Sunday, July 27, 2014

Dres labuh dari Camelia

Ketika aku yakin bahawa aku tidak akan menemui dres labuh yang menarik hatiku pada malam itu, akhirnya....

Akhirnya.... aku jatuh cinta dengan dres labuh berwarna merah jambu sebagai tanah dengan bunga-bungaan berwarna ungu yang dipakaikan pada salah satu patung di bahagian hadapan butik.

Butik Camelia, Kompleks Tanjong Katong.

Dres labuh yang indah ini  hanya $99.

Aku gembira dan berpuas hati kerana dapat bertemu dengan dres labuh secantik ini pada saat-saat terakhir

Wednesday, July 16, 2014

Strategi Pembelajaran Dalam Bulatan (Learning Circle) untuk Semester 2

Apabila aku mula mengaplikasikan strategi pembelajaran dalam bulatan, Alhamdulillah aku teruja, gembira dan senang hati melihat wajah-wajah pelajarku yang terhibur, seronok  dan puas hati di dalam kelas Bahasa Melayu.

Seperti aku, mereka juga turut teruja, gembira dan senang hati.

Antara perkara yang amat aku ingati ialah....

Dalam kelas 3 Normal Akademik, perkongsian F amat menarik dan unik sekali kerana anak saudaranya seusia dengannya.

Bukan sekadar itu, mereka seperingkat dalam sekolah yang sama.

Rupa-rupanya D ialah anak saudara F.

Kami amat terhibur dengan hubungan yang menarik dan unik itu.


Dalam kelas 3 Ekspres, perkongsian B amat berterus-terang tentang tindak balas ibunya terhadap kegagalannya dalam peperiksaan.

Keterbukaan B untuk berkongsi mungkin tidak sesuai untuk diketahui oleh rakan-rakan lain namun aku berharap dapat membina hubungan positif dengan B  memandangkan cara B menuturkan kata-katanya perlu diperbaiki dengan teguran dan bimbingan berasaskan sikap ambil berat.

Sebenarnya aku tersentuh dengan perkongsian B yang boleh aku sifatkan sebagai luahan daripada hati yang terluka.


Dalam kelas 2 Normal Akademik, perkongsian M yang diujarkan dengan suara yang menggeletar menggambarkan bahawa M samada menahan sebak atau gementar.

Perkongsiannya tentang situasi keluarganya yang tidak mengizinkan dia membeli pakaian baharu kecuali memakai pakaian yang pernah dikenakan abang-abangnya.

Aku perlu berkongsi tentang situasiku di sekolah menengah yang kepingin makan ais krim Swensen's tetapi tidak mampu demi memberi kata-kata motivasi kepada M dan para pelajar yang lain.


Aku dapati aktiviti berteraskan Strategi Pembelajaran Dalam Bulatan (Learning Circle) yang dilaksanakan dalam kelas pertamaku pada minggu pertama dalam Semester 2 amat santai, menghiburkan dan berkesan dalam mengenali anak didikku.

Bak kata Irsyad 3B, strategi ini INTERAKTIF memandangkan setiap pelajar diberi peluang untuk berkongsi pengalaman, perasaan atau pendapat.

Monday, July 14, 2014

Drama bertema Ramadan dan masakan

Aku sedang menonton drama sempena Ramadan yang berjudul Azam Ramadan Su.

Pada mulanya, aku tidak tertarik untuk menonton dek judul drama ini.

Namun apabila aku mengetahui bahawa Rita Rudaini membintangi drama ini, sudah tentu aku terpanggil dan tertarik.

Drama ini diserikan dengan penampilan Najua Nasir P Ramlee yang melakonkan watak pembantu rumah yang ceria, menghiburkan dan bersahaja.

Setiap episod drama ini membekalkan penonton dengan resipi-resipi menarik dan mudah.

Monday, July 7, 2014

Samsung S5 yang Segak

Samsung Galaxy S5 yang segak.

Semalam iaitu 6 Julai 2014, aku telah membeli telefon bimbit ini dengan harga $228.

Warna emas menjadi pilihanku.


Acer V5 yang Anggun

Acer Aspire V5 473G yang anggun.

Aku telah membeli V5 dari Challenger, Bedok Point pada 6 Jun 2014.

Aku hanya mula menggunakan komputer riba ini semalam iaitu 6 Julai 2014 setelah komputer riba ini dilengkapi dengan perisian Microsoft Office dan 'memory stick M1' dipasangkan untuk mendapatkan khidmat internet.

Rezeki berganda

Alhamdulillah.

Perisian Microsoft Office baru sahaja kubeli dengan harga $189 dari Challenger, Bedok Point.

Jurujual Challenger telah memasangkan perisian ini ke komputer ribaku atas permintaanku.

Alhamdulillah.

Inilah kali pertama aku menggunakan komputer riba Acer V5ku yang telah dilengkapi dengan perisian Microsoft Office dan dihubungkan dengan internet.

Aku telah membeli komputer riba baharu ini pada bulan Jun yang lalu di Challenger, Bedok Point.

Bahkan jurujual yang sama pada pagi ini yang telah mengurus segala pembelianku pada bulan lalu.

