Tuesday, August 28, 2012

Mampukanlah aku yang tidak begitu mampu ini

Wang pendahuluan sebanyak $200 telah dilunaskan.

Sejujurnya, aku tidak begitu mampu untuk mendapatkan keperluan ini.

Namun, memandangkan keperluan ini adalah demi kemaslahatan diri sendiri, aku perlu mendapatkannya meskipun dalam keterbatasan kewangan.

Alhamdulillah.

Aku bersyukur, gembira dan tenang kerana keperluanku ini telah dapat kuperolehi setelah menanti sepanjang Ramadhan dan melalui beberapa peristiwa yang nyaris-nyaris terjadi tetapi tidak terjadi.

Inilah yang dikatakan jodoh.

Jodoh dalam mendapatkan keperluan hidupku meskipun pada hakikatnya, kedudukan kewanganku boleh dikatakan belum stabil.

Aku bermohon agar Tuhan memperluaskan rezekiku dan mempermudahkan urusanku.

Harapanku kini adalah mendapatkan transkrip ijazah sarjana mudaku pula agar tangga gajiku ditingkatkan kepada yang sewajarnya.

Betapa banyak harapan yang kupertaruhkan dalam hidup.

Sedangkan hidup ini terlalu singkat.

Harapan ini kusandarkan kepada yang Maha Mengetahui dan Maha Mengampuni agar melindungi, memelihara, mengampunkan dan meredhaiku.

Dalam keadaan yang tidak begitu mampu ini, aku mohon dengan sangat agar Engkau memampukanku.

Monday, August 27, 2012

Penulisanku untuk tugasanku (I)

Kesantunan Bahasa

Bahasa merupakan salah satu daripada beberapa perkara asas yang amat diperlukan oleh manusia dalam menjalani kehidupan sehari-hari selain makan minum, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya. Kehidupan sehari-hari menuntut setiap manusia berinteraksi dengan anggota masyarakatnya, tidak kira sama ada anggota masyarakat itu tergolong dalam kelompok yang sama mahupun tidak. Apabila seseorang perlu bercakap dan perlu didengari oleh manusia lain tentang perkara yang hendak diperkatakan, bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa lisan. Manakala kata-kata yang ditulis oleh seseorang individu dan dibaca pula oleh individu yang lain ialah bahasa tulisan. Komunikasi yang berkesan apatah lagi perhubungan yang baik akan hanya terjalin melalui satu cara iaitu dengan menggunakan bahasa yang santun, tidak kira sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 106) mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya). Selain itu, bahasa juga didefinisikan sebagai percakapan yang baik, tingkah laku yang baik dan sopan santun.

Definisi pertama tentang bahasa seolah-olah menjawab tentang apakah yang dimaksudkan dengan bahasa manakala definisi kedua pula seolah-olah memberi jawapan tentang cara bagaimanakah bahasa harus digunakan. Daripada kedua-dua definisi ini, penulis berpendapat bahawa bahasa tidak seharusnya sekadar difahami sebagai sesuatu yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi. Seharusnya juga bahasa dimengertikan sebagai cara yang digunakan untuk berinteraksi sesama manusia yang merujuk secara khusus kepada kesantunan sebagai salah satu ciri yang perlu dititikberatkan.

Atas dasar itu, Rais Yatim (2007: x) dalam kata pengantar bagi buku ‘Santun Berbahasa’ menyebut tentang penilaian masyarakat Melayu di kampung-kampung terhadap perilaku seseorang sama ada dikatakan sebagai ‘berbahasa sekali dengan kita’ atau dikatakan sebagai ‘tak tahu bahasa’. Frasa-frasa yang mengandungi perkataan ‘berbahasa’ dan ‘bahasa’ itu timbul berdasarkan penelitian mereka terhadap cara seseorang itu menggunakan bahasa secara baik, sopan dan beradab ataupun sebaliknya. Penyataan di atas dapat dikukuhkan dengan pengertian tentang ‘kesantunan bahasa’ oleh Awang  Sariyan (2007: 1) dalam buku ‘Santun Berbahasa’ seperti berikut.

‘Kesantunan bahasa, secara umum, merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.’

(Awang Sariyan, 2007: 5)

Raja Ali Haji dalam sebuah karangan karya sastera beliau yang masyhur iaitu Gurindam Dua Belas ada memperkatakan secara langsung tentang nilai kesopanan dan kesantunan yang dipandang tinggi dalam masyarakat Melayu. Nilai kesopanan dan kesantunan ini dapat dijejaki melalui tiga daripada lima rangkap gurindam yang dikarang Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas, khususnya fasal kelima. Berikut merupakan Gurindam Dua Belas fasal kelima yang terakam dalam buku yang ditulis oleh Mohd. Yusoff Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh (1985: 178) yang berjudul ‘Puisi Melayu Tradisi’:

‘Jika hendak mengenal orang yang berbangsa,
lihat kepada budi bahasa.
 
Jika hendak mengenal orang yang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
 
Jika hendak mengenal orang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.’
 
