Sunday, October 9, 2022

Heartbreaking story of a single father: What Happens To My Family?

What Happens To My Family?

Tajuk sebuah drama Korea yang berkisar tentang tema keluarga dan kekeluargaan.

Remuk-redam melihat sikap dan layanan anak-anak Cha Sun Bong terhadapnya.

Sun Bong ialah seorang warga emas dan seorang bapa tunggal.

Beliau kematian isteri semenjak kelahiran anak bongsunya, Dal Bong.

Isu aset dan harta yang diinginkan dan direbutkan oleh ketiga-tiga orang anaknya sedangkan beliau masih hidup ialah isu yang meremukkan perasaan.

Sejauh 25 episod menonton drama ini, aku menyukai drama ini kerana isu-isu yang terkandung dalam drama ini cukup dekat di hati (relatable).

Antara isu-isu yang dikemukakan ialah

- anak lelaki Sun Bong iaitu Gang Jae yang tidak mengasihi ayahnya bahkan berdendam dengan ayahnya hanya kerana ayahnya miskin

- anak-anak yang tidak mengambil berat terhadap ayah mereka dan sebaliknya mengambil kesempatan atas kelembutan dan kebaikan ayah mereka terutama sekali anak lelaki Sun Bong iaitu Gang Jae dan anak perempuannya iaitu Gang Sim

- anak-anak yang menginginkan dan merebut aset dan harta bapanya yang masih hidup tanpa perasaan malu mahupun perasaan bersalah

- perihal tipu daya hartanah melalui kontrak yang sah

- sifat tamak dan licik dalam diri manusia apabila berkaitan dengan aset dan harta

- sifat sombong dan biadab anak-anak terhadap orang tua mereka hanya kerana mereka lebih berpelajaran, berkerjaya dan berjaya

Aku bandingkan drama ini dengan sebuah drama yang juga berkisar tentang tema keluarga dan kekeluargaan iaitu Mother Of Mine yang pernah aku tontoni beberapa tahun lalu.

Watak utama dalam drama Mother Of Mine berfokuskan seorang warga emas yang merupakan seorang ibu tunggal.

Namun, watak utama dalam What Happens To My Family? berfokuskan seorang warga emas yang merupakan seorang bapa tunggal.

Kedua-dua watak utama menghadapi cabaran dalam membesarkan anak-anak mereka.

Namun, drama What Happens To My Family? lebih menusuk qalbu dan meremuk-redamkan perasaan kerana drama ini mengetengahkan isu-isu yang lebih berat terutama sekali mengenai anak-anak kandung yang tidak beradab dan tidak kenang budi.

Bagiku, penulis cerita atau penulis skrip What Happens To My Family? berjaya memaparkan tema keluarga dan kekeluargaan dengan menyeluruh, mendalam dan meluas.

Dekat di hati!

Episod 24 ialah episod yang memuaskan hatiku apabila Cha Sun Bong yang lemah-lembut dan penyabar akhirnya naik angin dan memarahi dua orang anaknya iaitu Gang Jae dan Gang Sim sedangkan sebelum ini, beliau terlalu merendah diri dan berlembut terhadap anak-anaknya sendiri.

Subhanallah.

No comments:

Post a Comment