Sunday, February 13, 2011

Warkah Cinta: Surah Al Qadr

Tersentuh nurani ini mendengar kelembutan alunan tiga suara.

Suara seorang lelaki mendidik seorang anak kecil membaca surah Al Qadr (surah Lailatul Qadr).

Suara seorang anak kecil (barangkali perempuan) mengikut sama membaca surah Al Qadr (surah Lailatul Qadr).

Suara wanita-wanita menasyidkan secara harmoni surah Al Qadr (surah Lailatul Qadr).

Suara-suara yang indah membelai nurani.

Suara-suara itu jugalah yang telah dijadikan alat untuk mendidik dan menjinakkan jiwa-jiwa kepada Pemilik suara dan surah itu sendiri.

Lirik nasyid ini indah dan sempurna kerana mengandungi warkah cinta daripada Pemiliknya iaitu surah Al Qadr.

Melodi nasyid ini pula ternyata menenangkan jiwa.

Seandainya tetamu Nurani Nurain ingin dibelai dengan lagu yang indah ini, silalah ke

http://mawaddah.com.my/world/

Di bahagian kanan lelaman itu terdapat Mawaddah Music Box.

Sila pilih lagu yang kelapan iaitu Lailatul Qadr.

Keindahan seni suara dan muzik yang ternyata menyentuh nurani dan BEST.

Lagu-lagu lain seperti Rabiul Awal dan Patut Bersyukur pun best.

:) Nikmatilah.

Saturday, February 5, 2011

Nak Citer Ni: Bergambarlah

Rindu kepada mereka bertamu di hati apabila melihat gambar mereka.

Mereka yang dimaksudkan adalah si cilik iaitu anak-anak muridku sewaktu aku menjadi seorang guru bahasa Melayu.

Alhamdulillah, seronok sangat apabila hard disk aku telah dipulihkan dari serangan virus yang cukup menstreskan aku semester lepas. Virus tu pun aku perolehi dari Facebook semester lepas. Menyerang laptop. Menjejas thumb drive. Kemudian, menyerang hard disk kerana aku yang kurang bijak ni telah bertindak dalam cemas. Akhirnya, menjejas desktop di rumah. Itupun sekali lagi kerana aku yang kurang cerdik ni telah bertindak kerana kurang sabar.

Alhamdulillah, laptop aku telah dipulihkan dengan bantuan computer expert di Singapura. Manakala thumb drive aku telah aku re-format sendiri. Minggu cuti ni iaitu pada hari Rabu, aku telah ke API untuk mendapatkan khidmat merawat hard diskku yang telah tenat. Alhamdulillah, pulih! RM 5 sahaja upahnya. Padahal aku ada lah stres dan sangat stres semenjak semester lepas dek segala virus yang menyerang kesemua gadgetku.

Sekarang, cuma tinggal desktop di rumah yang perlu dipulihkan. Andai ada kesempatan dan masa, harus aku usahakan merawat desktop tu kerana Anti Virus 2011 (Norton) sudah pun ada dalam tangan. Yang belum ialah save mana-mana fail yang penting dan re-format.

Oleh sebab aku dah boleh gunakan hard disk aku dengan selamat, apa lagi aku pun rujuk fail-fail dan gambar-gambar yang terkandung dalam hard diskku tu.

Hatiku dicengkam rindu. Rindu kepada mereka yang jauh di mata.

Apa tak nya. Dah lebih setahun setengah berpisah.

Melihat gambar mereka, aku teringat kenangan lalu dan suasana bersama mereka. Keletah mereka. Peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara aku dengan mereka. Jiwaku dicengkam rindu.

Melihat gambar mereka mengubat rindu. Kini, aku sedar bahawa gambar penting padahal aku bukanlah seseorang yang suka bergambar dan boleh dikatakan tidak minat bergambar. Mengambil gambar orang pun tak suka atau tak minat. Bahkan, aku rasa macam rimas sangat apabila orang asyik bergambar. Sangat rimas.

Aku rasa aku dah sedar sekarang bahawa gambar penting. Gambar merakam peristiwa tertentu yang akan menjadi kenangan pada masa akan datang atau suatu hari nanti.

Selama ni, aku memang minat videografi kerana aku lebih suka merakam kelakuan. Mungkin gambar tidak se'authentic' video tetapi gambar tetap penting. Dah tiga kali aku sebut gambar penting. Ahakz.

Aku rasa budaya berFacebook telah mendedahkan aku kepada budaya bergambar dan sekaligus mempengaruhi mindaku di bawah sedar. Aku rasa juga apabila aku berada di UM iaitu pengalaman pertama berjauhan dari negara sendiri selama bertahun-tahun telah memotivasikan aku kepada budaya bergambar. Aku rasa apabila melihat gambar-gambar yang lalu juga, hatiku semacam terisi dengan kenangan. Hmmm.... jadi aku dah sedar gambar tu penting.

