Wednesday, October 31, 2012

Seni Muzik Melayu Tradisi: Gong

Definisi Gong

 
Gong berdasarkan pengetahuan penulis ialah sejenis alat bunyian jenis idiofon yang wujud sejak zaman Melayu tradisi. Namun, definisi yang lebih tepat tentang gong hendaklah berdasarkan rujukan yang autentik. Lantas, tiga buah kamus, sebuah ensiklopedia dan lima orang tokoh telah dirujuk untuk mendapatkan definisi atau pengertian tentang gong.

Kamus Lengkap (1990: 310) telah mentakrif gong sebagai sejenis alat bunyian seperti talam besar yang dibuat daripada logam dan dipukul untuk dibunyikan. Selain daripada itu, Kamus Besar Bahasa Melayu (2002: 552) pula menyenaraikan beberapa nama lain untuk gong iaitu canang besar, mungmungan, kemung dan kenung manakala gong kecil pula diberi nama canang, bende, bendir, mungmung, tawak-tawak, celempong, telempong dan geloneng.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 481) mendefinisikan gong sebagai canang besar atau sejenis alat bunyi-bunyian daripada logam yang bertombol dan dibunyikan dengan dipalu. Kamus Dewan Edisi Keempat turut merakamkan fungsi dua jenis gong iaitu gong pelaung dan gong pengerah. Gong pelaung berfungsi sebagai gong yang dibunyikan untuk memanggil manakala gong pengerah pula berfungsi sebagai gong untuk menghimpunkan atau mengerahkan askar-askar, pekerja-pekerja dan lain-lain. Ternyata, gong bukan sekadar sejenis alat muzik Melayu tradisi. Sebenarnya, gong mempunyai fungsi sosial yang cukup penting. Fungsi sosial yang dimaksudkan adalah menarik dan mendapatkan perhatian golongan tertentu dengan tujuan tertentu pada waktu tertentu.

Sebuah ensiklopedia berjudul ‘Encyclopedia of Percussion’ oleh John H Beck (2007: 33) menyenaraikan tujuh belas jenis gong. Pada dasarnya, gong diperikan sebagai alat perkusi berbentuk bulat dan diperbuat daripada logam. Namun, terdapat gong yang leper, melengkung atau berbonjol. Gong tentunya akan digantung dan dipalu pada bahagian tengah dengan pemukul gong yang lembut permukaannya. Deskripsi yang diberikan oleh John H Beck terakam seperti berikut

 

“Gong is a circular metal percussion disk having a definite or indefinite pitch. It may be flat, curved, have a central boss, curved or flat edges, is hung vertically, and is hit in the center by a soft beater.”

 
Rahmah Bujang (2008: 59-60) dalam ‘Glosari Kesenian Melayu: Seni Visual & Seni Persembahan’ memerikan gong sebagai alat muzik tabuh jenis idiofon yang diperbuat daripada logam. Rahmah Bujang menggambarkan gong seperti mangkuk besar leper yang dalam dan mempunyai cembul di bahagian tengahnya sebagai tempat yang akan dipalu. Menurut Rahmah Bujang lagi, gong dimainkan sebagai alat muzik yang menandakan tamat sesuatu sikuan atau frasa lagu.

Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng (1999: 10) dalam ‘Pengantar Muzik Malaysia’ menyenaraikan dua jenis going iaitu gong berbonggol yang digantung dan gong yang disusun secara mendatar dalam rak kayu. Kedua-dua jenis gong ini adalah di antara alat-alat muzik yang terdapat dalam gamelan Jawa iaitu sejenis muzik yang mengiringi seni lakon Melayu tradisi iaitu wayang kulit Jawa. Gong-gong berbonggol yang digantung dikenali sebagai gong agung, gong suwukan dan kempul manakala gong-gong yang disusun secara mendatar dalam rak kayu dikenali sebagai ketuk, kenong dan bonang. Lantas, dapat dibezakan secara langsung bahawa terdapat dua jenis gong yang dimainkan dalam gamelan Jawa. Perbezaan ini dapat dikenal pasti hanya dengan melihat kedudukan gong itu sendiri sama ada yang digantung atau diletakkan secara mendatar.

Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng (1997: 8) pula dalam ‘Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan Sinkretik’ mendeskripsikan alat-alat orkestra wayang Jawa yang terdiri daripada beberapa gong gangsa. Gong gangsa yang dimaksudkan ialah tetawak, mong dan canang. Selain daripada wayang Kulit Jawa dan wayang Jawa, Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng (1997: 7) juga telah menyatakan tentang penggunaan ‘gong-chime’ atau mong dalam wayang gedek iaitu sejenis wayang kulit yang berasal dari Thai. ‘Gong-chime’ atau mong dikatakan terdiri daripada dua gong berbonggol yang diletak mendatar dalam sebuah kotak kayu. Sebenarnya, instrumen mong yang dimainkan dalam orkestra wayang Jawa dan instrumen ‘gong-chime’ atau mong dalam orkestra wayang gedek merujuk kepada instrumen bonang dalam orkestra wayang kulit Jawa.

Aliman Hassan (2007: 33) pula merakamkan tentang dua jenis saiz gong iaitu gong besar dan gong kecil dalam buku beliau ‘Sanggan Budaya’. Menurut Aliman Hassan lagi, gong diperbuat daripada gangsa yang dicampur timah manakala gong besar diperbuat daripada tembaga kuning. Di tengah-tengah gong ditonjolkan sedikit (timbul) untuk dipalu bagi mengeluarkan bunyi. Gong digantung agar bunyinya berdengung.

Seorang pemblog[1] iaitu Syed Mahadzir Syed Ibrahim telah merakamkan kajian beliau tentang satu lagi jenis gong yang dikenali sebagai tetawak. Aliman Hassan (2007: 33) pula menyebut tawak-tawak. Menurut pemblog, tetawak biasanya digantung dan bahagian busut pada tetawak itulah yang dipalu. Tetawak dipalu untuk mendapatkan perhatian masyarakat kampung sekiranya berlaku kejadian-kejadian tertentu di dalam kampung seperti hal kematian, hal pencerobohan atau panggilan untuk bergotong-royong.

 
Latar Belakang Ringkas Tentang Gong

Gong merupakan sebuah alat bunyian yang ditemui kebanyakannya di Asia Tenggara. Gong mula-mula diketahui kewujudannya di tanah besar Cina pada abad ke-6. Namun, gong yang ditemui seawal itu berbentuk leper seperti talam yang diperbuat daripada gangsa. Kemudian, gong dicipta seperti bentuk mangkuk besar dan mendalam. Permukaan gong melengkung dan berbonjol di tengah. Pemerian tentang gong yang paling awal ditemui telah dirakam dalam buku ‘Musical Instruments Of The World’ oleh Ruth Midgely (1997: 106) seperti berikut   

 

“Found most commonly in Southeast Asia, the gong was known in China in the 6th century AD. The earliest examples were flat bronze plates although many later gongs have a bulging surface or a raised central boss.”


Pada awalnya, gong tidak digunakan sebagai alat muzik melainkan sekadar sebagai talam untuk mengisi air agar kegiatan mencuci dapat dijalankan. Begitulah yang tercatat dalam buku yang ditulis oleh James Blades (1971: 93)

 

“‘The lo or what the Javanese in imitation of the sound call a gong, was at first nothing more than a platter for washing, or other similar purposes.”

 
Namun, penggunaan gong menjangkau lebih daripada sebuah talam besar untuk kegiatan mencuci apabila potensi gong sebagai alat bunyian dikenal pasti. Ternyata gong yang berbentuk seperti mangkuk besar dan mempunyai kedalaman mampu menghasilkan bunyi yang berkualiti. Begitu juga dengan permukaan gong yang melengkung. Semakin mendalam dan semakin melengkung sesebuah gong, semakin jauh gelombang bunyi yang mampu merambat di udara. Dari aspek saiz gong pula, lebih besar sesebuah gong yang dipukul, lebih rendah nada yang dihasilkan. Manakala gong yang lebih kecil saiznya pula akan menghasilkan nada yang lebih tinggi.

