang getir.

Sejak usia beliau yang masih muda hinggalah ke hari tuanya, ibuku telah ditakdirkan menghadapi ujian hidup yang bersuramkan air mata.

Lantas, aku memohon kepadaMu ya Allah, jadikanlah ibuku calon penghuni syurgaMu.

Aku memohon kepadaMu ya Allah agar ibuku didampingi insan mulia lagi tabah iaitu wanita syurga Siti Hajar (ibu kepada Nabi Ismail) dan Siti Mariam (ibu kepada Nabi Isa).

Aku memohon kepadaMu ya Allah agar ibuku Kau bahagiakan di dunia dan akhirat terutama sekali di akhirat kelak iaitu syurga idaman kami.

Ibuku seorang wanita yang terlalu tabah dan amat pemaaf.

Kau ampunilah dosa-dosanya dan Kau redhailah dirinya.

Aku memohon kepadaMu ya Allah... muliakanlah ibuku dan tempatkanlah beliau di syurgaMu bersama Siti Hajar dan Siti Mariam kerana mereka merupakan golongan ibu yang sangat mulia di mataku.

Perkenankanlah doa hambaMu ini ya Allah.


Friday, August 19, 2011

Perempuan Berkalung Sorban 2009

Perempuan Berkalung Sorban 2009 merupakan sebuah filem yang telah menyentap sanubariku dengan jalan ceritanya dan isu-isu berat yang menjerat lagi menyengat.

Dalam sebuah babak, ada terungkap sebuah ayat yang ringkas tetapi mempunyai makna yang kemas sewaktu watak Annisa membaca kata-kata yang tertulis itu di sehelai kertas yang dikirimkan oleh watak Khudori kepadanya.


Berikut merupakan ayat yang dimaksudkan.

"Jangan sebut aku perempuan sejati jika hidup hanya berkalang lelaki, tapi bukan berarti aku tidak butuh lelaki untuk aku cintai." (Nyai Ontosoroh)

:) Indah bukan?




Wednesday, August 10, 2011

Deep Connection

'People may come and go in our lives, but with some we share a deep connection and bond. We know their support is constant and unconditional. And just as they are there for us, so we are there for them. When our heart centres are open and energy flows between two friends, we feel the spark of a kindred spirit. We feel the need to find others with whom we can be completely authentic, with whom we can communicate in confidence: share our secrets, even our shame and our fears. They provide validation and are one of our front-line defences during difficult periods. When you connect with someone on a level of deep trust, you have created a support system, a place of safety - and someone to have fun with, too! Life changes and friendships evolve, but the friend who is genuine is a constant in your life.

Our world is, in a sense, framed by the friends we choose. No friend will ever be completely perfect, but then of course neither are we! However, sometimes we find ourselves with friend who takes from us without giving back, who depletes our energy and holds us back from fulfilling our potential. Avoid negative energy, and when your instincts prompt you to pull back from a partcular friendship, follow your heart and do so.

As you follow a path of increasing awareness, you may realize that some of your old friends don't suit you anymore - they may seem petty, or superficial. One of my students asked me about this recently. She was worried because she didn't want to go out drinking with her friends anymore, or to waste time talking about rubbish. But when you're growing, that's what happens: it's like shedding an old skin. Sometimes it's just temporary, while you make your transition. While you're still learning, you're so excited by the changes in yourself you want to shake people and say, "Look! There is another way!" So you go preaching to everyone, and they think, "Oh, she's gone a bit weird." Suddenly you don't seem fit in with your old friends. But keep up your learning, and you'll get to a point where you no longer feel you have to preach. You're calm, more content. You don't try to convince people of anything, yet they start saying, "You look great! What have you been doing?" And when you tell them, some of them will say. "Oh, I want that!"

While you're making changes in your life, it's great to be with people who are on the same level as you, going through the same transition. The close friends we've been discussing don't come along every day. But when your heart is open, you will be able to recognize and welcome the possibilities of these new, deeper connections. You will be able to trust the promptings of your heart and recognize a new soul-sister or soul-brother!'

(Written by Maya Fiennes) 

Monday, August 1, 2011

Merindui

Aku merindui telefon bimbitku Nokia 5310 yang telah 'menghembuskan nafasnya yang terakhir' pada tahun lalu setelah aku terjatuh ke dalam laut di Pulau Pangkor.

Telefon bimbitku itu masih ada dalam simpananku kerana ternyata aku masih sayang kepadanya.

Namun begitu telefon bimbit itu sudah tentunya tidak dapat berfungsi lagi.

Merindui....


Nokia 5310 menjadi kepunyaanku pada penghujung 2007 (jika tidak silap pada bulan Disember) dan setia bersamaku hinggalah terjadinya tragedi yang 'meragut nyawanya' pada penghujung 2010 (jika tidak silap pada bulan Oktober).

