Monday, January 30, 2012

Maha Suci Tuhanku

Maha Suci Tuhanku yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujianNya.




Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujianNya.


Sunday, January 29, 2012

Ilmu santapan jiwa

Keletah Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak di atas pentas dalam slot kemusykilan sebuah program 'Countdown 2012' atau 'Menghitung Detik 2012' telah dirakam dan dimuatnaik dalam lelaman pengkongsian video Youtube.

Sungguh lucu namun dalam senyum tawa itu, ada ilmu yang diperteguhkan.

Sungguh menghiburkan namun dalam gelak tawa, ada kefahaman yang diketengahkan.

Dalam bersenda gurau, usik-mengusik dan berlawak, mesej dakwah tetap dapat disampaikan.

Ternyata hubungan baik antara ulama dan artis telah terjalin secara harmonis.

Alhamdulillah.

Pada detik-detik terakhir 2011 dan menuju 2012, aku berada di Universiti Malaya pada waktu itu, khususnya di kolejku iaitu Kolej Kediaman Kesebelas.

Dari bilikku, aku dapat melihat pancaran bunga api (mungkin dari Dataran Merdeka).

Sempat juga kurakam pancaran bunga itu sebagai kenang-kenangan meskipun jauh.

Manakala tentang program 'Countdown 2012' bersama Ustaz Azhar Idrus di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, terdetik juga di hati untuk mengikuti program yang julung-julung diadakan seperti itu.

Apatah lagi, 2012 merupakan tahun terakhir aku di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur.

Namun detik hati itu hanya tinggal sebagai detik hati yang tidak dapat direalisasikan.

Sebab peperiksaan APK akan menjelang pada 3 Januari 2012.

Sebab pembacaan untuk menghadapi peperiksaan APK belum terlaksana dengan sempurna.

Sebab tidak aku tahu jika ada dalam kalangan rakan-rakan yang akan mengikuti program tersebut agar aku boleh ikut sama.

Sebab aku bukan pengikut syarahan Ustaz Azhar Idrus di Youtube.

Sebenarnya, aku terbuka hati untuk menonton dan mengikuti syarahan Ustaz Azhar Idrus apabila adikku yang berada di Singapura memaklumkanku bahawa dia mengikuti dan meminati syarahan Ustaz Azhar Idrus.

Atas dasar itu, aku pun melungsuri Youtube.

Klip video yang aku tonton hingga tergelak ketawa ialah klip video Ustaz Azhar Idrus dan Zizan dalam slot kemusykilan program 'Countdown 2012'.

Sungguh lucu.

Sungguh menghiburkan.



Poster ini telah diperolehi daripada blog seseorang yang beralamat berikut:
http://www.akupenglipurlara.com/sambutan-tahun-baru-2012-ustaz-azhar-idrus.html


Meskipun nama, syarahan dan kata-kata nasihat Ustaz Azhar Idrus sangat popular, selalu dirujuk dan sering diperkatakan di Facebook, begitu juga dengan nama dan kata-kata nasihat Imam Muda, aku tidak begitu 'ambil pusing' tentang mereka sebelum ini.

Kecenderunganku mula berputik sejak adikku berbicara dan berkongsi tentang Ustaz Azhar Idrus sehari dua yang lalu.

Aku tidak menyangka adikku yang berada di Singapura turut mengikuti syarahan Ustaz Azhar Idrus sedangkan rangkaian rakan-rakannya tidak seperti aku yang terdiri daripada ramai rakan dari Malaysia yang tentunya kukenali menerusi Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Inilah yang dikatakan 'dakwah zaman IT'.

Youtube merupakan salah satu wadah yang berkesan dalam menyampaikan dakwah Islam hanya dengan gerakan jari-jemari di atas papan kunci atau tetikus yang mampu membawa sesiapa sahaja ke mana-mana menerusi skrin yang memaparkan sekian banyak klip video dakwah.

Alhamdulillah.

Aku pula mula cenderung untuk mengambil tahu dan mengikuti tentang Imam Muda apabila berpeluang mendengar secara langsung kuliah Imam Muda Fakhrul semasa mengikuti program 'Brotherhood Muslim Camp 2012' di Hulu Langat, Selangor pada 21 dan 22 Januari lalu.

Boleh dikatakan aku ketinggalan zaman.

Demi memperolehi ilmu santapan jiwa, moga ruang dan peluang masih ada untukku.

Saturday, January 28, 2012

Syurga yang dijanjikan... Neraka yang tercipta

Syurga yang dijanjikan bukanlah suatu khayalan
Tentang nikmat berpanjangan Ilahi
Neraka yang tercipta menghimpun azab derita
Tangisan kesengsaraan insan

Syurga adalah kelazatan
Terbentang buat hamba beriman
Yang kasihkan Tuhannya
Yang kasihkan Rasulnya
Yang kasih agamanya

Neraka tempat kedukaan
Angkara kedurjanaan insan
Yang lupakan Tuhannya
Yang lupakan Rasulnya
Yang lupa agamanya

(Lirik lagu nasyid 'Kepastian' ini sungguh menikam qalbu, menusuk ke sanubari. Apatah lagi dialunkan dengan syahdu sekali oleh Imam Muda Nazrul.)

Tahniah

Ingin sekali diriku berhubung denganmu.

Tidak kiralah melalui tulisan ataupun lisan.

Aku ingin sekali berhubung denganmu untuk mengucapkan tahniah.

Namun dalam situasi seperti ini, lebih baik aku berdiam diri.

Bukankah aku yang ingin menjauhkan diri kerana telah berjauh hati?

Lantas tahniahku ini dari kejauhan.

Melalui tulisan yang ternyata tidak akan dibaca.

Melalui lisan di dalam hati tidak bersuara.

Tahniah.

Thursday, January 26, 2012

Koc NICE

26 Januari 2012

Khamis

6:43 petang

Pada waktu dan ketika ini, aku berada di syarikat koc NICE yang terletak dalam bangunan lama keretapi KTM.

Koc akan bertolak ke Singapura pada jam 7:10 malam.

Sementara menunggu, aku melungsuri internet dengan berblog seketika.

