Aku sedang menonton drama Puberty Medley di Youtube.
Drama yang baru aku temui di Youtube memandangkan aku masih dengan penontonan Marry Him If You Dare dan Unemployed Romance di Yodrama.
Puberty Medley berkisar tentang watak seorang guru lelaki yang mengimbau kenangan sebagai seorang remaja di sekolah menengah yang dihadirinya 10 tahun lalu.
Bagi aku pula, tahun ini iaitu 2013 menandakan 20 tahun telah berlalu semenjak aku berada di sekolah menengah.
1993 merupakan tahun transisi daripada seorang pelajar sekolah rendah kepada seorang pelajar sekolah menengah.
Sekolah Menengah Bedok South yang menjadi pilihan pertamaku merupakan antara enam sekolah pilihan sebelum kami menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (Primary School Leaving Examination).
Alhamdulillah, aku terpilih ke sekolah pilihan pertama.
Antara perkara yang aku ingati sewaktu aku berada di menengah satu adalah...
(1) Aku dihukum keluar dari kelas kerana didapati tidak melengkapkan tugasan Matematik. Apakah benar aku tidak melengkapkan tugasan dalam buku aktiviti itu? Sudah tentu tidak benar. Seorang pelajar yang taat dan berdisiplin seperti aku tentulah tidak akan tidak melengkapkan tugasan.
Perkara sebenar yang tidak aku jelaskan kepada guru Matematikku iaitu Miss Muna adalah aku tersalah dengar arahan yang diberi atau hanya terdengar sebahagian daripada arahan yang diberi. Atas sebab itu, aku melengkapkan tugasanku tetapi sebahagian lagi yang perlu dilengkapkan tidak diselesaikan.
Maka dengan 'hormatnya', aku dihukum keluar dari kelas. Hahaha.
Pada zaman sekarang, mengambil contoh sekolah tempat aku bertugas, papan putih berbentuk jadual disediakan bagi guru mencatat kerja sekolah yang diberi. Butiran seperti mata pelajaran, bilangan muka surat, tarikh kerja sekolah diberi dan tarikh kerja sekolah perlu diserahkan hendaklah dicatat di papan putih itu. Bahkan dengan polisi kerja sekolah yang telah dikuatkuasakan, para pelajar tidak seharusnya dibebankan dengan kerja sekolah yang terlampau banyak.
Andai kata Miss Muna mencatat kerja sekolah yang perlu kami lengkapkan di papan putih, inshaAllah aku mendapat maklumat yang jelas tentang kerja sekolah yang sepatutnya dilengkapkan.
Aku dan Safariza dihukum keluar dari kelas pada hari yang 'berbahagia' itu atas kesilapan yang sama. Kesilapan yang tidak dapat dijelaskan kepada Miss Muna. Dua gadis 'blur' pada waktu itu memang saling berhubung dan saling berkongsi maklumat tanpa menyedari bahawa maklumat yang dikongsi itu betul tetapi tidak tepat. Oleh sebab kami dari sekolah rendah yang sama dan belum mengenali para pelajar yang lain dalam kelas yang sama, kami tidak ada sumber lain untuk mendapatkan maklumat. Lantas, di manakah silap kami untuk menerima hukuman keluar dari kelas sedangkan bukan pun kesalahan kami. Huhuhu.
(2) Aku dipuji dalam kelas oleh guru bahasa Melayu iaitu Cikgu Azleen. Atas dasar itu, aku diberi keistimewaan yang tidak diduga bahkan keistimewaan itu dicemburui oleh pelajar lain. Apakan tidak, setiap pelajar ditukarkan tempat duduk mereka dan Cikgu Azleen menetapkan tempat duduk mereka. Setiap pelajar lelaki dikehendaki duduk bersebelahan dengan pelajar perempuan. Aku tidak perlu bertukar tempat dan tidak perlu duduk dengan pelajar lelaki kerana Cikgu Azleen menyifatkanku sebagai pelajar yang baik. Hihihi. Maka, Safariza berkongsi keistimewaan itu denganku kerana sejak awal lagi, dia duduk di sebelahku.
Hahaha. Kalau dalam kelas Matematik, dia dihukum keluar bersamaku kerana kami sama-sama tidak mendapat maklumat yang sepenuhnya. Dalam kelas bahasa Melayu pula, dia mendapat keistimewaan iaitu tidak perlu betukar tempat dan tidak perlu duduk dengan pelajar lelaki sepertiku.
Bagi entri kali ini, sempat aku berkongsi hanya dua cerita yang kontra. Cerita pertama tentang hukuman yang kuterima dan cerita kedua tentang keistimewaan yang kuperoleh. Persamaan dalam kedua-dua ceritaku ialah rakan sekelasku yang diberi hukuman bersamaku dan diberi keistimewaan sepertiku. Rakan sekelas yang tidak lagi aku temui dan tidak lagi aku dengar khabarnya iaitu Safariza. Kami tidak akrab tetapi aku tidak harus nafikan bahawa dia seorang rakan yang lembut hati, pendiam dan baik hati.
1993 ketika aku di menengah satu sejak bulan Januari.
2013 ketika aku menaip entri ini dalam bulan Disember .
20 tahun berlalu sudah.
No comments:
Post a Comment