(Mohd. Yusof Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh, 1985: 178)

Melalui ketiga-tiga rangkap gurindam ini, Raja Ali Haji telah menganjurkan tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian iaitu budi bahasa, kelakuan dan pergaulan seseorang di tengah masyarakat. Anjuran Raja Ali Haji dapat dijejak secara langsung melalui baris kedua dalam setiap rangkap gurindam ini iaitu ‘lihat kepada budi bahasa’, ‘lihatlah kepada kelakuan dia’ dan ‘lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai’. Ketiga-tiga perkara yang dianjurkan untuk diberi perhatian inilah yang dimaksudkan oleh Rais Yatim (2007: x) dalam kata pengantar bagi buku ‘Santun Berbahasa’ tentang penilaian masyarakat Melayu di kampung-kampung terhadap perilaku seseorang sama ada dikatakan sebagai ‘berbahasa sekali dengan kita’ atau dikatakan sebagai ‘tak tahu bahasa’. Penilaian sama ada seseorang itu berbahasa atau tidak tentunya berlaku dengan memerhatikan dan meneliti cara seseorang itu menggunakan bahasa.

Lantas, setiap orang perlu memerhati dan memelihara kesopanan dan kesantunan gaya bahasa dan kata-kata yang diungkapkannya kerana perkara inilah yang menjadi kayu ukur sama ada seseorang itu ‘berbahasa’ atau ‘tak tahu bahasa’.  Siti Hawa Salleh (2009: 554) menegaskan dalam buku ‘Kelopak Pemikiran Sastera Melayu’ bahawa keperibadian dan pegangan seseorang dapat dinilai daripada gaya bahasa dan ungkapan yang digunakan. Berikut merupakan pernyataan beliau:

‘Secara positif, gaya bahasa dengan ungkapan tertentu sebenarnya memperlihatkan banyak hal tentang peribadi dan pegangan penutur bahasa itu sendiri. Di situlah sebenarnya terletak gaya kesopansantunan, kelemahlembutan dan kehalusan budi bahasa Melayu dan bangsanya.’

(Siti Hawa Salleh, 2009: 554)

 

Soulmate


Soulmate is someone with whom one has a feeling of deep and natural affinity, friendship, compatibility, companionship and intimacy.


Perjuangan Yang Panjang Seorang Laksamana Sunan

Berakhirlah pembacaanku pada 26 Ogos 2012 tentang perjuangan yang panjang seorang Laksamana Sunan menelusuri enam buah novel karangan Ramlee Awang Murshid.

Bilakah pembacaanku bermula?

Aku tidak dapat kenal pasti tarikh yang tepat.

Aku tidak ingat.

Novel Cinta Sufi adalah novel pertama yang aku baca sedangkan Cinta Sufi sebenarnya adalah novel keempat setelah lengkapnya trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta iaitu tiga novel pertama tentang Laksamana Sunan.

Namun, 'jadual' ini merupakan suatu ketepatan memandangkan aku begitu tertawan hati dengan Cinta Sufi dan tidak begitu tertarik hati dengan Bagaikan Puteri setelah membaca kedua-duanya.

Meskipun aku tidak dapat kenal pasti dan tidak ingat tarikh yang tepat aku mulai membaca novel Cinta Sufi, yang pasti aku hanya mulai membaca novel ini setelah pulang ke Singapura.

Berikut merupakan susunan keenam-enam novel yang kubaca.

1) Cinta Sufi (novel ke-4)
2) Cinta Sang Ratu (novel ke-2)
3) Sutera Bidadari (novel ke-5)
4) Bagaikan Puteri (novel pertama)
5) Hijab Sang Pencinta (novel ke-3)
6) Sunan Musafir (novel ke-6)


Betapa bercelarunya susunan pembacaanku!

Namun aku tetap teruja untuk mengikuti pengisahan Laksamana Sunan yang ternyata amat menarik dan 'thrilling'!

Berikut merupakan 'rating'ku terhadap keenam-enam novel karangan Ramlee Awang Murshid.




Bagaikan Puteri: **
Cinta Sang Ratu: ****
Hijab Sang Pencinta: **
Cinta Sufi: *****
Sutera Bidadari: *****
Sunan Musafir: ****

Aku TIDAK begitu tertarik hati dengan Bagaikan Puteri dan Hijab Sang Pencinta tetapi aku begitu tertawan hati dengan Cinta Sufi dan Sutera Bidadari.



Cinta Sufi: Sekali kurebah, sejuta kali kubangkit.



Sutera Bidadari: Hanya namaMu sentiasa terlafaz di hati nan kerdil ini.

Sunday, August 26, 2012

To Love Someone Means To Lose Someone?


If 'to love someone' means 'to lose someone', then let the feelings be latent no matter how hurtful it is because to lose someone you love is unbearable.

Saturday, August 25, 2012

29 Jun 2012 - 24 Ogos 2012 Sejauh Ini....

29 Jun 2012 iaitu pada hari Jumaat merupakan hari pertama aku melaporkan diri semula sebagai seorang kakitangan awam.

Alhamdulillah.

Segala puji milik Allah.

Sejauh ini, aku harus menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana tidak perlu kembali bertugas di tempat lama kerana lima tahun di sana cukup 'mengajar' aku tentang banyak perkara yang tidak aku ketahui sebelum ini.

Ternyata, 'politik alam pekerjaan' telah kusaksikan bermula dari hari pertama, minggu pertama, bulan pertama, tahun pertama di tempat itu hinggalah ke tahun terakhir, bulan terakhir, minggu terahir, hari terakhir aku di sekolah tersebut.

Alhamdulillah.

Segala puji milik Allah.

