I
Aku menarik nafas lega sebaik-baik sahaja kapal
terbang mencecah ke bumi tepat pada pukul 6:34 pagi waktu tempatan. Mujurlah
tempat dudukku di sebelah tingkap, dapat juga Aku meninjau-ninjau pemandangan
di luar.
Kelihatan beberapa orang pekerja di lapangan
terbang sedang menjalankan tugas mereka. Uniknya, sebaik-baik sahaja kapal
terbang melalui hadapan mereka, pekerja-pekerja itu berdiri tegak lantas
memberikan tunduk hormat.
Aku tergamam sebentar. Aku sudah sampai ke banyak
negara – Singapura, Indonesia, Thailand , India, Itali, United Kingdom, Algeria
dan Mesir, namun Aku belum pernah melihat sesuatu seperti itu. Nyata, budaya di
negara matahari terbit ini jauh berbeza.
Ini kali pertama Aku menjejakkan kaki ke Jepun. Aku tidak pasti sebab mengapa memilih Jepun sebagai destinasiku. Cuma yang pasti, Aku perlu meninggalkan seketika tanah air untuk meleraikan kekusutan yang menyelubungi diri ini.
II
Fikiranku memang kusut apabila persoalan yang sama dibangkitkan berulang-ulang kali. “Emak, saya belum mahu fikir soal itu lagi,” ujarku seolah-olah memberontak.
Emak menghela nafas panjang sebelum berkata, “Kamu
memang degil, Zuhair. Apabila emak bangkitkan soal itu, itulah jawapan yang
kamu selalu berikan.”
Aku memang cukup alah apabila soal itu
dibangkitkan. Sudah terlalu kerap dilontarkan, bukan sahaja oleh emak, malah
oleh ayah dan ahli keluarga yang lain. Aku berasakan masa Aku belum tiba, dan
Aku belum bersedia.
“Apa lagi yang kamu tunggu, Zuhair? Usia kamu sudah mencecah
35 tahun. Sudah
sepatutnya kamu berkahwin,” kata-kata emak itu menikam gegendang telingaku.
Perkataan yang bermula dengan huruf ‘k’ itu memang seperti fobia yang tiada
hujung pangkalnya.
Aku mendiamkan diri. Membatu di meja makan tanpa
berkata apa-apa. Dalam kepalaku terlintas satu perkara. Aku mesti pergi ke
suatu tempat untuk mencari ketenangan diri. Ya, ketenangan. Itulah yang Aku
cari.
III
Dengan tenang, Aku berjalan ke arah kaunter
imigresen. Usai urusan di situ, Aku bergerak ke kawasan bagasi. Selesai sahaja
mengambil bagasi, Aku berjalan-jalan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa
Narita. Agak payah juga keadaannya jika tidak mampu berbahasa Jepun. Tidak
ramai orang Jepun yang boleh atau mahu berbahasa Inggeris.
Papan-papan tanda semuanya menggunakan bahasa Jepun
yang ditulis dalam tulisan kanji dan hiragana bagi istilah berbahasa Jepun
serta tulisan katakana bagi istilah yang bukan berasal daripada Jepun. Jika ada
pun bahasa Inggeris, tulisannya amat kecil sehingga mungkin terlepas pandang.
Aku tidak mampu membaca tulisan kanji, namun kenal
juga beberapa huruf hiragana dan katakana dari zaman Aku belajar bahasa Jepun
di universiti dahulu. Sayang, Aku belajar cuma sekerat jalan.
Kamus kecil bahasa Jepun dengan frasa mudah
difahami sentiasa dalam genggamanku. Memang banyak gunanya kamus itu
sebenarnya. Di sini, Aku tidak boleh malu bertanya. Apatah lagi menjadi seorang
gaikoku-jin atau orang dari negara asing di negara yang terkenal dengan
keindahan bunga sakura ini.
