Saturday, May 28, 2011

Cuti-Cuti Malaysia: Masjid Ubudiah & Masjid Kristal

Pada 4 hingga 6 Mac 2011 yang lalu, Kuala Kangsar yang terletak di Perak telah aku kunjungi. Antara tempat yang aku singgahi pada hari Sabtu itu bersamaan dengan 5 Mac ialah Masjid Ubudiah. Setibanya kami di sana, masuklah waktu solat Asar. Sesudah kawan-kawan menunaikan solat Asar, kami bergambar. Berikut ialah gambar-gambar yang dipetik melalui lensa kamera digital Siti Mardia.







Pada 21 dan 22 Mei 2011 pula, Kuala Terengganu yang terletak di Terengganu telah aku kunjungi. Antara tempat yang aku singgahi pada hari Ahad itu bersamaan dengan 22 Mei ialah Masjid Kristal. Kami tiba di sana sebelum tengah hari. Keluasan Masjid Kristal tidak begitu besar tetapi perkarangan masjid itu boleh dikatakan luas dan indah. Kami bergambar dalam panas terik. Memandangkan aku begitu teruja untuk merakamkan gambar masjid ini, kamera telefon bimbitku telah aku gunakan kerana memori pada kamera telefon bimbit Adik Jamilah sudah penuh. Adik Jamilah telah membantu memuat turun gambar-gambar ini daripada kamera telefon bimbitku ke dalam komputer ribaku. Betapa aku gembira dengan 'hasilnya' kerana kualiti gambar yang terakam boleh dikatakan jelas dan terang. Kunjungan ke Masjid Kristal telah membuka peluang kamera telefon bimbitku dimanfaatkan sedangkan sebelum ini, aku selalu mengadu betapa aku tidak 'serasi' dengan telefon bimbitku. Berikut ialah gambar-gambar yang dipetik melalui lensa telefon bimbitku.








Thursday, May 19, 2011

Novel Cuti Semester

Pada cuti semester kali ini iaitu cuti semester keempat, dua buah novel telah menjadi pilihan.

Pilihan pertama ialah Sinergi yang ditulis oleh Hilal Asyraf.

Manakala, pilihan kedua ialah Lentera Mustika yang ditulis oleh Nisah Haron.

Sinergi telah aku perolehi pada 5 November 2010 dan sehingga kini, pembacaanku belum lagi selesai kerana sejujurnya, novel itu memang bagus tetapi tidak mempunyai kuasa besi semberani yang mampu menarik perhatian.

Namun, aku harus menyelesaikan pembacaan novel ini.

Buat masa sekarang, aku sedang membaca Cerita 14: muka surat 193 daripada novel Sinergi.



Manakala Lentera Mustika merupakan novel terbaharu yang kuperolehi pada 8 Februari 2011.

Pembacaanku bermula semalam semenjak pengecas komputer ribaku tidak lagi berfungsi.

Sebelum ini, pengecas komputer ribaku telah 'nazak' untuk dua tiga hari.

Akhirnya, pengecas komputer ribaku menemui 'ajal'nya.

Lantas, apa yang mampu kulakukan dalam kebosanan tanpa komputer riba adalah membaca dua buah novel silih berganti pada satu masa.

Sebenarnya, keistimewaan Lentera Mustika telah aku terokai lama sebelum tahun ini ketika aku membaca sebahagian daripada novel ini yang tersiar dalam majalah Aniqah.

Sebelum berbentuk sebuah novel, penulisan ini merupakan penulisan bersiri yang dimuatkan dalam salah satu ruang penulisan kreatif dalam majalah Aniqah.

Aku tertarik dengan penulisan itu meskipun pembacaanku hanya untuk satu siri itu sahaja.

Pada waktu itu, penulisan bersiri itu diberi tajuk 'Kalau Tuan Mudik Ke Hulu'.

Buat masa sekarang, aku sedang membaca Bab 3: muka surat 36 daripada novel Lentera Mustika.



Jom berSinergi dan berLentera Mustika bersamaku!

