Sunday, January 29, 2012

Ilmu santapan jiwa

Keletah Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak di atas pentas dalam slot kemusykilan sebuah program 'Countdown 2012' atau 'Menghitung Detik 2012' telah dirakam dan dimuatnaik dalam lelaman pengkongsian video Youtube.

Sungguh lucu namun dalam senyum tawa itu, ada ilmu yang diperteguhkan.

Sungguh menghiburkan namun dalam gelak tawa, ada kefahaman yang diketengahkan.

Dalam bersenda gurau, usik-mengusik dan berlawak, mesej dakwah tetap dapat disampaikan.

Ternyata hubungan baik antara ulama dan artis telah terjalin secara harmonis.

Alhamdulillah.

Pada detik-detik terakhir 2011 dan menuju 2012, aku berada di Universiti Malaya pada waktu itu, khususnya di kolejku iaitu Kolej Kediaman Kesebelas.

Dari bilikku, aku dapat melihat pancaran bunga api (mungkin dari Dataran Merdeka).

Sempat juga kurakam pancaran bunga itu sebagai kenang-kenangan meskipun jauh.

Manakala tentang program 'Countdown 2012' bersama Ustaz Azhar Idrus di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, terdetik juga di hati untuk mengikuti program yang julung-julung diadakan seperti itu.

Apatah lagi, 2012 merupakan tahun terakhir aku di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur.

Namun detik hati itu hanya tinggal sebagai detik hati yang tidak dapat direalisasikan.

Sebab peperiksaan APK akan menjelang pada 3 Januari 2012.

Sebab pembacaan untuk menghadapi peperiksaan APK belum terlaksana dengan sempurna.

Sebab tidak aku tahu jika ada dalam kalangan rakan-rakan yang akan mengikuti program tersebut agar aku boleh ikut sama.

Sebab aku bukan pengikut syarahan Ustaz Azhar Idrus di Youtube.

Sebenarnya, aku terbuka hati untuk menonton dan mengikuti syarahan Ustaz Azhar Idrus apabila adikku yang berada di Singapura memaklumkanku bahawa dia mengikuti dan meminati syarahan Ustaz Azhar Idrus.

Atas dasar itu, aku pun melungsuri Youtube.

Klip video yang aku tonton hingga tergelak ketawa ialah klip video Ustaz Azhar Idrus dan Zizan dalam slot kemusykilan program 'Countdown 2012'.

Sungguh lucu.

Sungguh menghiburkan.



Poster ini telah diperolehi daripada blog seseorang yang beralamat berikut:
http://www.akupenglipurlara.com/sambutan-tahun-baru-2012-ustaz-azhar-idrus.html


Meskipun nama, syarahan dan kata-kata nasihat Ustaz Azhar Idrus sangat popular, selalu dirujuk dan sering diperkatakan di Facebook, begitu juga dengan nama dan kata-kata nasihat Imam Muda, aku tidak begitu 'ambil pusing' tentang mereka sebelum ini.

Kecenderunganku mula berputik sejak adikku berbicara dan berkongsi tentang Ustaz Azhar Idrus sehari dua yang lalu.

Aku tidak menyangka adikku yang berada di Singapura turut mengikuti syarahan Ustaz Azhar Idrus sedangkan rangkaian rakan-rakannya tidak seperti aku yang terdiri daripada ramai rakan dari Malaysia yang tentunya kukenali menerusi Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Inilah yang dikatakan 'dakwah zaman IT'.

Youtube merupakan salah satu wadah yang berkesan dalam menyampaikan dakwah Islam hanya dengan gerakan jari-jemari di atas papan kunci atau tetikus yang mampu membawa sesiapa sahaja ke mana-mana menerusi skrin yang memaparkan sekian banyak klip video dakwah.

Alhamdulillah.

Aku pula mula cenderung untuk mengambil tahu dan mengikuti tentang Imam Muda apabila berpeluang mendengar secara langsung kuliah Imam Muda Fakhrul semasa mengikuti program 'Brotherhood Muslim Camp 2012' di Hulu Langat, Selangor pada 21 dan 22 Januari lalu.

Boleh dikatakan aku ketinggalan zaman.

Demi memperolehi ilmu santapan jiwa, moga ruang dan peluang masih ada untukku.

No comments:

Post a Comment