Thursday, March 10, 2011

Cuti-Cuti Malaysia 1: Kuala Kangsar, Perak

Nikmat penglihatan merupakan satu anugerah yang terlalu bernilai dalam hidup.

Lantas, dengan nikmat inilah kita menjelajah untuk melihat keindahan alam dan ciptaan.

Pada 4-6 Mac 2011, aku dan teman-teman sekuliah serta rakan-rakan UM yang lain telah bercuti di Kuala Kangsar, Perak.

Program lawatan ini telah kami rancang pada Semester 3 iaitu tahun lalu setelah aku jatuh hati kepada keindahan Istana Kenangan, Istana Iskandariah dan Masjid Ubudiah sewaktu melakukan kajian untuk tugasan dalam modul Seni Bina.

Pada waktu itu, kami ditugaskan untuk mengkaji seni bina istana-istana Melayu untuk tugasan berkumpulan kami.

Sebenarnya, Kak Karmilah yang lebih fokus kepada Istana Kenangan dan Istana Iskandariah manakala aku memberi fokus kepada konsep seni bina istana dan Istana Pelamin.

Meskipun aku turut membaca dan mengkaji tentang Istana Kenangan dan Istana Iskandariah, namun Kak Karmilah yang lebih banyak menjelaskan tentang kedua-dua istana ini sewaktu persembahan kami.

Oleb sebab aku sudah jatuh hati dengan keindahan Istana Kenangan, aku berhasrat untuk bersua muka dengan istana ini.

Namun, oleh sebab keterbatasan waktu dan peluang, jalan tidak terbuka untuk aku berkunjung ke Istana Kenangan, Istana Iskandariah dan Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar, Perak.

Lantas, perancanganku bersama Adik Hafiz dan Adik Kahar terkubur begitu sahaja semester lalu meskipun perancangan ini telah diwarwarkan di ruang 'inbox' Facebook dan diikuti dengan susulan dalam kelas tutorial Seni Bina.

Namun, satu perkara yang aku masih ingat dengan jelas ialah saranan Adik Hafiz agar menyiapkan iklan untuk program lawatan ini agar perancangan ini tampak lebih jelas dan meyakinkan bahkan akan memudahkan pelajar memikirkan tentang penyertaan mereka.

Pengiklanan itu penting!

Atas dasar itu, aku telah mengorak langkah menyiapkan iklan Cuti-Cuti Malaysia yang 'simple' untuk menarik minat peserta pada semester ini iaitu Semester 4.

Iklan itu aku paparkan melalui ruang Facebook.

Adik Awang Azhar turut membantuku menge'tag' rakan-rakan di Facebook untuk mendapatkan sambutan terutama sekali daripada pelajar lelaki.

Meskipun tidak begitu mendapat sambutan daripada pelajar lelaki dan perkara ini boleh dikaji sebab-musababnya, Alhamdulillah, rombongan 18 orang ke Kuala Kangsar berjalan dengan lancar.

Peristiwa yang menyeronokkan dan kenangan yang indah telah terakam dalam jiwa kami.

Paling penting, impianku untuk ke Istana Kenangan sudah kesampaian meskipun aku terkilan kerana tidak dapat masuk ke dalam istana itu atas sebab hal penyelenggaraan. Hmmmm....

Secara keseluruhan, aku sungguh terhibur kerana aku dapat ke Istana Kenangan dan dapat bersua muka dengan istana idamanku ini.

Cantik, unik dan comel istana itu!

Gambar digital dan rakaman video sebagai dokumentasi kenangan kami bersama bercuti di Kuala Kangsar.

Berikut adalah iklan yang aku bina menggunakan program Powerpoint.

      Gambar-gambar pada iklan ini diperolehi daripada internet. Terima kasih kepada mereka yang telah menyumbangkan gambar-gambar berikut.

Mudah sahaja membina iklan.

Bahkan, seronok juga membina iklan.

Mudah kerana aku sekadar memilih gambar yang paling menarik daripada internet dan gabung jalinkan menjadi sebuah 'potret' yang indah.

Kemudian, masukkan butiran penting yang tuntas agar dapat dilihat dengan jelas dan difahami dengan mudah oleh mereka yang melihat iklan.

Teknologi banyak membantu.

Dari mula sampai akhir promosi program ini.

Dari tahap awal membina iklan hinggalah kepada tahap memaparkan iklan dan kemudiannya mendapatkan respon daripada rakan-rakan.

Alhamdulillah.

Seronok kerana iklan yang dihasilkan merupakan satu karya seni yang memerlukan kekreatifan.

Dalam 'post' seterusnya, insyaAllah akan aku paparkan gambar-gambar digital kami semasa bercuti di Kuala Kangsar.

No comments:

Post a Comment