Sunday, May 8, 2011

Kali Pertama Aku Mengundi

7 Mei 2011 merupakan tarikh pilihan raya di Singapura.

Sekali gus merupakan kali pertama bagi aku mengundi calon wakil rakyat bagi kawasan undiku iaitu kawasan undi Aljunied.

Gembira, bangga dan lega.

Alhamdulillah.

Proses mengundi berlaku dengan efisien sekali.

Segalanya selesai dalam masa 15 minit meskipun aku serta-merta dipanah rasa malas apabila melihat barisan manusia sedang beratur.

Meskipun panjang barisan itu tetapi setelah aku diurus dan diarah ke sana ke situ ke mari.... akhirnya tiba juga di tempat memangkah.

Efisien sungguh proses mengundi.

Syabas!

Pada tahun 1991, aku telah didedahkan kepada konsep dan suasana mengundi calon wakil rakyat.

Pada waktu itu, kawasan undiku hampir ditawan parti pembangkang.

Semenjak itu, tahun demi tahun, kawasan undiku menang tanpa bertanding.

Strategi!

20 tahun sudah berlalu.

Kini pada tahun 2011, aku berpeluang menikmati hak mengundi.

InsyaAllah, parti pembangkang ada harapan untuk menang.

Namun, segalanya masih belum pasti.

Walau bagaimanapun, aku telah menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang rakyat yang baik.

Ahakz.

Rakyat yang baik sehinggakan aku telah membina impian untuk bermastautin di negara lain.

:)

Thursday, May 5, 2011

Joget Gamelan (Riau Lingga, Pahang dan Terengganu)

Joget Gamelan telah wujud di istana Riau Lingga sejak abad ke-17 lagi. Tarian ini dikatakan telah dipentaskan buat pertama kalinya di Pekan, Pahang pada 1811. Pada ketika itu, Joget Gamelan dipersembahkan untuk meraikan majlis perkahwinan Tengku Hussein (keluarga diraja Riau Lingga) dengan Wan Esah (keluarga bendahara negeri Pahang).

Aku teringat tentang dua peristiwa dalam sejarah yang penting apabila membaca artikel yang di atas. Pertama, ketiadaan Tengku Hussein iaitu abang sulung kepada Tengku Abdul Rahman ketika mangkatnya ayah baginda hingga Tengku Abdul Rahman dilantik menjadi Sultan. Kedua, kisah yang diungkapkan oleh seorang pegawai di Muzium Istana Kampong Gelam tentang ketiadaan Tengku Hussein pada waktu itu kerana berada di Pahang untuk upacara perkahwinannya.

Perkara pertama telah terakam dalam buku teks menengah tiga ketika aku mempelajarinya untuk mata pelajaran Sejarah manakala perkara kedua hanya aku ketahui ketika menemuramah pegawai itu semester lalu untuk tugasan seni bina.

Malam ini, Alhamdulillah, maklumat yang pernah aku perolehi suatu masa dahulu dan semester lalu berkait rapat dengan maklumat yang aku perolehi pagi ini. Namun, kali ini adalah dari aspek tradisi kesenian istana khususnya Joget Gamelan.

Meskipun aku bukanlah seseorang yang meminati bahkan seboleh mungkin cuba mengelakkan diri daripada terlibat dengan tarian, namun aku suka memerhatikan atau barang kali menghargai seni tarian. Tarian seperti Joget Gamelan adalah warisan tradisi kesenian yang perlu dikaji kerana menjadi identiti masyarakat Melayu suatu masa dahulu.

Demi ilmu dan pengajian, aku berharap aku dapat memahami perkara yang perlu aku fahami. :)

Pada tahun 1912, Joget Gamelan tidak lagi dipentaskan kerana sultan Raja Lingga yang terakhir telah turun daripada takhta. Tekanan daripada pihak Belanda memberi dampak kepada kesenian istana Joget Gamelan. Sultan yang baru pula enggan menaungi pemain dan penari Joget Gamelan.

