Thursday, June 20, 2013

Kolej 11: Teduhan Kasih

19 episod Teduhan Kasih selesai aku tontoni dalam bilik A111.

Ketika pelajar UM khususnya (memandangkan aku berada di UM sekarang ini) sedang bersengkang mata menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan, aku selaku graduan UM pula sedang bersengkang mata menonton drama Teduhan Kasih untuk menghabiskan cuti.

Ketika mereka bersengkang mata menatap helaian demi helaian nota dan buku untuk bersiap sedia menjalani peperiksaan, aku pula bersengkang mata menonton episod demi episod drama Teduhan Kasih untuk berhibur dalam menghabiskan cuti.

Kelaziman menonton drama di dalam kamar kolej sejak zaman pengajian telah pun berakhir tetapi berkesinambungan dengan kelaziman menonton drama di dalam kamar kolej (rakan) pada minggu cuti di KL.

Kalau pada bulan Disember 2012 yang lalu, aku menghabiskan masa menonton drama Adam dan Hawa dalam bilik A220 iaitu bilik yang dihuni oleh tiga orang rakan iaitu Wani, Syida dan Zaynab.

Kini pada Jun 2013 pula, aku menghabiskan masa menonton drama Teduhan Kasih dalam bilik A111 iaitu bilik yang dihuni oleh dua orang rakan iaitu Fatimah dan Zaynab.

Kelaziman ini merupakan kelaziman yang terakhir bagi seorang pengunjung sepertiku memandangkan ini adalah percutian panjang yang terakhir di bumi UM dengan Kolej 11 sebagai tempat penginapan.

Wani dan Syida telah pun menyelesaikan pengajian pada semester lalu.

Zaynab pula akan menyelesaikan pengajian pada semester ini.

Fatimah sedang melanjutkan pengajian pos-graduan di peringkat sarjana tinggi bermula semester ini.

Manakala aku telah bertugas sebagai guru hampir setahun.

Percutian dua minggu satu hari sejak 9 Jun hingga 23 Jun merupakan percutian panjang yang terakhir di bumi UM.

Sebelum ini, percutian dua minggu satu hari adalah pada 4 Disember hingga 18 Disember yang aku sifatkan sebagai percutian panjang yang pertama di bumi UM.

Aku tidak akan bercuti panjang lagi di bumi UM.

Ternyata, segala kenangan di bumi UM perlu aku simpulkan dan sampulkan.

Aku perlu mengorak langkah meninggalkan bumi UM dengan tenang dan senang.

Tenang kerana tidak perlu lagi berpaut perasaan dan kenangan dengan bumi UM.

Senang kerana perlu melepaskan pergi tanpa ikatan perasaan dan kenangan dengan bumi UM.

Inshaa Allah.

19 episod Teduhan Kasih telah selesai aku tontoni.

Tidak dinafikan, Kolej 11 adalah kasihku yang telah menjadi tempatku berteduh sepanjang tiga tahun pengajian dan sepanjang percutianku di KL setahun ini (semenjak selesai pengajianku pada Jun 2012).

Alhamdulillah.

Terima kasih Tuhan atas teduhan kasih ini untukku.

No comments:

Post a Comment