Aku membeli tiket untuk menaiki bas ke hotel yang
telah ditempah, yang terletak di Shinjuku. Perjalanan dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Narita ke Shinjuku Washington Hotel mengambil masa kira-kira
sejam. Sebaik-baik tiba di hotel, Aku terpaksa meninggalkan bagasi di kaunter
pendaftaran kerana belum tiba masanya untuk mendaftar masuk.
Entah
mengapa tiba-tiba Aku teringatkan tanah air… dan Aku teringatkan emak.
IV
“Emak
sudah ada calonnya, Zuhair,” ujar emak memulakan kata dengan topik kegemarannya.
“Emak,
bukankah Zuhair sudah cakap yang Zuhair belum bersedia,” balasku dengan suara
lembut tetapi jelas membantah.
Emak mengetap bibirnya tanda tidak gembira dengan
kata-kata tersebut. “Sekurang-kurangnya berkenalanlah dahulu. Ini tidak, belum
apa-apa sudah membantah.”
Aku pula yang mengetap bibir apabila emak berkata
sedemikian. Di tanganku ada tiket penerbangan yang baru Aku tempah pagi tadi.
“Beginilah emak. Bagi Zuhair sedikit masa untuk berfikir dan mencari ketenangan dahulu sebelum Zuhair buat keputusan,” kataku sambil cuba memujuk.
Emak menjeling tajam ke arahku seperti sudah dapat
mengagak apa-apa yang akan Aku katakan selepas ini. “Ini mesti mahu ke luar
negara lagi, bukan? Kamu ini Zuhair, memang masih sama perangai seperti dulu.
Apabila berhadapan dengan masalah, terus bawa diri ke luar negara. Sampai bila
kamu hendak jadi begitu? Mentang-mentang kamu kerja dengan ayah kamu, kamu
fikir kamu boleh pergi macam itu saja apabila ada masalah? Orang lain buat
solat istikharah bila dalam keadaan tidak pasti, kamu pula memilih untuk makan
angin di luar negara.”
Aku tunduk diam. Terasa malu pun ada dengan
kata-kata emak itu. Emak memang sudah masak dengan perangaiku. Agak lama suasana sepi tanpa
sebarang dialog, sehinggalah emak bertanya, “Ke mana pula kamu pergi kali ini?”
V
Jepun. Sebuah negara yang punya budaya yang menarik
dan unik. Memang Aku tidak salah memilih negara ini sebagai destinasi mencari
ketenanganku kali ini. Pagi itu, Aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan
di sekitar Shinjuku. Cuaca pada waktu ini agak sejuk walaupun musim bunga sudah
bermula. Mujur Aku membawa jaket tebal yang sedikit sebanyak melindungi tubuh
daripada kesejukan.
Kakiku membawaku ke Stesen Shinjuku. Memang besar sekali stesen kereta api ini. Manusia yang keluar masuk stesen ini begitu banyak sekali, bertali arus tidak henti-henti. Teksi yang beratur di luar stesen menunggu penumpang, tetapi tiada sesiapa yang menaiki teksi. Pemandangan teksi yang beratur itu ibarat lipan yang tidak bergerak.
Deretan kedai di Shinjuku menggamit orang yang
lalu-lalang untuk singgah. Aku tidak mempunyai agenda khusus untuk
membeli-belah, sekadar untuk meninjau-ninjau.
Akhirnya, langkah-langkah kaki membawaku ke
Shinjuku Gyoen, sebuah taman bunga yang agak luas. Banyak manusia berpusu-pusu
masuk ke taman tersebut. Waktu itu, bunga sakura sedang mekar indah. Saujana
mata memandang, pokok sakura yang pelbagai bentuk dan warna menghiasi taman
tersebut.
Di bawah rimbunan pokok sakura itu, begitu banyak
sekali orang menghamparkan tikar dan surat khabar untuk duduk. Mereka mahu
menikmati pemandangan yang indah sambil menghirup teh Jepun.