Sejauh ini, aku harus menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana suasana dan budaya di tempat baharu walaupun belum dua bulan aku di sini boleh aku sifatkan lebih baik daripada tempat lama.

Aku tidak mencari kesempurnaan kerana tidak akan ada satu tempat bertugas pun yang sempurna.

Tentu ada kekurangan.

Tentu ada kelemahan.

Tentu akan ada cabaran pada masa hadapan yang perlu aku lalui.

Tentu akan ada ujian pada masa hadapan yang perlu aku hadapi.

Bukankah cabaran dan ujian adalah asam garam kehidupan?

Pada hakikatnya, cabaran dan ujian telah pun aku lalui dan hadapi di tempat kerja baharuku sedangkan pada waktu itu, belum pun dua minggu aku di situ.

Aku mulai mengajar pada hari kedua aku di situ iaitu pada hari Selasa bertarikh 3 Julai 2012 (kerana pada hari Isnin iaitu 2 Julai 2012, Singapura bercuti sempena Hari Belia).

Setelah lapan hari mengajar, aku telah pun mendapatkan cuti sakitku yang pertama pada 13 Julai 2012 iaitu hari Jumaat kerana mengalami tekanan perasaan atas sebab aku belum lagi sesuai, serasi dan serasa dengan pelajar-pelajar yang menjadi anak didikku.

Lima tahun bertugas sebagai seorang guru di sekolah rendah bermula pada tahun 2004 hingga 2009, kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Malaya selama tiga tahun bermula pada tahun 2009 hingga 2012 tentunya menjarakkan aku dengan bidang pendidikan apatah lagi aku langsung tidak bersedia untuk memikul tugas mengajar pelajar terdiri daripada generasi remaja.

Maklumlah, kini aku bukan lagi guru di sekolah rendah tetapi guru di sekolah menengah.

Ternyata, aku tidak bersedia kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan apatah lagi kemahiran serta pengalaman langsung untuk tanggungjawab ini....

Namun, kini setelah hampir dua bulan menjalankan tugas dalam kekurangan ilmu pengetahuan, ketidakmahiran dan tanpa pengalaman, aku sudah mulai betah.

InsyaAllah.

Dengan izin Allah.

Aku memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk menyesuaikan diri semula dengan alam pekerjaan terutama sekali dalam bidang perguruan yang berkait rapat dengan generasi remaja.

Cabaran dan ujian sebenarnya telah pun berlaku, bahkan sedang berlaku dan akan terus berlaku....

Bukan sekadar cabaran dan ujian daripada para pelajar tetapi.... (biarlah ayat ini tergantung dengan nokhtah-nokhtah yang tidak menyatakan apa-apa)

Namun, tetap aku bersyukur kerana situasi tidak seteruk dan suasana tidak seburuk masa silam di tempat kerja lama.

Tidak seteruk.

Tidak seburuk.

Tidak sempurna.

Tidak akan pernah sempurna.

Namun, aku berharap dan sentiasa berharap aku dapat menerima segalanya seadanya.

Alhamdulillah.

Segala puji milik Allah.

Sejauh ini, aku gembira dengan sekolah ini yang telah ditentukan dan ditetapkan untuk aku.

:)

Sunday, August 12, 2012

Bila Cinta (Gio)

Bila cinta kini tak lagi bermakna
Yang kurasa kini hanyalah nestapa
Ditinggalkan cinta masa lalu

Dulu kautawarkan manisnya janjimu
Dan kusambut itu dengan segenap hatiku
Hingga engkau pergi tinggalkanku

Hilangnya cintamu menusuk hatiku
Hingga ku memilih cinta yang fana
Perginya dirimu merobek jantungku
Hingga ku terjatuh dalam harapan

Kusebut namamu di setiap doaku
Bangkitkan setiap kenangan tentang mu
Yang kudapat hanyalah bayangmu

Hilangnya cintamu menusuk hatiku
Hingga ku memilih cinta yang fana
Perginya dirimu merobek jantungku
Hingga ku terjatuh dalam harapan
Dalam harapan...

Hilangnya cintamu menusuk hatiku
Hingga ku memilih cinta yang fana
Perginya dirimu merobek jantungku
Hingga ku terjatuh dalam harapan
Dalam harapan...

Saturday, August 11, 2012

Resipi Ringkas: Ikan Tenggiri Masak Kicap

Resipi Ikan Tenggiri Masak Kicap

Bahan A: (Digoreng)
2 keping ikan tenggiri
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam
Minyak masak

Bahan B: (Dihiris dan kemudian ditumis)
2 biji cili hijau
2 biji cili merah
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan C: (Diperlukan untuk memasak)
Minyak masak
1/2 cawan kicap
1/2 cawan air asam jawa

Cara Memasak:
1. Lumurkan ikan tenggiri dengan garam dan serbuk kunyit
2. Panaskan minyak dan goreng ikan tenggiri sehingga masak (tidak perlu garing).
3. Tinggalkan anggaran 3 sudu makan minyak masak untuk menumis. Tumiskan Bahan B sehingga layu.
4. Masukkan air asam jawa dan kicap.
5. Apabila mendidih, masukkan ikan dan kacau rata.
6. Sedia dihidangkan.