Bergambarlah selagi ada peluang bergambar. Mungkin aku pun tidaklah menjadi seseorang yang akan suka atau minat bergambar tetapi sekurang-kurangnya, bergambarlah andai ada peluang.

OK. Lihatlah gambar-gambar yang ada ni. Terkilan juga sebab tak banyak tapi sekurang-kurangnya ada. Gambar mereka tanpa aku kerana alkisahnya, aku memang tak suka dan tak minat bergambar.


Gabungan kelas 2F, 2G, 2H dan 2I untuk kelas bahasa Melayu dalam tahun 2008.

Di kolong bangunan sekolah. Di sinilah mereka berhimpun selepas waktu makan. Di sinilah tempatnya juga aktiviti luar darjah boleh dijalankan.

Majoriti kelas ini adalah pelajar lelaki. Memang riuh dan mereka penuh dengan tenaga. Eloklah kelas mereka pada awal waktu kerana pada waktu itu, guru masih bertenaga. Huhuhuhuhu.

Jika tidak silap, Danial namanya. Dengar cakap. Budak baik.

Inilah calon menantuku. Eh, bukan. Ahakz. Inilah ketua darjahku. Romie. Sangat rajin. Sangat berdisiplin. Sangat boleh diharap. Tapi dia perasa orangnya. Jika dimarah sedikit pun, akan mudah mengalirkan air mata. (Itu tanda dia romantik. Hehehehe.) Jadi tak payahlah marah dia. Tenung dan jeling dah cukup. Ahakz. 

Nama dia Alif. Seperti Romie, dia juga sangat rajin. Sangat berdisiplin. Sangat boleh diharap. Ciri kepimpinannya lebih menyerlah. Dia berani berterus-terang tentang apa yang dia fikir. Tegas tapi tidak garang. Matang. Sengaja aku gandingkan dia dengan Romie untuk membantu ketua darjahku agar kelembutan jiwa Romie dapat diperkukuhkan. Ahakz.


Friday, February 4, 2011

Nukilan Nurani 5: Pemerolehan Bahasa Dan Bahasa Antara

Post ini adalah nukilan daripada Bab 1 iaitu halaman 1 hingga 2 dalam buku 'Bahasa Antara' tulisan Dr Puteri Roslina Abdul Wahid.

'Kajian pemerolehan bahasa merupakan satu bidang dalam ilmu bahasa yang melihat bagaimana manusia memperoleh pengetahuan tentang tatabahasa yang merangkum fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik berserta rumus-rumus yang menentukan kemampuan bercakap dan memahami sesuatu bahasa yang didedahkan kepada mereka. Proses pemerolehan bahasa bermula daripada satu tahap mental semasa kanak-kanak tidak memiliki pengetahuan tatabahasa dalam sesuatu bahasa sehinggalah semakin meningkat pengetahuan mereka sesuai dengan tahap mental kanak-kanak tersebut memilikinya.'


Ezuwan. Pelajar yang dengar cakap. Wajahnya yang comel dan senyumannya yang manis menggembirakanku setiap kali memandangnya.



'Pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak dapat dikatakan mempunyai ciri kesinambungan yang bergerak daripada ujaran satu kata yang sederhana menuju kepada gabungan kata yang lebih rumit. Terdapat berbagai-bagai jenis istilah untuk menerangkan gejala pemerolehan bahasa yang dapat dilihat, iaitu pertama dari segi jenis, kedua urutan, ketiga jumlah, keempat media, dan akhirnya keaslian. Seandainya kita melihat pemerolehan bahasa dari segi jenis, pertama, kita akan menemui istilah pemerolehan bahasa pertama (first language acquisition); kedua, pemerolehan bahasa kedua (second language acquisition); dan ketiga, pemerolehan bahasa berulang (recurrent language acquisition) (istilah Klein, 1986: 3).'

Hisam. Secomel Ezuwan. Pelajar yang ceria tetapi pernah mengalirkan air mata di dalam kelas setelah dimarahi guru Matematiknya. Huhuhuhuhuhu. Tetap comel.



'Kedua, apabila pemerolehan bahasa dilihat dari segi urutan, kita akan menemui  istilah pemerolehan bahasa pertama dan pemerolehan bahasa kedua (istilah Winitz, 1981 dan istilah Stevens, 1984) digunakan. Ketiga, jika dilihat dari aspek jumlah pula, kita akan menemui istilah pemerolehan satu bahasa (monolingual acquisition) dan pemerolehan bahasa kedua (bilingual acquisition) (istilah Garcia, 1985). Keempat, dilihat dari segi media, terdapat pemerolehan bahasa lisan (oral language acquisition) dan pemerolehan bahasa tulisan (written language acquisition). Kelima, dilihat dari segi keaslian pula, terdapat dua bentuk, iaitu pemerolehan bahasa asli (native language acquisition) dan pemerolehan bahasa asing (foreign language acquisition) (istilah Winitz, 1981).'




