Friday, October 11, 2013

Subhanallah. Pengalaman dan kenangan.

5 tahun mengajar di sebuah sekolah rendah pada tahun 2004 hingga 2009 sentiasa merangsang aku terkenangkan zaman kanak-kanakku di Sekolah Rendah Bedok North.

Darjah 1 pada tahun 1987 hingga darjah 6 pada tahun 1992.

Subhanallah.

Pengalaman dan kenangan.

1 tahun 3 bulan mengajar di sebuah sekolah menengah pada tahun 2012 hingga kini sentiasa merangsang aku terkenangkan zaman remajaku di Sekolah Menengah Bedok South.

Menengah 1 pada tahun 1993 hingga menengah 4 pada tahun 1996.

Subhanallah.

Pengalaman dan kenangan.

Monday, October 7, 2013

Raffles Place, Masjid Moulana, kedai makan, Sungai Singapura, Mc Donalds, Jambatan Esplanade dan Esplanade

5 Oktober 2013, Sabtu.

Jalan keluar (Exit) B kususuri dari Stesen MRT Raffles Place untuk menemukan kami.

Kami mengorak langkah ke Masjid Moulana untuk beriktikaf sementara menanti waktu solat Maghrib.

Menjamu selera di kedai makan terdekat yang dikunjungi tempoh hari.

Bahkan aku memilih tempat duduk yang sama seperti tempoh hari.

Aku sekadar minum air epal sejuk dan teh o panas kerana tidak berasa lapar.

Sesudah itu, kami mengorak langkah menuju ke Sungai Singapura terlebih dahulu untuk melihat pemandangan sungai.

Sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi utama kami, aku berhasrat membeli ais krim di Mc Donalds.

Kami harus berpatah balik.

Burger dua dolar turut kubeli.

Dalam perjalanan ke Espalande, kami bergambar dengan si patung-patung Sungai Singapura.

Setelah itu, kami duduk di Jambatan Espalande untuk makan ais krim.

Pertunjukan cahaya dari Marina Bay Sands mempesonakan.

Meskipun ini adalah kali kedua aku menikmati pertunjukan yang ternyata menghidupkan suasana yang gah dan romantik, Alhamdulillah ada sesuatu yang lebih istimewa kali ini.

Berpunca daripada soalan... "Mengapa Marina Bay Sands ada 3 menara?"

Jawapan yang menghiburkan... "I Love You."

Kajian yang dilakukan agar pertunjukan cahaya itu memberi makna yang bersifat spiritual kepada kami adalah bacaan daripada Surah An Nur, khususnya ayat 30, 31 dan 32.

3 buah menara Marina Bay Sands yang tersergam megah itu seharusnya sentiasa mengingatkan kami tentang ayat-ayat cinta daripada Allah kepada kaum lelaki dan wanita.

Pertunjukan cahaya yang terpancar indah itu seharusnya sentiasa mengingatkan kami tentang salah satu surah yang terkandung dalam Al Quran, khususnya Surah An Nur.

Akhirnya, kami ke Esplanade untuk menikmati suasana teluk yang berangin sebelum kami mengorak langkah pulang.

Kami berpisah di dalam Stesen MRT Raffles Place.

Sunday, October 6, 2013

Antara pergi dan pulang dengan pertemuan dan perbualan pada 5 Oktober 2013

Perjalanan pergi yang tidak begitu elok.

Begitu juga dengan perjalanan pulang yang tidak begitu elok.

Meskipun pertemuan dan perbualan merupakan peristiwa yang elok.

Wednesday, October 2, 2013

Komitmen - Dr Emran

Pada petang ini, aku menemui Dr Emran yang baik hati di kliniknya.

Dia menasihati aku agar memberikan komitmen dalam proses rawatan diri.

Nasihat Dr Emran itu amat ringkas.

Berpaksi kepada perkataan 'komitmen' yang harus aku berikan sepenuh hati dan sepenuh jiwa memandangkan sebelum ini, aku kurang bersungguh-sungguh dalam mengusahakan proses rawatan diri.

Kurang kesungguhan itu berpunca daripada kebingungan dan kekeliruan yang melanda diri.

Bersyukurlah wahai hati kerana mempunyai seorang doktor yang memahami.

Aku harus memberikan komitmen dalam proses rawatan diri dengan terlebih dahulu melengkapkan 'maklumat' yang doktor perlukan.

Berilah seminggu lagi kepadaku setelah hampir sebulan aku tidak melakukan apa-apa sejak mula-mula menerima 'fail' itu pada 4 September.

Berikanlah komitmenmu wahai Noraini.

Tuesday, October 1, 2013

Ber'Skyline Luge' di Sentosa

Sabtu, 28 September 2013.

Pengalaman ber'Skyline Luge' di Sentosa merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Aktiviti ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama dan bahagian kedua.

Bahagian pertama sangat santai sekali apatah lagi jika angin sedang bertiup kerana kita hanya perlu duduk di Skyride yang akan membawa kita naik dari kaki bukit ke puncak bukit.

Bahagian kedua sangat mengujakan sekali kerana kita perlu mengawal Luge yang akan membawa kita menyusuri bukit.

Perjalanan menuruni bukit dengan Luge yang dipandu sebenarnya langsung tidak sukar tetapi oleh sebab aku tidak fokus dan tidak berhati-hati, aku mengalami kemalangan kecil sebanyak dua kali.

Aku melakukan aktiviti ber'Skyline Luge' sebanyak dua kali.

Kali pertama aku melakukan aktiviti ber'Skyline Luge' dengan menempuh jalanan di sebelah kanan iaitu Dragon Trail yang panjang, Alhamdulillah.... aku selamat.

Kali kedua aku melakukan aktiviti ber'Skyline Luge' dengan menempuh jalanan di sebelah kiri iaitu Jungle Trail yang pendek, Allahuakbar.... aku kemalangan.

Ternyata aku tidak fokus ketika kemalangan kecil yang pertama dan ternyata aku tidak berhati-hati sewaktu kemalangan kecil yang kedua.

Bukan kerana jarak.

Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, aktiviti ber'Skyline Luge' di Sentosa ternyata menyeronokkan.