Hampir tiga tahun Nokia 5310 itu bersamaku.

Sampai di situ sahaja kenangan kita bersama kerana takdir 'pemergianmu' telah ditetapkan.

Thursday, July 21, 2011

Kamal Adli sebagai Nizam dan Haris


Kamal Adli merupakan pelakon lelaki yang aku minati. Beliau pertama kali kukenali melalui drama bersiri Seribu Kali Cinta iaitu sebuah drama romantik komedi. Pada waktu itu, Kamal Adli memainkan watak Nizam. Nizam seorang pemuda yang mempunyai ramai kawan perempuan tetapi tidak menganggap mereka lebih daripada seorang kawan. Apabila tertekan dengan keadaan kerana diburu oleh perempuan-perempuan 'perigi cari timba' dan tertekan dengan desakan ibu bapanya yang mahu dia berumahtangga, Nizam pun melarikan diri ke Pulau Aman. Di situ, dia telah jatuh hati pada seorang gadis yang cantik lagi sederhana iaitu Mia Sara. Cinta pandangan pertama itu telah mendesak Nizam mencari tahu tentang Mia Sara.

Drama romantik komedi ini cukup menghiburkan dan lucu terutama sekali pada babak-babak Kamal Adli di Pulau Aman dan cuba menarik perhatian Mia Sara. Hinggalah kepada bibit-bibit perkenalan dua insan ini, kemudian bercinta dan berumahtangga. Cerita cinta ini tidak semudah dan seindah kerana Mia Sara menghidapi penyakit amnesia. Setiap kali Mia Sara tidur, ingatannya tentang segala apa yang berlaku sepanjang hari akan lenyap begitu sahaja. Di situlah ketabahan dan ketulusan seorang lelaki bernama Nizam teruji. Keletah dan 'mood' Mia Sara yang tidak terjangka dan tidak terduga sungguh melucukan.



Drama kedua yang menampilkan Kamal Adli ialah drama bersiri Ana Lu'lu. Kali ini, Kamal Adli memainkan watak sebagai Haris Azhan iaitu seorang duda yang kematian isteri dan mempunyai seorang anak perempuan. Ibu Haris mendesak dan mencuba pelbagai cara untuk menyatukan Kamal Adli dengan gadis pilihan ibunya yang bernama Sofi. Namun Haris langsung tidak mahu menerima Sofi dalam hidupnya kerana mendapati Sofi tidak ikhlas dan tidak jujur.

Apabila tertekan dek perangai 'perigi cari timba' si Sofi, Haris berseloroh kepada ayahnya dengan mengatakan bahawa dia lebih rela memilih si gadis penjual bunga yang baru dia temui. Si gadis penjual bunga yang dimaksudkan ialah Ana Lulu. Namun antara Haris dengan Ana bukanlah cinta pandangan pertama kerana pertama kali mereka bertemu, Haris memandang pelik terhadap cara Ana berpakaian. Hati kecil Haris berdetik bahawa Ana ialah mangsa fesyen.

Namun pertemuan seterusnya dengan Ana telah mengetuk pintu hati Haris hari demi hari. Hati budi seorang Ana dan penerimaan anak perempuan Haris terhadap Ana yang menggelarkan Ana sebagai 'Mama' membungakan perasaan lebih daripada seorang kenalan. Namun situasi tidak mengizinkan kerana Ana sedang bercinta dengan Fadzil.

Drama bersiri yang berjudul Ana Lulu ini sedang ditayangkan di siaran TV3 dan aku sedang mengikuti drama ini. Sejauh ini, Ana Lulu sudah bersiaran sebanyak tujuh episod. Pertama kali Haris dan Ana bertemu di kedai bunga adalah dalam episod ketiga. Aku tersentuh hati dalam episod ketujuh apabila Haris bertanya kepada Ana tentang Fadzil dan mendapat tahu bahawa Fadzil itu teman istimewa Ana. Kemudian, Haris memberikan sejambak bunga kepada Ana dengan ucapan ikhlas meskipun dalam hatinya, dia sebenarnya telah mula menaruh perasaan terhadap Ana dalam diam-diam.

Kamal Adli dalam Seribu Kali Cinta dan Ana Lu'lu

Kamal Adli sebagai Nizam dalam drama bersiri yang berjudul Seribu Kali Cinta. Sebuah drama romantik komedi yang cukup mencuit hatiku! Kisah hidup seorang Nizam sebagai watak utama dalam cerita ini.




Kamal Adli sebagai Haris Azhan dalam drama bersiri yang berjudul Ana Lu'lu. Sebuah drama yang boleh dikatakan bergenre romantik komedi juga. Kisah hidup seorang Ana Lusiana sebagai watak utama dalam cerita ini.

Friday, July 15, 2011

Daripada lelaki untuk lelaki...