Pelajar lelaki ini bernama Ahmad Danial Matiin. Boleh panggil Ahmad. Boleh panggil Danial. Boleh panggil Matiin. Ahakz. Manakala pelajar perempuan ini pula bernama Hardillah. Tempoh hari semasa aku di ATM berhampiran rumah, aku ternampak dia bersama ibunya tetapi aku tidak pula menegurnya kerana fikiran sedang full-loaded pada waktu itu dan dia pun tidak perasan yang aku di belakangnya.



'Walaupun terdapat  beberapa istilah yang berbeza berdasarkan penjenisan di atas, tetapi dari segi pengertian, tidak jauh bezanya antara istilah-istilah tersebut malah ada yang boleh saling bertukar ganti, misalnya, antara istilah pemerolehan bahasa pertama dengan istilah pemerolehan bahasa asli, atau antara istilah pemerolehan bahasa kedua dengan istilah pemerolehan bahasa asing.'

  
Ahmad Danial Matiin mengujarkan perkataan pada kad imbasan pilihannya manakala Hardilah memberi respon dengan jarinya menunjuk ke arah dagunya. 



'Pemerolehan bahasa membawa makna penguasaan bahasa oleh seseorang secara tidak langsung dan berlaku secara aktif bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga enam tahun. Namun demikian pemerolehan bahasa juga berlaku bagi orang dewasa tetapi jumlahnya tidaklah sebanyak kanak-kanak. (Krashen dan Tarrel, 1983: 18-19). Pemerolehan bahasa boleh berlaku tanpa disedari atau dipelajari secara langsung. Hal ini bermakna seseorang itu tidak perlu mendapat pendidikan formal untuk mempelajari sesuatu bahasa tetapi memperolehnya daripada bahasa yang diucapkan oleh ahli-ahli masyarakatt dalam lingkungannya.'

Gabungan kelas 1E, 1F dan 1G dalam kelas bahasa Melayu terdiri daripada 22  orang murid yang tentunya baik-baik belaka, comel dan innocent.


2008 dalam kenangan ketika mengajar mereka tentang 'Diri Kita'. Sebaliknya, mereka banyak mengajar aku tentang diriku sendiri.

Tuesday, February 1, 2011

Nukilan Nurani 4: Bahasa Antara

'Bahasa antara, iaitu bahasa  yang tidak tergolong dalam bahasa pertama, dan yang tidak juga tergolong dalam bahasa kedua tetapi bahasa ini berada antara kedua-dua bahasa tersebut. Bahasa antara diucapkan secara spontan, bermakna, dan bersistem serta mempunyai peraturannya yang tersendiri.

Penulis cuba memperlihatkan bahawa hipotesis bahasa antara Selinker boleh diluaskan kepada suasana pemerolehan bahasa kedua kanak-kanak prasekolah dengan ketiadaan teman sebaya yang merupakan penutur bahasa sasar. Berdasarkan kerangka tersebut, penulis menganalisis proses pemerolehan melalui bahasa antara yang dihasilkan oleh kanak-kanak prasekolah. Penulis telah juga menganalisis kesilapan berulang, peraturan bahasa yang dibentuk oleh kanak-kanak prasekolah, pengaruh bahasa ibunda dan juga persekitaran linguistik.

Penulis mengumpulkan tiga bentuk data iaitu melalui soal selidik, rakaman audio dan video, dan pemerhatian ke atas 47 orang kanak-kanak prasekolah di dalam sebuah tadika. Data tersebut dianalisis menggunakan kerangka teoritikal Selinker. Satu rumusan yang dapat dibuat terhadap hipotesis Selinker ini adalah hipotesis ini dapat diperluas kepada pemerolehan bahasa kedua kanak-kanak prasekolah. Kesilapan yang paling biasa dilakukan ialah penandaan kala kini dan kala lampau, salah guna penanda jamak, kata ganti milik, kata ganti diri, dan penghilangan artikel. Kajian ini mendapati bahawa persekitaran linguistik juga mempengaruhi penghasilan bahasa antara.

Buku ini diharapkan dapat membantu pelajar, pengkaji bahasa, dan guru bahasa memahami konsep bahasa antara dalam pemerolehan bahasa kedua. Dapatan kajian ini boleh dijadikan landasan bagi kajian selanjutnya dan juga pengetahun tentang bahasa antara akan melengkapkan guru dengan wawasan penyediaan bahan pengajaran yang sesuai. Semoga buku ini dapat menambah khazanah ilmu dalam bahasa Melayu dan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Amin.'

