ketika kalbuku dan fikrahku berpadu dalam fitrah kuniaanNya, izinkanlah aku menzahirkannya melalui Nurani Nurain... meskipun perutusan ini hanyalah sekelumit daripada segala yang terpendam dan terbenam di dasar jiwa yang dalam, moga-moga perutusan ini dapat memanfaatkan setiap tetamunya... ayuh, kita mulakan pelayaran ini dengan lafaz cinta yang paling agung: BismillahirRahmanirRahim
Friday, August 29, 2025
My Beloved Maryam / Kesayanganku Maryam
Ya Allah, aku ingin tinggal bersebelahan dengan Maryam alaihi salam di syurgaMu.
Sunday, August 17, 2025
Dek gambar kantin sekolah menengahku
Apabila aku terpandang gambar sekolah lamaku iaitu Sekolah Menengah Bedok South di TikTok semalam, khususnya satu gambar yang menunjukkan kantin sekolah lamaku, hatiku terpukul.
Aku pilu.
Perasaan yang tidak diundang.
Namun, perasaan itu menerjah masuk lalu menculik ketenteraman jiwa.
Betapa lemah kurasakan dek perasaan pilu itu.
Sesungguhnya, tidak mudah bagiku menghadapi memori masa lalu memandangkan aku ialah insan beremosi yang masih bertatih dalam mendepani emosi diri sendiri.
Masya Allah.
Kotak ingatanku terimbas semasa aku berada dalam menengah satu di sekolah itu pada tahun 1993.
Hanya dengan melihat satu gambar, perasaan hatiku diselubungi kepiluan.
Bukan kerana aku merindui sekolah itu.
Aku terkenang alangkah sukarnya pada masa itu.
Berbekalkan dua dolar, aku hanya mampu membeli makanan termurah di kantin itu iaitu mi goreng untuk mengisi perut dan juga minuman termurah untuk menghilangkan dahaga pada waktu rehat.
Jika tidak silap, mi goreng hanya sedolar atau sedolar lima puluh sen.
Subhanallah.
Kekangan kewangan menjadikan aku sangat berjimat cermat ketika berbelanja pada waktu rehat.
Aku jelas mengingati perasaan hati yang tidak mampu berlebih-lebih dengan membeli nasi dan lauk-pauk yang dijual oleh sepasang ibu dan anak perempuannya.
Harga nasi dan lauk-pauk atau dikenali juga sebagai nasi padang tidak aku mampui.
Di kantin itu, ada tiga buah gerai makanan halal.
Gerai paling hujung di sebelah kiri kantin ialah gerai mi soto manakala gerai di sebelah kanan pula gerai mi goreng.
Gerai di tengah antara gerai mi soto dan gerai mi goreng ialah gerai nasi padang.
La ila ha illallah.
Ya Allah, tenangkan dan tenteramkan jiwaku.
Segala yang berlaku ialah qada' dan qadar Allah yang sewajarnnya aku hargai.
Kemiskinan itu ialah takdir Allah yang wajar aku terima dengan lapang dada.
Bukan lagi satu tanda tanya yang perlu dipersoalkan atau disedihkan.
Dalam ketidakmampuanku dari segi kewangan pada tahun 1993, Allah menjagaku dengan penuh kasih sayang.
Sesungguhnya bersama Allah, kita tidak akan miskin kerana Allah Maha Kaya.
Saturday, August 9, 2025
Dalam menemani seorang insan...
Dalam menemani seorang Nr An menghadapi kekecewaan, daku menemui video ini yang inti patinya menenangkan jiwa.
Sunday, August 3, 2025
Wanita yang kukasihi kerana Allah...
Demi Allah dan rasulNya, aku mengasihi
Hajar, isteri kedua Nabi Ibrahim.
Maryam, ibu Nabi Isa.
Fatimah, anak Nabi Muhammad dan Siti Khadijah.
Pada zaman ini, aku mengasihi Dr Rania Awaad.
Selain daripada Dr Noraini Abdul Wahab.
Monday, July 7, 2025
Semakin mendekat bererti semakin jauh...
Semakin kita mendekati masa tua dan tarikh tamat tempoh kita hidup di dunia ini, semakin jauh kita daripada masa lalu yang terbina sejak kita bayi, kanak-kanak, remaja, masa muda dan masa dewasa.
Masa lalu (the past) telah berlalu.
Apa yang tinggal hanya kenangan atau ingatan serta pengajaran dan pelajaran.
Daripada yang jelas kepada yang samar.
Seketika, mindaku terimbas kepada detik suatu petang ketika aku berada di dalam bilik darjah 1F pada 1993.
Aku yakin peristiwa itu ialah dalam bulan November 1993.
Bilik darjah itu pun sudah tidak wujud lagi kerana aku baru dapat tahu pada tahun ini juga bahawa bangunan lama sekolah menengah sudah dirobohkan dan digantikan dengan pembangunan baharu.
Masya Allah.
Peristiwa yang berlegar di mindaku ini merupakan satu kenangan manis yang tidak dapat daku lupakan sebagai seorang pelajar yang konsisten dan bersungguh-sungguh.
Apabila Miss Muna iaitu guru kelasku keluar dari pintu makmal komputer yang terletak bersebelahan dengan bilik darjahku lalu memaklumkan sesuatu kepadaku secara peribadi.
Ternyata itu ialah nikmat Allah yang tidak diduga.
Segala-galanya milik Allah belaka.
Andai aku tidak bersyukur pada masa itu atau pada tahun itu, izinkan aku untuk mensyukuri nikmatMu itu pada hari dan tarikh ini iaitu Isnin, 7 Julai 2025.
Tuesday, July 1, 2025
Jambu Batu & Mangga
Wednesday, June 25, 2025
Sebuah drama kekeluargaan: Five Enough
Selesai sudah tontonanku terhadap sebuah drama kekeluargaan bertajuk Five Enough.
Meskipun drama ini mempunyai unsur yang tidak masuk akal dan unsur kebetulan yang terlalu banyak, drama ini tetap menarik dan bermanfaat untuk ditonton terutama sekali mengenai unsur emosi watak-watak secara zahir dan batin.
Five Enough bermaksud Cukup Lima iaitu frasa yang merujuk kepada jumlah 5 orang anak yang disatukan dalam sebuah perkahwinan kali kedua yang diterajui Sang Tae dan Mi Jeong.
Watak lelaki, Sang Tae ialah seorang duda yang kematian isteri semenjak 5 tahun lalu dan mempunyai dua orang anak.
Watak perempuan, Mi Jeong pula ialah seorang janda yang telah bercerai dengan suaminya semenjak 3 tahun lalu dan mempunyai tiga orang anak.
Seperti drama Korea yang lain, jalan ceritanya pasti tidak hanya berfokuskan watak utama.
Watak sampingan yang lain turut mempunyai jalan cerita mereka sendiri yang tidak kurang menarik.
Antara yang paling menarik, lucu dan menghiburkan ialah jalan cerita Jin Ju dan ibu bapanya.
Mereka bertiga ialah anggota keluarga kepada isteri pertama Sang Tae iaitu Jin Yeong yang telah meninggal dunia.
'Character growth' watak Jin Ju dan ibu bapanya adalah antara perkara yang dapat dihargai dan dipelajari.
Oleh sebab drama Five Enough terdiri ini 54 episod, banyak juga bahagian yang aku 'skip' sebenarnya kerana bagiku, bahagian tersebut kurang penting.