 

Monday, October 15, 2012

Tanggung jawab

Apa maksud tanggung jawab?

Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita tanggung di dunia, disoal di akhirat dan mesti dijawab di hadapan Allah s.w.t kelak.

(Dipetik dari halaman 244 dalam buku Di Mana Dia Di Hatiku tulisan Pahrol Mohd Juoi)

Aku jatuh cinta dengan K Pop

Aku telah jatuh cinta dengan genre muzik/tari K Pop.

Bukan cinta pandangan pertama tetapi cinta yang entah dari mana tiba-tiba menggila dalam jiwa.

Sebelum ini, apabila Khairiyyah, teman sebilikku yang meminati K Pop memperlihatkan klip video K Pop kepada aku, aku hanya menonton untuk memenuhi permintaannya.

Tanpa perasaan.

Sekarang ini, apabila Firda, anak muridku yang meminati K Pop memperlihatkan gambar artis K Pop kepada aku serta selalu membicarakan tentang K Pop di dalam kelas, aku hanya melayani dia seadanya agar dia tidak tersinggung.

Tanpa perasaan.

Tiba-tiba entah mengapa dan bagaimana, aku telah jatuh cinta dengan K Pop.

Dengan tidak semena-mena, aku telah jatuh cinta dengan K Pop.

Apabila Cikgu Janah menyatakan bahawa dalam budaya kita ada persembahan dikir barat dan boria untuk diperkenalkan kepada murid dan persembahan seperti ini perlu diperjuangkan, hatiku berbisik..... "Mana mungkin mereka minat dikir barat dan boria sedangkan K Pop lebih menarik hati."

Mungkin bisik hatiku tidak tepat kerana dikir barat dan boria perlu dikenali sebelum dicintai.

Namun, entah mengapa hatiku tertarik kepada K Pop.

Apatah lagi mengingatkan para pelajar lelaki yang hiper-hiper belaka dari kelas 2D.

Apakah mereka meminati dikir barat?

Mungkin.

Apakah mereka meminati boria?

Tidak mungkin.

Apakah mereka meminati K Pop.

Sudah tentu.

Walaupun aku belum pernah bertanya kepada mereka... para pelajar lelaki yang hiper-hiper belaka dari kelas 2D tentang pandangan mereka terhadap K Pop, aku sendiri telah jatuh cinta dengan K Pop.

Ingin kurakamkan gambar-gambar salah sebuah kumpulan artis K Pop perempuan dalam blog ini sedangkan semalam, aku telah mendengar salah satu syarahan Ustaz Azhar Idrus dalam Youtube yang menyatakan bahawa genre muzik/tari K Pop ini mengandungi banyak unsur haram.

Aku bersetuju dengan syarahan yang disampaikan Ustaz Azhar Idrus.... namun, cinta telah membutakan mataku.

Oleh sebab aku sedar aku perlu menjaga imej blog aku ini, aku hanya memaparkan gambar artis perempuan K Pop yang berpakaian tidak menjolok mata.





Thursday, October 11, 2012

Objektif Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu

Antara objektif pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah adalah

(1) mendengar, memahami dan menilai pertuturan dalam situasi formal dan tidak formal termasuk dalam siaran dan media massa serta memberikan respons yang wajar;

(2) bertutur dengan fasih dan jelas dengan menggunakan sebutan baku dan memberikan pendapat serta hujah-hujah yang kritis untuk pelbagai tujuan, khalayak dan situasi;

(3) membaca, memahami dan menghayati pelbagai bahan cetak dan bukan cetak serta bahan digital, sama ada bahan sastera atau ilmiah, dengan cekap untuk memperoleh dan memproses ilmu dan dapat mengaplikasinya dengan berkesan;

(4) menulis pelbagai teks kreatif dan bukan kreatif dengan jelas dan berkesan bagi pelbagai tujuan, khalayak dan situasi.

