Tuesday, April 3, 2012

SOLUSI (Isu Nombor 20)

Mukmin itu diamnya fikir cakapnya zikir


Antara perkara yang dikongsi dalam majalah SOLUSI (Isu Nombor 20) ini ialah (sekurang-kurangnya) empat manfaat yang diperolehi apabila belajar daripada alam. Artikel yang bertajuk Manfaat Hasil Belajar Daripada Alam telah ditulis oleh Pahrol Mohamad Juoi dan boleh dibaca daripada halaman 20-23.

(1) Terasa Bukti Kewujudan Allah

Lihat alam yang begitu tersusun dan teratur. Mustahil tiada Pengaturnya. Mustahil semuanya berlaku secara kebetulan. Rasional dan logik akal menolak alam ini terjadi dengan sendirinya. Kalimat yang selalu diulang-ulang oleh guru-guru yang mengajar ilmu Tauhid adalah bukti adanya Allah adalah adanya alam ini.

Penciptaan alam ini begitu sistematik hinggakan planet-planet beredar mengelilingi matahari pada orbitnya dengan jarak yang telah ditentukan. Bumi yang berada pada jarak 149 680 000 kilometer dari matahari misalnya, akan berada paling dekat dengan matahari pada 2 Januari setiap tahun yakni pada jarak 147.1 juta kilometer dan berada paling jauh daripada matahari yakni 152.6 kilometer pada tarikh 2 Julai.

Bumi tidak akan lebih dekat daripada jarak itu kerana ini akan menyebabkannya panas dan terbakar. Bumi juga tidak akan jauh lebih daripada itu kerana ini akan menyebabkannya sejuk dan membeku. Siapa yang menetapkan jarak ini? Subhanallah.

(2) Bukti Kekuasaan dan Keagungan Allah

Bayangkan betapa hebatnya kuasa Allah yang mengatur alam ini. Untuk menyusun perabot, sistem pendawaian elektrik, hiasan sebuah rumah misalnya, lebih mudah untuk menyusun perkara-perkara yang sama pada sebuah stadium dan untuk menyusun dan mengatur sebuah stadium tentunya lebih mudah berbanding menyusun sebuah daerah, negeri dan negara. Bayangkan, betapa besarnya kuasa Allah yang mengatur dan menyusun seluruh alam raya ini!

(3) Menambah Keyakinan Kepada Kebenaran Al Quran

Dengan melihat alam, terciptalah imu sains kerana sains itu berasaskan kepada uji kaji, pemerhatian dan kesimpulan. Banyak ayat Quran mendorong manusia melihat dan mengkaji alam. Oleh itu sains dan Al Quran tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya datang daripada Allah.

Namun, Al Quran bukanlah buku sains. Wahyu Allah tidak boleh disamakan dengan akal manusia. Namun, penemuan yang terbukti kebenarannya oleh sains tidak akan bercanggah dengan Al Quran. Sains misalnya menemukan bahawa cahaya matahari itu adalah sumber kepada cahaya bulan. Cahaya pada bulan hanya cahaya pantulan daripada matahari. Cahaya keduanya tidak sama. Dalam surah Nuh ayat 16, Allah berfirman yang bermaksud:

"... Dan Allah menciptakan pada langit-langit itu bulan sebagai nur dan matahari sebagai siraj."

Allah menggunakan dua istilah yang berbeza untuk membezakan antara cahaya bulan dan cahaya matahari. Siraj bererti pelita atau lampu - yakni alat yang mampu mengeluarkan cahaya sendiri menerusi mekanisme tertentu di dalamnya. Manakala nur diertikan sebagai bercahaya atau bersinar. Ia tidak membawa maksud mengeluarkan cahaya dengan sendirinya sebaliknya ia memantulkan sahaja cahaya yang mengenainya.

(4) Menambah Keyakinan Kepada Hari Akhirat

Memandang dunia ini sepatutnya mengingatkan kita kepada akhirat. Dengan melihat alam ini, seseorang harus mampu memacu akal dan hati untuk 'melihat' alam yang lebih luas dan hebat - alam akhirat. Mereka terasa betapa kerdilnya manusia dibandingkan Allah yang Maha Pencipta lalu tunduk patuh kerana takutkan seksa neraka.

No comments:

Post a Comment