:)

Pendakian Bukit Broga (I)

23 dan 24 Disember 2011 (Jumaat dan Sabtu) merupakan tarikh perancangan sebuah program yang 'simple' tetapi bermakna.

Persiapan terakhir seperti menyediakan keperluan yang perlu dimasukkan ke dalam beg dilakukan pada hari Jumaat itu sendiri.

Setahu aku, pada jam 12.00 tengah malam, aku perlu menunggu di bawah untuk dijemput dengan kereta.

Seperti biasa, aku terlewat lebih kurang 10 minit.

Akhir kalam, sebenarnya, kami perlu berkumpul pada jam 12.30 tengah malam.

Bererti program ini bukanlah pada 23 Disember (Jumaat) kerana sekalipun bertolak pada jam 12.00 tengah malam, tetap tarikh sudah mencecah 24 Disember (Sabtu).

Oleh sebab belum tidur, dirasakan kami masih berada dalam 23 Disember.

Walau apa pun, program yang 'simple' ini adalah program pendakian Bukit Broga bersama adik-adik yang majoriti terdiri daripada adik-adik lelaki.

Adik-adik perempuan ialah Nazurah, Syamimi, Shahida dan Azimah.

Manakala adik-adik lelaki ialah Abu Bakar, Edi Farid, Abdul Rahman, Awg Azhar, Ideris, Zakaria, Redzuan, Rashid, Maarof dan Azlizam.

Kami 15 orang ke tapak Bukit Broga dengan 3 buah kereta yang disewa.

Pendakian yang bermula pada jam 3.30 pagi (jika tidak silap) telah diketuai oleh Abdul Rahman dan Ideris yang sememangnya berpengalaman dalam pendakian.

Apatah lagi, mereka berdua adalah anggota PALAPES.

Pendakian ini dimulakan dengan senaman ringkas dan diikuti dengan doa.

Alhamdulillah.

Pendakian yang melelahkan tetapi menyeronokkan maklumlah... bilakah kali terakhir aku mendaki?

Pengalaman yang kuhargai sebenarnya.

Pertama kali dalam sebuah program di luar Universiti Malaya bersama dengan Adik Shahida dan Adik Azimah yang kukenali tetapi tidak secara dekat.

Mereka berdua juga merupakan anggota PALAPES dan ternyata mempunyai kekuatan fizikal dan mental dalam pendakian ini.

Alhamdulillah.

Kedua-dua Adik Shahida dan Adik Azimah memberi sokongan fizikal dan mental kepadaku yang nyata tidak begitu lasak seperti mereka.

Pendakian dalam kegelapan sebenarnya membimbangkan kerana aku tidak tahu bahaya apa dan bagaimana yang boleh menimpa kami.

Sejujurnya, aku tidak akan melakukan sebarang pendakian lagi dalam keadaan gelap seperti ini pada masa hadapan kerana membimbangkan keselamatan setiap daripada kami.

Namun, pengalaman Abdul Rahman dan Ideris, serta pendakian yang diiringi dengan lampu cahaya suluh (yang tidak begitu terang) menjadikan aku lebih berkeyakinan.

Betapa aku sedar bahawa kita sebenarnya sangat memerlukan cahaya untuk meneruskan pendakian dalam kegelapan bahkan sepanjang perjalanan dalam kehidupan ini.

Alhamdulillah.

Kami tiba di puncak Bukit Broga yang setinggi 400 meter itu pada jam 5.00 pagi (jika tidak silap).

Adik-adik lelaki yang bersolat Subuh secara berjemaah di puncak bukit dalam keadaan gelap telah meninggalkan kenangan yang indah.

Kedengaran perbualan dua tiga orang pemuda lain yang menyedari bahawa adik-adikku sedang bersolat dan salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa dia tidak tahu membaca doa Qunut (jika tidak silap).

Semoga Allah s.w.t memimpin mereka untuk menjadi hamba-hamba Allah yang tahu bersolat dan taat mendirikan solat di mana sahaja mereka berada.

Semoga adik-adikku ini sentiasa berada dalam perlindungan Allah s.w.t kerana mereka merupakan generasi pemimpin pada masa hadapan.

Andai di puncak bukit, pencipta Bukit Broga ini tidak dilupakan, aku yakin adik-adikku yang baik ini menjadi generasi yang bukan sahaja dapat menawan puncak bukit bahkan mampu menawan puncak menara gading dalam segala bidang yang diceburi.

Terkenang zaman dahulu apabila rakan-rakan yang mengelilingiku adalah rakan-rakan yang tidak menjaga solat apatah lagi menjaga syariat.

Pada waktu itu, aku berada di antara dua persimpangan.

Antara prinsip diri dengan pengaruh suasana.

Berbalik kepada pendakian Bukit Broga yang telah dicetuskan oleh Abu Bakar, pendakian ini merupakan satu pencapaian bagiku memandangkan usiaku telah pun mencecah angka tiga dan setelah sekian lama aku tidak mendaki, aku kembali mendaki.

Gunung Ledang pernah ditawan suatu masa dahulu ketika usiaku 20-an tahun.

Awal 20-an seingatku iaitu lebih kurang usia adik-adikku sekarang.

Program yang 'simple' dan bermakna.

Berikut merupakan sebahagian daripada gambar-gambar yang telah sempat dipetik semasa berada di puncak Bukit Broga.






Wednesday, January 25, 2012

Betapa Kayanya Mereka Dan Betapa Miskinnya Kita

Seorang hartawan membawa anaknya menginap di sebuah rumah milik seorang kenalannya yang miskin. Dia berharap anaknya akan sedar akan kekayaan yang mereka miliki. Setelah tiga hari di rumah si miskin, mereka pun pulang. Dalam perjalanan, si ayah bertanya: "Apa pandangan kamu tentang kembara kita?"

"Seronok!" jawab anaknya.

"Sekarang, mesti kamu dapat bandingkan hidup sebagai orang kaya dengan orang miskin bukan?"

"Ya," jawab anaknya ceria.

"Nah sekarang, apa yang kamu belajar daripada semua ini?"

Si anak menjawab: "Kita mempunyai seekor kucing peliharaan, tetapi mereka ada banyak kucing yang mereka beri makan. Kita ada kolam renang, tetapi mereka ada sungai yang jernih dan mengalir airnya untuk mereka mandi. Kita ada lampu import yang mahal harganya, tetapi mereka ada bintang-bintang bergemerlapan di langit yang mereka pandang waktu santai di halaman rumah pada malam hari..."