Dinukil daripada bahagian Pendahuluan dalam buku Bahasa Antara tulisan Puteri Roslina Abdul Wahid


'Bahasa antara atau dalam bahasa Inggeris dikenal sebagai 'inter language' merupakan istilah yang kerap digunakan dalam kajian pemerolehan bahasa kedua. Selinker (1972) mencipta istilah ini untuk merujuk kepada bahasa transisi yang biasa lahir daripada persekitaran pemerolehan bahasa kanak-kanak secara urutan (successive acquisition) dengan variabel sosiolinguistik utamanya ialah ketidakhadiran rakan sebaya yang merupakan penutur asli bahasa sasar dan sekiranya pemerolehan tersebut tidak dikawal selia, sistem bahasa tersebut akan berkembang menjadi dialek dalam bentuknya tersendiri.

Pengkaji lain pula merujuk kepada bahasa antara sebagai 'devian bahasa kedua' atau 'kecekapan transisional' atau 'sistem aproksimatif' (istilah Nemser, 1971). Ellis (1985) pula menghuraikan bahasa antara sebagai pengetahuan bahasa kedua yang sistematik dan bebas daripada bahasa pertama dan bahasa kedua. Beliau menarik perhatian pengkaji lain dengan menekankan bahawa istilah bahasa antara digunakan secara berbeza tetapi mempunyai perkaitan makna. Menurut beliau, istilah tersebut digunakan,

"... (1) untuk merujuk kepada siri-siri sistem saling kait yang mencirikan pemerolehan, (2) untuk merujuk kepada sistem yang diperhatikan pada satu tahap perkembangan bahasa (yakni bahasa antara), dan untuk merujuk kepada satu bentuk bahasa gabungan antara bahasa ibunda dan bahasa sasar (misalnya bahasa ibunda bahasa Perancis / bahasa sasar bahasa Inggeris vs bahasa ibunda bahasa Jerman / bahasa sasar bahasa Inggeris". (Ellis, 1985: 299)

Dalam kajian ini, penulis mendefinisikan bahasa antara sebagai bahasa yang tidak tergolong dalam bahasa pertama dan tidak juga tergolong dalam bahasa kedua, dan bahasa ini berada di antara kedua-dua bahasa tersebut. Bentuk bahasa antara merupakan sesuatu yang spontan, bermakna dan sistematik serta mempunyai peraturan tersendiri. Pemerolehan berlaku tanpa kehadiran penutur asli bahasa kedua. Kajian ini akan melihat bagaimana kanak-kanak dalam pemerolehan bahasa kedua membentuk satu bentuk bahasa iaitu bahasa antara.

Bahasa bagi kanak-kanak merupakan lebih daripada kata-kata yang diujarkan, dibaca atau didengar. Bahasa memungkinkan seorang kanak-kanak mengabstrak kata, mengawal emosi dan bertindak secara moral. Bahasa merupakan alat untuk mendapat dan memberi kasih sayang. Bahasa juga ialah untingan tali yang menghubungkan kanak-kanak dengan orang lain. Menurut Halliday,

"... dalam proses perkembangan kanak-kanak sebagai makhluk sosial, bahasa memainkan peranan utama. Bahasa merupakan saluran bagi pola kehidupan dipindahkan, yang membolehkan kanak-kanak belajar untuk bertindak sebagai anggota sesebuah 'masyarakat', ragam fikiran dan perbuatan, kepercayaan dan nilai - dalam dan melalui pelbagai kumpulan sosial - dan juga menyesuaikan diri dengan 'budaya', ragam fikiran dan perbuatan, kepercayaan dan nilai... semua ini berlaku melalui satu wadah, iaitu bahasa". (1978: 9)

Bahasa merupakan teras dalam perkembangan kanak-kanak kerana bahasa memungkinkan kanak-kanak berkomunikasi dan memahami butiran dalam kehidupan sehari-hari. Apabila seseorang kanak-kanak bertutur, mendengar, membaca, dan menulis, dia sudah dianggap mempunyai kunci kepada ilmu pengetahuan dan berpeluang meneroka peradaban manusia dengan sendirian. Namun demikian, sebelum seseorang kanak-kanak berpeluang untuk berbuat demikian, dia mestilah mempunyai panduan untuk meneroka bahasa terlebih dahulu. Pengalaman yang dialami oleh kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran yang memberikan input awal kepada pemerolehan bahasa khususnya dalam keluarga ataupun dalam asuhan penjaga.'

Dinukil daripada Bab 1 dalam buku Bahasa Antara tulisan Puteri Roslina Abdul Wahid