Thursday, January 26, 2012

Pendakian Bukit Broga (I)

23 dan 24 Disember 2011 (Jumaat dan Sabtu) merupakan tarikh perancangan sebuah program yang 'simple' tetapi bermakna.

Persiapan terakhir seperti menyediakan keperluan yang perlu dimasukkan ke dalam beg dilakukan pada hari Jumaat itu sendiri.

Setahu aku, pada jam 12.00 tengah malam, aku perlu menunggu di bawah untuk dijemput dengan kereta.

Seperti biasa, aku terlewat lebih kurang 10 minit.

Akhir kalam, sebenarnya, kami perlu berkumpul pada jam 12.30 tengah malam.

Bererti program ini bukanlah pada 23 Disember (Jumaat) kerana sekalipun bertolak pada jam 12.00 tengah malam, tetap tarikh sudah mencecah 24 Disember (Sabtu).

Oleh sebab belum tidur, dirasakan kami masih berada dalam 23 Disember.

Walau apa pun, program yang 'simple' ini adalah program pendakian Bukit Broga bersama adik-adik yang majoriti terdiri daripada adik-adik lelaki.

Adik-adik perempuan ialah Nazurah, Syamimi, Shahida dan Azimah.

Manakala adik-adik lelaki ialah Abu Bakar, Edi Farid, Abdul Rahman, Awg Azhar, Ideris, Zakaria, Redzuan, Rashid, Maarof dan Azlizam.

Kami 15 orang ke tapak Bukit Broga dengan 3 buah kereta yang disewa.

Pendakian yang bermula pada jam 3.30 pagi (jika tidak silap) telah diketuai oleh Abdul Rahman dan Ideris yang sememangnya berpengalaman dalam pendakian.

Apatah lagi, mereka berdua adalah anggota PALAPES.

Pendakian ini dimulakan dengan senaman ringkas dan diikuti dengan doa.

Alhamdulillah.

Pendakian yang melelahkan tetapi menyeronokkan maklumlah... bilakah kali terakhir aku mendaki?

Pengalaman yang kuhargai sebenarnya.

Pertama kali dalam sebuah program di luar Universiti Malaya bersama dengan Adik Shahida dan Adik Azimah yang kukenali tetapi tidak secara dekat.

Mereka berdua juga merupakan anggota PALAPES dan ternyata mempunyai kekuatan fizikal dan mental dalam pendakian ini.

Alhamdulillah.

Kedua-dua Adik Shahida dan Adik Azimah memberi sokongan fizikal dan mental kepadaku yang nyata tidak begitu lasak seperti mereka.

Pendakian dalam kegelapan sebenarnya membimbangkan kerana aku tidak tahu bahaya apa dan bagaimana yang boleh menimpa kami.

Sejujurnya, aku tidak akan melakukan sebarang pendakian lagi dalam keadaan gelap seperti ini pada masa hadapan kerana membimbangkan keselamatan setiap daripada kami.

Namun, pengalaman Abdul Rahman dan Ideris, serta pendakian yang diiringi dengan lampu cahaya suluh (yang tidak begitu terang) menjadikan aku lebih berkeyakinan.

Betapa aku sedar bahawa kita sebenarnya sangat memerlukan cahaya untuk meneruskan pendakian dalam kegelapan bahkan sepanjang perjalanan dalam kehidupan ini.

Alhamdulillah.

Kami tiba di puncak Bukit Broga yang setinggi 400 meter itu pada jam 5.00 pagi (jika tidak silap).

Adik-adik lelaki yang bersolat Subuh secara berjemaah di puncak bukit dalam keadaan gelap telah meninggalkan kenangan yang indah.

Kedengaran perbualan dua tiga orang pemuda lain yang menyedari bahawa adik-adikku sedang bersolat dan salah seorang daripada mereka menyatakan bahawa dia tidak tahu membaca doa Qunut (jika tidak silap).

Semoga Allah s.w.t memimpin mereka untuk menjadi hamba-hamba Allah yang tahu bersolat dan taat mendirikan solat di mana sahaja mereka berada.

Semoga adik-adikku ini sentiasa berada dalam perlindungan Allah s.w.t kerana mereka merupakan generasi pemimpin pada masa hadapan.

Andai di puncak bukit, pencipta Bukit Broga ini tidak dilupakan, aku yakin adik-adikku yang baik ini menjadi generasi yang bukan sahaja dapat menawan puncak bukit bahkan mampu menawan puncak menara gading dalam segala bidang yang diceburi.

Terkenang zaman dahulu apabila rakan-rakan yang mengelilingiku adalah rakan-rakan yang tidak menjaga solat apatah lagi menjaga syariat.

Pada waktu itu, aku berada di antara dua persimpangan.

Antara prinsip diri dengan pengaruh suasana.

Berbalik kepada pendakian Bukit Broga yang telah dicetuskan oleh Abu Bakar, pendakian ini merupakan satu pencapaian bagiku memandangkan usiaku telah pun mencecah angka tiga dan setelah sekian lama aku tidak mendaki, aku kembali mendaki.

Gunung Ledang pernah ditawan suatu masa dahulu ketika usiaku 20-an tahun.

Awal 20-an seingatku iaitu lebih kurang usia adik-adikku sekarang.

Program yang 'simple' dan bermakna.

Berikut merupakan sebahagian daripada gambar-gambar yang telah sempat dipetik semasa berada di puncak Bukit Broga.






No comments:

Post a Comment