Friday, February 24, 2023

Hong Du Sik dan Han Ji Pyeong

Pelakon kacak yang sama.

Namun, watak dan perwatakan yang berbeza.

Kalau dalam Hometown Cha Cha Cha, Kim Seon Ho melakonkan watak Hong Du Sik yang 'warm-hearted', watak Han Ji Pyeong dalam Start Up pula memperlihatkan perwatakan yang 'cold-hearted' terutama sekali ketika beliau berkomunikasi.

Kata-kata Han Ji Pyeong kedengaran jelas dan tegas serta pedas.

Mudah cakap lepas dan kurang berbudi bahasa kerana terlalu berterus terang.

Sejak berusia 18 tahun, kelihatan wataknya yang agak mudah panas hati.


Watak Hong Du Sik 'flawless' manakala watak Han Ji Pyeong 'flawed'.

Dalam diri Han Ji Pyeong, ada keangkuhan memandangkan bidang yang diceburi memerlukan beliau memilih hanya yang terbaik.

Keangkuhan itu menyebabkan beliau memandang rendah atau memandang sebelah mata kepada mereka yang kelihatan mempunyai kekurangan.

Boleh dikatakan beliau 'judgemental'.

Mungkin sikap ini tercorak kerana watak beliau telah mula berdikari sejak usia beliau 18 tahun dan memiliki kepandaian dalam bidang pelaburan sehingga beliau berjaya dan terserlah dalam kerjaya yang beliau ceburi.

Barangkali juga sikap ini terbentuk lama sebelum itu iaitu semasa beliau membesar di rumah anak yatim yang kita tidak tahu cara Han Ji Pyeong dididik.

Adakah dengan kekasaran dan kurang kesabaran serta tanpa kasih sayang?

Sehingga menyebabkan watak beliau pada usia 18 tahun kelihatan memberontak dan marah-marah dalam episod pertama Start Up.

Dalam drama Hometown Cha Cha Cha, terlalu mudah bagiku untuk menyukai watak Hong Du Sik yang hampir sempurna.

Namun, dalam drama Start Up, hatiku berbolak-balik dengan kelebihan dan kekurangan Han Ji Pyeong.

Agak sukar bagiku untuk menyukai watak Han Ji Pyeong yang agak kurang ajar dan kurang sensitif.

Perangai beliau menyebabkan Kim berdendam dengan beliau kerana kata-katanya telah menjatuhkan semangat dan meremukkan perasaan abangnya yang tertekan lalu bunuh diri.

Itu dari segi kekurangan manakala dari segi kelebihan pula, keperibadian Han Ji Pyeong yang terserlah dan paling aku kagumi ialah kejujuran dan sifat amanahnya.

Han Ji Pyeong ialah seorang pelindung yang jujur dan amanah (apatah lagi drama ini berlatarkan bidang keusahawanan dan melibatkan banyak urusan yang berkaitan dengan kontrak dan kewangan.)

Beliau seorang pelabur yang jujur dan amanah.

Walaupun beliau mengutamakan keuntungan, beliau seorang pelabur yang berintegriti.

Selain itu, beliau baik hati dan pemurah seperti Hong Du Sik juga.


No comments:

Post a Comment