Monday, January 30, 2012

Maha Suci Tuhanku

Maha Suci Tuhanku yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujianNya.




Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujianNya.


Sunday, January 29, 2012

Ilmu santapan jiwa

Keletah Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak di atas pentas dalam slot kemusykilan sebuah program 'Countdown 2012' atau 'Menghitung Detik 2012' telah dirakam dan dimuatnaik dalam lelaman pengkongsian video Youtube.

Sungguh lucu namun dalam senyum tawa itu, ada ilmu yang diperteguhkan.

Sungguh menghiburkan namun dalam gelak tawa, ada kefahaman yang diketengahkan.

Dalam bersenda gurau, usik-mengusik dan berlawak, mesej dakwah tetap dapat disampaikan.

Ternyata hubungan baik antara ulama dan artis telah terjalin secara harmonis.

Alhamdulillah.

Pada detik-detik terakhir 2011 dan menuju 2012, aku berada di Universiti Malaya pada waktu itu, khususnya di kolejku iaitu Kolej Kediaman Kesebelas.

Dari bilikku, aku dapat melihat pancaran bunga api (mungkin dari Dataran Merdeka).

Sempat juga kurakam pancaran bunga itu sebagai kenang-kenangan meskipun jauh.

Manakala tentang program 'Countdown 2012' bersama Ustaz Azhar Idrus di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, terdetik juga di hati untuk mengikuti program yang julung-julung diadakan seperti itu.

Apatah lagi, 2012 merupakan tahun terakhir aku di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur.

Namun detik hati itu hanya tinggal sebagai detik hati yang tidak dapat direalisasikan.

Sebab peperiksaan APK akan menjelang pada 3 Januari 2012.

Sebab pembacaan untuk menghadapi peperiksaan APK belum terlaksana dengan sempurna.

Sebab tidak aku tahu jika ada dalam kalangan rakan-rakan yang akan mengikuti program tersebut agar aku boleh ikut sama.

Sebab aku bukan pengikut syarahan Ustaz Azhar Idrus di Youtube.

Sebenarnya, aku terbuka hati untuk menonton dan mengikuti syarahan Ustaz Azhar Idrus apabila adikku yang berada di Singapura memaklumkanku bahawa dia mengikuti dan meminati syarahan Ustaz Azhar Idrus.

Atas dasar itu, aku pun melungsuri Youtube.

Klip video yang aku tonton hingga tergelak ketawa ialah klip video Ustaz Azhar Idrus dan Zizan dalam slot kemusykilan program 'Countdown 2012'.

Sungguh lucu.

Sungguh menghiburkan.



Poster ini telah diperolehi daripada blog seseorang yang beralamat berikut:
http://www.akupenglipurlara.com/sambutan-tahun-baru-2012-ustaz-azhar-idrus.html


Meskipun nama, syarahan dan kata-kata nasihat Ustaz Azhar Idrus sangat popular, selalu dirujuk dan sering diperkatakan di Facebook, begitu juga dengan nama dan kata-kata nasihat Imam Muda, aku tidak begitu 'ambil pusing' tentang mereka sebelum ini.

Kecenderunganku mula berputik sejak adikku berbicara dan berkongsi tentang Ustaz Azhar Idrus sehari dua yang lalu.

Aku tidak menyangka adikku yang berada di Singapura turut mengikuti syarahan Ustaz Azhar Idrus sedangkan rangkaian rakan-rakannya tidak seperti aku yang terdiri daripada ramai rakan dari Malaysia yang tentunya kukenali menerusi Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Inilah yang dikatakan 'dakwah zaman IT'.

Youtube merupakan salah satu wadah yang berkesan dalam menyampaikan dakwah Islam hanya dengan gerakan jari-jemari di atas papan kunci atau tetikus yang mampu membawa sesiapa sahaja ke mana-mana menerusi skrin yang memaparkan sekian banyak klip video dakwah.

Alhamdulillah.

Aku pula mula cenderung untuk mengambil tahu dan mengikuti tentang Imam Muda apabila berpeluang mendengar secara langsung kuliah Imam Muda Fakhrul semasa mengikuti program 'Brotherhood Muslim Camp 2012' di Hulu Langat, Selangor pada 21 dan 22 Januari lalu.

Boleh dikatakan aku ketinggalan zaman.

Demi memperolehi ilmu santapan jiwa, moga ruang dan peluang masih ada untukku.