Si ayah ingin menyampuk, namun si anak meneruskan, "Kita ada jalan berturap tetapi mereka ada padang hijau yang saujana mata memandang. Kita seronok menyuruh orang gaji membuat itu dan ini untuk kita, mereka pula ceria ketika berkhidmat dan memberi pertolongan kepada orang lain. Kita ada banyak makanan, tetapi mereka menghasilkan makanan. Kita ada jaga yang menjaga harta kekayaan kita... tetapi mereka mempunyai ramai sahabat setia yang sentiasa melindungi mereka."

Si ayah tambah terdiam apabila anaknya menambah: "Terima kasih ayah kerana menyedarkan betapa kayanya mereka dan betapa miskinnya kita!"

Dipetik daripada majalah Solusi (isu no. 16), halaman 108.


Tuesday, January 24, 2012

Kepastian

Merdu benar suara Imam Muda Nazrul ketika mengalunkan nasyid 'Kepastian'.

Lirik lagu 'Kepastian' menembusi qalbu yang kian kelam dengan noda dan dosa.

Aku bermohon qalbu ini akan diterangi dengan cahaya kasih sayang dan keampunanNya.

Lagu 'Kepastian' sebenarnya milik kumpulan nasyid Inteam tetapi apabila disampaikan oleh Imam Muda Nazrul, terasa di qalbu betapa syurga itu tidak layak untukku.

Namun begitu tidak mampu rasanya untuk menanggung panas api neraka.

Syurga dan neraka itu pasti.

Sedangkan hati yang cinta dan takut kepada Allah masih belum pasti aku miliki.

:(


Monday, January 23, 2012

Yang tinggal kini hanya kenangan: Musim peperiksaan Semester 5 (III)

Ya Allah.

Apa mungkin aku sudah tidak ikhlas mencari ilmu?

Begitulah yang kurasakan.

Itulah sebabnya.

Ketidakikhlasan dalam mencari ilmu.

Atas dasar itu, aku tidak mampu menjawab dengan baik untuk kertas Semantik pada 17 Januari 2012, Selasa.

Atas dasar itu, aku tidak mampu menjawab dengan baik untuk kertas Wacana pada 19 Januari 2012, Khamis.

Suasana usik-mengusik dan bergurau senda serta meluah rasa apabila selesai sudah kertas peperiksaan yang terakhir iaitu kertas Wacana menjadi pengubat jiwa yang lara.

Suasana di luar dewan peperiksaan yang ceria dalam gulana apabila Azhar, Rohaizad dan Zakaria usik-mengusik, bergurau senda dan meluah rasa.

Syamimi dan Nazurah kemudian lalu di situ.

Usik-mengusik, bergurau senda dan meluah rasa.

Kemudian, aku ke APM dengan berjalan kaki untuk mendapatkan surat pengesahan dan melihat kalau-kalau keputusan peperiksaan Bentuk Lakon Tradisi telah dipaparkan.

Sewaktu hendak mendaki bukit APM, dua perkara yang tidak dijangka berlaku.

Khairiyyah menuruni bukit APM manakala sebuah kereta terhenti di bukit APM.

Khairiyyah dari APM untuk melihat keputusannya manakala kereta itu adalah milik Syafix yang pada waktu itu bersama dengan Faraliyana. :)

Alhamdulillah, Syafix mengajakku menaiki keretanya ke APM.


Meskipun segan, aku naiki juga.

Nampaknya, keputusan peperiksaan Bentuk Lakon Tradisi belum dipaparkan meskipun padahal kertas ini ialah kertas paling awal yang aku hadapi.

Aku pulang ke kolej untuk mendapatkan telefon bimbit yang tertinggal dan wang yang mencukupi kerana akan bertemu dengan Mardia di Mid Valley.

Alhamdulillah, kami makan tengah hari (meskipun sudah petang) di Kenny Rogers.

Sewaktu menunggu Mardia di Mc Donalds kerana sebelum itu kami berdua makan ais krim manakala minuman Coke belum pula habis, maka Mardia pergi membeli barang keperluan di Carrefour, Nur Hakimah telah ternampak aku menunggu Mardia dan menghampiriku.

Begitu juga dengan Nor Azreen yang kemudiannya ternampak kami bertiga dan menghampiri kami.

Kami berempat pun bersembang di Mc Donalds.

Sebuah pertemuan yang tidak dijangka pada hari terakhir peperiksaan. :)



Friday, January 20, 2012

Yang tinggal kini hanya kenangan: Musim peperiksaan Semester 5 (II)

Sehari sebelum peperiksaan Bentuk Lakon Tradisi yang jatuh pada 6 Januari 2012, aku menerima panggilan daripada Safirah.

Pada waktu itu, aku sedang tidur di 'bilik piknik' yang terletak di Aras 2.

Safirah menghulurkan telefon bimbitnya itu kepada Khaidir.

Khaidir meminta aku turun kerana dia dan Safirah akan ke Kolej 11.

Aku bertanyakan sama ada dia inginkan nota Seni Sabah Sarawak itu atau sangkaku barangkali dia ingin memberiku nota itu.

Aku yang separuh sedar itu akhirnya turun tanpa membawa notaku dan sebenarnya Khaidir pun tidak membawa notanya.

Sebenarnya, Safirah dan Khaidir sekadar ke Kolej 11 untuk membeli pau dari kedai nombor dua.

Kemudian, mereka membawaku ke Kolej 12 dengan kereta yang Khaidir pandu kerana Safirah ingin makan ais krim yang terjual di sana.

Sebuah perjalanan yang 'simple' dan tidak pernah kusangka dan kujangka.

Dari Kolej 11 ke Kolej 12.

Bagaikan mimpi pada waktu petang sebelum menjelang Maghrib.

Akhirnya kami makan pau sahaja di Kolej 11 meskipun aku sebenarnya masih kekenyangan.

Yang tinggal kini hanya kenangan.