Thursday, August 9, 2012

Cerpen: Mencari Cahaya Di Bumi Sakura (Amir Husaini)


I

Aku menarik nafas lega sebaik-baik sahaja kapal terbang mencecah ke bumi tepat pada pukul 6:34 pagi waktu tempatan. Mujurlah tempat dudukku di sebelah tingkap, dapat juga Aku meninjau-ninjau pemandangan di luar.

Kelihatan beberapa orang pekerja di lapangan terbang sedang menjalankan tugas mereka. Uniknya, sebaik-baik sahaja kapal terbang melalui hadapan mereka, pekerja-pekerja itu berdiri tegak lantas memberikan tunduk hormat.

Aku tergamam sebentar. Aku sudah sampai ke banyak negara – Singapura, Indonesia, Thailand , India, Itali, United Kingdom, Algeria dan Mesir, namun Aku belum pernah melihat sesuatu seperti itu. Nyata, budaya di negara matahari terbit ini jauh berbeza.

Ini kali pertama Aku menjejakkan kaki ke Jepun. Aku tidak pasti sebab mengapa memilih Jepun sebagai destinasiku. Cuma yang pasti, Aku perlu meninggalkan seketika tanah air untuk meleraikan kekusutan yang menyelubungi diri ini.

II

Fikiranku memang kusut apabila persoalan yang sama dibangkitkan berulang-ulang kali. “Emak, saya belum mahu fikir soal itu lagi,” ujarku seolah-olah memberontak.

Emak menghela nafas panjang sebelum berkata, “Kamu memang degil, Zuhair. Apabila emak bangkitkan soal itu, itulah jawapan yang kamu selalu berikan.”

Aku memang cukup alah apabila soal itu dibangkitkan. Sudah terlalu kerap dilontarkan, bukan sahaja oleh emak, malah oleh ayah dan ahli keluarga yang lain. Aku berasakan masa Aku belum tiba, dan Aku belum bersedia.

“Apa lagi yang kamu tunggu, Zuhair? Usia kamu sudah mencecah 35 tahun. Sudah sepatutnya kamu berkahwin,” kata-kata emak itu menikam gegendang telingaku. Perkataan yang bermula dengan huruf ‘k’ itu memang seperti fobia yang tiada hujung pangkalnya.

Aku mendiamkan diri. Membatu di meja makan tanpa berkata apa-apa. Dalam kepalaku terlintas satu perkara. Aku mesti pergi ke suatu tempat untuk mencari ketenangan diri. Ya, ketenangan. Itulah yang Aku cari.

III

Dengan tenang, Aku berjalan ke arah kaunter imigresen. Usai urusan di situ, Aku bergerak ke kawasan bagasi. Selesai sahaja mengambil bagasi, Aku berjalan-jalan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Narita. Agak payah juga keadaannya jika tidak mampu berbahasa Jepun. Tidak ramai orang Jepun yang boleh atau mahu berbahasa Inggeris.

Papan-papan tanda semuanya menggunakan bahasa Jepun yang ditulis dalam tulisan kanji dan hiragana bagi istilah berbahasa Jepun serta tulisan katakana bagi istilah yang bukan berasal daripada Jepun. Jika ada pun bahasa Inggeris, tulisannya amat kecil sehingga mungkin terlepas pandang.

Aku tidak mampu membaca tulisan kanji, namun kenal juga beberapa huruf hiragana dan katakana dari zaman Aku belajar bahasa Jepun di universiti dahulu. Sayang, Aku belajar cuma sekerat jalan.

Kamus kecil bahasa Jepun dengan frasa mudah difahami sentiasa dalam genggamanku. Memang banyak gunanya kamus itu sebenarnya. Di sini, Aku tidak boleh malu bertanya. Apatah lagi menjadi seorang gaikoku-jin atau orang dari negara asing di negara yang terkenal dengan keindahan bunga sakura ini.

Aku membeli tiket untuk menaiki bas ke hotel yang telah ditempah, yang terletak di Shinjuku. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita ke Shinjuku Washington Hotel mengambil masa kira-kira sejam. Sebaik-baik tiba di hotel, Aku terpaksa meninggalkan bagasi di kaunter pendaftaran kerana belum tiba masanya untuk mendaftar masuk.

Entah mengapa tiba-tiba Aku teringatkan tanah air… dan Aku teringatkan emak.

IV

“Emak sudah ada calonnya, Zuhair,” ujar emak memulakan kata dengan topik kegemarannya.

“Emak, bukankah Zuhair sudah cakap yang Zuhair belum bersedia,” balasku dengan suara lembut tetapi jelas membantah.

Emak mengetap bibirnya tanda tidak gembira dengan kata-kata tersebut. “Sekurang-kurangnya berkenalanlah dahulu. Ini tidak, belum apa-apa sudah membantah.”

Aku pula yang mengetap bibir apabila emak berkata sedemikian. Di tanganku ada tiket penerbangan yang baru Aku tempah pagi tadi.

“Beginilah emak. Bagi Zuhair sedikit masa untuk berfikir dan mencari ketenangan dahulu sebelum Zuhair buat keputusan,” kataku sambil cuba memujuk.

