Walaupun Empress Ki merupakan drama Korea yang sangat aku sukai sejak menontonnya pada awal tahun 2020 (Aku mula terpandang episod pertengahan drama ini di Facebook dan terus mengikuti episod demi episod), aku juga mengiktiraf sebuah lagi drama yang lebih ringkas tetapi sangat menarik iaitu Flower of Evil.
Sebenarnya, drama Empress Ki mula ditayangkan pada 2013. Namun, hanya aku ketahui dan ikuti drama ini pada tahun ini. Drama fiksyen sejarah ini terlalu hebat sehingga aku menonton Empress Ki berulang-ulang kali kerana terkesima dengan watak-watak dan jalan cerita berlatarkan zaman dahulu, khususnya pada zaman dinasti Yuan yang hampir ranap. Bahkan, watak utama Empress Ki memberikan inspirasi dalam menongkah arus kehidupan yang penuh dengan gelombang cabaran.
Pada bulan November sehingga kini, aku telah menonton beberapa buah drama Korea. Aku mulai dengan Empress Ki sekali lagi meskipun drama ini telah aku tontoni pada awal tahun dan telah aku ulangi beberapa kali sebelum November. Kemudian aku tontoni drama berjudul Kkondae, Cinderella and Four Knights, The Penthouse (masih ditayangkan), Please Don't Date Him (masih ditayangkan) dan Flower of Evil. Drama Korea 2020 yang berjaya membuat aku terkesima bahkan menyentuh emosiku ialah Flower of Evil. Mesej kemanusiaan yang dirungkai dalam drama Flower of Evil sangat meninggalkan kesan.
Flower of Evil berkisar tentang dua watak utama yang merupakan pasangan suami isteri iaitu Baek Hee Sung dan Cha Ji Won. Kehidupan rumahtangga mereka yang romantik dan penuh dengan kasih sayang dan sikap ambil berat ternyata adalah asas rumahtangga yang bahagia. Namun, si isteri iaitu seorang detektif tidak pernah mengetahui latar belakang sebenar suaminya yang mempunyai sejarah hidup yang penuh dengan kegelapan. Oleh sebab pasukan detektif yang dianggotai oleh Cha Ji Won perlu menyiasat kes lama yang terjadi 18 tahun yang lalu iaitu pembunuhan bersiri yang kejam, sejarah masa lalu Baek Hee Sung telah turut terkait. Maka, konflik pun bermula. Paling menarik ialah suami isteri ini saling mencatur permainan minda untuk memerangkap, membongkar, menyembunyikan kebenaran, melarikan diri dan mempertahankan diri sebagai sepasang detektif dan penjenayah.
Sejak awal lagi, Baek Hee Sung tidak pernah mengejar cinta Cha Ji Won. Si gadis ini yang telah memburu cinta Baek Hee Sung. Namun kini, si isteri perlu mengejar dan memburu si suami atas dasar tanggungjawab dan amanahnya sebagai seorang detektif. Si suami yang benar-benar baik budi, penyayang, pengasih dan bertanggungjawab kini perlu mempertahankan dirinya dengan terus menyembunyikan kebenaran di samping melarikan diri daripada situasi.
No comments:
Post a Comment