Kanak-kanak berlari-lari keseronokan. Ibu bapa dan
saudara-mara berbual-bual mesra. Rakan dan taulan bersantai sambil berkelah,
bersaksikan keindahan bunga sakura. Pastinya, ramai yang mengambil kesempatan
merakamkan gambar pemandangan unik yang hanya dapat disaksikan setahun sekali
itu. Ramai juga yang menggunakan kamera yang menjadi kegilaan dewasa ini,
kamera DSRL.
VI
“Jangan lupa bawa kamera canggih kamu,” pesan emak
sebaik-baik sahaja Aku mahu melangkah keluar rumah untuk menaiki teksi yang
sedia menunggu di hadapan rumah. Teksi ini yang akan membawaku ke lapangan
terbang.
Aku cuma mengangguk. Memang ke mana-mana sahaja aku
pergi, aku tidak akan tinggalkan kamera DSLR kesayanganku. Entahlah,
kadang-kadang aku terfikir seperti aku sudah ‘berkahwin’ dengan kamera sehingga
ada masanya emak menyindir aku. Katanya, aku banyak menghabiskan masa dengan
kamera berbanding berusaha mencari jodoh.
Aku tidak faham mengapa emak begitu beria-ia mahu
Aku berumah tangga. Kalau kerana mahukan cucu, kakakku semuanya sudah
beranak-pinak. Mungkin dan ini sebenarnya hanya telahanku, emak teringin sangat
mendapat menantu perempuan.
Aku berjalan menuju ke teksi. Sebaik-baik Aku mahu
melangkah keluar pagar rumah, emak tiba-tiba memanggilku. “Zuhair, tunggu
sekejap.”
Hati kecilku tertanya-tanya sendirian. Mengapa pula
emak memanggilku pada saat Aku hendak keluar?
Emak bergegas ke pintu pagar yang sudah terbuka.
Pemandu teksi seperti kurang sabar menunggu Aku masuk ke dalam teksi.
Sepatutnya tiada apa-apa yang pak cik pemandu teksi itu perlu risaukan kerana
meter teksinya sudah berjalan. Nanti Aku bayar sahajalah tambang yang tertera.
“Nah…,” kata emak sambil menghulurkan satu sampul
kecil. “Apa pula ini emak? Saya sudah punya belanja yang cukup,” kataku
menyangkakan yang emak menghulurkan wang belanja dalam sampul itu.
“Kamu ini Zuhair, cepat benar buat kesimpulan. Ini
bukan wang. Ini gambar bakal tunang kamu,” kata emak.
Darah tersirap ke muka sebaik-baik Aku mendengar
kata-kata itu. “Bakal tunang?” Bibirku lemah mengucapkan kata-kata itu. Terasa
seperti mahu pitam pada waktu itu.
“Tunggu apa lagi, nanti lewat pula sampai ke KLIA,”
tutur emak dengan nada yang separuh menyindir. Memang emak kurang bersetuju Aku
mahu pergi bercuti ke Jepun. Walaupun emak tidak menghalang, emak mempunyai
caranya tersendiri untuk menunjukkan ketidaksetujuannya mengenai sesuatu.
Sampul berisi gambar yang diberikannya merupakan
cara emak untuk ‘merosakkan’ rancangan Aku untuk mencari ketenangan dalam
meleraikan kekusutan ini. Yang Aku rasakan pada ketika ini ialah kekeliruan
yang menambah kekusutan.
Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur, pelbagai persoalan bermain-main dalam kotak
fikiranku. Perlukah Aku membuat keputusan sekarang? Perlukah Aku memilih calon
yang emak pilih? Cocokkah calon itu dengan Aku?
Yang lebih penting, sudahkah Aku bersedia untuk
memasuki alam rumah tangga? Aku memilih untuk tidak membuka sampul surat
berwarna putih yang emak berikan itu. Sebaliknya, Aku masukkan sampul itu ke
dalam beg pakaian yang dibawa.
