29 Jun 2012 iaitu pada hari Jumaat merupakan hari pertama aku melaporkan diri semula sebagai seorang kakitangan awam.
Alhamdulillah.
Segala puji milik Allah.
Sejauh ini, aku harus menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana tidak perlu kembali bertugas di tempat lama kerana lima tahun di sana cukup 'mengajar' aku tentang banyak perkara yang tidak aku ketahui sebelum ini.
Ternyata, 'politik alam pekerjaan' telah kusaksikan bermula dari hari pertama, minggu pertama, bulan pertama, tahun pertama di tempat itu hinggalah ke tahun terakhir, bulan terakhir, minggu terahir, hari terakhir aku di sekolah tersebut.
Alhamdulillah.
Segala puji milik Allah.
Sejauh ini, aku harus menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana suasana dan budaya di tempat baharu walaupun belum dua bulan aku di sini boleh aku sifatkan lebih baik daripada tempat lama.
Aku tidak mencari kesempurnaan kerana tidak akan ada satu tempat bertugas pun yang sempurna.
Tentu ada kekurangan.
Tentu ada kelemahan.
Tentu akan ada cabaran pada masa hadapan yang perlu aku lalui.
Tentu akan ada ujian pada masa hadapan yang perlu aku hadapi.
Bukankah cabaran dan ujian adalah asam garam kehidupan?
Pada hakikatnya, cabaran dan ujian telah pun aku lalui dan hadapi di tempat kerja baharuku sedangkan pada waktu itu, belum pun dua minggu aku di situ.
Aku mulai mengajar pada hari kedua aku di situ iaitu pada hari Selasa bertarikh 3 Julai 2012 (kerana pada hari Isnin iaitu 2 Julai 2012, Singapura bercuti sempena Hari Belia).
Setelah lapan hari mengajar, aku telah pun mendapatkan cuti sakitku yang pertama pada 13 Julai 2012 iaitu hari Jumaat kerana mengalami tekanan perasaan atas sebab aku belum lagi sesuai, serasi dan serasa dengan pelajar-pelajar yang menjadi anak didikku.
Lima tahun bertugas sebagai seorang guru di sekolah rendah bermula pada tahun 2004 hingga 2009, kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Malaya selama tiga tahun bermula pada tahun 2009 hingga 2012 tentunya menjarakkan aku dengan bidang pendidikan apatah lagi aku langsung tidak bersedia untuk memikul tugas mengajar pelajar terdiri daripada generasi remaja.
Maklumlah, kini aku bukan lagi guru di sekolah rendah tetapi guru di sekolah menengah.
Ternyata, aku tidak bersedia kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan apatah lagi kemahiran serta pengalaman langsung untuk tanggungjawab ini....
Namun, kini setelah hampir dua bulan menjalankan tugas dalam kekurangan ilmu pengetahuan, ketidakmahiran dan tanpa pengalaman, aku sudah mulai betah.
InsyaAllah.
Dengan izin Allah.
Aku memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk menyesuaikan diri semula dengan alam pekerjaan terutama sekali dalam bidang perguruan yang berkait rapat dengan generasi remaja.
Cabaran dan ujian sebenarnya telah pun berlaku, bahkan sedang berlaku dan akan terus berlaku....
Bukan sekadar cabaran dan ujian daripada para pelajar tetapi.... (biarlah ayat ini tergantung dengan nokhtah-nokhtah yang tidak menyatakan apa-apa)
Namun, tetap aku bersyukur kerana situasi tidak seteruk dan suasana tidak seburuk masa silam di tempat kerja lama.
Tidak seteruk.
Tidak seburuk.
Tidak sempurna.
Tidak akan pernah sempurna.
Namun, aku berharap dan sentiasa berharap aku dapat menerima segalanya seadanya.
Alhamdulillah.
Segala puji milik Allah.
Sejauh ini, aku gembira dengan sekolah ini yang telah ditentukan dan ditetapkan untuk aku.
:)
No comments:
Post a Comment