Tengku Mariam iaitu anak perempuan Raja Pahang merupakan penari yang mahir dalam Joget Gamelan. Pada tahun 1913, Tengku Sulaiman dari Terengganu berkahwin dengan Tengku Mariam dari Pahang. Lantas, pasangan suami isteri ini telah memasyhurkan Joget Gamelan di Terengganu dan memperkembangkan serta menaungi tradisi kesenian Joget Gamelan hingga tahun 1942.

Begitulah sedikit ringkasan tentang Joget Gamelan yang berasal dari Riau-Lingga. Kemudian, dipersembahkan dan digiatkan di Pahang, hasil daripada perkahwinan antara keluarga diraja Riau-Lingga dengan keluarga bendahara Pahang. Akhir sekali, dipersembahkan dan digiatkan di Terengganu, sekali lagi hasil daripada perkahwinan keluarga diraja Pahang dan Terengganu.

Buat kali ini, sampai di sini sahaja tentang tradisi kesenian Joget Gamelan. :)

Monday, May 2, 2011

Contoh Soalan Peperiksaan: Modul Analisis Bezaan Dan Analisis Kesilapan Bahasa Melayu

Contoh pertama:

1. Bezakan kesalahan (mistakes) dan kesilapan (errors); langue dan parole; sinkronik dan diakronik; preskriptif linguistik dan deskriptif linguistik; kecekapan (competence) dan pelaksanaan (performance). [15 markah]

2. Huraikan lima kaedah dalam pengumpulan korpus kajian analisis kesalahan bahasa. [15 markah]

3. Berikan tiga kritikan terhadap analisis bezaan. [15 markah]

4. Jelaskan lima tahap yang dikemukakan oleh Palmberg (1980) dalam menganalisis kesilapan bahasa. [15 markah]


Contoh kedua:

1. Bezakan kesalahan (mistakes) dan kesilapan (errors); kecekapan (competence) dan pelaksanaan (performance). [6 markah]

2. Huraikan dua perkara utama dalam andaian versi kuat analisis bezaan. [6 markah]

3. Jelaskan dua kritikan terhadap analisis bezaan. [6 markah]

4. Bincangkan dua masalah yang dihadapi oleh seorang pengkaji dalam kajian analisis bezaan apabila membuat perbandingan dua bahasa secara selari. [6 markah]

5. Nyatakan fungsi utama analisis bezaan dan huraikan aspek linguistik serta psikologi dalam kajian analisis bezaan. [6 markah]


Diriku sedang cuba fokus kepada ulang kaji untuk modul Analisis Bezaan Dan Analisis Kesilapan. :) Moga urusan dipermudahkanNya.

 

Sunday, May 1, 2011

Mereka cipta iklan


Iklan 23 Februari 2011 yang memaparkan lima buah novel popular: Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai Ke Syurga, Murabbi Cinta (ketiga-tiganya ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil), Denyut Kasih Medik (ditulis oleh Dr Farhan Hadi) dan Sinergi (ditulis oleh Hilal Asyraf). Sinergi meskipun mempunyai kisah cinta di antara lelaki dan perempuan, namun novel ini lebih memfokuskan tentang persahabatan dua orang teruna dan perpaduan sebuah masyarakat.

Modul Pemasaran Produk Seni telah menerbitkan minat baharu dalam diriku iaitu mereka cipta iklan. Alhamdulillah, gembira, bangga dan puas hati kerana dapat menyumbangkan tenaga dalam bidang yang diminati meskipun terlalu baharu dan sebenarnya masih berjinak-jinak dengan pengiklanan.

Setelah berakhir modul ini dan Cenderawasih tidak lagi terikat secara rasmi dengan komitmen sebagai sebuah kumpulan niaga, minat ini tidak pula terlerai daripada jiwa. Sekadar berehat daripada bidang ini memandangkan peperiksaan sedang berlangsung. Lagipun, tiada apa yang ingin dipasarkan atau perlu dipromosikan. InsyaAllah, akan kembali dengan iklan-iklan akan datang....