Thursday, October 20, 2022

Persamaan antara My Love From The Star dan The Legend Of The Blue Sea

Apabila aku menonton My Love From The Star baru-baru ini, ingatanku terimbas kembali kepada The Legend Of The Blue Sea.

Terdapat persamaan yang ketara iaitu pelakon utama (wanita) yang sama.

Beliau bukan pelakon yang daku minati.

Selain itu, persamaannya adalah kewujudan watak fantasi iaitu ikan duyung dalam Legend Of The Blue Sea dan makhluk asing dalam My Love From The Star.

Persamaan yang menarik dalam kedua-dua drama ialah latar masa yang menjangkau ke zaman dahulu dan zaman kini.

Kisah ikan duyung dalam LOTBS berlatarbelakangkan tahun 1598 hingga kini manakala kisah makhluk asing dalam MLFTS berlatarbelakangkan 400 tahun lalu hingga kini.

Sesungguhnya, aku amat meminati drama Korea yang berlatarkan zaman silam.

Rupa-rupanya, pada petang ini, aku mendapat tahu bahawa kedua-dua karya ini iaitu LOTBS dan MLFTS ditulis oleh wanita yang sama iaitu penulis bernama Park Ji Eun.

Namun, karya beliau yang paling aku minati bukanlah LOTBS mahupun MLFTS.

Karya komedi romantik antara dua watak dari Korea Selatan dan Korea Utara yang beliau hasilkan dengan begitu empati tentang nilai kemanusiaan menjadi pilihanku.

Tidak lain dan tidak bukan iaitu drama Crash Landing On You.

Aku masih belum selesai menonton LOTBS sehingga kini kerana aku tidak begitu menyukai watak utama (wanita) yang diperlihatkan terlalu menagih cinta dan kasih daripada watak utama (lelaki). 

Lakonan pelakon wanita itu tidak menjadi masalah tetapi aku kurang menyenangi watak utama (wanita) itu.

Watak utama (wanita) dalam MLFTS lebih berperibadi teguh walaupun sebenarnya, dia masih mempunyai kelemahan yang sama iaitu menagih cinta dan kasih daripada watak 'hero'.

Aku sudah selesai menonton MLFTS kerana aku 'skip' bahagian tertentu agar aku dapat mengetahui kesudahan cerita ini.

Bagiku, MLFTS lebih bagus jika dibandingkan dengan LOTBS yang agak membosankan walaupun kedua-dua karya ini mempunyai 'back story' yang menarik - merentas masa lampau.

Adakah aku akan menyelesaikan LOTBS?

Aku telah mencuba.

Bahkan, aku 'skip' bahagian tertentu untuk segera menyelesaikannya tetapi aku tidak tertarik dan berasa bosan.

Maka, sehingga kini aku tidak mengetahui kesudahan cerita LOTBS memandangkan aku seperti tidak ambil peduli kepada kedua-dua watak utama dalam drama itu.

Lagipun, aku tidak meminati watak 'hero' dan pelakon utama (lelaki) dalam karya LOTBS. 

Maka, tidak ada 'pulling factor'.

Berbeza dengan MLFTS, aku meminati watak 'hero' dan pelakon utama (lelaki) dalam karya itu semenjak pertama kali mengikuti lakonannya dalam It's Okay To Not Be Okay.

Nama pelakon utama (lelaki) itu ialah Kim Soo Hyun.

Sunday, October 9, 2022

Heartbreaking story of a single father: What Happens To My Family?

What Happens To My Family?

Tajuk sebuah drama Korea yang berkisar tentang tema keluarga dan kekeluargaan.

Remuk-redam melihat sikap dan layanan anak-anak Cha Sun Bong terhadapnya.

Sun Bong ialah seorang warga emas dan seorang bapa tunggal.

Beliau kematian isteri semenjak kelahiran anak bongsunya, Dal Bong.

Isu aset dan harta yang diinginkan dan direbutkan oleh ketiga-tiga orang anaknya sedangkan beliau masih hidup ialah isu yang meremukkan perasaan.

Sejauh 25 episod menonton drama ini, aku menyukai drama ini kerana isu-isu yang terkandung dalam drama ini cukup dekat di hati (relatable).

Antara isu-isu yang dikemukakan ialah

- anak lelaki Sun Bong iaitu Gang Jae yang tidak mengasihi ayahnya bahkan berdendam dengan ayahnya hanya kerana ayahnya miskin

- anak-anak yang tidak mengambil berat terhadap ayah mereka dan sebaliknya mengambil kesempatan atas kelembutan dan kebaikan ayah mereka terutama sekali anak lelaki Sun Bong iaitu Gang Jae dan anak perempuannya iaitu Gang Sim

- anak-anak yang menginginkan dan merebut aset dan harta bapanya yang masih hidup tanpa perasaan malu mahupun perasaan bersalah

- perihal tipu daya hartanah melalui kontrak yang sah

- sifat tamak dan licik dalam diri manusia apabila berkaitan dengan aset dan harta

- sifat sombong dan biadab anak-anak terhadap orang tua mereka hanya kerana mereka lebih berpelajaran, berkerjaya dan berjaya

Aku bandingkan drama ini dengan sebuah drama yang juga berkisar tentang tema keluarga dan kekeluargaan iaitu Mother Of Mine yang pernah aku tontoni beberapa tahun lalu.

Watak utama dalam drama Mother Of Mine berfokuskan seorang warga emas yang merupakan seorang ibu tunggal.

Namun, watak utama dalam What Happens To My Family? berfokuskan seorang warga emas yang merupakan seorang bapa tunggal.

Kedua-dua watak utama menghadapi cabaran dalam membesarkan anak-anak mereka.

Namun, drama What Happens To My Family? lebih menusuk qalbu dan meremuk-redamkan perasaan kerana drama ini mengetengahkan isu-isu yang lebih berat terutama sekali mengenai anak-anak kandung yang tidak beradab dan tidak kenang budi.

Bagiku, penulis cerita atau penulis skrip What Happens To My Family? berjaya memaparkan tema keluarga dan kekeluargaan dengan menyeluruh, mendalam dan meluas.

Dekat di hati!

Episod 24 ialah episod yang memuaskan hatiku apabila Cha Sun Bong yang lemah-lembut dan penyabar akhirnya naik angin dan memarahi dua orang anaknya iaitu Gang Jae dan Gang Sim sedangkan sebelum ini, beliau terlalu merendah diri dan berlembut terhadap anak-anaknya sendiri.

Subhanallah.