Syurga yang dijanjikan... Neraka yang tercipta

Syurga yang dijanjikan bukanlah suatu khayalan
Tentang nikmat berpanjangan Ilahi
Neraka yang tercipta menghimpun azab derita
Tangisan kesengsaraan insan

Syurga adalah kelazatan
Terbentang buat hamba beriman
Yang kasihkan Tuhannya
Yang kasihkan Rasulnya
Yang kasih agamanya

Neraka tempat kedukaan
Angkara kedurjanaan insan
Yang lupakan Tuhannya
Yang lupakan Rasulnya
Yang lupa agamanya

(Lirik lagu nasyid 'Kepastian' ini sungguh menikam qalbu, menusuk ke sanubari. Apatah lagi dialunkan dengan syahdu sekali oleh Imam Muda Nazrul.)

Saturday, January 28, 2012

Tahniah

Ingin sekali diriku berhubung denganmu.

Tidak kiralah melalui tulisan ataupun lisan.

Aku ingin sekali berhubung denganmu untuk mengucapkan tahniah.

Namun dalam situasi seperti ini, lebih baik aku berdiam diri.

Bukankah aku yang ingin menjauhkan diri kerana telah berjauh hati?

Lantas tahniahku ini dari kejauhan.

Melalui tulisan yang ternyata tidak akan dibaca.

Melalui lisan di dalam hati tidak bersuara.

Tahniah.

Thursday, January 26, 2012

Koc NICE

26 Januari 2012

Khamis

6:43 petang

Pada waktu dan ketika ini, aku berada di syarikat koc NICE yang terletak dalam bangunan lama keretapi KTM.

Koc akan bertolak ke Singapura pada jam 7:10 malam.

Sementara menunggu, aku melungsuri internet dengan berblog seketika.

:)

Pendakian Bukit Broga (I)

23 dan 24 Disember 2011 (Jumaat dan Sabtu) merupakan tarikh perancangan sebuah program yang 'simple' tetapi bermakna.

Persiapan terakhir seperti menyediakan keperluan yang perlu dimasukkan ke dalam beg dilakukan pada hari Jumaat itu sendiri.

Setahu aku, pada jam 12.00 tengah malam, aku perlu menunggu di bawah untuk dijemput dengan kereta.

Seperti biasa, aku terlewat lebih kurang 10 minit.

Akhir kalam, sebenarnya, kami perlu berkumpul pada jam 12.30 tengah malam.

Bererti program ini bukanlah pada 23 Disember (Jumaat) kerana sekalipun bertolak pada jam 12.00 tengah malam, tetap tarikh sudah mencecah 24 Disember (Sabtu).

Oleh sebab belum tidur, dirasakan kami masih berada dalam 23 Disember.

Walau apa pun, program yang 'simple' ini adalah program pendakian Bukit Broga bersama adik-adik yang majoriti terdiri daripada adik-adik lelaki.

Adik-adik perempuan ialah Nazurah, Syamimi, Shahida dan Azimah.

Manakala adik-adik lelaki ialah Abu Bakar, Edi Farid, Abdul Rahman, Awg Azhar, Ideris, Zakaria, Redzuan, Rashid, Maarof dan Azlizam.

Kami 15 orang ke tapak Bukit Broga dengan 3 buah kereta yang disewa.

Pendakian yang bermula pada jam 3.30 pagi (jika tidak silap) telah diketuai oleh Abdul Rahman dan Ideris yang sememangnya berpengalaman dalam pendakian.

Apatah lagi, mereka berdua adalah anggota PALAPES.

Pendakian ini dimulakan dengan senaman ringkas dan diikuti dengan doa.

Alhamdulillah.

Pendakian yang melelahkan tetapi menyeronokkan maklumlah... bilakah kali terakhir aku mendaki?

Pengalaman yang kuhargai sebenarnya.

Pertama kali dalam sebuah program di luar Universiti Malaya bersama dengan Adik Shahida dan Adik Azimah yang kukenali tetapi tidak secara dekat.

Mereka berdua juga merupakan anggota PALAPES dan ternyata mempunyai kekuatan fizikal dan mental dalam pendakian ini.

Alhamdulillah.

Kedua-dua Adik Shahida dan Adik Azimah memberi sokongan fizikal dan mental kepadaku yang nyata tidak begitu lasak seperti mereka.

Pendakian dalam kegelapan sebenarnya membimbangkan kerana aku tidak tahu bahaya apa dan bagaimana yang boleh menimpa kami.

Sejujurnya, aku tidak akan melakukan sebarang pendakian lagi dalam keadaan gelap seperti ini pada masa hadapan kerana membimbangkan keselamatan setiap daripada kami.