Aku tidak
pasti sama ada Aku mahu membuka sampul itu. Aku tidak tahu sebenarnya
apa apa yang perlu dilakukan. Itulah sebabnya Aku memilih untuk ke
Jepun bagi mencari jawapan, andai jawapan menanti di sana.
VII
Di Shinjuku Gyoen, Aku cuba mencari jawapan kepada
persoalan yang menghantui. Mampukah aku bertemu jawapannya di sini?
Aku hanya berjalan tanpa arah dan tujuan. Sambil
menghirup udara nyaman yang agak sejuk itu, Aku cuba menikmati pemandangan yang
belum pernah Aku lihat seumur hidupku. Jika ada sesuatu yang menarik perhatian,
Aku rakamkan imej itu menggunakan kamera DSLR.
Aku pernah membaca mengenai
hanami. Setiap
musim bunga, masyarakat Jepun menikmati pemandangan indah sakura yang sedang
mekar. Itulah yang digelar hanami oleh orang Jepun.
Ini kali pertama Aku menyaksikan hanami dengan mata
kepalaku sendiri. Ya, memang satu pemandangan yang menakjubkan. Apatah lagi, di
Shinjuku Gyoen yang luas dan dipenuhi dengan ribuan manusia itu.
Sedang aku berjalan tanpa arah dan tujuan tertentu,
Aku tiba di hadapan beberapa pohon sakura ‘kahwin’. Pada satu pokok, terdapat
sehingga tiga warna bunga sakura yang berbeza. Warna putih yang biasa dilihat
pada pokok sakura lain dan juga dua warna lain, iaitu merah dan merah jambu.
Aku tersenyum sendirian melihat kehebatan ciptaan
Allah s.w.t itu. Hati kecilku hanya mampu membisikkan kalimah tasbih atas
kebesaranNya.
Dalam keasyikan Aku tersenyum sendirian, Aku
tiba-tiba disapa dari belakang. “Anatawa Maresia-jin desu ka? Suara seorang
lelaki yang agak garau mengejutkan lamunanku.
Fikiranku ligat cuba memahami apa-apa yang dikatakannya. Agak lama juga Aku terdiam dan tidak memberikan sebarang jawapan. Mungkin terkejut atau mungkin juga Aku tidak dapat mentafsirkan sepenuhnya apa-apa yang diperkatakan oleh lelaki Jepun itu.
Lelaki Jepun yang berusia separuh abad itu mengukir
senyuman leret. Dia menepuk-nepuk bahuku, seraya berkata dengan bahasa Melayu
baku, “Adakah awak orang Malaysia?”
Sekali lagi Aku terdiam seribu bahasa. Kali ini
bukan kerana Aku tidak faham, malah Aku amat faham akan kata-katanya yang
dituturkannya dalam bahasa Melayu yang fasih, walaupun lenggok percakapannya
masih ada gaya sebutan orang Jepun.
Cuma, kali ini Aku terdiam akibat terkesima. Tidak
langsung Aku sangka akan ada orang Jepun yang boleh menggunakan bahasa selain
daripada bahasa Jepun. Untuk berbahasa Inggeris – bahasa yang dianggap bahasa
antarabangsa – pun susah, inikan pula bahasa lain.
Aku hanya mampu mengangguk.
“Apa khabar?” tanya lelaki itu lagi dengan nada
yang begitu mesra.
“Baik.” Ringkas sahaja tuturku yang masih tidak percaya dengan kemampuan lelaki itu berbahasa Melayu.
“Kali pertama ke Jepun?” soalnya lagi.
“Ya, ya. Saya baru sampai
awal pagi tadi,” balasku.
Dia ketawa. Mungkin gembira,
mungkin juga kerana Aku sudah mampu membalas soalan-soalannya dengan frasa yang
lebih panjang.
