Joget Gamelan telah wujud di istana Riau Lingga sejak abad ke-17 lagi. Tarian ini dikatakan telah dipentaskan buat pertama kalinya di Pekan, Pahang pada 1811. Pada ketika itu, Joget Gamelan dipersembahkan untuk meraikan majlis perkahwinan Tengku Hussein (keluarga diraja Riau Lingga) dengan Wan Esah (keluarga bendahara negeri Pahang).
Aku teringat tentang dua peristiwa dalam sejarah yang penting apabila membaca artikel yang di atas. Pertama, ketiadaan Tengku Hussein iaitu abang sulung kepada Tengku Abdul Rahman ketika mangkatnya ayah baginda hingga Tengku Abdul Rahman dilantik menjadi Sultan. Kedua, kisah yang diungkapkan oleh seorang pegawai di Muzium Istana Kampong Gelam tentang ketiadaan Tengku Hussein pada waktu itu kerana berada di Pahang untuk upacara perkahwinannya.
Perkara pertama telah terakam dalam buku teks menengah tiga ketika aku mempelajarinya untuk mata pelajaran Sejarah manakala perkara kedua hanya aku ketahui ketika menemuramah pegawai itu semester lalu untuk tugasan seni bina.
Malam ini, Alhamdulillah, maklumat yang pernah aku perolehi suatu masa dahulu dan semester lalu berkait rapat dengan maklumat yang aku perolehi pagi ini. Namun, kali ini adalah dari aspek tradisi kesenian istana khususnya Joget Gamelan.
Meskipun aku bukanlah seseorang yang meminati bahkan seboleh mungkin cuba mengelakkan diri daripada terlibat dengan tarian, namun aku suka memerhatikan atau barang kali menghargai seni tarian. Tarian seperti Joget Gamelan adalah warisan tradisi kesenian yang perlu dikaji kerana menjadi identiti masyarakat Melayu suatu masa dahulu.
Demi ilmu dan pengajian, aku berharap aku dapat memahami perkara yang perlu aku fahami. :)
Pada tahun 1912, Joget Gamelan tidak lagi dipentaskan kerana sultan Raja Lingga yang terakhir telah turun daripada takhta. Tekanan daripada pihak Belanda memberi dampak kepada kesenian istana Joget Gamelan. Sultan yang baru pula enggan menaungi pemain dan penari Joget Gamelan.
Tengku Mariam iaitu anak perempuan Raja Pahang merupakan penari yang mahir dalam Joget Gamelan. Pada tahun 1913, Tengku Sulaiman dari Terengganu berkahwin dengan Tengku Mariam dari Pahang. Lantas, pasangan suami isteri ini telah memasyhurkan Joget Gamelan di Terengganu dan memperkembangkan serta menaungi tradisi kesenian Joget Gamelan hingga tahun 1942.
Begitulah sedikit ringkasan tentang Joget Gamelan yang berasal dari Riau-Lingga. Kemudian, dipersembahkan dan digiatkan di Pahang, hasil daripada perkahwinan antara keluarga diraja Riau-Lingga dengan keluarga bendahara Pahang. Akhir sekali, dipersembahkan dan digiatkan di Terengganu, sekali lagi hasil daripada perkahwinan keluarga diraja Pahang dan Terengganu.
Buat kali ini, sampai di sini sahaja tentang tradisi kesenian Joget Gamelan. :)
No comments:
Post a Comment