Monday, July 30, 2012

Empat Musim: Musim Sejuk, Musim Bunga, Musim Panas & Musim Luruh

Isabella adalah kisah cinta dua dunia
Mengapa kita berjumpa namun akhirnya terpisah
Siang jadi hilang ditelan kegelapan malam
Alam yang terpisah melenyapkan sebuah kisah


Terbayang lambaiannya
Salju terbakar kehangatan
Dunia dipenuhi warna berseri bunga cinta
Kita yang terlena hingga musim berubah
Mentari menyepi
Bernyalalah api cinta

Dia Isabella
Lambang cinta yang lara
Terpisah kerana adat yang berbeza
Cinta gugur bersama daun-daun kekeringan


Dia Isabella
Lambang cinta yang lara
Terpisah kerana adat yang berbeza
Cinta gugur bersama daun-daun kekeringan


Haluan hidupku terpisah dengan Isabella
Tapi aku terpaksa demi cintaku Isabella

Moga dibukakan pintu hatimu untukku
Akan terbentang jalan andainya kau setia
Oh Isabella...


(Salah seorang pelajar lelaki dari Menengah 1 Ekspres iaitu Danial telah meminta lagu Isabella dimainkan di dalam kelas kerana pada waktu itu, aku berhasrat untuk merehatkan mereka. Apatah lagi, aku kurang sihat. Memenuhi hasrat pelajar adalah satu keperluan sebenarnya kerana pada waktu itu, aku berpeluang mengenali mereka. Mengambil tahu minat mereka melalui lagu pilihan mereka adalah salah satu cara untuk mengenali mereka.

Setelah lagu Isabella diperdengarkan, aku minta mereka nyatakan suara hati mereka. Pemikiran atau perasaan mereka tentang lagu atau lirik lagu Isabella. :)

Aku mengambil peluang berkongsi pengetahuan tentang empat musim iaitu musim sejuk, musim bunga, musim panas dan musim luruh yang digambarkan dalam lirik lagu ini. Pemerian tentang empat musim ini pernah dinyatakan sendiri oleh Bob Lukman suatu masa dahulu memandangkan beliau merupakan penulis lirik dan penggubah lagu Isabella. Hingga kini aku masih ingati perkongsian beliau tentang perubahan empat musim yang digambarkan melalui lirik lagu Isabella ini. Kreatif dan indah.

Penanda tentang empat musim dalam lirik lagu Isabella adalah seperti berikut. Pertama, dalam 'Salju terbakar kehangatan', perkataan 'salju' menjadi penanda tentang musim sejuk (winter). Kedua, dalam 'Dunia dipenuhi warna berseri bunga cinta' pula, klausa 'dunia dipenuhi warna berseri bunga' dan perkataan 'bunga' itu sendiri menjadi penanda tentang musim bunga (spring). Ketiga, dalam 'Mentari menyepi', perkataan 'mentari' menjadi penanda tentang musim panas (summer). Akhir sekali, dalam 'Cinta gugur bersama daun-daun kekeringan', perkataan 'gugur' dan klausa 'gugur bersama daun-daun kekeringan' menjadi penanda tentang musim luruh (autumn/fall).

Begitulah gambaran tentang keempat-empat musim yang tersulam indah dalam lirik lagu Isabella yang ternyata lagu ini cukup popular pada tahun 1990an...)

Sunday, July 29, 2012

Masih menjejak jalan keluar


Masih menjejak jalan keluar.

Aku sedar betapa mudah aku hilang sabar.

Lantas pada ketika ini aku bermohon agar....

Keyakinanku terhadapMu tidak pudar

Apabila hatiku bertsunami dek ujianmu yang mencabar.

Wahai yang Maha Mendengar.

KepadaMu aku bersandar.

Sunday, July 22, 2012

Iras-iras filem Chori Chori Chupke Chupke tetapi...

Drama berepisod yang sedang aku ikuti di Youtube bertajuk Ameera.



Iras-iras sebuah filem Hindustan yang bertajuk Chori Chori Chupke Chupke yang pernah aku tontoni beberapa tahun lalu.

Watak-watak yang terdapat dalam drama ini ternyata mempunyai masalah psikologi.