Apabila kertas peperiksaan ketiga iaitu Kesenian Suku Kaum di Sabah dan Sarawak aku hadapi pada 6 Februari 2012, hanya Tuhan sahaja yang tahu dan mengerti gelodak rasa yang aku hadapi tetapi benar kata Ahmad Fouad, soalan yang akan dikemukakan adalah berkisar tembikar, buluh, tarian dan corak dan motif.

Benar!

Keempat-empat soalan yang pernah dikemukakan dalam kertas peperiksaan yang lalu 'dikitar semula' namun soalan wajib menuntut kami menjawab soalan corak dan motif.

+_)(*&^%$#@!~

Hanya Tuhan sahaja yang tahu dan mengerti gelodak rasa yang aku hadapi!

Peperiksaan keempat yang kulalui adalah Kesantunan Bahasa Melayu pada 11 Januari 2012.

Bayangkan jantungku berdetak bimbang dan cemas seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila Dr Ibrahim menyapaku semasa aku berada di APM pada hari Jumaat, 13 Januari lalu.

Pada petang itu, aku ke APM kerana aku perlu mendapatkan surat pengesahan pelajar untuk permohonan pas pelajarku.

Barangkali Dr Ibrahim keletihan atau bermasalah.

Raut wajahnya sebenarnya adalah stimulus bagiku bahawa jawapanku tidak cemerlang dalam kertas peperiksaan yang baru berlalu Rabu yang lalu.

Aduhai.

Tersua Dr Ibrahim dua kali pada petang itu.

Aku juga diminta bertemu dengan penasihat akademikku iaitu Dr Puteri.

Adik Wahida yang maklumkan melalui ruang FB bahawa Dr Puteri telah menyebut namaku.

Bahkan, Abdul Rahman juga telah mengirim SMS kepadaku tentang perkara yang sama.

Oleh sebab Dr Puteri tidak ada di dalam biliknya setelah dua kali aku ke biliknya, aku berkeputusan mengorak langkah pulang.

Abdul Rahman menyarankan agar aku menelefon Dr Puteri dan Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku bertemu juga dengan Dr Puteri.

Sekurang-kurangnya, berbaloi juga pemergianku ke APM kerana selain daripada menyelesaikan urusan tentang surat pengesahan pelajar, dapat juga aku bertemu dengan penasihat akademikku.


:)

Yang tinggal kini hanya kenangan: Musim peperiksaan Semester 5 (I)

Bayangkan...

Betapa perkara yang 'akan' berlaku 'telah' pun berlaku.

Peperiksaan Semester 5 yang 'akan' berlaku sewaktu aku 'sedang' melalui minggu-minggu pengajian 'telah' pun berlaku.

Peperiksaan Semester 5 yang 'akan' berlaku sewaktu minggu ulangkaji 'sedang' berlangsung dan (pada minggu itu, aku terlalu asyik dengan segala rakaman video dan klip video) 'telah' pun berlaku.

Peperiksaan Semester 5 yang bermula dengan peperiksaan Asas Pembudayaan Keusahawanan pada 3 Januari 2012 ditempuh sudah dengan rasa gembira kerana kebanyakan soalan dapat dijawab dengan betul.

Meskipun ada jawapan yang salah.

Namun begitu tetap gembira.

Namun begitu tidak harus terlalu konfiden kerana penilaian bukan di tangan kita sebagai pelajar dan ketentuan bukan di tangan kita sebagai hamba Allah.

3 Januari 2012 sudah berlalu.

Di luar dewan peperiksaan yang baharu itu dan baru pertama kali kami memasukinya, pengarah dan timbalan pengarah syarikat SMB iaitu Syafix dan Nur Khairiyyah berserta diriku dan Nur Hakimah telah mempersembahkan cenderahati sebagai tanda terima kasih kepada Wan Nur Nadiah kerana ibu bapanya telah memberi sumbangan modal sebagai pemula perniagaan kami.


Alhamdulillah.

3 Januari 2012 telah berlalu.

Yang tinggal kini hanya kenangan.

Kemudian disusuli dengan peperiksaan kedua iaitu Bentuk Lakon Tradisi Melayu.


Hari Jumaat, jam 3 petang.


6 Januari 2012.

Bas yang aku naiki tidak berhenti di dalam terminal bas dan tidak juga berhenti di perhentian bas yang paling berhampiran dengan dewan peperiksaan.

Silap aku juga kerana tidak memaklumkan kepada pemandu bas itu.

Salah aku juga kerana tidak memberi tumpuan kepada perjalanan bas itu.

Maka bas itu pun terlajak agak jauh ke hadapan dan dari situ aku perlu bergegas ke dewan peperiksaan.

Meskipun tidaklah begitu lambat sampai kerana pelajar sedang menulis 'exam slip' dan arahan sedang dikumandangkan... Alhamdulillah.

Hafiz dan Nazif berada di tempat duduk paling belakang.

Hafiz di sebelah kanan dan Nazif di sebelah kiri.

Hanya dua tempat duduk di hadapan mereka yang kosong.

Aku duduk di hadapan Nazif manakala gadis India yang penyenyum itu duduk di hadapan Hafiz.


Bersyukur kerana soalan peperiksaan yang dikemukakan tidak seperti soalan semester lalu.

Namun sudah tentu aku memilih soalan yang aku lebih yakin untuk menjawabnya meskipun sebenarnya, jawapan yang telah kutulis banyak kekurangan.

Setelah selesai peperiksaan, aku berbincang jawapan dengan gadis India yang penyenyum itu meskipun namanya tidak aku ingati.

Berbincang jawapan dengan Hafiz juga.

Hafiz yang berbaju kurung cekak musang merah hatinya itu dengan kopiah seperti seorang pelajar madrasah.

Kemudian, kami berjalan hinggalah ke terminal bas dengan Nazif menjemput Hafiz kerana mereka akan ke APM.

Ada urusan penting yang perlu mereka hadiri berkaitan dengan jabatan Sosio Budaya dan jabatan Seni yang mengalami rombakan dan perubahan.

Aku tidak berhasrat ke sana tetapi oleh sebab aku perlukan nota Seni yang ada dalam tangan Ahmad Fouad sedangkan Ahmad Fouad pencetus urusan penting yang akan berlangsung di APM, maka aku perlu ke APM.

Agak lama aku menunggu di APM.


