Beribadahlah sebanyaknya hingga kamu penat untuk berbuat maksiat
Antara perkara yang dikongsi dalam majalah SOLUSI (Isu Nombor 10) ini ialah Enam Langkah Menuju Khusyuk. Artikel yang ditulis oleh Pahrol Mohamad Juoi ini boleh diperolehi daripada halaman 15-17.
Enam Langkah Menuju Khusyuk
(1) Mencari Pengertian (Faham)
Perkara ini perlu dimulakan dengan memahami makna bacaan (rukun qauli) dan erti setiap perkataan (rukun fi'li) di dalam solat. Bila mengucapkan takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah misalnya, makna setiap kalimatnya perlu diketahui satu persatu.
Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menuturkan kata-kata tetapi tidak tahu apa makna dan maksudnya.
Jadi, belajarlah bahasa Arab sekurang-kurangnya untuk mengetahui makna bacaan-bacaan yang wajib dan sunat dalam solat. Namun memahami makna sahaja tidak memadai, kita perlu melangkah ke tahap seterusnya.
# Begitulah pesanan dan didikan Ustazah Kamariah kepada kami pelajar-pelajarnya dalam kelas Fardhu Ain terutama apabila bab solat dibincangkan terutama sekali di Masjid At Taqwa. Namun sejauh mana aku berusaha ke arah itu iaitu memahami makna bacaan? Begitulah juga pesanan dan didikan Abang kepada aku hingga dia membelikan aku sebuah Kamus Bahasa Arab di MPH Mid Valley pada tahun 2008. Namun sejauh mana aku bersungguh-sungguh ke arah itu iaitu memahami makna bacaan?
(2) Pemusatan Fikiran (Fokus)
Tahap kedua ialah pemusatan fikiran. Menghindarkan gangguan hal-hal lain sehingga fikiran, perbuatan dan ucapannya seiring - yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat.
(3) Membesarkan Tuhan (Rasa Haibah)
Perlu diingat, pemusatan fikiran bukan hanya ditujukan kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di sebalik bacaan itu. Ertinya, tumpuan bukan hanya pada huruf dan ayat serta sebutan sahaja, tetapi pada makna dan tafsirannya. Inilah yang dimaksudkan dengan pengertian.
(4) Kagum dan Takut Akan Keagungan Tuhan (Rasa Khauf)
Hasil dari merasai kebesaran Allah, maka timbul pula rasa takut dan kagum kepadaNya. Rasa takut dan kagum kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara-perkara yang lain. Kita takut kepada harimau kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana kehebatannya. Takutkan harimau, kita lari menjauhinya tetapi takutkan Allah, kita datang menghampirinya.
# Kursus Motivasi Solat yang pernah dianjurkan oleh Rufaqa' Corporation pada suatu masa dahulu menekankan perkara yang sama. Andai keganasan sang harimau dapat menimbulkan rasa gerun dalam hati-hati manusia, bayangkanlah betapa hebatNya pencipta sang harimau itu?
(5) Mengharap kepada Tuhan (Rasa Raja')
Rasa takut dalam solat tidak boleh dibiarkan sendirian. Sebaliknya, rasa takut itu mesti diseimbangkan dengan rasa harap. Apa yang dimaksudkan dengan rasa harap? Ia adalah pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, kasih sayang dan syurga Allah. Jika rasa takut sahaja dibiarkan mendominasi jiwa, dikhuatiri akan timbul sangka buruk dan jahat sangka terhadap Allah. Padahal dalam realitinya, Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hambaNya yang berdosa.
(6) Rasa Malu dan Hina Diri
Rasa malu dan hina diri adalah kemuncak segala rasa yang timbul sebelumnya. Untuk itu perlu ditimbulkan rasa berdosa kepada Allah. Apabila ada rasa berdosa maka barulah timbul rasa malu. Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan menimbulkan kesedaran (insaf) akan kelalaian diri, lemah melaksanakan tanggungjawab, kurang ikhlas, banyak prasangka buruk, tidak sabar dan reda dengan takdir, dan banyak berhutang kepada Allah.
No comments:
Post a Comment