Emak menjeling tajam ke arahku seperti sudah dapat mengagak apa-apa yang akan Aku katakan selepas ini. “Ini mesti mahu ke luar negara lagi, bukan? Kamu ini Zuhair, memang masih sama perangai seperti dulu. Apabila berhadapan dengan masalah, terus bawa diri ke luar negara. Sampai bila kamu hendak jadi begitu? Mentang-mentang kamu kerja dengan ayah kamu, kamu fikir kamu boleh pergi macam itu saja apabila ada masalah? Orang lain buat solat istikharah bila dalam keadaan tidak pasti, kamu pula memilih untuk makan angin di luar negara.”

Aku tunduk diam. Terasa malu pun ada dengan kata-kata emak itu. Emak memang sudah masak dengan perangaiku. Agak lama suasana sepi tanpa sebarang dialog, sehinggalah emak bertanya, “Ke mana pula kamu pergi kali ini?”

V

Jepun. Sebuah negara yang punya budaya yang menarik dan unik. Memang Aku tidak salah memilih negara ini sebagai destinasi mencari ketenanganku kali ini. Pagi itu, Aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar Shinjuku. Cuaca pada waktu ini agak sejuk walaupun musim bunga sudah bermula. Mujur Aku membawa jaket tebal yang sedikit sebanyak melindungi tubuh daripada kesejukan.

Kakiku membawaku ke Stesen Shinjuku. Memang besar sekali stesen kereta api ini. Manusia yang keluar masuk stesen ini begitu banyak sekali, bertali arus tidak henti-henti. Teksi yang beratur di luar stesen menunggu penumpang, tetapi tiada sesiapa yang menaiki teksi. Pemandangan teksi yang beratur itu ibarat lipan yang tidak bergerak.

Deretan kedai di Shinjuku menggamit orang yang lalu-lalang untuk singgah. Aku tidak mempunyai agenda khusus untuk membeli-belah, sekadar untuk meninjau-ninjau.

Akhirnya, langkah-langkah kaki membawaku ke Shinjuku Gyoen, sebuah taman bunga yang agak luas. Banyak manusia berpusu-pusu masuk ke taman tersebut. Waktu itu, bunga sakura sedang mekar indah. Saujana mata memandang, pokok sakura yang pelbagai bentuk dan warna menghiasi taman tersebut.

Di bawah rimbunan pokok sakura itu, begitu banyak sekali orang menghamparkan tikar dan surat khabar untuk duduk. Mereka mahu menikmati pemandangan yang indah sambil menghirup teh Jepun.

Kanak-kanak berlari-lari keseronokan. Ibu bapa dan saudara-mara berbual-bual mesra. Rakan dan taulan bersantai sambil berkelah, bersaksikan keindahan bunga sakura. Pastinya, ramai yang mengambil kesempatan merakamkan gambar pemandangan unik yang hanya dapat disaksikan setahun sekali itu. Ramai juga yang menggunakan kamera yang menjadi kegilaan dewasa ini, kamera DSRL.

VI

“Jangan lupa bawa kamera canggih kamu,” pesan emak sebaik-baik sahaja Aku mahu melangkah keluar rumah untuk menaiki teksi yang sedia menunggu di hadapan rumah. Teksi ini yang akan membawaku ke lapangan terbang.

Aku cuma mengangguk. Memang ke mana-mana sahaja aku pergi, aku tidak akan tinggalkan kamera DSLR kesayanganku. Entahlah, kadang-kadang aku terfikir seperti aku sudah ‘berkahwin’ dengan kamera sehingga ada masanya emak menyindir aku. Katanya, aku banyak menghabiskan masa dengan kamera berbanding berusaha mencari jodoh. 

Aku tidak faham mengapa emak begitu beria-ia mahu Aku berumah tangga. Kalau kerana mahukan cucu, kakakku semuanya sudah beranak-pinak. Mungkin dan ini sebenarnya hanya telahanku, emak teringin sangat mendapat menantu perempuan.

Aku berjalan menuju ke teksi. Sebaik-baik Aku mahu melangkah keluar pagar rumah, emak tiba-tiba memanggilku. “Zuhair, tunggu sekejap.”

Hati kecilku tertanya-tanya sendirian. Mengapa pula emak memanggilku pada saat Aku hendak keluar?

Emak bergegas ke pintu pagar yang sudah terbuka. Pemandu teksi seperti kurang sabar menunggu Aku masuk ke dalam teksi. Sepatutnya tiada apa-apa yang pak cik pemandu teksi itu perlu risaukan kerana meter teksinya sudah berjalan. Nanti Aku bayar sahajalah tambang yang tertera.

“Nah…,” kata emak sambil menghulurkan satu sampul kecil. “Apa pula ini emak? Saya sudah punya belanja yang cukup,” kataku menyangkakan yang emak menghulurkan wang belanja dalam sampul itu.

“Kamu ini Zuhair, cepat benar buat kesimpulan. Ini bukan wang. Ini gambar bakal tunang kamu,” kata emak.

Darah tersirap ke muka sebaik-baik Aku mendengar kata-kata itu. “Bakal tunang?” Bibirku lemah mengucapkan kata-kata itu. Terasa seperti mahu pitam pada waktu itu.

“Tunggu apa lagi, nanti lewat pula sampai ke KLIA,” tutur emak dengan nada yang separuh menyindir. Memang emak kurang bersetuju Aku mahu pergi bercuti ke Jepun. Walaupun emak tidak menghalang, emak mempunyai caranya tersendiri untuk menunjukkan ketidaksetujuannya mengenai sesuatu.