Watak utama iaitu Ameera (lakonan Rita Rudaini) tidak aku anggap langsung sebagai watak protagonis.

Begitu juga watak Amir (lakonan Syamsul Yusof) iaitu suami Ameera.

Kedua-dua watak ini mempunyai sebab hingga mereka terpaksa bertindak sebegitu tetapi ternyata kedua-dua watak ini mengundang benci di hatiku sebagai penonton kerana tidak prihatin dan tidak berempati terhadap watak Zila.

Menonton drama berepisod ini boleh dikatakan melelahkan jiwa dan meletihkan emosi kerana setiap watak dalam drama ini seperti tidak mempunyai sifat keinsanan.

Watak-watak yang dimainkan dalam filem Chori Chori Chupke Chupke jauh lebih baik kerana watak hero (yang dimainkan oleh Salman Khan) melayan dengan penuh keinsanan akan watak wanita upahan (yang dimainkan oleh Preity Zinta) untuk menghamilkan dan melahirkan anak bagi watak heroin (yang dimainkan oleh Rani Mukherjee).

Meskipun dalam filem Chori Chori Chupke Chupke, watak hero tidak mencintai watak wanita upahan itu, watak hero tidak memperlihatkan kekasaran dan kekerasan.

Bahkan, watak wanita upahan itu dihormati dan dilindungi.

Dalam drama berepisod Ameera, watak Amir tidak melayan watak Zila dengan baik.

Sebaliknya, watak Amir kasar dan keras terhadap Zila.

Itulah yang mengundang benci di hatiku sebagai penonton.

Nampaknya, jalan cerita sahaja yang seiras tetapi perwatakan watak-watak dalam drama berepisod ini tidak sama dan boleh dikatakan kejam.

Aku merancang tetapi rancangan Tuhan mengatasi rancanganku

Ketika ini, aku berada di dalam bilik C403.

Kolej Kediaman Kesebelas.

Sekali lagi berada di sini sebagai pengunjung.

Bukan lagi seorang mahasiswi.

Bukan lagi penghuni kolej ini melainkan untuk mengambil barang-barang kepunyaanku yang masih ditinggalkan dalam bilik kesayanganku ini.

Bilik yang telah menampung tawa dan air mataku.

Bilik yang telah melindungiku dengan rasa selamat.

Bilik yang cukup berjasa kepadaku selama tiga tahun pengajianku.

Tujuan utama ke Universiti Malaya, khususnya Kolej Kediaman Kesebelas adalah membawa pulang barang-barang yang masih ditinggalkan.

Namun sangat bertepatan dengan takdir dan waktu, aku ke sini untuk merawat hati dan mengubat rindu.

Merawat hati.

Mengubat rindu.

Rancangan bertolak dari Singapura ke Kuala Lumpur adalah pada Jumaat, jam 3.30 petang dengan First Coach.

Namun aku hampa apabila tiket pada jadual yang telah kurancang sudah kehabisan.

Bukan sahaja pada jadual itu tetapi tiket sepanjang hari untuk ke Kuala Lumpur dengan First Coach sama ada dari The Plaza atau Novena Square kehabisan sudah.

Satu tiket pun langsung tidak ada.

Alternatif yang ada hanyalah First Coach dari West Mall ke Subang Jaya sedangkan aku tidak pernah ke West Mall apatah lagi Subang Jaya.

Oleh sebab aku tidak pernah ke West Mall (Singapura) apatah lagi Subang Jaya (Malaysia) yang kedua-duanya kuanggap jauh, akhirnya aku mendapatkan tiket untuk ke Kuala Lumpur pada Sabtu, jam 8.30 pagi.

Oleh sebab aku tidak dapat memperolehi nombor telefon koc Nice melalui lelaman internet mahupun petugas di kaunter First Coach, aku terus ke The Plaza.

Sebenarnya, koc Nice akan bertolak pada jam 5 petang dan itu bererti aku masih berpeluang untuk ke Kuala Lumpur pada Jumaat.

Namun, aku tidak dapat melaksanakan hasratku kerana

(1) bagasiku di rumah

(2) aku telah membuat janji temu dengan Mahirah setelah gagal mendapatkan tiket ke Kuala Lumpur.