Saturday, October 6, 2012

Menebus Kembali Kegagalan Silam



Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Ke mana harus kubawakan
Ke mana harus kusemaikan cinta ini

Betapa di bumi ini kumelangkah
Ke utara selatan timur dan barat kujejaki

Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Kuingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Kuingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan

(Lagu berjudul 'Warisan' yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman mengandungi lirik yang terlalu bermakna untuk diri ini. Atas sebab itu, lagu ini menjadi pemangkin inspirasi sewaktu tiga tahun berada di Universiti Malaya sebagai seorang mahasiswi Akademi Pengajian Melayu. Lirik lagu yang menyentap sanubari tentang betapa pedih dan perih sebuah perjuangan dalam menggapai cinta dan mencapai cita-cita.

Di sini....
Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang menjadi susur galur diriku kerana ibu dilahirkan dan dibesarkan (hingga belasan tahun) di Melaka. Ibu mendapatkan kasih sayang yang sewajarnya daripada moyang yang menetap di Melaka. Tidak mampu rasanya aku menceritakan suka duka kehidupan ibuku yang akhirnya berhijrah ke Singapura kerana suka duka itu sebenarnya meninggalkan kesan kepada jiwa ini. Subhanallah, hanya tuhan yang tahu.

Di sini....
Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang menjadi tumpuanku kerana aku menerima pendidikan tidak formal dalam mengenal diri demi mengenal pencipta diriku melalui jemaah tareqat yang aku anggotai. Lebih kurang 4 tahun berulang alik ke Malaysia kerana guru sufiku adalah kelahiran Malaysia. Jemaah tareqatnya diasaskan di Malaysia. Suka duka menempuh jalan itu dalam mengenal diri berakhir apabila aku meninggalkan jemaah itu dengan kehampaan dan kekecewaan. Namun, ilmu yang kuperolehi meskipun disampaikan menerusi pendidikan tidak formal sedikit sebanyak masih menggamit jiwa ini. Subhanallah, hanya tuhan yang tahu.

Di sini....
Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang menjadi harapanku kerana aku pernah bercinta dengan seorang insan bernama Muhammad yang dilahirkan di Selangor. Dialah cinta hatiku lebih kurang 4 tahun namun cinta itu tidak kesampaian dengan akad pernikahan seperti yang diimpikan. Suka duka yang dilalui tetap menjadi kenangan abadi bahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang kami kongsi bersama sedikit sebanyak masih sebati dan sejati di jiwa ini. Subhanallah, hanya tuhan yang tahu.

Di sini....
Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang memberi ruang dan peluang kepada aku untuk mendapatkan pendidikan formal dalam mengikuti program Sarjana Muda Pengajian Melayu yang berlangsung selama 3 tahun. Pada hakikatnya, aku ke sini bukan sekadar untuk mencari ilmu pengetahuan tetapi menagih ketenangan jiwa yang terlalu diperlukan dan menuntut kebebasan hak yang terlalu didambakan. Alhamdulillah, pada 3 Oktober 2012.... akhirnya aku bergraduasi dengan kegagalan silam aku tebus kembali di tangan kananku dengan menggenggam impianku yang telah menjadi kenyataan.

Susur galurku yang tetap ada meskipun rapuh hubungan itu, jemaah tareqat dan guru sufiku yang telah kutinggalkan, cinta hatiku yang telah terpisah dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu yang telah aku perolehi.... adalah jejak-jejak hidupku yang menginsafkan aku bahawa segala kegagalan, kepahitan, kehampaan, kekecewaan dan kekalahan yang ditempuhi terlalu banyak meninggalkan pengajaran hingga akhirnya impianku menjadi kenyataan, aku terkesima.

Bak dialog watak Annisa yang menjadi pemangkin inspirasiku dalam filem Perempuan Berkalung Sorban, "Mahu jadi apa pun kalian nanti, PILIHLAH JALAN ALLAH DENGAN RASA BEBAS."

Betapa tidak ternilai air mata dengan permata bagi mereka yang air matanya mencurah-curah dek kehidupan yang penuh dengan ranjau duri sedangkan jika ditawarkan permata berkilau-kilau, dirinya hanya memerlukan dan menginginkan ketenangan jiwa.)