Ilham Seni dengan tema Ke Jinjang Pelamin telah terlaksana sudah pada pagi ini.
Berakhir sudah pertemuan terakhir dengan rakan-rakan dalam modul Bentuk Lakon Tradisi.
Sejujurnya, aku tidak begitu merasai perjalanan kami sebagai satu kumpulan dalam melaksanakan tugasan bermula daripada penulisan skrip, rakaman suara, rakaman video, lakonan pernikahan dan lakonan persandingan.
Aku kurang merasai getar dan getir perjalanan menunaikan tugasan ini kerana aku kurang melihat perpaduan dan komitmen ke arah itu meskipun kami bekerjasama.
Aku telah dan perlu melaksanakan tugasku meskipun kecil tanggungjawab itu.
'Just go with the flow'.
Sama ada aku merasai nikmat atau berpuas hati, sejujurnya aku tidak terasa dan berasa seperti itu.
Tugasan penulisan bagi modul Bentuk LakonTradisi belum pula selesai meskipun tarikh penghantaran adalah pada hari Khamis lalu.
Pengalaman pertamaku tidak menepati tarikh penghantaran sesebuah tugasan sepanjang lima semester pengajianku.
Alhamdulillah, pengalaman dapat mengenali dan bekerjasama dengan kenalan yang sebelum ini belum pernah bekerjasama iaitu Fatihah dan Mazirahyu adalah sesuatu yang aku hargai.
Manakala pasangan kawan baik iaitu Hasnaidi dan Zuraina adalah kenalan baharu yang mudah mesra dan menghiburkan hati.
Bagi Hafiz dan Nazif pula, bukan pertama kali aku bekerjasama dengan mereka memandangkan Hafiz sekumpulan denganku pada semester lalu untuk modul Pemasaran Produk Seni manakala Nazif sekumpulan denganku pada semester lalu juga untuk modul Muzik Melayu Tradisi.
Ramai daripada pelajar Tahun 2 dan ada segelintir pelajar daripada akademi lain turut bersama kami dalam modul ini tetapi tidak begitu rapat.
Bertukar-tukar senyuman dan tawa mesra serta bergurau senda.
Atas dasar perlu bekerjasama, kami berbincang dan berbual.
Alhamdulillah, terbina perkenalan meskipun bukan persahabatan.
Pembentangan terakhirku iaitu pembentangan bagi modul Analisis Wacana terlaksana pada petang ini.
Meskipun kumpulan kami sebenarnya bukan kumpulan terakhir kerana berdasarkan undian, kumpulan kami ialah kumpulan kelapan antara sebelas buah kumpulan, kami akhirnya melaksanakan pembentangan sebagai kumpulan terakhir.
Faktor masa dan keterlibatan aku dalam lakonan sketsa untuk Ilham Seni telah menyebabkan kumpulanku melaksanakan pembentangan pada minggu ini iaitu minggu terakhir.
Peluang bekerjasama buat pertama kali dengan Awg Azhar, Zakaria, Fauzi dan Mazwan meninggalkan kenangan kerana aku berada dalam kumpulan ini atas ajakan Zakaria.
Aku dan Khairiyyah diajak Zakaria untuk menyertai kumpulan yang dibentuk oleh Zakaria tetapi atas kesalahfahaman kami menyangka bahawa kumpulan yang dibentuk perlu selaras dengan masa kelas tutorial, Khairiyyah telah memilih anggota kumpulan yang lain.
Kumpulan kami yang dianggotai Awg Azhar, Zakaria, Mazwan dan aku sendiri akhirnya telah dilengkapkan dengan keanggotaan Fauzi.
Alhamdulillah, kumpulan kami ternyata telah mula melaksanakan gerak kerja sejak awal lagi.
Terimbau kenangan apabila kami bermesyuarat kecil di bahagian belakang Dewan Semarak pada malam perjumpaan Hari Raya Aidilfitri.
Jika tidak silap, itulah mesyuarat kami yang pertama sebagai sebuah kumpulan.
Alhamdulillah, aku bangga dan yakin dengan semangat mereka sejak awal lagi.
Rombakan demi rombakan dalam melaksanakan tugasan telah dilakukan.
Awg Azhar seorang anggota kumpulan yang sentiasa tenang, cukup sabar, sangat tekun, amat cekap dan sungguh konsisten.
Aku mengkagumi kematangannya.
Seseorang yang boleh diharapkan dan pada waktu yang sama, boleh diajak berbincang bahkan sangat bertolak ansur.
Alhamdulillah.
Begitu juga dengan yang lain iaitu Zakaria, Mazwan dan Fauzi.
Zakaria mengambil berat.
Sikapnya yang tidak berlepas tangan meskipun diburu dengan kesibukan membuat aku terharu.
Dia selalu ambil tahu dan bertanya tentang gerak kerja kumpulan kami.
Kelucuan dan keceriaannya menghiburkanku.
Kumpulan kami pernah melaksanakan perbincangan pada hari Khamis hingga kami meninggalkan bangunan Akademi Pengajian Melayu selepas waktu maghrib.
Sejujurnya, perbincangan itu memberi kenangan terindah dengan keletah Zakaria yang lucu dan ceria.
Perbincangan itu sebenarnya melegakan kerana hasil daripada perbincangan itu, kecelaruan yang bersimpang siur dalam minda dan jiwaku sebelum itu terlerai dan terhurai.
Alhamdulillah.
Mazwan meskipun tidak banyak bercakap merupakan anggota kumpulan yang bertanggungjawab, cekap dan boleh diharap.
Seseorang yang baik pada mata kasarku tetapi agak 'misteri' kerana wataknya perlu diselami jika hendak mengetahui siapa sebenarnya seorang Mazwan.
Fauzi pula merupakan seorang anggota yang berperibadi lembut, bersuara perlahan dan berakhlak baik.
Fauzi juga seorang anggota kumpulan yang bertanggungjawab, cekap dan boleh diharap.
Kami berdua pernah berbincang semata-mata untuk memastikan gerak kerja kami tidak terputus di Perpustakaan Utama kerana perbincangan awal di Perpustakaan Akademi Pengajian Melayu tidak dapat Fauzi hadiri atas sebab kesihatan.
Alhamdulillah, aku berpuas hati dengan iltizam dan kerjasama anggota kumpulanku untuk modul Analisis Wacana.
Kurniaan daripada Tuhan.
Siapa kata pelajar lelaki tidak bertanggungjawab, tidak serius, tidak matang dan sembrono sahaja.
Alhamdulillah, mereka yang sekumpulan denganku adalah pelajar lelaki yang bertanggungjawab dan boleh diharap.
Terima kasih kepada mereka yang aku hormati... Awg Azhar, Zakaria, Mazwan dan Fauzi.
No comments:
Post a Comment