Namun, pengalaman Abdul Rahman dan Ideris, serta pendakian yang diiringi dengan lampu cahaya suluh (yang tidak begitu terang) menjadikan aku lebih berkeyakinan.

Betapa aku sedar bahawa kita sebenarnya sangat memerlukan cahaya untuk meneruskan pendakian dalam kegelapan bahkan sepanjang perjalanan dalam kehidupan ini.

Alhamdulillah.

Kami tiba di puncak Bukit Broga yang setinggi 400 meter itu pada jam 5.00 pagi (jika tidak silap).

Adik-adik lelaki yang bersolat Subuh secara berjemaah di puncak bukit dalam keadaan gelap telah meninggalkan kenangan yang indah.

Kedengaran perbualan dua tiga orang pemuda lain yang menyedari bahawa adik-adikku sedang bersolat dan salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa dia tidak tahu membaca doa Qunut (jika tidak silap).

Semoga Allah s.w.t memimpin mereka untuk menjadi hamba-hamba Allah yang tahu bersolat dan taat mendirikan solat di mana sahaja mereka berada.

Semoga adik-adikku ini sentiasa berada dalam perlindungan Allah s.w.t kerana mereka merupakan generasi pemimpin pada masa hadapan.

Andai di puncak bukit, pencipta Bukit Broga ini tidak dilupakan, aku yakin adik-adikku yang baik ini menjadi generasi yang bukan sahaja dapat menawan puncak bukit bahkan mampu menawan puncak menara gading dalam segala bidang yang diceburi.

Terkenang zaman dahulu apabila rakan-rakan yang mengelilingiku adalah rakan-rakan yang tidak menjaga solat apatah lagi menjaga syariat.

Pada waktu itu, aku berada di antara dua persimpangan.

Antara prinsip diri dengan pengaruh suasana.

Berbalik kepada pendakian Bukit Broga yang telah dicetuskan oleh Abu Bakar, pendakian ini merupakan satu pencapaian bagiku memandangkan usiaku telah pun mencecah angka tiga dan setelah sekian lama aku tidak mendaki, aku kembali mendaki.

Gunung Ledang pernah ditawan suatu masa dahulu ketika usiaku 20-an tahun.

Awal 20-an seingatku iaitu lebih kurang usia adik-adikku sekarang.

Program yang 'simple' dan bermakna.

Berikut merupakan sebahagian daripada gambar-gambar yang telah sempat dipetik semasa berada di puncak Bukit Broga.






Wednesday, January 25, 2012

Betapa Kayanya Mereka Dan Betapa Miskinnya Kita

Seorang hartawan membawa anaknya menginap di sebuah rumah milik seorang kenalannya yang miskin. Dia berharap anaknya akan sedar akan kekayaan yang mereka miliki. Setelah tiga hari di rumah si miskin, mereka pun pulang. Dalam perjalanan, si ayah bertanya: "Apa pandangan kamu tentang kembara kita?"

"Seronok!" jawab anaknya.

"Sekarang, mesti kamu dapat bandingkan hidup sebagai orang kaya dengan orang miskin bukan?"

"Ya," jawab anaknya ceria.

"Nah sekarang, apa yang kamu belajar daripada semua ini?"

Si anak menjawab: "Kita mempunyai seekor kucing peliharaan, tetapi mereka ada banyak kucing yang mereka beri makan. Kita ada kolam renang, tetapi mereka ada sungai yang jernih dan mengalir airnya untuk mereka mandi. Kita ada lampu import yang mahal harganya, tetapi mereka ada bintang-bintang bergemerlapan di langit yang mereka pandang waktu santai di halaman rumah pada malam hari..."

Si ayah ingin menyampuk, namun si anak meneruskan, "Kita ada jalan berturap tetapi mereka ada padang hijau yang saujana mata memandang. Kita seronok menyuruh orang gaji membuat itu dan ini untuk kita, mereka pula ceria ketika berkhidmat dan memberi pertolongan kepada orang lain. Kita ada banyak makanan, tetapi mereka menghasilkan makanan. Kita ada jaga yang menjaga harta kekayaan kita... tetapi mereka mempunyai ramai sahabat setia yang sentiasa melindungi mereka."

Si ayah tambah terdiam apabila anaknya menambah: "Terima kasih ayah kerana menyedarkan betapa kayanya mereka dan betapa miskinnya kita!"

Dipetik daripada majalah Solusi (isu no. 16), halaman 108.