Monday, August 27, 2012

Penulisanku untuk tugasanku (I)

Kesantunan Bahasa

Bahasa merupakan salah satu daripada beberapa perkara asas yang amat diperlukan oleh manusia dalam menjalani kehidupan sehari-hari selain makan minum, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya. Kehidupan sehari-hari menuntut setiap manusia berinteraksi dengan anggota masyarakatnya, tidak kira sama ada anggota masyarakat itu tergolong dalam kelompok yang sama mahupun tidak. Apabila seseorang perlu bercakap dan perlu didengari oleh manusia lain tentang perkara yang hendak diperkatakan, bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa lisan. Manakala kata-kata yang ditulis oleh seseorang individu dan dibaca pula oleh individu yang lain ialah bahasa tulisan. Komunikasi yang berkesan apatah lagi perhubungan yang baik akan hanya terjalin melalui satu cara iaitu dengan menggunakan bahasa yang santun, tidak kira sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 106) mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain dan sebagainya). Selain itu, bahasa juga didefinisikan sebagai percakapan yang baik, tingkah laku yang baik dan sopan santun.

Definisi pertama tentang bahasa seolah-olah menjawab tentang apakah yang dimaksudkan dengan bahasa manakala definisi kedua pula seolah-olah memberi jawapan tentang cara bagaimanakah bahasa harus digunakan. Daripada kedua-dua definisi ini, penulis berpendapat bahawa bahasa tidak seharusnya sekadar difahami sebagai sesuatu yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi. Seharusnya juga bahasa dimengertikan sebagai cara yang digunakan untuk berinteraksi sesama manusia yang merujuk secara khusus kepada kesantunan sebagai salah satu ciri yang perlu dititikberatkan.

Atas dasar itu, Rais Yatim (2007: x) dalam kata pengantar bagi buku ‘Santun Berbahasa’ menyebut tentang penilaian masyarakat Melayu di kampung-kampung terhadap perilaku seseorang sama ada dikatakan sebagai ‘berbahasa sekali dengan kita’ atau dikatakan sebagai ‘tak tahu bahasa’. Frasa-frasa yang mengandungi perkataan ‘berbahasa’ dan ‘bahasa’ itu timbul berdasarkan penelitian mereka terhadap cara seseorang itu menggunakan bahasa secara baik, sopan dan beradab ataupun sebaliknya. Penyataan di atas dapat dikukuhkan dengan pengertian tentang ‘kesantunan bahasa’ oleh Awang  Sariyan (2007: 1) dalam buku ‘Santun Berbahasa’ seperti berikut.

‘Kesantunan bahasa, secara umum, merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.’

(Awang Sariyan, 2007: 5)

Raja Ali Haji dalam sebuah karangan karya sastera beliau yang masyhur iaitu Gurindam Dua Belas ada memperkatakan secara langsung tentang nilai kesopanan dan kesantunan yang dipandang tinggi dalam masyarakat Melayu. Nilai kesopanan dan kesantunan ini dapat dijejaki melalui tiga daripada lima rangkap gurindam yang dikarang Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas, khususnya fasal kelima. Berikut merupakan Gurindam Dua Belas fasal kelima yang terakam dalam buku yang ditulis oleh Mohd. Yusoff Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh (1985: 178) yang berjudul ‘Puisi Melayu Tradisi’:

‘Jika hendak mengenal orang yang berbangsa,
lihat kepada budi bahasa.
 
Jika hendak mengenal orang yang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
 
Jika hendak mengenal orang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.’
 
(Mohd. Yusof Md. Nor & Abd. Rahman Kaeh, 1985: 178)

Melalui ketiga-tiga rangkap gurindam ini, Raja Ali Haji telah menganjurkan tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian iaitu budi bahasa, kelakuan dan pergaulan seseorang di tengah masyarakat. Anjuran Raja Ali Haji dapat dijejak secara langsung melalui baris kedua dalam setiap rangkap gurindam ini iaitu ‘lihat kepada budi bahasa’, ‘lihatlah kepada kelakuan dia’ dan ‘lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai’. Ketiga-tiga perkara yang dianjurkan untuk diberi perhatian inilah yang dimaksudkan oleh Rais Yatim (2007: x) dalam kata pengantar bagi buku ‘Santun Berbahasa’ tentang penilaian masyarakat Melayu di kampung-kampung terhadap perilaku seseorang sama ada dikatakan sebagai ‘berbahasa sekali dengan kita’ atau dikatakan sebagai ‘tak tahu bahasa’. Penilaian sama ada seseorang itu berbahasa atau tidak tentunya berlaku dengan memerhatikan dan meneliti cara seseorang itu menggunakan bahasa.

Lantas, setiap orang perlu memerhati dan memelihara kesopanan dan kesantunan gaya bahasa dan kata-kata yang diungkapkannya kerana perkara inilah yang menjadi kayu ukur sama ada seseorang itu ‘berbahasa’ atau ‘tak tahu bahasa’.  Siti Hawa Salleh (2009: 554) menegaskan dalam buku ‘Kelopak Pemikiran Sastera Melayu’ bahawa keperibadian dan pegangan seseorang dapat dinilai daripada gaya bahasa dan ungkapan yang digunakan. Berikut merupakan pernyataan beliau:

‘Secara positif, gaya bahasa dengan ungkapan tertentu sebenarnya memperlihatkan banyak hal tentang peribadi dan pegangan penutur bahasa itu sendiri. Di situlah sebenarnya terletak gaya kesopansantunan, kelemahlembutan dan kehalusan budi bahasa Melayu dan bangsanya.’

(Siti Hawa Salleh, 2009: 554)

 

No comments:

Post a Comment