Rupa-rupanya dalam kegagalanku merancang, Tuhan yang Maha Perancang telah merancangkan sesuatu untukku.

Sesuatu yang aku perlukan.

Sesuatu yang sangat aku perlukan.

Sesuatu yang disampaikan melalui insan-insan yang diciptakan.

(1) Mr Neo tiba-tiba mendapatkanku untuk menghadiri bengkel atau sesi perkongsian yang pernah disebutnya kelmarin tetapi tidak pernah aku duga akan dijalankan secara spontan pada jam 1 petang. Tanpa berfikir panjang meskipun aku terfikir untuk menolaknya, akhirnya aku hadiri bengkel atau sesi perkongsian itu.


Betapa aku bersyukur. Subhanallah. Ilmu dan pengetahuan yang disampaikan serta pengalaman yang dikongsi oleh Mr Neo tentu ilmu dan pengetahuan milik Allah untuk hatiku ini yang sedang sarat kebingungan. Bingung mengurus emosi sendiri. Bingung mengurus emosi insan-insan bernama pelajar yang perlu kukendalikan.

(2) Kakak kepada Mahirah iaitu seorang yang pernah menjadi kaunselor atau pakar dalam bidang kaunseling telah berborak-borak denganku di balkoni rumahnya. Perbualan kami berlaku tanpa dirancang kerana sebenarnya aku ingin pulang setelah beberapa jam bersama dengan Mahirah. Namun perbualan aku dengan kakak kepada Mahirah yang berlaku tanpa dirancang sangat bermanfaat untukku. Ilmu dan pengetahuan yang disampaikan serta pengalaman yang dikongsi oleh kakak kepada Mahirah ternyata membuka pintu hatiku yang tertutup dan jendela mindaku yang terkatup.

Betapa aku terharu. Subhanallah. Perbualan kami berlanjutan hingga aku terbercerita tentang masalah yang aku hadapi sejak aku kecil, remaja dan dewasa. Berhamburan air mata ini dan mujurlah kakak kepada Mahirah dapat menghadapi situasi itu kerana dia berkemahiran dalam mengendalikan emosi sedangkan inilah pertama kali aku meluahkan perasaanku kepada kakak kepada Mahirah walaupun aku mengenalinya tidak lama. Lebih kurang setahun yang lalu.

Sewaktu aku berbicara dengan kakak kepada Mahirah, emosiku terbelai. Seolah-olah Tuhan sedang berbicara kepadaku iaitu seorang insan yang sedang kekacauan. Malam pertama Ramadhan ini kurasa terpujuk dengan Penciptaku. Apabila kakak kepada Mahirah menyatakan bahawa Tuhan Maha Mengetahui segala perkara yang telah aku lalui, jiwaku yang kacau sebelum ini terasa kian dibuai-buaikan hingga tenang. Emosiku terpujuk.

Terima kasih wahai Penciptaku.

HambaMu yang berdosa ini kerana telah hilang keyakinan kepada sifatMu yang Maha Mengetahui seolah-olah mengerti betapa rancanganku untuk ke Kuala Lumpur pada Jumaat, jam 3 petang tidak terlaksana kerana Engkau telah merancang sesuatu untukku.

Sesuatu yang aku perlukan.

Sesuatu yang amat aku perlukan.

Subhanallah.

Ketika keyakinanku kian rapuh, Engkau kukuhkan semula.

"Tuhan Maha Mengetahui, Nuraini."

Betapa kata-kata itu menusuk tajam ke hatiku dengan panahan ubat pembangkit semangat agar aku dapat meneruskan kehidupanku ini.

Aku rasa diriku difahami oleh kakak kepada Mahirah walaupun pada penghujungnya, aku sebenarnya rasa tertekan apabila aku diminta untuk memaafkan insan-insan tertentu.

Sesuatu daripadaNya untukku melalui Mr Neo sebelum Syaaban melabuhkan tirainya dan sesuatu daripadaNya untukku melalui kakak kepada Mahirah setelah Ramadhan memperlihatkan senyumannya.