Sampul berisi gambar yang diberikannya merupakan cara emak untuk ‘merosakkan’ rancangan Aku untuk mencari ketenangan dalam meleraikan kekusutan ini. Yang Aku rasakan pada ketika ini ialah kekeliruan yang menambah kekusutan.

Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pelbagai persoalan bermain-main dalam kotak fikiranku. Perlukah Aku membuat keputusan sekarang? Perlukah Aku memilih calon yang emak pilih? Cocokkah calon itu dengan Aku?

Yang lebih penting, sudahkah Aku bersedia untuk memasuki alam rumah tangga? Aku memilih untuk tidak membuka sampul surat berwarna putih yang emak berikan itu. Sebaliknya, Aku masukkan sampul itu ke dalam beg pakaian yang dibawa.

Aku tidak pasti sama ada Aku mahu membuka sampul itu. Aku tidak tahu sebenarnya apa apa yang perlu dilakukan. Itulah sebabnya Aku memilih untuk ke Jepun bagi mencari jawapan, andai jawapan menanti di sana.

VII

Di Shinjuku Gyoen, Aku cuba mencari jawapan kepada persoalan yang menghantui. Mampukah aku bertemu jawapannya di sini?

Aku hanya berjalan tanpa arah dan tujuan. Sambil menghirup udara nyaman yang agak sejuk itu, Aku cuba menikmati pemandangan yang belum pernah Aku lihat seumur hidupku. Jika ada sesuatu yang menarik perhatian, Aku rakamkan imej itu menggunakan kamera DSLR.

Aku pernah membaca mengenai hanami. Setiap musim bunga, masyarakat Jepun menikmati pemandangan indah sakura yang sedang mekar. Itulah yang digelar hanami oleh orang Jepun.

Ini kali pertama Aku menyaksikan hanami dengan mata kepalaku sendiri. Ya, memang satu pemandangan yang menakjubkan. Apatah lagi, di Shinjuku Gyoen yang luas dan dipenuhi dengan ribuan manusia itu.

Sedang aku berjalan tanpa arah dan tujuan tertentu, Aku tiba di hadapan beberapa pohon sakura ‘kahwin’. Pada satu pokok, terdapat sehingga tiga warna bunga sakura yang berbeza. Warna putih yang biasa dilihat pada pokok sakura lain dan juga dua warna lain, iaitu merah dan merah jambu.

Aku tersenyum sendirian melihat kehebatan ciptaan Allah s.w.t itu. Hati kecilku hanya mampu membisikkan kalimah tasbih atas kebesaranNya.

Dalam keasyikan Aku tersenyum sendirian, Aku tiba-tiba disapa dari belakang. “Anatawa Maresia-jin desu ka? Suara seorang lelaki yang agak garau mengejutkan lamunanku.

Fikiranku ligat cuba memahami apa-apa yang dikatakannya. Agak lama juga Aku terdiam dan tidak memberikan sebarang jawapan. Mungkin terkejut atau mungkin juga Aku tidak dapat mentafsirkan sepenuhnya apa-apa yang diperkatakan oleh lelaki Jepun itu.

Lelaki Jepun yang berusia separuh abad itu mengukir senyuman leret. Dia menepuk-nepuk bahuku, seraya berkata dengan bahasa Melayu baku, “Adakah awak orang Malaysia?”

Sekali lagi Aku terdiam seribu bahasa. Kali ini bukan kerana Aku tidak faham, malah Aku amat faham akan kata-katanya yang dituturkannya dalam bahasa Melayu yang fasih, walaupun lenggok percakapannya masih ada gaya sebutan orang Jepun.

Cuma, kali ini Aku terdiam akibat terkesima. Tidak langsung Aku sangka akan ada orang Jepun yang boleh menggunakan bahasa selain daripada bahasa Jepun. Untuk berbahasa Inggeris – bahasa yang dianggap bahasa antarabangsa – pun susah, inikan pula bahasa lain.

Aku hanya mampu mengangguk.

“Apa khabar?” tanya lelaki itu lagi dengan nada yang begitu mesra.

“Baik.” Ringkas sahaja tuturku yang masih tidak percaya dengan kemampuan lelaki itu berbahasa Melayu.

“Kali pertama ke Jepun?” soalnya lagi.

“Ya, ya. Saya baru sampai awal pagi tadi,” balasku.

Dia ketawa. Mungkin gembira, mungkin juga kerana Aku sudah mampu membalas soalan-soalannya dengan frasa yang lebih panjang.

“Selamat datang ke Jepun. Inilah masa yang terbaik untuk berada di negara ini iaitu ketika bunga sakura sedang mengembang dan mekar sepenuhnya,” alu lelaki Jepun itu.

Aku mengangguk sambil tersenyum. Hanya ucapan terima kasih yang mampu Aku ucapkan.

Lelaki itu mengajakku duduk di bawah sepohon pokok sakura yang tidak jauh dari pokok sakura kahwin itu. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Keita Aoki. Aku tidak bertanya banyak, hanya cuba mengorek rahsia bagaimana dia mampu berbahasa Melayu dengan baik.

Soalanku itu disambutnya dengan senyuman yang menampakkan dua baris giginya yang putih bersih. Dia mengalihkan pandangannya ke arah pokok sakura kahwin yang mempunyai tiga jenis warna tadi. Jarinya ditunjukkan ke arah pokok tersebut.

