Adakala aku menerima seadanya.
Adakala aku merintih pilu dengan takdir ini.
Adakala aku memberontak dengan pertanyaan bertalu-talu.
Apatah lagi aku bukan seseorang yang akan mudah menerima nasihat atau khutbah manusia yang cuba untuk memahamkan aku tentang kehidupan.
Aku memang tidak akan mudah menerima nasihat atau khutbah manusia selagi perkara yang aku hadapi tidak dihadapi oleh orang yang berhasrat untuk menasihatiku.
Paling tidak aku akan hanya membuka pintu hatiku untuk mendengar dan meyakini intipati kata-kata seseorang kerana dia pernah melalui pahit getir kehidupan kerana aku tahu dia berkata berdasarkan pengalaman.
Bagiku dan bagi egoku, apalah yang hendak dinasihatkan kepadaku seandainya orang itu tidak melalui apa yang aku lalui.
Mana mungkin dia mampu mengerti dan menghayati gelodak perasaan ini andai dia tidak mempunyai pengalaman seumpama yang aku alami.
Lantas atas dasar itu, sebaik-baik tempat mengadu adalah Penciptaku sendiri.
Cuma adakala ketika aku patah harap atau sedang beremosi, kadang kala aku seperti merajuk dengan Penciptaku sendiri.
Namun Penciptaku yang Maha Penyabar akan sentiasa memujukku dengan caraNya yang tersendiri.
Ingatlah wahai diriku bahawa sebaik-baik tempat mengadu ialah Penciptaku sendiri kerana Dia yang menjadikan setiap manusia.
Hati kita, perasaan kita dan jiwa kita ternyata milik Dia.
Dengan pengaduan kepadaNya, Dia akan menyusun atur agar dipertemukan dengan insan yang dapat memahami situasi dan membantu dalam merungkai masalah kita barangkali.
Tidak harus terlalu berharap kepada manusia kerana manusia hanyalah manusia.
Serba tidak sempurna.
Atas dasar itu, usah letakkan keyakinan bahawa masalah atau gelodak perasaan akan difahami oleh manusia.
Biasanya, manusia akan lebih menyakiti atau menyesakkan dada dengan sikap mereka yang akan berkhutbah tanpa kefahaman.
A good listener is so difficult to find.
In fact, am I a good listener?
Seorang pendengar yang baik terlalu sukar untuk ditemui tetapi Alhamdulillah, Dia masih memberiku pendengar yang baik meskipun tidak ramai.
Moga aku juga menjadi seorang pendengar yang baik kerana aku juga manusia yang serba tidak sempurna.
Namun, pendengar terbaik yang pernah bersamaku selama empat tahun dan yang paling sabar dalam menghadapi karenahku yang tidak penyabar ini telah berlalu pergi.
Insan yang baik dan terbaik dalam memahamiku serta kelemahan diri ini.
Kehadirannya yang pernah mewarnai kehidupan yang sebelum itu kelam amat kuhargai.
Perpisahan yang berlaku telah kami setujui dengan redha.
Namun adakalanya ketika rindu menyinggahi nurani, rindu itu ditemani syahdu seperti malam ini.
Hanya Tuhan yang tahu apa yang aku rasa dan apa yang telah kami lalui.
Hanya Tuhan yang tahu hikmah di sebalik pertemuan dan perpisahan ini.
Dia tetap seorang insan yang baik pada kaca mataku.
Mungkin dengan berkat doanya seperti yang dia janjikan akan berikan kepadaku, aku lebih tenang kini dan tidak sebingung dahulu.
Entahlah.
Hanya Tuhan yang tahu.
Segala yang berlaku dalam kehendak Tuhan yang Maha Pengasih.
Namun ketika hati dicengkam rindu dan ditusuk syahdu, harapanku agar ketenangan menyelamatkan aku.
Aku pun sedar syukurku sangat berkurangan.
Sekonyong-konyong teringat sebuah lagu yang seolah-olah menggambarkan gelora di hati.
Lagu 'Khushiyan Aur Gham' dalam filem Mann.
No comments:
Post a Comment