Malam pertama Ramadhan di rumah kakak kepada Mahirah adalah anugerah daripadaNya yang Maha Perancang.

"Tuhan Maha Mengetahui, Nuraini."

Friday, July 20, 2012

Sebulan berlalu sudah...

19 Julai 2012 adalah tarikh hari ini.

Di hadapan komputer Lenovoku yang terletak di atas meja.

Sambil duduk di atas kerusi, aku menaip pos ini.

Komputer riba Acerku sudah tersimpan di bawah meja ini agak lama.

Kini, aku lebih akrab dengan Lenovoku ini dan telah berenggang dengan Acerku.

Bukan sekadar berenggang tetapi tidak lagi bersua muka dengan Acerku.

Acerku masih tetap di hati kerana perjuangan 3 tahunku sebagai seorang mahasiswi Universiti Malaya, khususnya Akademi Pengajian Melayu bertemankan satu-satunya Acerku.

Mana mungkin pembelajaranku sempurna tanpa Acerku walaupun pernah mengalami 'sakit tenat' kerana diserang virus.

Acerku, pasti akan tiba suatu masa aku kembali menatap wajahmu.

Berehatlah wahai Acerku kerana tiga tahun engkau berpenat lelah bersamaku.

Aku tidak akan pernah lupa peristiwa aku tertinggalkanmu di aras dua, Perpustakaan Utama.

Tuanmu ini memang cuai dan lalai angkara lupa dan alpa hingga engkau menjadi mangsa.

Bersyukur tidak terhingga kerana Maha Tuan kepada Tuanmu ini telah memanjangkan jodoh kita kerana setelah beberapa jam ditinggalkan di atas meja itu, engkau tidak pula dibawa pergi oleh pengunjung perpustakaan yang lain.

Alhamdulillah.

Maafkan aku, Acerku.

Acerku, semoga engkau tidak berkecil hati dan berjauh hati apabila aku kini selalu meluangkan masa dengan Lenovoku.

Semoga engkau juga dapat mengerti bahawa Lenovoku ini sudah 3 tahun berjauhan denganku kerana sebahagian besar masaku adalah di Kuala Lumpur, Malaysia.

Kembali kepada tajuk dan tujuan pos ini adalah untuk mengenang sesuatu yang penting dalam hidupku.

Sebulan yang lalu iaitu 19 Jun 2012 adalah tarikh terakhir hari peperiksaanku.

Tarikh penting yang menjadi penanda bahawa aku telah menamatkan pengajianku selama tiga tahun di Universiti Malaya meskipun hati bimbang lagi walang andaikata aku gagal dalam kertas peperiksaan Sosiolinguistik iaitu kertas peperiksaanku yang jatuh pada tarikh itu tetapi pada jam 11.30 pagi.

Betapa aku selalu cuba mengelakkan diri daripada mendapatkan C dan untuk itu, aku selalu berdoa kerana aku tahu aku tidak mampu kecuali dengan kudratNya.

Namun setelah menduduki peperiksaan yang bertaraf 'killer paper' itu, aku selalu berdoa agar aku tidak gagal kerana C bererti lulus.

Alhamdulillah.

Betapa hati bersyukur, perasaan tenang dan jiwa lega apabila aku mengetahui bahawa aku telah memperolehi B+ untuk kertas peperiksaan Sosiolinguistik.

B+ bererti aku tidak gagal!

B+ bererti aku terelak daripada C!

Hati yang gentar, perasaan yang bimbang dan jiwa yang walang tidak lagi sebegitu apabila melihat keputusan di lelaman MYUM dengan cara menggodam lelaman itu pada 9 Julai 2012.

Sebulan yang lalu iaitu 19 Jun 2012 adalah tarikh terakhir hari peperiksaanku.

Namun kertas peperiksaan Sosiolinguistik bukanlah yang terakhir.

Kertas peperiksaan yang terakhir ialah Leksikografi yang berlangsung pada jam 3 petang.

Oleh sebab kesuntukan masa antara kertas peperiksaan Sosiolinguistik dan Leksikografi, aku tidak berpeluang untuk mengulang kaji pelajaran antara waktu rehat yang kurang daripada 1 jam 30 minit.