Akhirnya, aku dan Ahmad Fouad akan belajar bersama-sama di Kolej 10 memandangkan Ahmad Fouad pun terbawa nota Seni Ukiran dan bukan nota Seni Sabah Sarawak.

Kebetulan apabila sampai di Kolej 10, Hidayatul Hajar ada di situ dan aku ajak dia belajar bersama kami.

Sesudah solat Maghrib, kami bertiga pun mula belajar.

Tidak lama kemudian, aku minta Ahmad Fouad menghantarku ke kolej memandangkan aku pun telah tersalah bawa nota, sedangkan nota yang sepatutnya dibawa telah tertinggal di kolej.

Rupa-rupanya, Ahmad Fouad tidak mempunyai Nota Seni Sabah Sarawak yang aku perlukan kerana yang ada dalam tangannya ialah nota Seni Ukiran.

Sebenarnya, bukan sahaja aku yang perlukan nota itu.... kami bertiga perlukan nota itu.

Hidayatul Hajar juga tidak mempunyai nota itu.

Lantas, kami rempuh dan kami tempuh pembelajaran berkumpulan itu dengan memberi perhatian kepada tembikar, buluh, tarian manakala corak dan motif tidak disentuh memandangkan nota yang dibekalkan oleh Encik Nazzri tidak kami perolehi.

Pada malam itu, kami hanya bergantung kepada nota pembentangan rakan-rakan sekuliah, nota catatan dalam kuliah dan nota peribadi Ahmad Fouad yang dirakam daripada tesis yang Ahmad Fouad perolehi dari Perpustakaan APM.

Pembejalaran bersama itu ternyata membantu aku yang kekaburan.

Perkara yang mencuit hati adalah ketika Ahmad Fouad menghantar aku pulang ke kolej.

Apabila hampir sampai dengan kolej, aku meminta Ahmad Fouad membuat satu lagi pusingan kerana belum ada hati untuk pulang.

Ahamd Fouad turuti permintaanku.

Tanpa kami jangka dan tanpa kami sangka, Ahamd Fouad membawa aku dan Hidayatul Hajar keluar dari UM.

Akhirnya, kami 'jalan-jalan' keluar UM pada pagi itu.

Pagi sudah kerana seingatku, kami meninggalkan Kolej 10 pada 12 tengah malam.

Ahmad Fouad, Hidayatul Hajar dan aku ke kedai makan terlebih dahulu.

Maggi Goreng, Murtabak dan Rojak India kami bawa ke 'Bukit Tinjau' atau lebih dikenali ramai dengan gelaran 'The Look Out Point'.

Suatu perjalanan yang tidak pernah dirancang tetapi berlaku secara spontan.

Terima kasih Ahmad Fouad kerana bawa kami jalan-jalan keluar UM pagi-pagi begitu.

Maklum sahajalah, aku bukanlah seseorang yang keluar pada waktu jauh malam apatah lagi keluar pada waktu pagi sebegitu tetapi nampaknya, aku telah melakukan sesuatu yang tidak pernah aku lakukan sebelum ini sepanjang aku berada di UM.


Kenangan indah sebelum aku meninggalkan UM.


'Simple' dan cukup 'simple' tetapi unik.


Yang tinggal kini hanya kenangan.



Gambar dewan peperiksaan yang baharu ini telah diperolehi daripada blog seorang pelajar UM yang tidak dikenali.

Sedang bertahan

Sambil dilatari lagu 'Padamu Ku Bersujud' yang dimainkan daripada Youtube, aku sedang bertahan menghadapi kebingungan.

Wednesday, January 18, 2012

Hilang

Esok merupakan hari peperiksaan yang terakhir sedangkan semalam merupakan peperiksaan yang kelima.

Esok merupakan hari peperiksaan bagi modul Wacana Bahasa Melayu manakala semalam merupakan peperiksaan bagi modul Semantik Bahasa Melayu.

Meskipun kedua-dua modul ini aku minati dan kedua-dua modul bukanlah 'killer paper' bagiku, aku hilang fokus untuk menghadapi hari esok dan aku hilang harapan untuk mendapatkan sekurang-kurang B+ untuk kertas peperiksaan yang telah aku jawab semalam.

Hilang fokus.

Hilang semangat.

Hilang harapan.

Petang tadi pada jam 6.48 petang, Khaidir mengirimkan pesanan ringkas (sms).

Pesanan ringkas itu adalah berita gembira yang wajib aku syukuri dengan sepenuh hati.

'Tahniah..akak dpt A-.'

Begitulah pesanan ringkas bagi memaklumkanku sekaligus mengucapkan tahniah kepadaku tentang keputusan 'killer paper'ku iaitu Kesenian Suku Kaum di Sabah dan Sarawak.

Keputusan ini di luar jangkaan.

Keputusan ini menggembirakan.

Keputusan ini aku syukuri.

Terima kasih Tuhan.


Sedangkan aku mengalami ketidakstabilan emosi sebelum dan sesudah menduduki peperiksaan bagi modul yang aku pilih dengan tidak seikhlas hati ini.

Modul yang aku sedar aku tidak beri sepenuh perhatian, tidak sepenuh komitmen, tidak sepenuh kesungguhan.

14 minggu berlalu begitu sahaja tanpa sepenuh perhatian, tanpa sepenuh komitmen, tanpa sepenuh kesungguhan.

Alhamdulillah, dengan berkat bantuan dan perkongsian Ahmad Fouad dan Hidayatul Hajar semasa kami belajar bersama di Kolej 10, aku lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan.

Mereka berdua banyak membantu.

Mereka berdua banyak berkongsi.

Aku mengalami kestabilan emosi apabila belajar bersama mereka.

Ketidakstabilan emosi berlaku lagi apabila soalan wajib yang dikemukakan dalam kertas peperiksaan memintaku menjawab soalan tentang corak dan motif.

Astaghfirullah.

Aku lebih banyak membaca dan menghafal tentang tembikar dan buluh.

Bukan aku tidak baca dan tidak hafal tentang corak dan motif tetapi aku tidak mempunyai salinan nota yang dibekalkan oleh Encik Nazzri.

