Saturday, July 31, 2021

Apa ada di Joseon?

Setelah mengambil masa seminggu untuk menonton drama Korea bertajuk Gunman in Joseon menerusi Youtube, kini aku sedang mengikuti drama Korea berjudul The Fugitive of Joseon melalui Viu.


Walaupun cerita ini boleh dikatakan agak lembab dan aku tidak begitu berminat untuk meneliti butir bicara pihak pengkhianat yang bergelar The Conservatives, strategi yang dirancang oleh watak utama iaitu Park Yungang yang menyamar sebagai Hanjo Hasegawa dari Jepun boleh dikatakan menarik. Namun, penyamaran secara fizikal itu gagal meyakinkan sesiapa sahaja yang menonton.

Dari segi lakonan dan penghayatan watak, ternyata mereka berbakat. Perjuangan untuk membersihkan nama bapa dan dirinya yang telah difitnah memang sukar. Misi untuk membalas dendam sungguh berliku-liku walaupun sudah tentu, ada babak yang tidak masuk akal atau lemah.

Drama The Fugitive in Joseon lebih dekat di hati dan menyentuh hati. Sejauh ini, cerita ini bukan misi untuk membalas dendam tetapi perjuangan perih untuk mempertahankan diri sendiri yang difitnah serta membongkar perancangan jahat pihak istana yang berhempas pulas mahu menjatuhkan putera raja sehingga kedua-dua doktor peribadi mereka telah dibunuh. Perjalanan hidup watak utama iaitu Choi Won sebagai doktor peribadi bagi putera raja yang merupakan sahabatnya sejak kecil begitu sukar.





Sunday, July 4, 2021

The Penthouse


Aku kagum, terkesima dan tertarik dengan The Penthouse Musim 1.

Aku hilang minat, bosan dan kecewa dengan The Penthouse Musim 2.

Mujur, The Penthouse Musim 3 sebagus Musim 1.

Aku kembali teruja, minat dan menyukai The Penthouse Musim 3.

Syabas kepada penulis The Penthouse iaitu Kim Soon Ok yang telah menulis karya yang bergenre makjang (makjang bermaksud drama fiksyen yang tidak realistik).

Walaupun The Penthouse Musim 2 menyebabkan aku hilang minat dan berasa bosan, kini rasa kagum dan teruja bersinar semula dengan jalan cerita yang segar dan mengejutkan.

Apabila menonton The Penthouse, kita akan selalu berteka-teki dan seolah-olah sedang memadankan kepingan-kepingan susun suai gambar (puzzle).

Lazim sekali teka-teki yang kujawab menerusi drama The Penthouse ini salah.

Lantas, bagiku ini membuktikan bahawa penulis cerita dan skrip drama The Penthouse ini seseorang yang bijak dan mempunyai pemikiran yang kreatif lagi unik. 

Namun, genre makjang yang tidak menitikberatkan unsur realistik ternyata akan memudahkan penulisan Kim Soon Ok memandangkan unsur kreatif dan tidak logik lebih senang untuk diteroka kerana tidak begitu terikat dengan unsur logik.

Walau bagaimanapun, aku terinspirasi dengan pemikiran Kim Soon Ok yang kreatif dalam bidang penulisan.

Seorang Shim Su Ryeon

Seorang wanita yang anggun.

Seorang wanita yang feminin.

Seorang wanita yang santun.