Tuesday, December 6, 2022

Kegemaran: Melihat dan menghargai keindahan bunga

Bunga yang bermula dengan huruf B

Bunga yang ingin daku kongsi pada kali ini ialah bunga yang bermula dengan huruf B. Hanya pada pagi ini aku pelajari bahawa bunga bakung ialah nama bunga dalam bahasa Melayu untuk bunga 'lily'.


Selain bunga bakung yang bermula dengan huruf B, enjin pencarian Google menemukan aku dengan bunga balung ayam. Rupa bentuk bunga balung ayam boleh dikatakan lain daripada lain. Barangkali disebabkan rupa bentuknya, bunga ini dikaitkan dengan nama haiwan iaitu ayam. 

Berkemungkinan besar, aku tidak pernah melihat bunga ini. Bahkan aku tidak pernah mengetahui kewujudan nama bunga balung ayam. Disebabkan perkongsian pada pagi ini adalah mengenai bunga yang bermula dengan huruf B, enjin pencarian Google yang telah membuka ruang dan peluang untuk mengetahui sesuatu yang baharu. Sila rujuk lelaman ini untuk melihat rupa bentuk bunga balung ayam: Warisan Petani: Pokok Bunga Balung Ayam

Bunga yang aku sangat minati dan boleh dikatakan bermula dengan huruf B (tetapi dalam bahasa Inggeris) ialah bunga baby's breath. Aku tidak tahu nama bunga ini dalam bahasa Melayu. Tidak mungkin nama bunga baby's breath boleh diterjemahkan secara literal sebagai bunga nafas bayi? Kurang molek.

Walaupun bunga baby's breath lazim digunakan sebagai pelengkap yang menghiasi sejambak bunga atau sejambangan bunga kerana saiznya yang kecil, bagiku bunga baby's breath tetap unggul! Bunga baby's breath bukan sekadar memukau pandangan mataku. Jiwaku tenang melihatnya. Hatiku tertawan merenungnya. Masya Allah! Nikmat untuk deria penglihatanku.

Akhir sekali ialah bunga bakawali. Bunga bakawali mempunyai kelopak yang banyak dan tersergam gah apabila mekar. Bukan sekadar nama bunga ini ada disebut dalam lagu-lagu Melayu. Bunga bakawali juga ialah nama filem Melayu klasik yang dibintangi Latifah Omar dan Nordin Ahmad, selain nama drama teater. Kedua-dua nama filem dan drama teater bertajuk Gul Bakawali. Sila rujuk lelaman ini untuk melihat rupa bentuk bunga bakawali: My little vegetable garden: Bunga Bakawali Blooming: 1am - 2am, early morning.




No comments:

Post a Comment