“Kamu lihat pokok sakura itu?” tanyanya dengan suara yang garau.

Aku hanya mengangguk mengiyakan pertanyaan tersebut.

“Pokok itu amat istimewa,” katanya sebelum menyambung, “kerana pada satu pokok ada tiga jenis warna.”

Aku diam, sambil cuba menghadam maksud kata-katanya itu.

“Pak cik seperti pokok itu,” ujar Keita-san.

“Maaf, pak cik. Saya tidak faham.” Aku mencelah mencari kepastian kepada kata-katanya.

Sekali lagi dia tersenyum. “Suatu masa dulu, bertahun-tahun sebelum kamu lahir, ayah pak cik pernah berada di negara kamu. Ketika itu, negara kami digelar Tanah Melayu. Ayah pak cik seorang tentera Jepun,” jelasnya.

Aku tersentak seketika. Adakah ayah Keita-san ini terlibat dalam Peperangan Dunia Kedua dahulu? Belum sempat Aku bertanya, lelaki berbadan gempal itu memberikan jawapan yang Aku cari.

“Pak cik tahu kamu mesti tertanya-tanya sama ada ayah pak cik sebahagian daripada tentera Jepun yang menyerang Tanah Melayu dulu, bukan?” soalnya seperti meminta kepastian kepada sesuatu yang dia berjaya mentelah. Sekali lagi Aku mengangguk sebelum dia menyambung, “Ya, memang benar. Ayah pak cik terlibat dengan serangan ke atas Tanah Melayu dahulu. Itu satu hakikat sejarah yang tidak ada sesiapa pun yang boleh nafikan.”

Nada suaranya sedikit berubah. Jika tadi nyata ceria, kini nadanya sudah bercampur sedih dan sesal. Raut wajahnya juga seakan menampakkan kekecewaan.

“Apa yang dilakukannya merupakan sebahagian daripada cintanya kepada negara Jepun.” Keita-san seperti cuba memberikan justifikasi kepada tindak-tanduk ayahnya. “Tapi…”

“Tapi apa, pak cik?” Aku mencelah dengan tiba-tiba. Rasa ingin tahu membuak-buak.

“Di Tanah Melayu juga ayah menemui cintanya yang satu lagi.”

VIII

Aku tidak pasti sama ada Aku mampu bercinta lagi semenjak ‘dia’. Dia pergi meninggalkan Aku selama-lamanya ketika kami masih menuntut di sebuah universiti di kota London.

Masih teringat lagi dengan jelas masa yang Aku habiskan bersama-samanya di sana. Bagi Aku, tiada cinta sejati melainkan dia. Kami berjanji untuk bertunang dan seterusnya berkahwin sebaik-baik sahaja kami pulang selepas menamatkan pengajian. Namun begitu, seperti semua perkara dalam kehidupan di dunia yang fana ini, manusia hanya mampu merancang tetapi Allah s.w.t yang menentukan.

Sewaktu cuti musim panas pada tahun 1998, dia kembali dipanggil Allah s.w.t dan meninggalkan dunia yang menjadi persinggahan sementara ini. Kemalangan yang meragut nyawanya itu turut menyentap jiwaku. Tidak aku sangka sama sekali bahawa takdir telah menentukan Aku akan kehilangannya.

Mungkin kerana apa-apa yang berlaku itu, Aku seolah-olah hilang keinginan untuk mencari pengganti ‘dia’ sebagai teman hidupku. Aku memilih untuk bersendirian sebagai caraku meratapi pemergiannya hampir 12 tahun yang lampau.

Mungkin juga Aku menjadikan dia sebagai alasan untuk mengelak daripada berbincang dengan emak tentang perkahwinan. Padaku, belum ada orang yang mampu menggantikan tempatnya.

Walaupun dia sudah lama pergi, Aku masih menyimpan erat memori dan wajahnya dalam kotak fikiranku. Senyuman yang dilakarnya mampu mengundang kegembiraan kepada sesiapa sahaja yang melihat, ibarat mawar yang harum mewangi dan mekar segar di bawah sinaran sang mentari.

IX

Sinar mentari menerangi pagi itu. Namun begitu, tidak terasa habanya kerana suhu yang agak rendah pada musim bunga. Di bawah pohon sakura yang sedang mekar itu, seorang lelaki Jepun separuh abad bernama Keita-san menceritakan bagaimana ayahnya kembali ke Tanah Melayu pada akhir tahun 1950-an. Ayahnya kembali ke Tanah Melayu dengan satu tujuan iaitu untuk mencari seorang gadis yang pernah ditemuinya sewaktu tentera Jepun menyerang Tanah Melayu lebih kurang 15 tahun terdahulu. Nama gadis itu ialah Wong Mei Ling.

“Wong Mei Ling ialah mendiang ibu saya,” kata Keita-san dengan nada sayu. “Saya dibesarkan di Malaya – kemudian Malaysia – sehingga tahun 1975 sebelum saya kembali ke Jepun. Oleh sebab itu, saya boleh berbahasa Melayu walaupun tidak fasih mana sebenarnya. Saya sangat teruja apabila melihat orang Malaysia di sini.” Terserlah sikap rendah diri yang ada dalam dirinya.

Keita-san memberitahu yang dia akan menegur siapa sahaja yang kelihatan seperti orang Malaysia. Itulah sebabnya dia menyapa Aku tadi. Setidak-tidaknya, kata Keita-san, dia dapat bertutur bahasa Melayu selepas sekian lama tidak mengamalkannya.