Lantas, nota-nota kumpulan lain dalam kelas kami dan sebuah buku yang kupinjam dari Perpustakaan Utama itu sahajalah yang menjadi sandaranku untuk menjawab soalan wajib yang sukar itu.

Ketidakstabilan emosi itu menjejas diriku sehingga aku tidur sepanjang hari untuk merawati emosi yang bimbang, cemas, resah dan tertekan.

Begitulah aku apabila berhadapan dengan kehampaan atau kekecewaan.

Tidur sepanjang hari.

Alhamdulillah, Tuhan izinkan aku memperolehi A- sedangkan usahaku tidak seperti itu.

Sejujurnya, aku bimbang dan resah andai Tuhan menterbalikkan kegembiraan yang bersifat sementara ini dengan berita yang menyedihkan pula bagi modul lain kerana aku tidak layak untuk mendapat A- untuk modul Kesenian Suku Kaum di Sabah dan Sarawak.

Hanya Tuhan yang tahu.

Pada waktu ini, aku hilang fokus untuk menghadapi peperiksaan bagi modul Wacana dan hilang harapan untuk memperolehi B+ dalam peperiksaan bagi modul Semantik.

Ya Allah.

Kertas peperiksaan Semantik terbahagi kepada soalan wajib dan soalan pilihan.

Soalan wajib yang dikemukakan langsung tidak aku jangka, dan tentunya aku tidak membaca atau menghafal tentang perkara itu semasa ulangkaji.

Lantas jawapanku adalah berdasarkan pengetahuan sedia ada.

Sebenarnya, soalan wajib itu tidak sesukar mana pun namun aku tidak menyangka dan menjangka soalan seperti itu yang akan dikemukakan.

Aku menjangkakan soalan 'Mengapa belajar Semantik?' atau barangkali soalan tentang Semantik Leksikal iaitu Semantik pada aras kata.

Realitinya, soalan wajib meminta huraian ringkas tentang keempat-empat komponen bahasa dan penerangan tentang ayat Chomsky (1957).

Pasrah.

Alhamdulillah, soalan pilihan tentang ciri Sinonim pada pandangan F.R. Palmer dan Semantik Behaviorisme dapat aku jawab.


Namun jawapan yang aku kemukakan bukanlah yang terbaik atau cemerlang.

Sekadarnya sahaja.

Semoga aku dihindarkan daripada B, B- dan yang kurang daripada itu.

Kasihanilah aku ya Allah.

Modul Semantik aku pilih atas dasar kehendak dan keperluan.

Sedangkan modul Kesenian Suku Kaum di Sabah dan Sarawak pula aku pilih tanpa niat dan minat.

Aku bimbang dan resah andai Tuhan mentakdirkan keputusan yang menghampakan dan mengecewakan untuk modul Semantik Bahasa Melayu.

Ya Allah.

Betapa usaha kami hanyalah untuk mendatangkan sebab.

Kami hanya berusaha untuk menepati hukum alam.

Sedangkan Kau berkuasa menggagalkan usaha apa pun.

Sesungguhnya Kau berkuasa mengatasi segala-galanya.

Ya Allah.

Cemas, bimbang, resah.

Kasihanilah aku.

Monday, January 16, 2012

Bidadari dari syurga

Bidadari dari syurga yang kukagumi tetapi tidak pernah bersua muka dengan mereka ialah Siti Hajar, ibu Nabi Ismail dan Siti Maryam, ibu Nabi Isa.

Mereka berdua telah melalui perjalanan hidup yang penuh dengan ujian dan cabaran yang menduga kesabaran dan ketahanan jiwa mereka.

Betapa aku mengkagumi Siti Hajar dan Siti Maryam yang kupasti melinangkan air mata kepiluan kerana sudah tentunya nurani kewanitaan mereka cukup teruji dan tercabar dengan ketentuan Ilahi.

Bayangkan ditinggalkan suami di tanah gersang bersama seorang anak yang masih kecil.

Hatinya tetap tabah dan yakin.

Itulah wanita Siti Hajar.

(Air mata sedang bergenang pada waktu aku menaip pos ini.)

Bayangkan dirinya hamil sedangkan dia tidak pernah disentuh sesiapa pun.

Hatinya tetap tabah dan berserah.

Itulah wanita Siti Maryam.




Bidadari dari syurga yang kukagumi kerana kecantikannya yang terserlah dan kebaikannya yang indah ialah seseorang yang seakademi denganku.

Gadis ini kukenali sejak aku terpandang dan melihat dia pada Semester 1.

Paras rupa dan penampilannya menarik perhatianku dan menawan hatiku meskipun kami tidak pernah berbicara.

Pernah aku ukirkan senyuman kepadanya beberapa kali tetapi senyumanku itu tidak berbalas maka harapanku hambar.

Kami hanya mula berbicara pada Semester 4 apabila beliau memesan beberapa siri majalah Solusi daripada syarikatku iaitu Cenderawasih.

Pernah aku mulakan bicara dengannya di Dewan Semarak tetapi nampaknya, interaksi itu tidak semarak.

Hanyalah pada semester ini iaitu Semester 5, komunikasi antara kami lebih kerap kerana kami sekolej.

Kekerapan bertukar menjadi keakraban bersebabkan pertemuan demi pertemuan di Aras 2.

Melalui perbincangan dan perkongsian kami, kusedar dan kuterasa betapa rupa-rupanya, hati budinya seindah paras rupa dan penampilannya meskipun sebelum ini aku bertanggapan bahawa dirinya sukar didekati.

Gadis ini seorang wanita seanggun bidadari kerana dia tidak riak dan tidak sombong dengan kejelitaannya.

Gadis ini tetap merendah hati apabila dipuji.

Gadis ini tetap berikhlas hati apabila diuji.

Mahmudah dirinya menyedarkanku tentang mazmumah diriku.


Penyejuk mata, penawar hati dan pendamai jiwa.

Betapa aku mengaguminya.

Betapa aku menyayanginya.

Aku berharap kasih sayang kami dinaungiNya sampai bila-bila.

Gadis itu tidak lain dan tidak bukan... Siti Munirah Bte Hasshim.

Thursday, January 12, 2012

Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa

Alhamdulillah.

Semalam merupakan hari peperiksaan yang keempat bagiku.

Kesantunan Bahasa Melayu.