“Selamat datang ke Jepun.
Inilah masa yang terbaik untuk berada di negara ini iaitu ketika bunga sakura
sedang mengembang dan mekar sepenuhnya,” alu lelaki Jepun itu.
Aku mengangguk sambil
tersenyum. Hanya ucapan terima kasih yang mampu Aku ucapkan.
Lelaki itu mengajakku duduk
di bawah sepohon pokok sakura yang tidak jauh dari pokok sakura kahwin itu. Dia
memperkenalkan dirinya sebagai Keita Aoki. Aku tidak bertanya banyak, hanya
cuba mengorek rahsia bagaimana dia mampu berbahasa Melayu dengan baik.
Soalanku itu disambutnya
dengan senyuman yang menampakkan dua baris giginya yang putih bersih. Dia
mengalihkan pandangannya ke arah pokok sakura kahwin yang mempunyai tiga jenis
warna tadi. Jarinya ditunjukkan ke arah pokok tersebut.
“Kamu lihat pokok sakura
itu?” tanyanya dengan suara yang garau.
Aku hanya mengangguk mengiyakan pertanyaan
tersebut.
“Pokok itu amat istimewa,” katanya sebelum
menyambung, “kerana pada satu pokok ada tiga jenis warna.”
Aku diam, sambil cuba menghadam maksud kata-katanya
itu.
“Pak cik seperti pokok itu,” ujar Keita-san.
“Maaf, pak cik. Saya tidak faham.” Aku mencelah
mencari kepastian kepada kata-katanya.
Sekali lagi dia tersenyum. “Suatu masa dulu,
bertahun-tahun sebelum kamu lahir, ayah pak cik pernah berada di negara kamu.
Ketika itu, negara kami digelar Tanah Melayu. Ayah pak cik seorang tentera
Jepun,” jelasnya.
Aku tersentak seketika. Adakah ayah Keita-san ini terlibat dalam Peperangan Dunia Kedua dahulu? Belum sempat Aku bertanya, lelaki berbadan gempal itu memberikan jawapan yang Aku cari.
“Pak cik tahu kamu mesti tertanya-tanya sama ada
ayah pak cik sebahagian daripada tentera Jepun yang menyerang Tanah Melayu
dulu, bukan?” soalnya seperti meminta kepastian kepada sesuatu yang dia berjaya
mentelah. Sekali
lagi Aku mengangguk sebelum dia menyambung, “Ya, memang benar. Ayah pak cik
terlibat dengan serangan ke atas Tanah Melayu dahulu. Itu satu hakikat sejarah
yang tidak ada sesiapa pun yang boleh nafikan.”
Nada suaranya sedikit berubah. Jika tadi nyata
ceria, kini nadanya sudah bercampur sedih dan sesal. Raut wajahnya juga seakan
menampakkan kekecewaan.
“Apa yang dilakukannya merupakan sebahagian
daripada cintanya kepada negara Jepun.” Keita-san seperti cuba memberikan
justifikasi kepada tindak-tanduk ayahnya. “Tapi…”
“Tapi apa, pak cik?” Aku mencelah dengan tiba-tiba.
Rasa ingin tahu membuak-buak.
“Di Tanah Melayu juga ayah menemui cintanya yang
satu lagi.”
VIII
Aku tidak pasti sama ada Aku mampu bercinta lagi
semenjak ‘dia’. Dia pergi meninggalkan Aku selama-lamanya ketika kami masih
menuntut di sebuah universiti di kota London.
Masih teringat lagi dengan jelas masa yang Aku
habiskan bersama-samanya di sana. Bagi Aku, tiada cinta sejati melainkan dia.
Kami berjanji untuk bertunang dan seterusnya berkahwin sebaik-baik sahaja kami
pulang selepas menamatkan pengajian. Namun begitu, seperti semua perkara dalam
kehidupan di dunia yang fana ini, manusia hanya mampu merancang tetapi Allah
s.w.t yang menentukan.
