Sky Castle yang kutontoni baru-baru ini ada persamaan dengan Penthouse yang kutontoni pada tahun 2020. Namun, kedua-dua karya masih ternyata berbeza.
Aku menyangka bahawa Sky Castle mengambil inspirasi daripada Penthouse. Namun, rupa-rupanya tidak begitu kerana Sky Castle telah diterbitkan lebih dahulu iaitu pada 2018 manakala Penthouse telah diterbitkan kemudian pada 2020.
Walaupun aku mengakui bahawa aku sungguh teruja dengan drama Penthouse kerana mempunyai banyak unsur menarik seperti watak protagonis yang mampu menyaingi watak antagonis dari segi kebijaksanaan mengatur strategi dan elemen kejutan yang di luar jangkaan atau 'plot twist' yang membuat mata terbuntang, aku memilih drama Sky Castle sebagai karya yang lebih baik.
Kedua-dua drama Penthouse dan Sky Castle adalah mengenai golongan elit - orang dewasa dan anak-anak mereka dalam mengejar sukses dan status.
Penthouse berlatarkan sebuah apartment mewah 100 tingkat yang diberi nama Hera Palace yang tampak seperti hotel mewah. Sky Castle pula berlatarkan rumah apartment berbentuk teres atau banglo. Aku tertarik dengan infrastruktur dan suasana Sky Castle yang indah dan menyenangkan.
Perkara yang paling menyerlah ialah drama Penthouse berkisar watak-watak yang majoritinya toksik dan berpenyakit hati tidak kira watak golongan dewasa atau pun anak-anak mereka. Dendam menjadi motivasi watak-watak antagonis mahupun protagonis dalam karya ini. Isu pembunuhan dan penindasan serta isu kecurangan, korupsi dan kezaliman yang selalu berlaku dan sangat dahsyat diketengahkan dengan berani atau dengan benar?!
Drama Sky Castle tidak begitu meskipun ada segelintir watak yang toksik dan berpenyakit hati serta pendendam. Namun, motivasi watak utama dalam Sky Castle ini adalah mencari tahu perkara dan punca sebenar kes bunuh diri yang berlaku di dalam kediaman rumah baharunya serta merungkai rahsia dan masalah itu agar tidak berlaku peristiwa seumpama itu lagi. Isu pembunuhan sebanyak dua kali dilakukan oleh seorang individu yang sama dan isu penindasan adalah minimal. Tidak ada isu kecurangan dalam drama ini manakala isu korupsi yang dipaparkan tidak begitu dahsyat dan isu kezaliman juga adalah minimal.
Sky Castle lebih 'relatable' manakala Penthouse pula terlalu 'over'. Sky Castle lebih mudah 'dikunyah', mudah 'ditelan' dan mudah 'dihadam'. Penthouse pula sentiasa menyuntik perasaan teruja untuk terus menonton dek jalan cerita yang penuh dengan debaran dan kejutan!
Pengakhiran Sky Castle diolah dengan rapi dan memuaskan hati kerana pengajaran yang dipelajari dan keinsafan yang menerobos ke dalam hati nurani watak-watak berjaya diketengahkan tanpa tergesa-gesa dalam episod terakhir. Perkara ini perlu dan penting untuk penonton kerana 'character arc' watak-watak dalam cerita ini dan 'lesson learnt' adalah sesuatu yang bernilai. Sedangkan, Penthouse diakhiri dengan pilihan watak utama yang mendadak untuk membiarkan dirinya mati di dalam tasik kerana dia akhirnya ditenggelami perasaan bersalah dek agenda dendamnya dan berfikir bahawa dia perlu menebus kesalahannya. Hmmm. Setelah 3 musim 'berperang' (memandangkan tajuk penuh drama ini ialah The Penthouse: War In Life), adalah mengecewakan apabila watak utama selaku watak protagonis iaitu Shim Su Ryeon memilih untuk menamatkan riwayatnya.
Sky Castle: 9 bintang
Penthouse: 6 bintang