Keenam-enam soalan telah kujawab meskipun masa tidak mengizinkan aku memberi jawapan yang baik untuk soalan ketiga yang bertanyakan tentang model Islam.

Model Sanat dan model Noriati tidak berpeluang aku menyentuhnya sebagai jawapan dalam soalan ketiga.

Hanya satu dalil sahaja yang sempat aku kemukakan iaitu dalil dari surah Taha, ayat 44.

Boleh dikatakan bahawa ramalanku tidak tepat kali ini memandangkan Dr Ibrahim bertanyakan tentang peraturan linguistik dan peraturan pragmatik untuk soalan pertama sedangkan aku meramalkan bahawa keenam-enam frasa yang berkaitan dengan kesantunan iaitu budi bahasa, budi pekerti, sopan santun, adab tertib, etika dan etiket akan disoal.

Manakala, model Asmah yang aku pelajari dan telaah hingga aku faham dan suka tidak pula disoal.

Buku penulis Asmah Haji Omar yang bertajuk Wacana Perbincangan, Perbahasan dan Perundingan sangat bermanfaat.

Nikmat kurasa apabila dapat memahami model Asmah tentang kesantunan asas dan kesantunan berkendala yang dijelaskan dengan terperinci pada halaman 90 hingga halaman 109, di samping penerangan lain seperti strategi komunikasi dan penonjolan kesopanan.

Alhamdulillah.

Aku berterima kasih kepada Adik Unaizah yang meminjamkan buku ini untuk aku kerana pada waktu itu, aku berada di kolej dan dia berada di perpustakaan.

Oleh sebab aku malas ke perpustakaan, aku hanya memesan buku ini daripadanya.

Terima kasih Adik Unaizah.

Berbalik kepada kertas peperiksaan, soalan ketiga berfokuskan model Islam yang tidak begitu menjadi perhatianku sedangkan model Asmah yang menjadi perhatian dan kesukaanku.

Aku hanya mampu memberi jawapan yang termampu dalam waktu yang terbatas.

Jika tidak silap, 15 minit terakhirku.

Selepas peperiksaan berakhir, aku menemani Adik Unaizah ke ISC dan menerusi Adik Unaizah, aku berkenalan dengan Nur Fathi iaitu seorang pelajar Singapura daripada API.

Setelah urusan mereka terlaksana, kami ke Mid Valley untuk makan tengah hari.

Secret Recipe menjadi kunjungan kami bertiga.

Kemudian, kami ke MPH.

Aku telah membeli dua buah buku yang bertajuk 'Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa'.

Aku tertarik dengan buku itu apabila membaca beberapa ayat-ayat yang tertulis dalam buku tersebut.

Ayat-ayat yang menikam sukma dan memanah sanubari.

Muka kulit belakang buku itu terdiri daripada warna yang aku sukai iaitu ungu.

Ayat-ayat yang terpapar di muka kulit belakang pula sungguh indah.

'Ya Allah, jadikanlah mata hatiku dapat memandang cinta dan kurniaanMu setiap masa. Jadikanlah diriku dapat membalas cintaMu setiap saat. Jadikanlah diriku sentiasa faqir kepadaMu dalam setiap langkahku. Jadikanlah diriku tiada berpaling ke belakang dalam mencapai cinta sejati. Pada ar-RahmanMu, aku hilangkan bayang segala yang terdinding.'

Indah bahasa yang diolah, bukan sekadar pada muka kulit belakang tetapi dalam buku itu juga.

Meskipun aku tidak begitu tertarik dengan muka kulit hadapan yang tidak menarik, kandungan buku ini telah pun menarik hatiku.

Kekurangan pada buku ini adalah ketiadaan halaman kandungan.

Buku ini ditulis oleh Ibrahim Asy-Syathari atau nama sebenarnya Ibrahim Mohamad.

Bukan Dr Ibrahim pensyarah kesayanganku yang mengajar Kesantunan Bahasa Melayu.

Buku ini kecil dan tipis.

Perkara ini yang menjadi faktor ketertarikanku.

Sebesar tapak tangan dengan kelima-lima jari agak direnggangkan.

103 halaman denagn 63 bab yang dihuraikan secara ringkas sahaja.

Faktor keringkasan itu lebih berkesan menurut pandanganku selagi intipati murni dapat disampaikan secara tuntas dengan bahasa yang jelas.

Sebenarnya, bahasa yang diolah penulis sungguh indah.

Buku bertajuk 'Bisikan Pembuka Rahsia Jiwa' ini cukup menarik dan aku cukup tertarik.

Alhamdulillah.

RM 12 sahaja.

Tuesday, January 10, 2012

Di bibir tidak terukir senyuman

Bismillahirrahmanirrahim.

Meskipun di bibirnya tidak terukir senyuman kerana aku pun cukup kenal akan dirinya yang zuhud, baju kurung cekak musang berwarna ungu itu adalah tanda kegembiraan di dalam jiwanya yang tidak terzahir melalui senyuman.

Meskipun di bibirku tidak terukir senyuman kerana aku pun serba tidak tahu apa dan bagaimana lagi yang perlu dan harus kufikirkan dan kurasakan pada ketika ini apabila terlihat gambar profilnya di ruang FB.

Aku gembira kerana dia gembira.

Aku bahagia kerana dia bahagia.

Aku sejahtera kerana dia sejahtera.

Pada waktu ini, aku berada di Aras 2.

Satu-satunya bilik yang menjadi tempat utama bagiku menelaah dan mengulang kaji pelajaran sempena peperiksaan semenjak Semester 3 yang lalu.

Aku pasti merindui bilik di Aras 2, Blok C, Kolej 11, Universiti Malaya ini suatu hari nanti.

Esok iaitu Rabu, 11 Januari 2012, aku akan menempuh hari peperiksaanku yang keempat, InsyaAllah.

Kesantunan Bahasa Melayu.

Kesemua yang perlu kubaca telah kubaca.

Sebentar lagi, perlu menelaah lagi agar segala yang telah dipelajari benar-benar dihadam sehingga faham.

InsyaAllah.

Pada minggu lalu iaitu Selasa, 3 Januari 2012, aku telah menduduki peperiksaan Asas Pembudayaan Keusahawanan.

Alhamdulillah.