Sewaktu cuti musim panas pada tahun 1998, dia kembali dipanggil Allah s.w.t dan meninggalkan dunia yang menjadi persinggahan sementara ini. Kemalangan yang meragut nyawanya itu turut menyentap jiwaku. Tidak aku sangka sama sekali bahawa takdir telah menentukan Aku akan kehilangannya.
Mungkin kerana apa-apa yang berlaku itu, Aku
seolah-olah hilang keinginan untuk mencari pengganti ‘dia’ sebagai teman
hidupku. Aku memilih untuk bersendirian sebagai caraku meratapi pemergiannya
hampir 12 tahun yang lampau.
Mungkin juga Aku menjadikan dia sebagai alasan untuk mengelak daripada berbincang dengan emak tentang perkahwinan. Padaku, belum ada orang yang mampu menggantikan tempatnya.
Walaupun dia sudah lama pergi, Aku masih menyimpan erat memori dan wajahnya dalam kotak fikiranku. Senyuman yang dilakarnya mampu mengundang kegembiraan kepada sesiapa sahaja yang melihat, ibarat mawar yang harum mewangi dan mekar segar di bawah sinaran sang mentari.
IX
Sinar mentari menerangi pagi itu. Namun begitu,
tidak terasa habanya kerana suhu yang agak rendah pada musim bunga. Di bawah
pohon sakura yang sedang mekar itu, seorang lelaki Jepun separuh abad bernama
Keita-san menceritakan bagaimana ayahnya kembali ke Tanah Melayu pada akhir
tahun 1950-an. Ayahnya kembali ke Tanah Melayu dengan satu tujuan iaitu untuk
mencari seorang gadis yang pernah ditemuinya sewaktu tentera Jepun menyerang
Tanah Melayu lebih kurang 15 tahun terdahulu. Nama gadis itu ialah Wong Mei
Ling.
“Wong Mei Ling ialah mendiang ibu saya,” kata Keita-san dengan nada sayu. “Saya dibesarkan di Malaya – kemudian Malaysia – sehingga tahun 1975 sebelum saya kembali ke Jepun. Oleh sebab itu, saya boleh berbahasa Melayu walaupun tidak fasih mana sebenarnya. Saya sangat teruja apabila melihat orang Malaysia di sini.” Terserlah sikap rendah diri yang ada dalam dirinya.
Keita-san memberitahu yang dia akan menegur siapa sahaja yang kelihatan seperti orang Malaysia. Itulah sebabnya dia menyapa Aku tadi. Setidak-tidaknya, kata Keita-san, dia dapat bertutur bahasa Melayu selepas sekian lama tidak mengamalkannya.
“Cuma sayang, saya lihat orang Malaysia sekarang tidak lagi menggunakan bahasa Melayu dengan betul,” katanya ikhlas, namun nadanya seperti sedikit sinis. “Ramai yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sewaktu bertutur.”
Aku hanya mampu mengukirkan senyuman. Kata-katanya itu terkena juga ke atas batang hidungku kerana ada kalanya Aku sendiri menggunakan bahasa rojak.
“Kamu tahu mengapa saya tunjukkan pokok sakura kahwin itu?” soal Keita-san.
Aku menggeleng-geleng tanda tidak tahu.
Dia tertawa kecil sebelum menjawab soalannya sendiri, “Pokok itu istimewa kerana ia menemukan tiga bunga dengan warna yang berbeza. Apabila mendiang ayah saya bertemu dengan mendiang ibu saya di Tanah Melayu, berlaku satu pertemuan budaya yang unik.”
Aku memandang wajah lelaki separuh abad itu sambil cuba menyelami perasaan dan fikirannya ketika itu.