Kesuntukan masa itu disebabkan keinginanku untuk menjamu selera.

Bukan keinginan sebenarnya.... tetapi suatu keperluan.

Selesai mengisi perut di KPS, aku bergegas ke dewan peperiksaan dengan teksi.

Aku tidak berpeluang untuk mengulang kaji pelajaran.

Sekadar dapat mengintai nota-nota tertentu yang akhirnya, tidak ada kaitan dengan soalan yang ditanya dalam kertas peperiksaan.

Subhanallah.

Hanya Tuhan yang tahu betapa aku hilang arah menghadapi peperiksaan Leksikografi kerana segala yang telah dipelajari bagai terpadam.

'Memory crash!?'

'Black out!?'

Doa dibaca agar kecelaruan fikiranku ini dipermudahkan.

Doa dipohon agar kekelabuan mindaku ini dicerahkan.

Entah.

Harapan musnah.

Impian punah.

Hati yang bimbang lagi walang dek kertas peperiksaan Sosiolinguistik semakin bergelombang setelah melalui peperiksaan terakhir iaitu Leksikografi.

Hanya Tuhan yang tahu.

Kuluahkan perasaan kepada rakan-rakan melalui bicara 'lintas langsung' di dalam dan di luar dewan.

Kuluahkan perasaan melalui status di ruang FB.

Rakan-rakan seperjuangan turut merasai resah di hati angkara sama ada kertas Sosiolinguistik atau kertas Leksikografi.

Barangkali, debaran perasaan sebegini adalah lumrah pelajar dalam menghadapi peperiksaan dan menanti keputusan.

Cemas.

Takut.

Bimbang.

Walang.

Harap.

Gementar.

Itulah antara kata adjektif perasaan yang sangat berhubung kait dengan PEPERIKSAAN.

19 Julai 2012 ialah tarikh hari ini.

Aku terima keputusan peperiksaan yang telah diposkan ke rumah.

Emak yang menghulurkan kiriman itu kepadaku.

Meskipun aku sudah mengetahui keputusanku melalui MYUM baik secara godaman mahupun secara sah, melihat keputusan secara hitam putih di slip peperiksaan seolah-olah mengukuhkan perasaan.

Alhamdulillah.

Harapan yang kujangka sudah musnah dan impian yang kusangka sudah punah sebenarnya masih Dia rezekikan untukku harapan dan impian itu.

Aku sedar aku tidak layak untuk memperolehi A kerana jawapan bertulisku di kertas jawapan ternyata dalam kecelaruan dan kekelabuan.

Namun, aku tidak menafikan aku bersungguh-sungguh dan fokus dalam memperincikan tugasan (meskipun bermalas-malasan) dan dalam ulangkaji pelajaran.

Terima kasih Tuhan.

19 Jun 2012 iaitu tepat sebulan yang lalu, aku berada di dewan peperiksaan (Malaysia) dengan segala gejolak perasaan.

19 Julai 2012 iaitu tarikh hari ini, aku berada di bilik tidurku (Singapura) menaip pos ini dengan kegembiraan dek keputusan peperiksaan.

Esok, insyaAllah, aku akan patah balik ke Malaysia, Kuala Lumpur, Universiti Malaya, Kolej Kediaman Kesebelas, Blok C, Bilik 403 untuk mendapatkan baranganku yang masih ditinggalkan.

Ternyata perasaan cinta terhadap kehidupan 3 tahun itu terlalu bermakna untukku.

Terlalu.

Terlalu.

Terlalu.



Gambar kain rentang pada pagar kolejku sewaktu Minggu Haluan Siswa iaitu pada penghujung Jun 2009, sebelum bermulanya semester pertama pada tahun pertama.



Monday, July 16, 2012

Penyejuk mata, penawar hati.

Kecantikan seorang artis wanita iaitu Neelofa ternyata mampu menggetarkan jiwa mana-mana lelaki pun.

Apabila berhijab, kecantikan itu mampu menenangkan jiwa.

Penyejuk mata, penawar hati.


Neelofa dinyatakan sedang menunaikan ibadah umrah ketika gambar ini diambil.

Gambar ini pula telah diperolehi daripada lelaman internet.