Meskipun aku sudah kenal pasti beberapa soalan yang telah aku jawab salah, aku gembira dan puas hati kerana majoriti soalan yang telah aku jawab betul.

Harapanku agar beroleh A- untuk Asas Pembudayaan Keusahawanan yang merupakan peperiksaan pertama bagiku untuk semester ini.

Peperiksaaan kedua jatuh pada minggu yang sama sengan peperiksaan pertama iaitu pada Jumaat, 6 Januari 2012.

Bentuk Lakon Melayu Tradisi.

Alhamdulillah.

Bukan jawapan yang terbaik.

Bukan jawapan yang cemerlang.

Namun, itu sahaja yang mampu aku ingat dan aku tulis.

Minda kurang istirahat.

Atas sebab itu, minda tidak berfungsi dengan lancar.

Apa pun, telah aku laksanakan dengan kudratku yang maha lemah.

Alhamdulillah.

Pada minggu ini, peperiksaan ketigaku jatuh pada hari Isnin, 9 Januari 2012.

Kesenian Suku Kaum Di Sabah Dan Sarawak.

Soalan wajib tentang motif dan corak tidak mampu kujawab dengan baik.

MasyaAllah.

Soalan pilihan tentang tembikar mampu kujawab sekurang-kurangnya dengan fakta yang kuketahui dan yakini daripada sumber yang sahih.

Alhamdulillah.

Pasrah kerana modul ini telah kulalui sepanjang 14 minggu dengan kesukaran.

Pilihan modul ini adalah kerana aku perlu mencukupkan kredit sedangkan aku tidak berminat dan aku tidak berniat untuk mendalami modul ini.

Salah dan silap aku juga kerana tetap mengambil modul ini meskipun tanpa minat dan niat.

Sepanjang 14 minggu aku tempuh dan rempuh dengan tidak sepenuh hati.

Apabila hari peperiksaan untuk modul ini berlangsung, aku mengalami kesukaran.

Salah dan silapku sendiri.

Seharian semalam aku cuba menghadam realiti dan memahamkan diri agar menerima takdir ini dengan jiwa ikhlas dan hati terbuka.

Hingga aku tidur sepanjang hari hingga ke malam.

Aku sedar aku kecewa.

Aku sedar aku hampa.

Aku sedar mindaku amat penat.

Aku sedar mindaku perlu istirahat.

Memandangkan sepanjang minggu ulangkaji dan minggu peperiksaan ini, malam dan pagi aku bersengkang mata (meskipun pada minggu peperiksaan, tumpuan kuberi kepada klip videoku).

Di bibirku tidak terukir senyuman.


Tuesday, January 3, 2012

Penelope Brown dan Stephen Levinson

Langsung tidak masuk akal.

Itulah tanggapanku.

Model Brown dan Levinson dalam memperjelaskan prinsip kesantunan yang aku baca ternyata mengaburkan minda.

Lantas, aku lungsuri internet untuk mendapatkan maklumat yang diharap-harapkan dapat menjelaskan minda yang kekaburan.

Sesuatu yang menarik aku perolehi ialah nama penuh Brown dan Levinson iaitu Penelope Brown dan Stephen Levinson.

Brown dan Levinson telah membahagikan air muka kepada dua iaitu air muka positif (positive face) dan air muka negatif (negative face).

Secara ringkas, air muka positif merujuk kepada keinginan untuk dipandang mulia manakala air muka negatif merujuk kepada kemahuan untuk tidak dihalang tindakan.

Contoh menarik yang mudah difahami boleh diikuti dalam blog berikut

http://dhiah.com/jangan-drop-my-water-face-laa/

InsyaAllah, aku akan mencari maklumat lagi tentang Model Brown dan Levinson ini.

Mungkin malam nanti memandangkan aku harus bersiap sedia sekarang untuk menempuh dan merempuh peperiksaan APK yang akan berlangsung pada jam 8.30 pagi.

Sampai di sini sahaja.

Salam perkenalan kepada Penelope Brown dan Stephen Levinson. :)

Sunday, January 1, 2012

Rapuh

Ya Rasulullah.

Andai dikau ada bersama kami di kurun ini....

Aku pasti tidak akan punya kekuatan untuk berhadapan denganmu sedangkan jiwaku terlalu ingin bersua muka denganmu.

Betapa aku malu untuk berhadapan denganmu kerana masih belum melaksanakan perintah dan suruhanMu dengan sungguh-sungguh.

Namun aku sangat mendambakan kehadiranmu di sisi untuk mendengarkan keluhan dan luahan jiwa seorang hamba Allah yang telah hilang arah.

Al Quran iaitu ayat-ayat cinta daripada Pemilik Cinta kubaca namun aku sedar ya Rasulullah, aku belum berakhlak dan bersikap seperti yang diwahyukan.

As Sunnah iaitu cara hidupmu seperti yang telah kau contohkan untuk kami sebelum ini pun belum aku benar-benar menghayati apatah lagi melaksanakan.

Rapuhnya aku sebagai salah seorang umatmu.

Rapuhnya aku sebagai selah seorang hamba Allah.

Rapuh.

Ya Rasulullah, gentar hati ini andai engkau tidak menerimaku sebagai umat kerana aku masih berlalai-lalai dan mencuaikan bahkan mengabaikan banyak perkara yang dituntut.

Ya Allah, gerun hati ini andai Engkau membinasakan seluruh hidupku di alam fana ini apatah lagi di alam baqa nanti.

Ya Rasulullah yang pengasih dan penyayang, aku masih mengharapkan pimpinanmu terhadap hatiku yang telah sekian lama leka dan alpa.

Ya Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun dan Maha Mengasihani, kasihanilah hambaMu yang ingin menjadi baik dan lebih baik tetapi selalu sahaja keliru dan celaru.

Betapa aku seorang umat dan hamba yang rapuh.

Lantas hanya kepadaMu Pencipta diriku dan Penentu hidupku, aku bermohon dan meminta.

Lantas kepadamu wahai pendidik dan penuntun umat seluruh alam dan sepanjang zaman, aku berharap dan mengharap.

Izinkan aku untuk menjadi baik dan lebih baik seperti yang diwahyukan dan seperti yang diseru.

Rapuh....