Wednesday, September 7, 2022

Lima watak dalam Hello, My Twenties! Jin Myung dan Yi Na

Tegas, terus terang, teguh, tenang, matang dan berani.

Perwatakan ini ada pada tiga watak utama dalam Hello, My Twenties! iaitu Ji Won, Yi Na, Jin Myung.

Itulah persamaan antara mereka bertiga.

Namun, mereka tetap berbeza.

Ji Won penceria suasana dan penghibur rakan-rakan, baik di rumah sewa mahupun di pejabat tempat dia bekerja sambil belajar sebagai wartawan. 

Berbeza dengan Jin Myung yang jauh lebih serius, kurang berbicara dan berbicara jika perlu sahaja.

Perwatakan Yi Na pula adalah pertengahan antara Ji Won dengan Jin Myung kerana Ji Won terlalu ramah manakala Jin Myung kurang mesra.

Jin Myung jarang ada di rumah sewa mereka kerana dia terlalu sibuk bekerja untuk membiayai perbelajaan diri sendiri yang masih belajar serta menampung perbelanjaan ibu dan adik lelakinya.

Hubungan Jin Myung dan Yi Na adalah unik kerana ada sesuatu tentang Yi Na yang hanya diketahui Jin Myung tetapi rahsia itu tetap disimpan rapi oleh Jin Myung memandangkan dia bukan seseorang yang suka berkongsi tentang dirinya atau keluarganya apatah lagi bercerita tentang orang lain kepada sesiapa.

Kecekalan dan kegigihan Jin Myung yang bertungkus-lumus bekerja di tiga tempat berbeza sambil belajar sebenarnya dikagumi oleh Yi Na yang tidak selesa dengan kehidupan Jin Myung yang dianggap susah.

Yi Na lebih selesa untuk menjadi pendamping kepada lelaki-lelaki berharta sebagai mata pencarian.

Ironisnya, Jin Myung bekerja di tiga tempat berbeza manakala Yi Na mendampingi tiga orang lelaki berbeza dengan matlamat yang sama iaitu mendapatkan wang.

Jin Myung masih tetap mengalami masalah kewangan manakala Yi Na bermewah-mewahan dengan pakaian dan aksesori berjenama. 

Dalam rumah sewa mereka, hanya Jin Myung yang mengetahui latar belakang Yi Na yang sebenar.

Namun, setelah latar belakang itu terbongkar, kedua-dua Jin Myung dan Ji Won tidak bersikap menghukum terhadap Yi Na.

Lebih menyentuh perasaan adalah apabila Yi Na mengambil berat tentang masalah kewangan yang Jin Myung hadapi. 

Yi Na pernah berlari untuk mengejar Jin Myung kerana difikirkannya bahawa Jin Myung perlu memakai kasut yang lebih elok untuk sesi interviu yang akan dihadiri.

Yi Na mengambil berat tentang penampilan manakala Jin Myung kurang mengambil berat tentang penampilan kerana terlalu sibuk dan mempunyai kekangan kewangan.

Perkara yang paling menyentuh perasaan ialah kecekalan dan kegigihan Jin Myung yang menjadi inspirasi dan aspirasi kepada Yi Na hingga akhirnya dia memilih jalan hidup yang lebih terhormat iaitu mencari rezeki melalui cara yang bermaruah tanpa disuruh, tanpa ditegur, tanpa dinasihati dan tanpa diceramah oleh Jin Myung.


No comments:

Post a Comment