Subhanallah.

Aku sedang menaip pos kedua untuk hari ini di dalam Perpustakaan Masyarakat Bedok sambil menyaksikan bumi Allah di hadapan mataku ini dirembasi hujan.

Suasana yang menenangkan.

Sebenarnya, komputer ribaku iaitu kekasih pertamaku sejak zaman pengajian di universiti pada tahun 2009 telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi.

Lebih 5 tahun, kekasihku itu setia menemaniku dari Singapura ke Malaysia, dari kamar C403 ke kamar Chai Chee Avenue dan akhirnya... riwayatnya berakhir di tempat asalnya iaitu kamar Bedok North Street 3.

Meskipun kenangan manis bersama kekasihku itu bukanlah di dalam kamar Bedok North Street 3 kerana 3 tahun aku berada dalam kamar C403 dan tidak pun sampai 2 tahun di kamar Chai Chee Avenue, kekasihku sudah kian banyak berjasa.

Subhanallah.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, kekasihku itu telah menunjukkan petanda akan hari-hari terakhirnya iaitu aku tidak dapat melungsuri internet seperti biasa dek virus yang telah menyerang bahagian dalaman tubuh kekasihku.

Atas dasar itu, aku perlu mengurus perihal masalah teknikal yang tidak mengizinkanku melungsuri internet.

Oleh sebab tanggapan awalku adalah virus dalam bahagian dalaman Acer yang telah menjejas kelakonan 'memory stick M1'ku, aku ke ke kedai M1 untuk mendapatkan 'memory stick M1' yang baharu.

Apabila aku ke kedai M1, aku difahamkan bahawa 'memory stick M1'ku tidak akan pernah diserang virus lantas masih selamat untuk digunakan.

Jikalau aku perlu membeli 'memory stick M1' yang baharu, harganya tidaklah murah iaitu $98.

Apabila aku diberi penerangan tentang prosedur untuk menghubungkan komputer riba V5ku ini dengan 'memory stick M1', aku pun melaksanakan urusan ini di perpustakaan.

Aku lega dan gembira.

Bukan sahaja 'memory stick M1' bebas-virus, pelaksanaan untuk menghubungkan komputer riba V5 dengan internet amat mudah.

Kini komputer riba V5ku sudah pun terhubung dengan internet.

Bahkan, masalah untuk melungsuri blogku telah terhurai.

Alhamdulillah.

Bukan itu sahaja, aku juga telah membeli telefon bimbit S5 pada pagi ini dengan harga $228 di kedai M1 itu.

Aku membeli S5 bukan kerana kemahuan atau keinginan peribadi semata-mata.

Sebaliknya, aku perlu mendapatkan telefon bimbit yang baharu kerana telefon bimbit S3ku tidak dapat berfungsi lagi semenjak menghadapi insiden terhempas ke lantai yang bukan sekali dua tetapi banyak kali.

Khidmat penting seperti khidmat pesanan ringkas SMS dan Whatsapp masih dapat digunakan tetapi ketika aku menerima panggilan, aku tidak dapat mendengar suara pemanggil dan apabila aku membuat panggilan, pemanggil juga tidak dapat mendengar suaraku.

Masalah telefon bimbitku ini berlaku sejak bulan Mei yang lalu dan aku terpaksa menunggu lebih kurang 2 bulan lebih untuk mendapatkan telefon bimbit baharu.

Meskipun belum serasi dengan S5 yang berwarna keemasan ini, aku percaya lama-kelamaan keserasian itu akan terbina.

Insha Allah.

Sebuah telefon bimbit Nokia (yang boleh dikatakan murah) telah diberi secara percuma.

Alhamdulillah.

Rezeki berganda daripada Allah pada pagi ini seharusnya menjadikan aku insan yang bersyukur dan bertafakur.

Segala urusan sudah beres.

Aku dapat menggunakan Microsoft Office terutama sekali Microsoft Word melalui Acer.

Aku dapat melungsuri internet untuk melakukan aktiviti harianku iaitu menaip pos dalam blog peribadiku dan menonton klip video di Youtube.

Aku dapat membuat dan menerima panggilan seperti biasa setelah lebih kurang 2 bulan aku bertahan tanpa telefon bimbit yang sempurna dan lengkap.

Walaupun kekasihku telah dijangkiti virus, 'memory stick M1'ku bebas-virus.

Aku menganggap pemergian kekasihku sesuai dengan usianya yang menjangkau 5 tahun itu kerana itulah jangka hayat yang aku anggarkan.

Subhanallah.

Hujan sudah berhenti sejak beberapa ketika yang lalu.

Masanya aku mengorak langkah pulang ke kamar Bedok North Street 3.

Insha Allah.

Sekian waktu

Sekian waktu, aku tidak dapat berkongsi cerita dalam blog ini disebabkan masalah teknikal yang melibatkan komputer ribaku dan internet).

Kini, aku di dalam Perpustakaan Masyarakat Bedok untuk menaip pos dalam blogku seperti selalu setelah aku tidak dapat berbuat demikian sekian waktu.