Alangkah sukarnya untuk mendapatkan khidmat urut atau spa untuk lelaki yang dikendalikan oleh tukang urut atau pakar terapi lelaki. Sukar untuk mendapatkan khidmat sebegini di Malaysia, apatah lagi di Singapura. Alhamdulillah, SPA SENJAKALA merupakan sebuah pusat rawatan spa yang menepati keperluan bersyarat itu. Daripada lelaki untuk lelaki. Bahkan, khidmat rawatan muka juga disediakan.  


'Senjakala is Malaysia's only award-winning spa for men with highly trained all male masseurs.' Begitulah yang dinyatakan dalam lelaman SPA SENJAKALA. Sekurang-kurangnya, ada juga khidmat urut atau spa untuk kaum lelaki yang dikendalikan oleh kaum lelaki. Khidmat rawatan tubuh merupakan suatu keperluan. Namun, cara pengendalian khidmat rawatan ini perlu bersyarat iaitu dilaksanakan oleh kaum lelaki juga. (Moga-moga kaum lelaki yang mengendalikan khidmat rawatan ini tergolong dalam golongan mereka yang 'meniti jalan yang lurus'. Ehem ehem.)


Sila klik pada pautan di bawah untuk meninjau-ninjau khidmat yang disediakan. 'SENJAKALA Urban Spa For Men'. Tagline yang ringkas tetapi menarik.


Alamat lelaman SPA SENJAKALA: http://www.senjakala.com/  


Bangunan SPA SENJAKALA terletak di No. 20 Jalan Pudu Lama, Bukit Mahkamah, 50200 Kuala Lumpur. :)

Thursday, July 14, 2011

Pisang emas dibawa belayar



'Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati'

Betapa aku sungguh teruja  dan tertawan dengan analisis semiotik yang telah dilakukan terhadap serangkap pantun tradisional yang termasyhur ini. Betapa analisis itu tuntas dan bernas hingga aku semakin meyakini betapa kreatif masyarakat Melayu tradisi yang menghasilkan pantun walaupun hanya melalui serangkap pantun ini. Terbukti bahawa rangkap pembayang pantun sebenarnya berkait rapat dengan rangkap maksud pantun secara emotif, bukan sekadar secara struktural.

Setelah aku amati nama penulis dan latar belakangnya seperti yang tertera di lelaman yang aku rujuk, barulah aku sedar bahawa aku pernah bertemu dengan pengkaji ini. Beliau merupakan pensyarah yang pernah berkongsi ilmu suatu masa dahulu iaitu pada Jun 2008 sewaktu rombongan guru-guru sekolah rendah dari Singapura mengunjungi Institut Pendidikan Guru (IPG) yang terletak bersebelahan dengan Universiti Malaya.

Bagi pengunjung blog Nurani Nurain yang ingin menikmati hasil kajian Encik Fauzi Bin Abdullah tentang pantun 'Pisang emas dibawa belayar' ini, silalah klik pada pautan di bawah ini. Diriku yakin hasil kajian beliau mampu memikat hati kalian hingga teruja dan tertawan. Bahkan, diriku seolah-olah ingin mengikuti jejak langkah beliau dalam memahami lebih mendalam tentang makna semantik dan erti semiotik yang terkandung dalam pantun-pantun tradisional yang lain.

Sewaktu mengunjungi IPG kelmarin, salah seorang pensyarah dari institusi itu juga telah berkongsi tentang pantun 'Pucuk pauh delima batu' dan aku masih ingat, betapa aku teruja dengan kupasan yang diberikan. Namun, aku tidak ingat siapakah pensyarah yang berkongsi ilmu itu. Barangkali Encik Fauzi. Hmmm.... Barangkali beliau memandangkan beliau dari Jabatan Kesusasteraan Melayu di IPG.

Sila klik pada pautan di bawah ini untuk membaca hasil kajian beliau. :)

http://www.facebook.com/topic.php?uid=154753345317&topic=12297

Hmmm.... Aku semakin yakin bahawa kupasan tentang pantun 'Pucuk pauh delima batu' telah dikongsi oleh Encik Fauzi kerana sebelum itu, beliau telah meminta kami melagukan pantun dan membetulkan tanda baca pada pantun dalam buku yang telah disediakan untuk kami. Betul! Dialah orangnya. Setelah tiga tahun, kini aku berpeluang membaca kupasan yang lain pula tentang satu lagi rangkap pantun yang termasyhur. Semoga Allah meredhai usaha beliau dalam mendalami pantun-pantun tradisional yang merupakan khazanah bangsa yang terlalu berharga buat kita. Betapa aku mengkagumi hasil kajian beliau yang bersandarkan teori analisis semiotik dan berjaya dikupas dengan tuntas dan bernas sekali. Aku teruja dan tertawan.

Syabas Encik Fauzi!