Sunday, August 18, 2013

kerana cinta antara sepasang suami isteri

kerana cinta antara sepasang suami isteri adalah anugerah daripada Pencipta
maka menyembah Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Pencinta
dan mentaati segala perintahNya
bahkan menjauhi segala laranganNya
adalah satu amanah sebagai hamba
 
kerana cinta antara sepasang suami isteri adalah kurniaan yang penuh dengan keindahan
maka solat itu adalah penghubung kasih sayang antara insan bertunjangkan rasa bertuhan
dan syariat itu adalah pelengkap kehidupan yang bertunjangkan rasa kehambaan
bahkan menunaikan solat dan melaksanakan syariat
adalah satu petanda keimanan dan ketaqwaan kepada yang Maha Hebat
 
kerana cinta antara sepasang suami isteri adalah taman
maka bunga-bunga mahmudah harus sentiasa disirami dengan keikhlasan
dan lalang-lalang mazmumah harus sentiasa ditebas dengan kesabaran
bahkan taman itu terlalu memerlukan perlindungan dan naungan
satu-satunya Zat yang bersifat Ar-Rahim dan Ar-Rahman
 
kerana cinta antara sepasang suami isteri adalah ketentuan Tuhan semata-mata
maka kami berdoa dan bertawakal sepenuh jiwa raga
agar menjadi umat Muhammad s.a.w yang terpelihara
bahkan menjadikan Al Quran dan Al Hadis sebagai kompas sejahtera
dalam melayari bahtera rumahtangga
 
kerana cinta antara sepasang suami isteri adalah keperluan fitrah
maka kami berusaha dan berikhtiar menjadikan cinta dalam rumahtangga suatu ibadah
agar tenang dan tenteram lahiriah dan batiniah
bahkan beroleh sesuatu yang terindah
iaitu keredhaanNya setelah kepadaNya kami berserah
 


No comments:

Post a Comment