Tanpa menghiraukan Aku, dia meneruskan kata-katanya, “Ibu saya rakyat Malaysia berbangsa Tionghua. Ayah saya rakyat Jepun. Saya seperti pokok sakura itu. Ada darah Jepun dan Tionghua dalam diri saya. Saya bangga dengan asal usul saya yang pernah tinggal di Malaysia dan sekarang di Jepun. Saya juga lebih bangga kerana mampu berbahasa Melayu dan bahasa Jepun di samping bahasa Kantonis.”
“Unik dan istimewa seperti pokok sakura kahwin,”
sambutku spontan.
“Ya, seperti pokok sakura kahwin,” ulang Keita-san kembali.
Selepas itu, Keita-san mengucapkan selamat tinggal. Aku terus duduk di situ sambil memerhatikan lelaki Jepun itu (yang sebenarnya lelaki berdarah campuran Jepun dan Tionghua Malaysia) berjalan pergi sambil melambai-lambaikan tangan.
Kata-kata Keita-san seperti terngiang-ngiang di kotak fikiranku. “Seperti pokok sakura kahwin…”
X
“Kahwin!” Di bilik hotel, Aku termenung seorang
diri. Perkataan yang bermula huruf ‘k’ yang menjadi fobia besar buat diriku
terngiang-ngiang tanpa henti. Begitu juga kata-kata lelaki separuh abad yang
Aku temui di Shinjuku Gyoen pada pagi tadi.
Entahlah. Kadang-kadang ketentuan takdir memang sukar untuk difahami. Mengapakah Aku tergerak hati untuk datang ke Jepun? Mengapakah Aku tergerak hati untuk datang ke Jepun? Mengapakah dalam jutaan manusia yang berada di Jepun, Aku ditakdirkan bertemu secara tidak dirancang dengan lelaki bernama Keita Aoki yang boleh berbahasa Melayu dan berdarah campur itu?
Buat kesekalian kalinya Aku menghela nafas panjang. Aku mengeluh sendirian mengenangkan situasiku itu.
Tiba-tiba Aku teringatkan sampul kecil yang dihulurkan oleh emak sebelum Aku berangkat ke Jepun. Sampul kecil itu masih tersimpan kemas di dalam beg pakaianku. Aku belum lagi membukanya, apatah lagi menatap wajah ‘calon’ pilihan emak itu.
Dengan berat hati, Aku membuka zip beg pakaianku. Di celah-celah pakaianku, tersemat sampul kecil berwarna putih itu. Entah mengapa, hati Aku berdebar-debar menjadi tidak keruan.
Aku mengeluarkan sekeping foto bersaiz pasport daripada dalam sampul kecil itu. Foto itu Aku amati dengan teliti. Seorang gadis manis bertudung litup menghiasi foto itu. Daripada raut wajahnya Aku dapat rasakan yang wajah itu memberikan ketenangan, tidak ubah seperti perasaan menatapi wajah ‘dia’ yang sudah pergi. Kulitnya cerah. Senyumannya menawan.
Tanpa disuruh, Aku senyum sendirian. “Memang pandai emak mencari calon,” bisik hatiku.
Di dalam sampul yang sama, terdapat sekeping kertas kecil. Aku keluarkan kertas itu daripada sampul. Ada sedikit catatan dengan tulisan tangan emak pada kertas tersebut.
Tulis emak, ‘Ini calon yang emak ingin Zuhair pertimbangkan semasak-masaknya. Orangnya berbudi bahasa dan berpendidikan tinggi. Emak rasa dia sesuai untuk Zuhair. Timbangkanlah ya, nak!’
Nampak jelas yang emak mahukan gadis ini sebagai calon menantunya. Aku terus tersenyum sendirian lagi.
Nota emak tidak berakhir di situ. Tulis emak lagi, ‘Gadis ini berketurunan Melayu dan Jepun.’
Baris akhir nota emak seperti satu petanda buat diriku.
Emak menulis, ‘Namanya Nur Sakura.’
No comments:
Post a Comment