Wednesday, July 16, 2014

Strategi Pembelajaran Dalam Bulatan (Learning Circle) untuk Semester 2

Apabila aku mula mengaplikasikan strategi pembelajaran dalam bulatan, Alhamdulillah aku teruja, gembira dan senang hati melihat wajah-wajah pelajarku yang terhibur, seronok  dan puas hati di dalam kelas Bahasa Melayu.

Seperti aku, mereka juga turut teruja, gembira dan senang hati.

Antara perkara yang amat aku ingati ialah....

Dalam kelas 3 Normal Akademik, perkongsian F amat menarik dan unik sekali kerana anak saudaranya seusia dengannya.

Bukan sekadar itu, mereka seperingkat dalam sekolah yang sama.

Rupa-rupanya D ialah anak saudara F.

Kami amat terhibur dengan hubungan yang menarik dan unik itu.


Dalam kelas 3 Ekspres, perkongsian B amat berterus-terang tentang tindak balas ibunya terhadap kegagalannya dalam peperiksaan.

Keterbukaan B untuk berkongsi mungkin tidak sesuai untuk diketahui oleh rakan-rakan lain namun aku berharap dapat membina hubungan positif dengan B  memandangkan cara B menuturkan kata-katanya perlu diperbaiki dengan teguran dan bimbingan berasaskan sikap ambil berat.

Sebenarnya aku tersentuh dengan perkongsian B yang boleh aku sifatkan sebagai luahan daripada hati yang terluka.


Dalam kelas 2 Normal Akademik, perkongsian M yang diujarkan dengan suara yang menggeletar menggambarkan bahawa M samada menahan sebak atau gementar.

Perkongsiannya tentang situasi keluarganya yang tidak mengizinkan dia membeli pakaian baharu kecuali memakai pakaian yang pernah dikenakan abang-abangnya.

Aku perlu berkongsi tentang situasiku di sekolah menengah yang kepingin makan ais krim Swensen's tetapi tidak mampu demi memberi kata-kata motivasi kepada M dan para pelajar yang lain.


Aku dapati aktiviti berteraskan Strategi Pembelajaran Dalam Bulatan (Learning Circle) yang dilaksanakan dalam kelas pertamaku pada minggu pertama dalam Semester 2 amat santai, menghiburkan dan berkesan dalam mengenali anak didikku.

Bak kata Irsyad 3B, strategi ini INTERAKTIF memandangkan setiap pelajar diberi peluang untuk berkongsi pengalaman, perasaan atau pendapat.

No comments:

Post a Comment