Sunday, July 23, 2023

Reborn Rich (16 Episod)

Selesai sungguh penontonku akan sebuah drama Korea yang bertajuk Reborn Rich.

Sungguh mengujakan seperti drama Penthouse!

Jalan cerita yang bagus dan menarik tetapi selok-belok dan istilah mengenai ekonomi dan keusahawanan tidak mudah bagiku untuk menghadam dan memahami.

Selok-belok dan istilah yang sukar difahami mengingatkanku kepada drama Good Manager kerana kedua-dua drama ini menitikberatkan kerincian maklumat mengenai bidang ekonomi, keusahawanan dan undang-undang. 

Lebih daripada itu, Good Manager mengetengahkan bidang perakaunan serta pengauditan secara rinci.

Perkara yang aku kagumi dalam ketiga-tiga karya ialah penulis skrip bijak menyelongkar isu korupsi dan pecah amanah dalam kalangan mereka yang berkuasa, berjawatan tinggi dan kaya-raya.

Berbalik kepada Reborn Rich, drama ini bergenrekan Fantasi.

Itulah elemen yang menarik kerana watak utama yang telah ditembak dan dihumban ke dalam laut telah mengembara kepada masa lalu bermula pada tahun 1987.

Perjalanan Hyeon Woo sebagai seorang kanak-kanak bernama Do Jun sehinggalah beliau dewasa boleh dikatakan menyeronokkan kerana kita akan dapat menempuh beberapa peristiwa penting yang pernah melatari dunia suatu masa dahulu.

Antaranya ialah Sukan Olimpik (1988), krisis ekonomi dunia (1997), virus Y2K (2000) dan serangan September 11 (2001).

Pengakhiran Reborn Rich memuaskan hati dan tidak mengecewakan.

Berbanding dengan Penthouse yang diakhiri secara kurang rasional dan tidak memuaskan hatiku sebagai penonton dan peminat yang mengikuti ketiga-tiga siri.

Syabas kepada penulis skrip Reborn Rich iaitu seorang wanita bernama Kim Tae Hee.

Walaupun istilah dan selok-belok dalam bidang ekonomi dan keusahawanan terlalu sukar bagiku untuk mengikuti apatah lagi memahami, jalan cerita Reborn Rich ialah suara bagi mereka yang miskin dan ditindas sama ada secara sedar mahupun tidak.


 



No comments:

Post a Comment