Alhamdulillah.
Perisian Microsoft Office baru sahaja kubeli dengan harga $189 dari Challenger, Bedok Point.
Jurujual Challenger telah memasangkan perisian ini ke komputer ribaku atas permintaanku.
Alhamdulillah.
Inilah kali pertama aku menggunakan komputer riba Acer V5ku yang telah dilengkapi dengan perisian Microsoft Office dan dihubungkan dengan internet.
Aku telah membeli komputer riba baharu ini pada bulan Jun yang lalu di Challenger, Bedok Point.
Bahkan jurujual yang sama pada pagi ini yang telah mengurus segala pembelianku pada bulan lalu.
Subhanallah.
Aku sedang menaip pos kedua untuk hari ini di dalam Perpustakaan Masyarakat Bedok sambil menyaksikan bumi Allah di hadapan mataku ini dirembasi hujan.
Suasana yang menenangkan.
Sebenarnya, komputer ribaku iaitu kekasih pertamaku sejak zaman pengajian di universiti pada tahun 2009 telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi.
Lebih 5 tahun, kekasihku itu setia menemaniku dari Singapura ke Malaysia, dari kamar C403 ke kamar Chai Chee Avenue dan akhirnya... riwayatnya berakhir di tempat asalnya iaitu kamar Bedok North Street 3.
Meskipun kenangan manis bersama kekasihku itu bukanlah di dalam kamar Bedok North Street 3 kerana 3 tahun aku berada dalam kamar C403 dan tidak pun sampai 2 tahun di kamar Chai Chee Avenue, kekasihku sudah kian banyak berjasa.
Subhanallah.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, kekasihku itu telah menunjukkan petanda akan hari-hari terakhirnya iaitu aku tidak dapat melungsuri internet seperti biasa dek virus yang telah menyerang bahagian dalaman tubuh kekasihku.
Atas dasar itu, aku perlu mengurus perihal masalah teknikal yang tidak mengizinkanku melungsuri internet.
Oleh sebab tanggapan awalku adalah virus dalam bahagian dalaman Acer yang telah menjejas kelakonan 'memory stick M1'ku, aku ke ke kedai M1 untuk mendapatkan 'memory stick M1' yang baharu.
Apabila aku ke kedai M1, aku difahamkan bahawa 'memory stick M1'ku tidak akan pernah diserang virus lantas masih selamat untuk digunakan.
Jikalau aku perlu membeli 'memory stick M1' yang baharu, harganya tidaklah murah iaitu $98.
Apabila aku diberi penerangan tentang prosedur untuk menghubungkan komputer riba V5ku ini dengan 'memory stick M1', aku pun melaksanakan urusan ini di perpustakaan.
Aku lega dan gembira.
Bukan sahaja 'memory stick M1' bebas-virus, pelaksanaan untuk menghubungkan komputer riba V5 dengan internet amat mudah.
Kini komputer riba V5ku sudah pun terhubung dengan internet.
Bahkan, masalah untuk melungsuri blogku telah terhurai.
Alhamdulillah.
Bukan itu sahaja, aku juga telah membeli telefon bimbit S5 pada pagi ini dengan harga $228 di kedai M1 itu.
Aku membeli S5 bukan kerana kemahuan atau keinginan peribadi semata-mata.
Sebaliknya, aku perlu mendapatkan telefon bimbit yang baharu kerana telefon bimbit S3ku tidak dapat berfungsi lagi semenjak menghadapi insiden terhempas ke lantai yang bukan sekali dua tetapi banyak kali.
Khidmat penting seperti khidmat pesanan ringkas SMS dan Whatsapp masih dapat digunakan tetapi ketika aku menerima panggilan, aku tidak dapat mendengar suara pemanggil dan apabila aku membuat panggilan, pemanggil juga tidak dapat mendengar suaraku.
Masalah telefon bimbitku ini berlaku sejak bulan Mei yang lalu dan aku terpaksa menunggu lebih kurang 2 bulan lebih untuk mendapatkan telefon bimbit baharu.
Meskipun belum serasi dengan S5 yang berwarna keemasan ini, aku percaya lama-kelamaan keserasian itu akan terbina.
Insha Allah.
Sebuah telefon bimbit Nokia (yang boleh dikatakan murah) telah diberi secara percuma.
Alhamdulillah.
Rezeki berganda daripada Allah pada pagi ini seharusnya menjadikan aku insan yang bersyukur dan bertafakur.
Segala urusan sudah beres.
Aku dapat menggunakan Microsoft Office terutama sekali Microsoft Word melalui Acer.
Aku dapat melungsuri internet untuk melakukan aktiviti harianku iaitu menaip pos dalam blog peribadiku dan menonton klip video di Youtube.
Aku dapat membuat dan menerima panggilan seperti biasa setelah lebih kurang 2 bulan aku bertahan tanpa telefon bimbit yang sempurna dan lengkap.
Walaupun kekasihku telah dijangkiti virus, 'memory stick M1'ku bebas-virus.
Aku menganggap pemergian kekasihku sesuai dengan usianya yang menjangkau 5 tahun itu kerana itulah jangka hayat yang aku anggarkan.
Subhanallah.
Hujan sudah berhenti sejak beberapa ketika yang lalu.
Masanya aku mengorak langkah pulang ke kamar Bedok North Street 3.
Insha Allah.
No comments:
Post a Comment