“Cuma sayang, saya lihat orang Malaysia sekarang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu dengan betul,” katanya ikhlas, namun nadanya seperti sedikit sinis. “Ramai yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sewaktu bertutur.”

Aku hanya mampu mengukirkan senyuman. Kata-katanya itu terkena juga ke atas batang hidungku kerana ada kalanya Aku sendiri menggunakan bahasa rojak.

“Kamu tahu mengapa saya tunjukkan pokok sakura kahwin itu?” soal Keita-san.

Aku menggeleng-geleng tanda tidak tahu.

Dia tertawa kecil sebelum menjawab soalannya sendiri, “Pokok itu istimewa kerana ia menemukan tiga bunga dengan warna yang berbeza. Apabila mendiang ayah saya bertemu dengan mendiang ibu saya di Tanah Melayu, berlaku satu pertemuan budaya yang unik.”

Aku memandang wajah lelaki separuh abad itu sambil cuba menyelami perasaan dan fikirannya ketika itu.

Tanpa menghiraukan Aku, dia meneruskan kata-katanya, “Ibu saya rakyat Malaysia berbangsa Tionghua. Ayah saya rakyat Jepun. Saya seperti pokok sakura itu. Ada darah Jepun dan Tionghua dalam diri saya. Saya bangga dengan asal usul saya yang pernah tinggal di Malaysia dan sekarang di Jepun. Saya juga lebih bangga kerana mampu berbahasa Melayu dan bahasa Jepun di samping bahasa Kantonis.”

“Unik dan istimewa seperti pokok sakura kahwin,” sambutku spontan.

“Ya, seperti pokok sakura kahwin,” ulang Keita-san kembali.

Selepas itu, Keita-san mengucapkan selamat tinggal. Aku terus duduk di situ sambil memerhatikan lelaki Jepun itu (yang sebenarnya lelaki berdarah campuran Jepun dan Tionghua Malaysia) berjalan pergi sambil melambai-lambaikan tangan.

Kata-kata Keita-san seperti terngiang-ngiang di kotak fikiranku. “Seperti pokok sakura kahwin…”

X

“Kahwin!” Di bilik hotel, Aku termenung seorang diri. Perkataan yang bermula huruf ‘k’ yang menjadi fobia besar buat diriku terngiang-ngiang tanpa henti. Begitu juga kata-kata lelaki separuh abad yang Aku temui di Shinjuku Gyoen pada pagi tadi.

Entahlah. Kadang-kadang ketentuan takdir memang sukar untuk difahami. Mengapakah Aku tergerak hati untuk datang ke Jepun? Mengapakah Aku tergerak hati untuk datang ke Jepun? Mengapakah dalam jutaan manusia yang berada di Jepun, Aku ditakdirkan bertemu secara tidak dirancang dengan lelaki bernama Keita Aoki yang boleh berbahasa Melayu dan berdarah campur itu?

Buat kesekalian kalinya Aku menghela nafas panjang. Aku mengeluh sendirian mengenangkan situasiku itu.

Tiba-tiba Aku teringatkan sampul kecil yang dihulurkan oleh emak sebelum Aku berangkat ke Jepun. Sampul kecil itu masih tersimpan kemas di dalam beg pakaianku. Aku belum lagi membukanya, apatah lagi menatap wajah ‘calon’ pilihan emak itu.

Dengan berat hati, Aku membuka zip beg pakaianku. Di celah-celah pakaianku, tersemat sampul kecil berwarna putih itu. Entah mengapa, hati Aku berdebar-debar menjadi tidak keruan.

Aku mengeluarkan sekeping foto bersaiz pasport daripada dalam sampul kecil itu. Foto itu Aku amati dengan teliti. Seorang gadis manis bertudung litup menghiasi foto itu. Daripada raut wajahnya Aku dapat rasakan yang wajah itu memberikan ketenangan, tidak ubah seperti perasaan menatapi wajah ‘dia’ yang sudah pergi. Kulitnya cerah. Senyumannya menawan.

Tanpa disuruh, Aku senyum sendirian. “Memang pandai emak mencari calon,” bisik hatiku.

Di dalam sampul yang sama, terdapat sekeping kertas kecil. Aku keluarkan kertas itu daripada sampul. Ada sedikit catatan dengan tulisan tangan emak pada kertas tersebut.

Tulis emak, ‘Ini calon yang emak ingin Zuhair pertimbangkan semasak-masaknya. Orangnya berbudi bahasa dan berpendidikan tinggi. Emak rasa dia sesuai untuk Zuhair. Timbangkanlah ya, nak!’

Nampak jelas yang emak mahukan gadis ini sebagai calon menantunya. Aku terus tersenyum sendirian lagi.

Nota emak tidak berakhir di situ. Tulis emak lagi, ‘Gadis ini berketurunan Melayu dan Jepun.’

Baris akhir nota emak seperti satu petanda buat diriku.

Emak menulis, ‘Namanya Nur Sakura.’

Andai tidak mampu...


Andai tidak mampu terbang, berlarilah.
Andai tidak mampu berlari, berjalanlah.
Andai tidak mampu berjalan, merangkaklah.
Apa pun yang dilakukan, kita harus meneruskan perjalanan hidup ini.